HAK ASASI DARI PERSPEKTIF ISLAM

(Tulisan ini adalah petikan kertas kerja yang telah dibentangkan pada Forum Hak Asasi Sejagat anjuran Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM) dengan kerjasama JAKIM, 20 November 2013 di Hotel Marriott, Putrajaya)

Mengenai hak asasi ini, kita sebut dahulu bahawa ianya bukanlah hak mutlak manusia sendiri.  Kerana manusia itu bukan pemilik sepenuhnya kepada dirinya, dalam makna dia tidak ada hak penuh ke atas dirinya, melainkan ada pihak lain yang turut berhak.

Siapakah dia pihak lain itu?  Jawabnya ialah Allah.  Bahkan Allahlah yang lebih berkuasa menentukan setiap hak, termasuk hak kita manusia.  Manusia tidak boleh lari dari kriteria, peraturan dan kehendak Allah.  Kerana itu istilah “ikut suka hati sendiri”, tidak ada dalam kamus Islam.

Tegasnya kita manusia itu adalah milik Allah.  Sebab itu manusia adalah diharamkan membunuh diri, walaupun nyawa nyawanya, duduk di dalam dirinya, namun dia tidak bebas untuk melakukan apa saja menurut mahunya, seperti membunuh diri.  Kerana diri dan nyawa itu bukan milik mutlaknya tetapi juga milik Allah selaku amanah.

Sifat “milik” tidak boleh tidak mesti takluk di bawah “pemilik”.  Pemilik tetap berhak ke atas milik.  Selaku milik, ia tidak boleh bebas sebebasnya. Umpamanya: Kita ada sereban ayam milik kita.  Selaku milik, ayam-ayam itu tidaklah boleh sesuka mereka memasuki dapur dan makan apa saja, sekalipun mereka ada hak untuk makan. Ya, hak ayam untuk makan tidak dapat dinafikan, tetapi bukanlah dengan cara menceroboh dapur tuan untuk mendapatkan makanan.  Bukan saja ayam, malah lain-lain binatang juga sama-sama mempunyai hak untuk makan, kerana itulah Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a sampai menangis apabila melihat kambing-kambing kurus kerana kurang makan.

Hak Asasi Turut Menyangkut Hak Allah Taala

Apa alasan kita mengatakan hak asasi itu turut menyangkut “hak Allah Taala?”  Mari kita lihat firman Allah ini yang bermaksud:

“Dan tiadalah Aku jadikan makhluk jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku jua.”

Ya, di sini hak kita manusia turut tersangkut hak Allah Taala (sebagai wajib menyembah-Nya).  Bukan untuk sebebasnya berbuat apa saja, termasuk boleh jadi freethinker, tidak! Hatta selain ibadat, seperti makan dan minum pun, juga tidak ada bebas makan, bebas minum, tidak ada.  Lesen untuk bebas sebebasnya tidak ada: Bebas makan sebebasnya, bebas bercakap sebebasnya, bebas seks sebebasnya, tidak ada!  Perspektif Islam tentang bebas ini tetap dikawal oleh peraturan, undang-undang dan disiplin. Peraturan, undang-undang dan disiplin itulah “Hukum Syarak”.  Di sinilah hak Allah itu, sementara hak kita hanyalah untuk menerima dan mengikutnya sahaja.

Perspektif macam inilah yang tidak terdapat pada orang lain.  Orang lain itu hanya nampak kebebasan atau demokrasi semata-mata.  Jika tidak ceria atau selesa pada mereka, maka dianggaplah ia menyalahi hak asasi.  Kerana itulah hingga tudung kepala perempuan pun, dianggap melanggar hak asasi manusia, dilihat sebagai satu penindasan terhadap kaum hawa ini.  Inilah peliknya perspektif mereka itu.

Tonggak Hak Asasi Barat dan Puncanya

Sering disebut-sebut orang, bahawa hak asasi itu bertolak daripada Barat. Tonggak pertamanya ialah Inggeris, berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap kaum bangsawan, yang sehingga, membawa lahirnya satu perjanjian  yang disebut Magna Charta atau Piagam Agung.  Ini berlaku pada 15 Jun 1215, yang dasarnya membataskan kuasa raja dan mengangkat hak asasi manusia lebih penting daripada kedaulatan raja.

Pergerakan di Inggeris ini telah mengilhami banyak negara lain, misalnya Amerika, di dalam zaman Flankin D. Roosevelt.  Presiden ini dalam ucapannya di hadapan Kongres pada 6 Januari 1941 telah menggariskan “empat” jenis kebebasan :

  1. Kebebasan untuk bercakap dan melahirkan pendapat (freedom of speech and expression).
  2. Kebebasan memilih agama (freedom of religion).
  3. Kebebasan dari ketakutan/kebimbangan (freedom of fear) dan
  4. Kebebasan dari sebarang kekurangan dan kelaparan (freedom from want).

Perbezaan: Perspektif Barat dan Islam Tentang Hak Asasi Manusia

Dalam perspektif Barat, hak asasi manusia itu adalah bersifat anthroponsentris, iaitu manusia menjadi ukuran segala-galanya.  Dalam konteks ini, nilai utama ialah seperti demokrasi, kebebasan sosial dan ekonomi.  Semua itu bermula dari manusia dan berakhir juga kepada manusia.  Itu saja.

Sementara perspektif Islam pula adalah bersifat theosentris, iaitu segala-galanya mesti bertolak daripada al-Quran dan al-Hadis.  Manusia hanya untuk menerima  dan berusaha bagi mematuhi segala perintah.  Perintah siapa?  Perintah Allah. Lalu dengan itu, akan meletakkan kita manusia ini tidaklah boleh bebas sebebasnya.  Kebebasan itu di sini mesti dipandu oleh syara’.  Kita boleh bebas makan tetapi makan yang halal.  Boleh bebas minum tetapi juga minum yang halal.  Boleh bebas bergaul lelaki dan perempuan tetapi dalam lingkungan mahram. Boleh bebas berpakaian tetapi mesti menutup aurat.  Boleh bebas mencari kelebihan tetapi bukan dengan cara menerima rasuah. Boleh bebas bersuara dan menulis tetapi bukan untuk menghasut, memfitnah, berbohong dan mengaibkan orang lain.

Ini semua memang dalam lingkungan hak kita manusia.  Kita berhak selaku pemilik, tetapi bukan milik mutlak, melainkan di sana masih ada hak Allah turut menyangkut. Malah Dialah (siapa) yang lebih berhak menetapkan batas-batas (hukum-hukum) tertentu untuk dipatuhi.

Ini Hak Asasi Islam

Dengan terperinci Islam telah menggariskan ‘hak’ itu dalam lima sendi yang disebut sebagai Maqasid Syariah.  Kelima-limanya adalah hak yang wajib dipelihara.  Inilah ‘hak asasi’ itu.  Jika kesemuanya dapat dipelihara, bermakna terpeliharalah hak asasi.

Apakah ia lima sendi yang wajib dipelihara itu?  Iaitu: (1) Agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Nasab (keturunan), termasuk nama baik, dan (5) Harta.

Bagaimana semua itu dipelihara selaku hak?  Caranya:

  1. Memelihara Agama

Sangat perlu diingat, “beragama” adalah fitrah semulajadi manusia. Kerana itu secara automatik ia adalah menjadi hak kepada mereka.  Selaku hak, sudah semestinya tidak siapapun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama itu.  Ini jelas disebut oleh Allah sendiri, firman-Nya yang bermaksud:

          “Tidak ada paksaan dalam agama…” (al-Baqarah: 256)

Mengambil panduan daripada al-Quran dan perbuatan Nabi s.a.w. sendiri, Islam itu hanyalah ia didakwahkan bukan dipaksakan, diseru manusia kepadanya dengan cara yang baik dan nasihat.  Itu saja.

  1. Memelihara Nyawa

Ini juga adalah antara hak asasi itu. Nyawa sendiri dan nyawa orang lain sama-sama dipelihara.  Bagaimanakah cara memeliharanya itu?  Jangan ia dicabuli, jangan dibinasakan.  Bukan nyawa orang lain saja dilindungi, bahkan nyawa sendiripun wajib dipelihara.  Bukankah Islam melarang membunuh diri?  Haram dan berdosa besar membunuh diri itu? Apatah lagi terhadap nyawa orang lain, lagilah ia lebih-lebih dilarang, sehingga ke atas pembunuh disediakan hukuman qisas (dibalas bunuh juga). Adapun peluang untuk hidup, tidak syak lagi adalah menjadi hak bagi semua orang.

  1. Memelihara Akal

Ini juga satu lagi hak utama yang wajib dipelihara.  Memeliharanya bagi diri sendiri membawa impak kepada orang lain juga.  Kerana itu ia jadi hak asasi yang sebenar-benarnya.  Apa tidaknya, akal seseorang kalau binasa, bukan saja diri peribadinya jatuh harga, malah sekaligus, boleh menyebabkan orang lain juga terjejas kerananya.  Misalnya seorang suami yang pemabuk, boleh menyebabkan isteri dan anak-anaknya menderita kerana sering dipukul atau didera.  Apakah ini bukan sebab untuk  menjadikan hak bagi anak isteri menikmati erti kebahagiaan terjejas teruk. Dan di luar rumah, si pemabuk ini mungkin saja bertindak merogol orang, membunuh dan sebagainya. Apakah ini tidak berlaku? Berlaku!  Jadi bercakap mengenai hak asasi, adalah tidak lengkap kalau mengabaikan faktor ‘akal’ ini.

Perkara ini tidak diambil hirau di dalam perspektif Barat?

  1. Memelihara Nasab Dan Nama Baik

Ini juga menyangkut hak asasi.  Nasab (keturunan) itu adalah kemuliaan.  Ia menjadi paling penting dalam kehidupan. Tanpa nasab tidak akan dikenali siapa kita. Nasab mesti halal dan suci. Nasab yang diiktiraf hanyalah nasab yang dibina dengan aqad nikah yang sah.  Inilah nasab yang wajib dipelihara itu.  Ia mesti dipertahankan dan mesti ditolak segala bentuk anasir yang cuba-cuba merosakkannya.  Nasab dalam acuan inilah yang wajib ditatang. Kita berhak berbangga dengannya dan berhak mempertahan atau melindunginya selaku hak asasi itu.  Adakah ini terdapat dalam perspektif Barat?  Rasanya tidak.  Bukankah dalam masyarakat orang lain, cuma mementingkan asal berlaku ‘kelahiran’ : itulah nasab.  Seorang wanita melahirkan anak dari seorang jejaka yang telah menidurinya walaupun tidak bernikah, anak tersebut diiktiraf sebagai anak yang sah.  Tetapi Islam tidak begitu.  Malah ia turut dianggap menjejaskan nama baik. “Nama baik” sangat-sangat dipentingkan oleh Islam, kerana itu ia dikategorikan sebagai hak asasi juga.  Semua orang adalah berhak kepada nama baik dan berhak pula memeliharanya.  Bahkan hukum Tuhan juga adalah melindunginya. Bukankah agama Islam itu melarang dari membuka-buka aib orang? Ya, nama adalah kehormatan dan kemuliaan.  Membuka aib boleh mencacatkan nama dan kehormatan orang yang dibuka itu.  Pada nama itu, tidak diragukan lagi, ada ‘nilai’ tersendiri.  Dengannya orang jadi mulia atau sebaliknya.  Begitulah hebatnya nama. Ia juga menyangkut perkara maruah.  Menjatuhkan nama baik bererti juga menjatuhkan maruah. Kerana itu selaku hak asasi, ia haram dicabuli.

Mencabulinya bermakna melanggar hak asasi.

  1. Memelihara Harta

Ini lebih mudah difahamkan.  Semua orang adalah mahu memiliki dan mencari harta. Siapakah yang tidak mahukan harta?  Dan siapakah yang tidak memahami akan kepentingan harta?  Tidak ada.  Tidak ada orang yang menafikan hak untuk memiliki dan mencari harta, tidak ada.  Semua orang adalah terlibat dengan harta dan kepentingannya. Lalu dengan itu, amat wajarlah ada mekanisme untuk memeliharanya. Sebagai apakah ia dipelihara itu kalau bukan sebagai hak? Ya, semua orang adalah berhak untuk memiliki, mencari dan menggunakannya. Lalu dengan itu, tidak syak lagi, ia adalah sebahagian dari hak asasi itu.  Mencabulinya bererti melanggar hak asasi.

