Hamas kata PA akan kenakan sekatan baharu ke atas Gaza

GAZA, 8 Safar 1440H, Rabu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menjangkakan Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbad akan mengenakan sekatan baharu ke atas Semenanjung Gaza.

Anggota Biro Politik Hamas, Mosa Abu Marzoq berkata, dari segi politik ianya agak sukar buat Mahmoud untuk tidak melaksanakan sekatan terhadap Semenanjung Gaza.

Beliau berkata, Mahmoud tidak boleh melaksanakan sekatan baharu semata-mata kerana perjanjian ekonomi dan keselamatan antara rejim Israel dan PA, di mana Presiden Palestin itu tidak boleh menarik diri.

“Jika Mahmoud Abbas menguatkuasakan sekatan baharu di wilayah yang terkepung ini, bermakna dia tunduk kepada kepentingan rejim Zionis dan pemisahan Tebing Barat daripada Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak Mac tahun lalu, PA mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas, termasuk memotong gaji kakitangan kerajaan di Gaza, dan mengehadkan bekalan bahan api.
Sementara itu, Hamas mengutuk tindakan rejim pengganas Israel kerana menutup sebuah sekolah di Nablus, Tebing Barat, dan menyifatkannya sebagai langkah membuli rakyat Palestin serta jenayah terhadap institusi pendidikan.

Seorang pemimpin kanan Hamas, Abdel Rahman Shadid berkata, tindakan itu adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap hak kanak-kanak dan remaja Palestin untuk belajar.

“Penutupan sekolah itu jelas menunjukkan rejim Israel berhasrat untuk mengawal dan menduduki sepenuhnya wilayah Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru komuniti antarabangsa, kumpulan hak asasi manusia dan media untuk sama-sama bertanggungjawab mendedahkan jenayah yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin. – Agensi

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply