Terdahulu, jenazah Allahyarham yang diiringi ibu bapanya, Mohd. Kassim Abdul Hamid dan Asma Aziz tiba di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tebengau menaiki helikopter Mi17-iv dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang.

Dianggarkan kira-kira 1,000 penduduk tempatan dan orang ramai yang menunggu sejak pukul 8 pagi tadi di dalam dan luar kawasan sekolah itu, menyaksikan ‘kepulangan’ Muhammad Adib yang disahkan meninggal dunia malam tadi.

Sebaik tiba di sini, jenazah kemudian dibawa masuk ke dalam van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus dibawa ke kediaman ibu bapanya di Kampung Tebengau yang terletak kira-kira satu kilometer dari sekolah itu.

Jenazahnya diuruskan mengikut istiadat kebombaan dengan seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian uniform JBPM lengkap bersongkok mengiringi sehingga ke rumah ibu bapanya untuk penghormatan terakhir.

Jenazah ditemani ibu, bapa dan tunangnya diterbangkan dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Subang, Selangor pada 7.55 pagi tadi.

Setelah 21 hari bertarung nyawa akibat cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu, Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN). – UTUSAN ONLINE