Kesimpulan

Pendeknya dalam Islam, hak asasi itu terdapat dalam semua sudut kehidupan. Bukan seperti orang lain melihatnya hanya mengikut ‘rasa hati’ secara sempit, seperti antaranya paling dibesar-besarkan oleh para pendukung dan pemantau hak asasi itu ialah tentang keadilan dan demokrasi, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sering dilihat mengabaikan malah mencabuli keadilan dan demokrasi itu.  Begitu juga mereka lantang menyuarakan kebebasan bercakap atau mengeluarkan pendapat atau menulis dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sering dilihat tidak konsisten dan malah retorik semata-mata.

Tentang keadilan dan demokrasi, siapakah yang mungkin tertandingi keadilan dan demokrasi Islam, sepeti contoh ini : Ketika ajal sudah begitu hampir mendatangi Rasulullah s.a.w., Baginda lalu naik ke atas mimbar dan bersabda:

          “Wahai manusia, barangsiapa yang pernah aku rotan belakangnya, maka inilah belakangku, rotanlah aku.”

 

Tentang kebebasan bercakap (bersuara) atau mengeluarkan pendapat pula, siapakah yang mampu mengatasi kebebasan seperti yang ditunjukkan oleh riwayat ini:

Pada suatu hari sedang Saidina Umar bin al-Khattab r.a berjalan-jalan di sekitar Madinah dengan menaiki tungganggan, tiba-tiba beliau terserempak dengan seorang perempuan bernama Khaulah binti Malik. Perempuan ini berkata keapdanya  yang bermaksud:

       “Takutlah engkau kepada Allah, wahai Umar! Adapun di era jahiliah dahulu, engkau cuma Umar yang kecil (orang biasa) dan seleaps Islam, baru engkau betul-betul Umar.  Kemudian hari ini, engkau adalah Amirul Mukminin. Ketahuilah wahai Umar! Barangsiapa yang takut akan hisab (perhitungan hari pembalasan), orang itu pastilah dia telepas dari azab Allah, dan barangsiapa yang takut akan (fitnah) mati, sudah pasti dia itu takut akan kehebatan Allah (dan azab-Nya) di dalam neraka.”

 Mendengar ini, seseorang yang ada hadir di situ berkata kepada Umar : Wahai Amirul Mukminin, adakah (perlu) bagi tuan untuk mendengar cakap seorang perempuan?.

Dalam makna tersirat, apalah mustahaknya untuk mendengarkan cakap perempuan ini? Dia cuma perempuan biasa, berbanding Umar, Amirul Mukminin.  Layakkah perempuan biasa menasihati Amirul Mukminin?

Mari lihat respons Umar dalam insiden ini, apa katanya? Mari kita dengarkan baik-baik dan kita juga mengajak sekalian pendukung dan aktivis hak asasi manusia untuk sama-sama mendengarnya. Berkata Umar, menjawab:

“Demi Allah, kalaulah perempuan ini terus mahu bercakap kepadaku walau sepanjang hari,nescaya aku tidak meninggalkannya kecuali untuk sembahyang sahaja, kemudian selepas itu aku akan balik kepadanya (untuk mendengarkan terus nasihatnya).”

 Lihatlah, siapakah pemimpin dan pendukung hak asasi dalam dunia ini yang boleh menyamai Umar atau mengalahkannya dalam perkara mengamal dan menghormati hak kebebasan bersuara?

Demikian juga dari sudut “perikemanusiaan” saya ingin memetik titah Sultan Brunei Darussalam sempena Awal tahun HIjrah 1435, titah baginda: “Human Rights orang lain, jika kuda mereka sakit, mereka tembak.  Tetapi Human Rights kita orang-orang Islam, jika binatang peliharaan kita sakit, kita tidak boleh bunuh tetapi rawat. Manakah yang lebih berperikemanusiaan, membunuhkah atau merawat?”

Oleh HAJI AWANG ABDUL AZIZ JUNED

YANG BERHORMAT PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA DR. USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED ialah Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply