HALAUKAN PEPIJAT BUKAN BAKAR KELAMBU

Penubuhan kerajaan Perikatan Nasional mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia terlahir daripada sebahagian doa rakyat Malaysia yang merasakan kerajaan PH tidak sesuai memerintah untuk tempoh yang lebih lama lagi atas tindakan menipu dan membohongi rakyat.

Sepanjang 22 bulan memerintah, rakyat Malaysia kesal dengan kehilangan begitu banyak aset yang dikumpulkan oleh GLC dan GLiC.

Namun, kemarahan rakyat Malaysia tiba di kemuncaknya apabila aset milik TH dipindahkan kepada sebuah syarikat (SPV) di bawah Khazanah. Jumlah aset yang digadai itu sekitar RM 20 bilion atas alasan tidak ada kaitan dengan ‘peranan asal’ dan TH berhadapan masalah tunai. Bertahun-tahun TH dipersalahkan kerana membayar dividen di luar kemampuan kewangan dan kerana itu, proses rekaliberasi perlu dilaksanakan. Ia dilakukan dengan jayanya setelah mendapat kelulusan Menteri Agama yang terkenal dengan ketokohan dalam bidang maqasid syari’ah.

Gadaian itu menyebabkan TH boleh membayar dividen kepada pendeposit dengan terlalu ‘lumayan’ rendah kadarnya dalam sejarah TH. Tidak cukup setakat itu, lebih separuh aset milik TH Plantations dijual kepada syarikat dan individu bukan Islam. Perihal itu memperlihatkan ada permainan politik berlaku dalam kerajaan PH, iaitu untuk mengurangkan ekuiti ekonomi syarikat-syarikat milik Melayu-Islam.

Mohamad Sabu yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan turut melakukan perkara yang sama apabila membenarkan Bousted menjual sebuah hotel miliknya di kawasan segi tiga emas Kepad sebuah syarikat dari Singapura. Hotel Royal Chulan sudah bertukar milik manakala Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meluluskan pengurusan dan pemilikan sistem pemantauan had laju kenderaan (AES) yang dimiliki oleh sebuah lagi anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera kepada Jabatan Pengangkutan Jalan. Penghapusan itu telah mengurangkan sumber pendapatan LTAT dan penjualan Hotel Royale Chulan menjadikan aset strategik kepunyaan syarikat tempatan semakin mengecil.

Dari segi keharmonian hidup sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum, kerajaan PH juga telah gagal. Penguasaan bukan Melayu dalam pentadbiran politik menjadi lebih dominan sehingga PH didakwa dikawal oleh bukan Melayu sama ada daripada ultra-kiasu (istilah Dr Redhuan Tee Abdullah) Cina dan India manakala pemimpin-pemimpin Melayu daripada PAN hanyalah tempelan agenda besar DAP. PAN dikatakan sebuah parti pada peringkat awal mendapat sokongan daripada DAP apabila kumpulan yang kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS penasaran.

Ia menjadi lebih menarik minat DAP apabila PAS dengan tegasnya tidak lagi boleh berkompromi dengan budaya politik DAP yang ingin mengongkong, lantas membuat keputusan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat bakal berakhir. Seperti diketahui umum, bekas pemimpin PAS yang kecewa itu menubuhkan PAN dengan matlamat menjadi oengganti kepada PAS dan menjadi saluran politik bagi ahli-ahlj PAS yang tidak bersetuju dengan pengembalian kepimpinan ulama dalam parti yang berideologikan Islam itu.

Hubungan antara kaum menjadi sedikit tegang apabila semakin ramai mempersoalkan isu secara terbuka. Kedudukan bukan Melayu yang lebih besar dalam barisan kabinet menjadikan apa sahaja perkara yang berkaitan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan niat mengubah statusquo yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia. Bukan sahaja institusi Islam dihina atau dikecam bahkan kewajarannya diletakkan dalam kerangka negara mahu dirombak.

JAKIM didakwa tidak berperlembagaan. Peruntukan pembangunan akidah Muslim dilihat tidak sepatutnya dibelanjakan daripada wang pembayar cukai. Rumah-rumah ibadat agama lain wajar dibiayai oleh kerajaan sebagaimana kerajaan membiayai pembangunan masjid dan sekolah-sekolah agama. Sekolah agama, termasuk tahfiz didesak agar dimansuhkan kerana dilihat menyuburkan nilai-nilai ekstremisme.

