HAJI SAMAD BIKIN PANAS!

Saya tidak suka terikat dengan parti politik. Sebab ianya nanti akan jadikan saya macam Haji Samad, kawan yang tinggal setaman dengan saya. Haji Samad ini usianya 60-an, pesara kerajaan, tiap-tiap bulan makan duit pencen.

Kami berkawan, tapi saya tidak berapa suka berbual soal politik, terutama dengannya. Ini kerana Haji Samad pengikut tegar sebuah parti politik keagamaan. Fanatik sungguh. Baginya, parti itulah satu-satunya jalan yang lurus.

Yang lain, mungkar, toghut dan sekular. Siapa yang tidak mengikut partinya seperti tidak mengikut Islam. Menentang partinya seperti menentang Islam. Adoiyai… macam-macam lah Haji Samad ni.

Suatu hari, waktu kami minum di sebuah warung berdekatan rumah, saya nekad untuk mengkritik dan membelasahdepan-depan ulama serta tokoh agama di dalam parti Haji Samad. Saya katakan saya tidak setuju dengan banyak tindakan ulama politik itu.

Mereka ini kalau orang lain, berdosa. Kalau mereka, pahala. Mereka berpolitik dengan namaagama, sedangkan tindakan-tindakan mereka itu banyak yang memalukan agama.

Mereka hanya ambil tahu tentang syariah, fiqh dan usuluddin saja, sedangkan hal kerosakan alam sekitar, kemiskinan bandar, masalah kewangan, nasib orang asal, tanah adat, kepupusan flora dan fauna, perdagangan dunia, mereka kelu seribu bahasa.

Orang lain berjuang dengan fakta, statistik serta turunberdepan dengan `musuh’, tetapi ulama parti Haji Samad hanya berretorik di masjid atau dalam Facebook. Kata saya lagi, tokoh agama parti politik Haji Samad ini mengajak orang bersatu dalam Islam, sedangkan mereka bertindak memecah belahkan umat.

Marah betul Haji Samad. Belum sempat saya habiskan hujah, dia terus menerjah garang, “Jagan hina ulama! Ingat, ulama itu pewaris nabi!”

Haji Samad bersuara keras, katanya sesiapa yang menghina ulama, akan dilaknat sesisi alam. Siaplah di padang mahsyar nanti. Mereka akan merangkak mencari para ulama partinya itu untuk memohon ampun. Mereka akan dihumban ke neraka.

Jaga-jaga dengan lidah kamu!” Haji Samad tudingkan jari ke muka saya.

ULAMA MANA SATU?

Hahaha… saya tidak gigil dengan gertakannya. Saya katakan pada Haji Samad, semua orang tahu ulama memegang amanah agama setelah ketiadaan para Rasul. Ulama itu mereka yang menguasai ilmu agama dengan meluas.

Ada ulama ilmu bahasa Arab, ada yang pakar Ulum Hadis, Ulum Tafsir, Akhlak, Feqah, Tafsir, Qawaid Feqhiah,ilmu balaghah, Tasauf dan memahami isu semasa. Bukan sedikit pula yang menguasai pelbagai bidang ilmu.

Saya juga tahu, seorang ulama wajib takut hanya kepada Allah sahaja. Jika seorang yang mempunyai ketinggian ilmu tetapi takut kepada manusia maka dia bukan digolong sebagai ulama.Ulama mesti beramal  dengan ilmunya dan mengajar pula kepada orang lain, dialah dikira sebagai orang yang mewarisi para nabi.

Saya teguk sedikit kopi yang mula suam, kemudian beritahu Haji Samad,saya menghormati ulama yang kerjanya berdakwah, amanah dan hanya takut kepada Allah. Pendiriannya objektif dan tidak bias.

Tetapi ulama yang ada di dalam parti politik Haji Samad, bagi saya adalah ulama politik. Saya mengkritik dan membantah tindakan-tindakan politik ulama serta tokoh agama ini, bukannya ilmu dan peribadi mereka. Faham?

Muka Haji Samad merah padam. Katanya, perbuatanmenghina ulama dan orang-orang soleh seperti merendahkan, menonjolkan aib dan kekurangan golongan ini sehingga menjadi bahan ketawa dan cercaan masyarakat adalah salah satu sifat orang-orang kafir, sekaligus salah satu ciri orang munafik!

Lalu dia memetik ayat-ayat al-Quran, antara yang saya ingat adalah  “Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang-orang kafir, dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman.” – (Al-Baqarah: 211).

Satu lagi, “Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan, ‘Kami telah beriman.’ Dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan, ‘Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok.” – (Al-Baqarah: 14).

Haji Samad tepuk meja dan beri kata dua, kita perlu mencintai para ulama dan mentaati mereka sebab mereka adalah pewaris Nabi. Membenci ulama sama ertinya dengan menghina dan membenci Allah dan rasul-Nya!

Menghina ulama akan merosak agama!” Haji Samad bersuara tegas lalu mula keluarkan dalil-dalil yang sebelum ini sudah biasa saya dengar dan baca.

Antaranya dia memetik Imam Ath-Thahawi yang berkata  “Ulama salaf dari kalangan ulama terdahulu, demikian pula para tabi’in, harus disebut dengan kebaikan. Siapa yang menyebut mereka dengan selain kebaikan maka dia berada di atas kesesatan.”

Haji Samad memetik juga Imam Ibnul Mubarak yang berkata, “Siapa yang melecehkan ulama, akan hilang akhiratnya. Siapa yang melecehkan umara’ (pemerintah), akan hilang dunianya. Siapa yang melecehkan teman-temannya, akan hilang kehormatannya.”Dan mencela ulama termasuk diantara dosa-dosa besar.

Dia terus berhujah, orang yang menghina ulama sama artinya dengan mengumumkan perang kepada Allah. Imam Bukhari, dari Abu Hurairah berkata “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: ‘Barang siapa memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya Aku menyatakan perang terhadapnya…” – (Hadis riwayat Bukhari).Para ulama adalah termasuk wali-wali Allah.

Saya terus mendengar dan Haji Samad memberi ingatan, orang yang menghina ulama sengaja mencampakkan dirinya untuk terkena doa dari seorang alim yang dizalimi. Aib dan celaan kepada ulama juga boleh berbalik kepada diri mereka sendiri.

Yang paling aku bimbang, nanti orang yang menghina ulama ini akhir hayat mereka dalam keadaan yang jelik dan hina!” sambungnya sambil memandang saya, seolah-olah mahu berkata, “Kau nak jadi macam tu?”

Aduhai, bermacam-macam lagi kata-kata amaran yang ditegaskannya dalam perdebatan kami, yang panjang meleret dan penuh dengan kata-kata politik. Saya hanya ketawa saja.

Wah… ngeri juga saya dengar ni, Aji,” kata saya sambil buat-buat gelabah.

Setelah itu saya bertanya kepadanya, kalau benar menghina ulama itu salah, berdosa besar dan sifat orang kafir, bagaimana pula dengan pemimpin dan ahli-ahli parti politik Haji Samad sendiri yang turut sama menghina ulama?

Wah… kalau ulama dan ahli-ahli parti Aji hina ulama, boleh pula ya.”

Tak mungkin!” katanya, terkejut dan menggeleng kepala.

Hahaha… saya ketawa. Lalu saya menceritakan bagaimana teruknya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainal Abidin dan penceramah bebas terkenal, Ustaz Kazim Elias dikutuk serta dihina apabila mereka mengeluarkan kata-kata atau pendapat yang bercanggah serta mengkritik parti politik Haji Samad.

Saya belum lupa, sekitar tahun 2011 ada seorang pemimpin muda parti politik Haji Samad, yang janggutnya panjang serta berserban,menggelar Harussani sebagai Haramsani. Ustaz Kazim lagi kesian, dia digelar dengan nama-nama yang buruk. Cercaan kepada Dr. Asri juga menimbun-nimbun.

Kalau mereka beri pandangan yang sesuai dengan selera parti politik Haji Samad,mereka dipuji. Tapi kalau bercanggah dan tidak selari, nahaslah. Itulah antara maksud parti Haji Samad adalah parti politik, ia bukannya agama. Ulamanya juga adalah ulama politik, kata saya.

Haji Samad tidak puas hati. Dia buka kopiahnya dan membangkitkajn isu ulama-ulama jahat (su’) dan ulama dunia. Kononnya sekarang ini ramai ulama kerajaan yang kerjanya tiada lain mengampu kerajaan.

Kononnya ulama su’ ini hanya menjaga kepentingan diri dan majikannya (pemerintah). Mereka bertuankan wang dan pujian manusia.Ulama dunia juga kata Haji Samad takut memberi nasihat kepada pemerintah biarpun pemerintah itu zalim dan melakukan maksiat.

Walaupun tidak mengatakan ulama-ulama terkenal yang saya sebutkan tadi sebagai ulama dunia, namun Haji Samad tetap bertegas, ulama yang bertuankan kerajaan memang layak partinya kritik.

Saya gelengkan kepala dan bertanya, mana Haji Samad tahu hati ulama-ulama yang dikecam itu? Mana dia tahu ulama-ulama itu jahat, munafik dan dunia? Mana Haji Samad tahu ulama-ulama tadi berdiam diri daripada memberi nasihat kepada pemerintah?

Mereka tentu ada alasan dan carasendiri untuk membantu pemerintah, apatahlagi pemerintah itu beragama Islam. Mereka mungkin menegur, tapi dengan cara berhemah. Parti politik Haji Samad tidak wajarlah menghukum berdasarkan ideologi serta andaian mereka semata-mata

LABEL BURUK

Ketika perdebatan kami bertambah hangat, saya alihkan topik kepada isu lain, iaitu ulama dan tokoh agama dalam parti politik pemerintah serta parti yang menjadi saingan parti Haji Samad. Lalu saya sebutkan nama tokoh-tokoh agama itu satu persatu, yang ada di antaranya merupakan bekas pensyarah bergelar Profesor dan punya ijazah Doktor Falsafah, menjadi menteri danada juga yang pernah memimpin persatuan ulama.

Ulama-ulama serta tokoh agama ini turut masak dikecam dan dibalun cukup-cukup oleh parti politik Haji Samad kerana berbeza wadah, ideologi serta pendekatan. Teruk mereka dihina oleh parti Haji Samad apabila mereka berpindah kepada parti lain. Kemudian saya ajukan satu lagi soalan cepu emas…

Aji… adakah ulama saja yang tak boleh dihina? Adakah Islam benarkan kita hina orang bukan ulama? Adakah Islam benarkan kita hina orang bukan Islam?”

Kini giliran saya memuntahkan peluru. Saya imbas kembali bagaimana ulama dan ahli-ahli agama parti Haji Samad mencaci, memaki hamun, melabel dan mendoalaknatkan sahabat-sahabat mereka yang bukan dari aliran agama, semata-mata kerana mereka berbeza pendapat.

Aji… bolehkah ulama dan orang agama menggelar orang lain babi, anjing, kafir, munafik, sesat, gila, syaitan, macai kafir. Adakah ulama bebas daripada mendapat dosa? Adakah dengan hina orang bukan Islam, maka Islam akan nampak lebih baik dan dihormati?”

Segera saya memetik kata Imam al-Ghazali, “Dan fanatik (asabiyyah) itu adalah setengah daripada penyakit ulama buruk. Kerana ulama buruk itu tersangat fanatik kepada apa yang dianggapnya benar. Dan memandang kepada golongan yang berbeza fahaman dengan mereka, dengan pandangan menghina dan mengejek. Maka menonjollah sifat-sifat ingin menentang dan berhadapan. Dan bangkitlah gerakan membela yang bathil itu.

Jikalau sekiranya mereka datang dengan lemah-lembut dan kasih-sayang, serta nasihat-menasihati secara berbisik, tidak dalam keadaan fanatik dan hina-menghina, nescaya mereka mendapat kemenangan.

Tetapi tatkala kemegahan itu tidak tertegak selain dengan mempunyai pengikut dan pengikut itu tidak mudah diperolehi seperti mudahnya memperolehi fanatik, kutukan dan cacian terhadap lawan, lalu diambilnyalah fanatik menjadi adat kebiasaan dan alat perkakas bagi mereka. Dan disebutnyalah, “Untuk mempertahankan agama dan kehormatan kaum Muslimin,” padahal sebenarnya adalah membawa kebinasaan kepada umat manusia dan menetapkan bid’ah dalam jiwa.”

Tidak lupa saya memetik hadis Rasulullah s.a.w., yang bermaksud, “Orang Mukmin bukan seorang pencela, bukan pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” – (Riwayat Tarmidzi, dari Ibnu Mas’ud)

Serta satu lagi, “Mencaci-maki seorang Muslim adalah suatu kefasikan, sedang memeranginya (membunuhnya) adalah kekufuran.” – (Riwayat Muttafaq ‘alaih, dari Ibnu Mas’ud)

Haji Samad mahu terus bedebat, tapi saya beritahu, cukuplah. Itu pandangan saya, kalau dia tidak setuju, tidak mengapa. Mungkin saya salah, mungkin juga dia yang salah. Tidak guna kita berbalah hanya kerana politik, kerana Islam itu sejahtera dan kasih sayang.

Saya hulurkan tangan dan bersalam, lalu memberitahu Haji Samad, “Maaf Aji, saya nak kena cepat… nak ambik anak balik sekolah. Air Aji saya belanja.”

Oleh: Jazmie Mohamad

No Comments

    Leave a reply