Raja-raja Melayu turut dikritik bahkan budi bicara Sultan atau Yang Di Pertuan Agong ditafsirkan sebagai satu bentuk campur tangan. Misalnya, keputusan Sultan Perak tidak menerima wakil rakyat DAP dilantik sebagai Menteri Besar atas peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dipersalahkan oleh Karpal Singh sehingga mrmbawanya ke mahkamah. DAP mencabar kuasa budi bicara itu kerana perkenan baginda Nizar Jamaludin dilantik sebagai Menteri Besar walaupun PAS memiliki kerusi DUN lebih sedikit daripada DAP.

Doa Muhyiddin

Ketika YDPA memilih Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi menggantikan Dr Mahathir yang meletakkan jawatan, kuasa budi bicara tersebut turut dipersoalkan. Kerajaan pimpinan Muhyiddin dimomokkan sebagai kerajaan pintu belakang. istilah pintu belakang jelas sebagai satu tindakan mempersendakan kuasa budi bicara YDPA walaupun sebelumnya baginda mendapat restu daripada Majlis Raja-Raja dan yakin dengan pengakuan daripada semua wakil rakyat siapakah yang layak dilantik sebagai PM ke-8. Dalam pengakuan tersebut, baginda memperoleh jawapan bahawa Muhyiddin mendapat ‘kepercayaan majoriti’ dan pada 1 Mac 2020, upacara angkat sumpah dilakukan.

Sejak itu, politikus terlucut kuasa meneruskan tabiat meroyannya. Mereka turun ke gelanggang meracau seperti lelaki gila talak dengan mengasak serangan dan memomokkan istilah kerajaan pintu belakang. Mereka turut meminta agar diadakan sidang PARLIMEN khas untuk mengesahkan peroleh kepercayaan majoriti.

Desakan tersebut menjadi sedikit kendur apabila Muhyiddin menetapkan tarikh baru permulaan Sidang PARLIMEN ialah 18 Mei 2020.

2 Korban masa

Ketika menerima tanggungjawab tersebut, wabak COVID-19 sudah pun menjadi semakin serius. Dalam tempoh pentadbiran PM interim, berlangsungnya Ijtimak Tabligh di Sri Petaling yang kemudiannya menjadi kluster terbesar positif COVID-19. Penularan wabak ini sudah dikesan sejak awal Januari 2020 tetapi kerajaan PH melihatnya sebagai satu masalah kecil dan terpencil. Cukup sekadar mengkuarantinkan mereka yang positif dan kemasukan pelancong tidak wajar disekat. Ekoran sikap dan pendirian tersebut, penularan wabak COVID-19 bertambah serius sehingga Muhyiddin mengambjl langkah drastik menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP disanggah keras oleh politikus terlucut kuasa dan penyokong-penyokongnya sama ada berlindung atas pentas kepentingan ekonomi ataupun kepentingan politik. Atas kepentingan politik, politikus terlucut kuasa tidak ada peluang untuk melancarkan serangan secara turun padang ke atas Perikatan Nasional untuk mewajarkan istilah kerajaan pintu belakang.

Sebagai politikus terlucut kuasa atau poli-tikus, mereka tidak tumpul akal untuk mencari apa sahaja peluang bagi mengkhianati kerajaan Perikatan Nasional. Imej kerajaan Perikatan Nasional semakin cemerlang dan dalam tempoh yang singkat membuktikan keupayaannya untuk menguruskan hal ehwal serta kepentingan rakyat. Berbeza dengan kerajaan PH yang hanya tahu meminta rakyat berkorban bagi membantu pemulihan ekonomi negara. Rakyat diminta untuk melupakan ‘bantuan kerajaan’ dan seterusnya ‘mengikat perut’. Kerajaan PN tidak mengambil pendekatan tersebut, sebaliknya memulakan inisiatif mengurangkan tekanan rakyat apabila dilaksanakan PKP.

Kepada golongan pekerja, subsidi upah diperkenalkan bagi membantu majikan yang tidak dapat menjana sumber kewangan sepanjang tempoh PKP dengan syarat tidak meminta pekerja meletakkan jawatan, diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji dan memotong cuti tahunan. Dalam kalangan B 40, mereka diberikan bantuan kewangan dan mula disalurkan pada 6 April lalu.

anwar mabuk ketum

Ketika pakej ransangan ekonomi diumumkan, poli-tikus semakin galak mengecam PN dengan memperlekehkan sumbangan tersebut. Kedengaran pula cadangan bernas daripada PM menanti yang sudah kecewa sebanyak tiga kali (1998, 2008 dan 2020), “jika saya Perdana Menteri, saya akan lakukan lebih banyak’ dan ‘walaupun saya bukan Perdana Menteri’ tidak akan meminggirkan rakyat. Seruan itu bukan sahaja dilihat sumbang bahkan dikategorikan sebagai pembohongan nyata berdasarkan faktor sejarah.

Tahun 2007, bakal Perdana Menteri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak apabila Pakatan Rakyat menang. Setelah itu, mentera tersebut tidak ditunaikan walaupun pada tahun 2018, Pakatan Harapan menang. Video yang dirakamkan ketika it uterus diulang-ulangkan dan dalam kenyataan-kenyataan selepas itu, sedikit pun tidak diberikan alasan wajar kenapa janji tersebut tidak dapat ditunaikan.

PH harapan dibenci oleh rakyat kerana memperolok-olokkan janji sendiri. Apa yang ditulis dalam Buku Pakatan Harapan tidak dilaksanakan dengan alasan terpaksa menanggung beban dan hutang yang besar, semuanya dipersalahkan kerajaan terdahulu. Momokan itu akhirnya ‘pecah dan mengeluarkan nanah’ sebaik sahaja kerajaan PH terlucut kuasa.

Jumlah hutang yang dikatakan mencecah lebih RM 1 trilion tidak benar. Ketika kerajaan terdahulu jatuh, jumlah hutang yang direkodkan secara rasmi ialah RM 686 dan dalam tempoh 22 bulan, ia bertambah lagi lebih RM 130 bilion. Kini, rakyat mempersoalkan ke manakah wang yang dikumpulkan dalam Tabung Harapan dibelanjakan. Tujuan asalnya ialah untuk membantu mengurangkan hutang negara, tetapi, jumlah hutang terus meningkat.

Menariknya lagi ialah Menteri Kewangan PN memberitahu, kerajaan tidak perlu berhutang untuk berbelanja bagi menjayakan Pakej Ransangan Ekonomi. Terkeluar daripada mulut Dr Mahathir, kerajaan mempunyai simpanan tunai RM 2 trilion. Maknanya, kenyataan bahawa kerajaan PH tidak dapat menunaikan janji disebabkan tidak ada wang adalah satu pembohongan besar.

Gong Ends

Pakej Ransangan Ekonomi dikritik tanpa kewajaran yang munasabah. Presiden PAN mengatakan, kerajaan hanya berbelanja RM 25 bilion manakala RM 200 bilion lagi adalah daripada penangguhan bayaran pinjaman yang dipersetujui oleh bank-bank perdagangan, penangguhan bayaran TEKUN, PTPTPN, bayaran sewa premis dan sebagainya. Namun, pandangan Mohamad Sabu itu disanggah kerana beliau bukanlah seorang yang boleh dianggap dapat memahami ekonomi asas yang baik, dirinya hanyalah seorang badut politik yang semakin teruja aset tentera dan pembentukan imej.

Tidak ada pembaharuan yang dilakukan sepanjang menjadi Menteri Pertahanan, kecuali menyisihkan kedudukan LTAT dan menyelongkar fail-fail lama mengenai ‘land swap’. Itu pun dilakukan separuh jalan apabila pendedahannya  turut merakamkan peranan bekas Menteri Pertahanan (Syed Hamid Albar, yang kini adalah anggota dalam PPBM) dan Dr Mahathir (Perdana Menteri ke-4 dan PM yang melantiknya sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet Malaysia Baru).

Ketika PKP memasuki minggu ketiga, Lim Kit Siang terus mendesak agar peruntukan yang dicadangkan bagi menjayakan Pakej Ransangan Ekonomi dibincangkan dalam Sidang Khas Parlimen. Bagi Lim Kit Siang gesaan itu adalah kerana PN perlu memperoleh persetujuan Parlimen terlebih dahulu sebelum boleh berbelanja.

Lim Kit Siang ‘buat-buat lupa’. Dalam keadaan kecemasan, ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kerajaan berbelanja terlebih dahulu dan mendapatkan persetujuan Dewan Rakyat sebaik sahaja krisis itu selesai. Bahkan, pada tahun 2019, Lim Guan Eng turut membawa perbekalan perbelanjaan tambahan untuk diluluskan oleh Dewan Rakyat setelah membelanjakan wang sebanyak RM 19.6 bilion pada tahun 2018, melebihi daripada jumlah peruntukan dalam Bajet 2018 yang diluluskan oleh BN pada penghujung tahun 2017. Soalnya, kenapakah ketika itu perilaku tersebut tidak dikatakan melanggar peraturan atau bukan tadbir urus yang baik?

Lebih meloyakan ialah apabila bekas Menteri Agama, Mujahid Yusuf Rawa mengulas mengenai sumber kewangan yang digunakan untuk Pakej Ransangan Ekonomi. Bagi beliau, pakej tersebut seumpama bedak ghinamah yang tidak sepatutnya dibelanjakan oleh PN. PN telah mengambil wang kerajaan PH, seolah-olah harta rampasan perang.

Mujahid terlupa, jika benar RM 2 trilion wang terkumpul, dari manakah PH memperolehinya? Apakah PH boleh dianggap mempunyai sentuhan tangan ajaib atau midas touch dalam masa 22 bulan berjaya menyimpan RM 2 trilion? Rakyat sudah faham permainan politik PH, kalaupun berjaya disimpan oleh PH dalam tempoh 22 bulan, ia tidak sebesar itu.

kes terpencil

Rakyat bukan boleh diperbodohkan sebagaimana Mujahid memperbodohkan orang Melayu tentang persetujuan Dong Zong mengenai tulisan Jawi atau alasan mempertahankan Wendy Wong menghina Nabi Muhammad SAW sebagai ‘kes terpencil’. Dianggarkan tidak kurang 80 peratus simpanan berjumlah RM 2 trilion itu adalah hasil kecekapan Najib menggerakkan ekonomi negara dan melenyapkan penguasaan kroni dalam program kerajaan.

Ia seperti kisah 1MDB yang diputarbelitkan mengenai jumlah hutang. Tanpa dikecualikan bahawa 1MDB bermasalah (diakui ada masalah ketidakcekapan pengurusan dan kelicikan penipuan Jho Low), entiti pelaburan tersebut mempunyai aset yang lebih besar daripada nilai hutang. Dari perspektif perniagaan, jika aset lebih besar daripada tanggungan, ia menunjukkkan suatu kelebihan besar, bukannya seperti teori ekonomi Mujahid, menyerahkan aset TH kepada SPV yang ditubuhkan khas oleh Khazanah Holdings.

Lim Guan Eng pada suatu ketika pernah mengakui bahawa projek-projek dibawah kendalian 1MDB berdaya maju, termasuklah pembinaan Bandar Malaysia dan TRX Exchange. Sebenarnya, 1MDB diserang kerana didalamnya tidak terdapat kroni Dr Mahathir dan projek janakuasa bebas telah dibeli oleh 1MDB. IPP ditubuhkan bagi memperkayakan kroni Dr Mahathir dengan menggunakan alasan mengelak daripada ‘grid pembahagian elektrik terpelantik’ sebagaimana berlaku pada tahun 1990-an.

Memoir Ani Arope

Dalam perkembangan yang lain, terpelantiknya grid pembahagian elektrik sehingga menyebabkan seluruh negara bergelap adalah satu ‘tindakan sabotaj’ terhadap TNB, dan strategi untuk menjayakan projek penswastaan tenaga elektrik. Apa tidaknya, TNB dipaksa untuk membeli setiap unit dengan harga RM 0.21 sen sedangkan kos sebenar yang boleh dikeluarkan oleh janakuasa TNB ialah RM 0,08 sen. Pengurusan Janakuasa Bebas (IPP) pernah dikritik oleh Lim Kit Siang pada tahun 1990-an, dan menjadi punca pengunduran Tan Sri Ani Arope sebagai CEO TNB. IPP turut memaksa kerajaan memberikan subsidi sumber tenaga untuk menggerakkan janakuasa. Ini bermakna, IPP memperoleh keuntungan besar daripada kehendak dasar penswastaan Dr Mahathir semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ke-4.

Tentunya, PN mempunyai kelemahan dalam keadaan terpinga-pinga untuk berhadapan dengan krisis besar yang belum pernah berlaku. Tetapi, disebabkan sebahagian besar barisan kabinet adalah mereka yang professional dan berpengalaman, situasi itu dapat ditangani dengan baik. Hanya terdapat sedikit ‘tindakan kurang menarik’ daripada tiga orang menteri PN yang boleh dianggap masih bertatih. Biarpun Rina Harun sudah berada dalam kabinet PH selama 21 bulan, beliau belum memahami peranannya dengan baik. Ketika dalam PH, beliau begitu ‘gila publisiti’ sehingga bantuan persekolahan daripada MARA ditampal potret sendiri, termasuk surat ucapan tahniah kepada para pelajar cemerlang UPSR.

Dr Noraini Ahmad juga patut peka dengan situasi PKP dan bukan galak menganjurkan peraduan video pendek tik tok. Seharusnya, beliau menumpukan perhatian bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sektor pengajian tinggi dan penyelesaian kepada kemelut bayaran balik pinjaman PTPTN. Dua kali beliau melakukan kesilapan dalam tempoh PKP. Pertama ialah kawalan pergerakan mahasiswa apabila PKP diperkenalkan. IPT membuat tafsiran sendiri, tidak membenarkan pelajar menjalani PKP di asrama dan akhirnya menyebabkan stesen bas sesak teruk pada malam 17 Mac 2020. Sepatutnya, sebaik sahaja mengetahui PKP akan dilaksanakan, beliau mengeluarkan arahan kepada semua IPT agar membenarkan para pelajar tinggal di asrama dan melarang pulang kampong. Ia hanya dibuat setelah kekecohan terjadi. Ia bertambah kecoh apabila menganjurkan peraduan video tik tok bagi menghilangkan ‘emosi terperuk’ akibat PKP.

Cadangan bodoh ketiga ialah daripada Menteri Kesihatan berkaitan minum air panas untuk membunuh virus COVID-19. Cadangan tersebut mendapat kritikan daripada pakar perubatan, manakala Dr Adham Baba selepas itu seperti ‘dikuarantinkan’ daripada mengendalikan sidang media perkembangan COVID-19. Tempatnya diambil alih oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Situasi itu mengingatkan kita kepada kepada Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia ketika mengendalikan Sidang Media kehilangan MH 370. Akibat penerangan yang disampaikan menimbulkan interpretasi dan kemarahan awam, Menteri Pengangckutan ketika itu, Hishamudin Hussein mengambil alih peranan sebagai jurucakap.

KKM jawab dr Musa

Hishamudin berjaya membina imej yang menarik sepanjang mengendalikan kes tersebut. Begitu juga Dr Noor Hisham yang bukan sahaja tenang dan begitu professional dalam menjawab isu-isu berkaitan COVID-19, bahkan mampu meningkatkan moral pasukan KKM terutama barisan hadapan dalam menangani wabak yang tidak diundang itu.

Tidak bermakna ‘idea bodoh’ daripada tiga orang menteri ketika PKP berlangsung itu menyebabkan rakyat mengambil inisiatif membakar kelambu. Rakyat hanya menggesa agar menteri-menteri dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik, dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan bodoh sebagaimana berlaku dalam kerajaan PH selama 22 bulan.

 

PH sudah menjadi sejarah ‘kerajaan yang paling poyo’ dan PN jangan pula menyambung kepoyoan itu sehingga rakyat benci dan meluat. Kekalkan keyakinan yang diterima sebaik sahaja PN dibentuk, rakyat melihat ia adalah satu hal yang lebih besar bahawa PN mampu mengembalikan situasi politik bernuansa Melayu-Islam berbanding PH yang lebih berpihak kepada bukan Melayu.

Cara Perdana Menteri ke-8 memulakan perutusan khas dengan doa disambut baik oleh rakyat. Doa itu adalah satu kelebihan yang jelas daripada Perdana Menteri ke-8, kerana meminta pertolongan Allah SWT agar negara selamat dan rakyat terus bersemangat untuk menghadapi dugaan ini. Rendah diri itulah petunjuk bahawa Allah SWT adalah berkuasa di atas segala-galanya, manakala sebagai manusia, kita hanyalah berikhtiar mengatasi musibah. Ia berbeza dengan perangai dan budaya kepimpinan PH, sombong, angkuh dan lebih bijak daripada orang lain. Setiap hari menyalahkan orang lain, akhirnya ditakdirkan tersungkur dengan kemelut ‘peralihan kuasa’ tanpa nokhtah.

Kalaupun marahkan ‘tiga orang menteri’ tersebut, kita tidak perlu membakar ‘kelambu’ yang ada. Kelambu itulah telah dan sedang melindungi kita. Apa yang perlu dilakukan ialah menyingkirkan pepijat itu kalaupun tidak berupaya ‘membunuh’nya. Jangan mengulangi kesilapan PH, enam bulan pertama ‘masih belajar’ dan selepasnya ‘masih belum menguasai apa yang dipelajari’ kerana masing-masing berkata “LADA” itu ‘sambal’, ‘sos’ ataupun ‘tom yam’ setelah terasa pedas dicabai oleh rakyat atas kegagalannya menunaikan janji.

Kamarun KH

#StayAtHome

 

No Comments

    Leave a reply