HANYA KEPENTINGAN KEKAL DALAM POLITIK

Ketika ini, politik Malaysia diwarnai dengan ‘peperangan ideologi’ untuk menentukan parti manakah yang bakal memerintah sebaik sahaja selesainya proses pengiraan undi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Berdasarkan tempoh kuat kuasa pemerintahan, mandat PRU 13 akan berakhir bulan Jun 2018 dan kiraan itu bukan berasaskan tarikh PRU 13 diadakan (3 Mei 2013), ia dikira pada tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertamanya selepas pembentukan kabinet.

Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-13 telah dirasmikan pembukaannya oleh Yang di Pertuan Agong pada 25 Jun 2013. Ini bermakna selepas 25 Jun 2018, Dewan Rakyat atau mandat yang diperoleh Barisan Nasional dalam PRU 13 akan gugur dengan sendirinya walaupun parti yang memerintah tidak membubarkannya sehingga tarikh terakhir.

Berdasarkan senario ini dan pengalaman sejarah pilihan raya di Malaysia, ramai pihak mengjangkakan PRU 14 akan diadakan lebih awal – paling awal ialah akhir suku pertama (Mac) dan awal suku ketiga (Julai atau Ogos) 2017 –kerana UMNO sudah ‘memalukan gendang pilihan raya (PR)’ ketika Persidangan Agong UMNO (PAU) yang diadakan pada 29 November hingga 3 Disember lalu.

Semasa berbahas dan berbincang mengenai isu-isu yang melengkari parti, seluruh perwakilan memberikan keyakinan bahawa UMNO akan terus mendominasi politik Malaysia berdasarkan beberapa faktor dan tindakan mendekati pengundi bagi meneruskan kesinambungan politik ‘memperkasakan orang Melayu dan Islam’ walaupun beberapa parti pembangkang berusaha keras untuk menumbangkan Barisan Nasional.

Beberapa hari sebelum PAU 16 diadakan, empat orang ahli akademik bergabung tenaga menulis rencana politik, yang kemudiannya diterbitkan dengan tajuk The End of UMNO?: Essays on Malaysia’s Dominant Party dan dilancarkan pada 28 Oktober 2016 oleh veteran politik UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Buku tersebut membawa naratif UMNO dalam tempoh 70 tahun (1946-2016) yang mengalami pelbagai pasang-surut dan cabaran dalaman sehingga terjadinya perpecahan (1987) serta pengharamannya (1988) akibat ‘kekecewaan kumpulan Team B’ memfailkan pengingkaran UMNO sendiri dalam memilih para perwakilannya ke PAU 1987, dari cawangan-cawangan yang belum disahkan penubuhannya. (Bridget Welsh (penyunting), The End of UMNO?:Essays on Malaysia’s Dominant Party, P.Jaya:SIRD, 2016)

Selepas UMNO (baru) ditubuhkan dan berjaya menguasai semula aset UMNO, kepimpinan Dr Mahathir yang dianggap lantang mengkritik barat dan menjadi Perdana Menteri yang paling lama dalam sejarah politik Malaysia (22 tahun) iaitu dari 1981-2003, penyingkiran dan pemberhentian tiga orang Timbalan Perdana Menteri (Tun Musa Hitam 1986, Tun Ghafar Baba 1993 dan Anwar Ibrahim 1998), dilihat sebagai permulaan politik wang dan penguasaan golongan korporat,  sehingga UMNO tidak lagi mampu membedah  dan melihat ‘blind spot’, yang akhirnya mempengaruhi pencapaian Barisan Nasional dalam dua pilihan raya terakhir (PRU 12 dan PRU 13).

PRU 12, BN tewas di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan gagal ‘merampas’ Kelantan. Di peringkat Parlimen, BN hanya mampu meraih 140 kerusi dari 222 kerusi yang dipertandingkan sehingga keputusan itu dilihat sebagai ‘permulaan sistem politik dua parti’ dan kehilangan majoriti dua pertiga. PRU 13 memberikan sedikit kelegaan kepada BN apabila berjaya ‘merampas Kedah’ dan kekal di Perak (pakatan pembangkang hanya mampu memerintah selama 11 bulan –Mac 2008 hingga Februari 2009) walaupun kedudukan di Dewan Rakyat berkurangan kepada 132 kerusi. Prestasi lainya, BN dikejutkan buat pertama kalinya mempunyai undi popular lebih rendah daripada pakatan pembangkang walaupun melepasi tahap minimum keperluan membentuk kerajaan di Dewan Rakyat. Kemerosotan itu sebenarnya disebabkan ‘kekuatan pengaruh pakatan pembangkang’ dan penyepaduan ‘harapan ke Putrajaya’ yang dibentuk menerusi tahaluf siyasi (16 Jun 2015) walaupun selepasnya ia ‘pecah berderai’ akibat penyingkiran PAS selepas empat bulan kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat (10.1.1931-12.2.2015).

Kemerosotan ‘undi popular’ dan ‘penafian dua pertiga di Dewan Rakyat’ ditambah dengan penyingkiran 3M –Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie Afdal dan Mukriz Mahathir-dijangka menjadi ‘amaran keras’ kepada UMNO untuk memperbaiki kelemahan dan memperkuat solidariti  jika tidak mahu kehilangan dominasinya dalam politik Malaysia. Bagaimanapun kelemahan-kelemahan dalam UMNO dan kecenderungan analisis ahli akademik berspekulasi telah menimbulkan ‘keraguan ilmiah’ oleh seorang ahli akademik tempatan dan ‘berniat jahat’ (baca, Dr Kamarul Zaman Yusoff,  “ Agenda jahat penulis ‘The End of UMNO?’, Berita Harian, 3 Disember 2016).

Kisah ‘petualangan’ politik Malaysia turut disorot oleh Tun Musa Hitam dalam memoarnyaFrankly Speaking selepas lebih 30 tahun ‘berdiam diri’ menyifatkan kepimpinan Tun Dr Mahathir adalah ‘lebih teruk’ termasuklah alasan-alasan ‘tidak bersalah’ terhadap beberapa insiden yang berlaku. Tun Musa mendedahkan ketika Tragedi Memali, Tun Dr Mahathir sebenarnya ‘berada dalam negeri’ dan bukannya ‘di luar negara’.

Alasan itu hanyalah cara Dr Mahathir ‘mengkambinghitamkan’ anggota kabinetnya, termasuklah Tun Musa Hitam yang ketika itu diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri. Tentunya pendedahan ini bakal menjadikan ‘usaha memujuk PAS untuk bekerjasama dalam Pakatan Harapan’ akan menjadi lebih sulit.

Tun Abdullah Ahmad Badawi turut memberikan senario ‘kemarahan Tun Dr Mahathir’ setelah enggan untuk meneruskan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor dalam biografinya yang ditulis oleh bekas pengarang veteran akhbar The Star, Datuk Wong Sulong (baca, Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography) yang dilancarkan oleh Sultan Nazrin Shah pada 31 Oktober 2016. Sekurang-kurangnya ada tiga isu yang diserang oleh Dr Mahathir bagi memaksa Tun Abdullah meletakkan jawatan yang turut disokong secara senyap oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya menyebelahi Tun Dr Mahathir selepas dipecat dari barisan kabinet Datuk Sri Najib Razak pertengahan 2015.

Antara isu yang menjadi serangan ialah: (1) keengganan Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meneruskan dasar dan projek pembangunan yang diputuskan oleh Tun Dr Mahathir di akhir pentadbirannya; (2) Dr Mahathir mendakwa pentadbiran Tun Abdullah dibayangi oleh ‘pengaruh anak dan menantu; (3) kepimpinan Tun Abdullah yang ‘lembik dan hilang arah’; (4) keputusan PRU 11 membuktikan sokongan terhadap Abdullah adalah lebih baik dari apa yang diraih oleh Dr Mahathir ketika menerajui BN; (5) pemberian kenaikan gaji penjawat awam yang besar (13 peratus) sedangkan Dr Mahathir sepanjang pentadbirannya memberikan tekanan menerusi Sistem Saraan Baru (SSB) sebelum digantikan dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM); (6) akses media yang terhad; (7) keengganan Tun Abdullah ‘mencampuri’ urusan mahkamah dan sistem kehakiman bagi ‘menghalang pembebasan Anwar’; (8) pembabitan keluarga Tun Abdullah  dalam doktrin ‘minyak untuk makanan’ Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap Iran; (9) aktiviti perniagaan yang membabitkan Patrick Lim, rakan niaga anak lelaki Tun Abdullah terhadap urusniaga tanah kepunyaan Penang Turf Club walhal Dr Mahathir pernah melakukan ‘aktiviti seumpama’ itu kepada Ananda Krishnan bagi membolehkan pembangunan Menara Berkembar Petronas; (10) Abdullah berusaha memperbaiki hubungan Malaysia-Singapura sedangkan Dr Mahathir seperti ‘berkonfrontasi’ dan enggan berbincang dengan Perdana Menteri Singapura ketika itu, Lee Kuan Yew; (11) Tun Abdullah tidak memberikan layanan istimewa kepada usahawan yang mendapat layanan istimewa oleh Dr Mahathir apabila berhasrat untuk memperoleh lessen judi dalam talian; (12) pemecatan Tengku Mahaleel dari Proton dan penjualan syarikat pemotoran Agusta dengan harga satu Euro (dibeli oleh Proton dengan harga 70 juta Euro bagi memiliki 58 peratus saham); da (13) kes video VK Lingam dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyebabkan Dr Mahathir, Tengku Adnan dan Vincent Tan dikehendaki memberikan keterangan di mana  Tun Salleh Abas (Ketua Hakim Negara yang dipecat oleh Dr Mahathir) turut dilantik sebagai salah seorang anggota.

Serangan Dr Mahathir yang bertalu-talu itu memberikan ‘bola tanggung’ kepada parti-parti pembangkang untuk memperkukuhkan strategi bagi menentang BN dan membolehkan Anwar Ibrahim membentuk ‘kerjasama politik’. Parti-parti pembangkang buat pertama kalinya bersedia ‘mengelakkan bertembung sesama sendiri’ dalam pertandingan menentang BN dan seterusnya merealisasikan strategi ‘satu lawan satu’ dalam PRU ke-12 sehingga membawa kepada kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat. Keputusan PRU 12 juga membuktikan teori yang pernah dikemukakan oleh ahli akademik bahawa ‘BN boleh digugat bila ada kerjasama yang lebih baik dalam kalangan parti-parti pembangkang’ sehingga dilihat politik Malaysia sedang menuju kepada ‘sistem dua parti—BN dan pakatan pembangkang’.

Selepas menyedari ‘ketidakupayaan kepimpinan’ dan ‘desakan politik’, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009 dan Dr Mahathir kemudiannya kembali ke pangkuan UMNO. Terdapat beberapa andaian, berlaku ‘tawar menawar politik antara Najib dan Dr Mahathir’ dan sebagai ‘menghargai kemasukan semula itu’, Mukriz Mahathir diberikan jaminan akan dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN berjaya menumbangkan PAS. PRU ke-13 membuktikan ‘tawar menawar politik’ mencapai kejayaan walaupun kedudukan BN di Dewan Rakyat sedikit merosot disebabkan oleh prestasi kurang baik MCA dan Gerakan.MIC kembali mendapat perhatian masyarakat India manakala pengundi Cina masih tidak boleh menerima semula MCA dan Gerakan walaupun para pemimpin mereka mengeluarkan kenyataan ‘tidak akan menerima sebarang jawatan sekiranya kalah.’Bagaimanapun, keputusan itu hanya mampu bertahan untuk beberapa ketika.

PRK Telok Intan (31 Mei 2014) membawa perubahan dalam penyusunan kabinet selepas jawatan kabinet yang diperuntukkan kepada MCA dan Gerakan ‘dipangku oleh UMNO’ (Hishamudin memangku Menteri Pengangkutan), di mana pada 25 Jun 2014 Perdana Menteri mengumumkan ‘kemasukan semula’ MCA dan Gerakan dalam barisan kabinet (3 Menteri dan 3 Timbalan Menteri. Presiden MCA dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan dan Timbalan Presiden MCA sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri manakala enam Timbalan Menteri ialah tiga naib presiden MCA iaitu Senator Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan), Senator Datin Paduka Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

UMNO dilihat mula mengalami krisis selepas Mukriz tidak berjaya menduduki salah satu tiga jawatan Naib Presiden UMNO (Oktober 2013); Mahathir kembali membuat serangan apabila tindakan Najib untuk meneruskan Mahathirisme tidak kesampaian.Najib memulakan pentadbirannya dengan melaksanakan pelbagai program transformasi dan liberalisasi beberapa sektor ekonomi bagi membolehkan kemasukan lebih banyak pelaburan asing.Mahathir pula masih ‘memerlukan’ sokongan Najib terutama dalam beberapa perkara yang berkaitan projek pembangunan setelah tranformasi ekonomi tidak memberikan ruang kepada tokoh usahawan yang berjaya sebelumnya.Ia menjadi serangan besar apabila munculnya isu 1MDB, yang kemudiannya dikaitkan dengan pembabitan Najib dan diherotkan dengan ‘beban hutang yang besar’ telah menyeret pertelingkahan politik yang besar. Muhyiddin kemudiannya menjadi pengkritik dan ‘menikam Najib’ apabila bersama Dr Mahathir melancarkan serangan.Akhirnya, Muhyiddin dan Shafei Afdal dilucutkan jawatan kabinet (28 Julai 2015) manakala Mahathir mengisytiharkan sekali lagi keluar UMNO (Februari 2016) setelah Mukriz dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah (Januari 2016). Muhyiddin dan Mukhriz dipecat sebagai ahli  UMNO pada 24 Jun 2016 atas masalah disiplin manakala Shafie digantung keahliannya.

Selepas ‘terkeluar UMNO’, Muhyiddin dan Mukhriz menyertai Dr Mahathir untuk mendaftarkan sebuah parti baharu, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) manakala Shafei ‘mengambil alih sebuah parti kecil dan mendaftarkan pertukaran nama kepada Parti Warisan Sabah’ untuk mengambil bahagian dalam PRU 14. PPBM, PKR, PAN dan DAP pada 14 November 2016 mengambil keputusan untuk bergabung dan bekerjasama membentuk Pakatan Harapan Baru, tetapi dalam masa yang sama mengharapkan ‘PAS sedia bekerjasama untuk membolehkan tidak akan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru’. Jika ‘dasar satu lawan satu’ berlaku dalam PRU 14, BN dijangka ‘tergugat’ dan kekuatan parti-parti pembangkang berkemungkinan boleh ‘membentuk kerajaan’ bagi ‘selamatkan Malaysia.’

Setakat ini, PPBM  masih belum menetapkan pembahagian kerusi dalam gabungan baharunya kerana perlu mendapat persetujuan PKR dan DAP. DAP dan PKR dijangka tidak akan mudah mengalah kerana kedua-dua parti yang mendominasi pakatan pembangkang ingin mengukuhkan kedudukan dan juga bercita-cita menguasai kabinet. Bagaimanapun, selepas kegagalan Anwar Ibrahim dalam rayuan untuk membatalkan ‘hukuman penjara selama lima tahun’, penganalisis politik melihat, tokoh yang layak untuk menerajui kabinet ialah Muhyiddin Yassin, yang tentunya tidak akan dipersetujui sebulan suara oleh DAP, PKR dan PAN. PAN tidak mempunyai tokoh besar yang boleh ditonjolkan di peringkat pusat manakala DAP dilihat semakin ‘kurang diterima oleh orang Melayu disebabkan imejnya yang rasis’.

Kehadiran Dr Mahathir sukar diterima dengan baik oleh pemimpin akar umbi DAP walaupun pemimpin atasan mereka boleh bersetuju. Sebab itulah pakatan pembangkang masih mengharapkan penyertaan PAS, kerana kekuatan PAS sebagai parti pembangkang utama dalam kalangan pengundi Melayu sudah lama teruji. Namun, tidak semua penyokong PAS boleh menerima kepimpinan Tun Dr Mahathir, dan juga DAP yang sudah dianggap ‘angkuh dan sombong’ manakala PAN adalah ‘duri dalam daging’. Dilema itu membuatkan kedudukan pembangkang begitu sukar dan usaha untuk memperlihatkan pertandingan ‘satu lawan satu’ semakin jauh kerana PAS tidak akan berkompromi dengan PAN untuk menyerahkan beberapa kerusi tradisinya. PKR juga mungkin tidak akan berkorban untuk PPBM atas ‘dendam’ kepada Dr Mahathir yang ‘memecat’ dan ‘memenjarakan Anwar’. Anwar walaupun tidak dibenarkan bertanding dalam PRU 14, cengkaman pengaruhnya ‘masih ada’ dan masih mampu memberikan arahan secara ‘remote control’ terutama dalam kalangan penyokong PKR.

Penyokong PAS akan terus mempersoalkan kepimpinan parti seandainya ‘bersetuju untuk bekerjasama’ apatah lagi parti yang dinaungi oleh Tun Dr Mahathir menandatangani kerjasama dengan DAP dan PAN. PAN lahir‘dari kekecewaan’ kumpulan ‘parasit’ akibat kekalahan merebut jawatan dalam parti di Muktamar PAS ke-61. PAN adalah serpihan PAS. Begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang lahir akibat ‘kecewa’ apabila disingkirkan dari UMNO sedangkan DAP dilihat sebagai sebuah ‘parti rasis’ dan ‘menyingkirkan PAS dari pakatan pembangkang.’

Ketika Pakatan Harapan menandatangani kerjasama untuk menentang BN secara satu lawan satu dalam PRU 14, PAS tidak menunjukkan keinginannya untuk kembali bekerjasama dengan DAP dan PAN. PAS merasakan ‘sepak terajang politik dengan DAP’ adalah lebih mengecewakan berbanding penyingkirannya dalam BN pada tahun 1977. UMNO dan PAS semakin ‘menghampiri hubungan kerjasama’ setelah UMNO memberikan ‘komitmen’ menyokong tindakan PAS membawa Pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) menerusi Undang-Undang Peribadi di Dewan Rakyat beberapa hari sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan akhir November lalu sedangkan DAP terus menolak dan mentafsirkan ‘cadangan pindaan RUU 355’ sebagai ‘permulaan Hukum Hudud’.

Kemuncak perbalahan DAP dan PAS adalah berkaitan penggantian Menteri Besar Selangor di mana wakil rakyat DAP dan “PAN” mahukan Presiden PKR manakala PAS hanya boleh bersetuju jika Timbalan Presiden PKR dipilih. DAP mengemukakan satu nama sedangkan PAS tidak mengendahkan ‘kehendak DAP” dengan mengemukakan lebih seorang calon. Akibatnya, PAS tidak bersedia untuk menghantar Presidennya ke mesyuarat pakatan pembangkang sebaliknya hanya menghantar wakil. Akibatnya, ada beberapa percubaan ‘langgar Hadi’ dikesan, yang dipelopori oleh kumpulan ‘parasit’ yang kemudiannya ditewaskan oleh kumpulan ulamak semasa pemilihan 2015. PAN seterusnya ditubuhkan untuk menjadi ‘pengganti PAS dalam pakatan pembangkang’ dan sedia bekerjasama dengan DAP.

Episod politik parti-parti pembangkang dilihat sebagai penentu kepada BN dalam PRU ke-14 dan kerana itulah Presiden PPBM sentiasa mengharapkan ‘kemasukan PAS’ serta sanggup ‘beri sedikit masa sehingga tahun depan’. Bagaimanpun, PAS terus bermain dengan beberapa teka-teki, sama ada ‘bergabung semula’ dengan parti pembangkang ataupun bekerjasama dengan BN. PAS sedang meneliti dilemma politik tersebut—kembali bersama pakatan pembangkang bererti ‘sanggup’ diterajang sekali lagi oleh DAP dan menerima semula ‘musuh dalam selimut’ iaitu PAN manakala berada dalam BN akan ‘mengulangi sejarah perit’ ketika disingkirkan—walhal sebelumnya bertekad ‘tidak sanggup dipatuk kali kedua dalam lubang yang sama. PAS hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang ‘menghormati perjuangan’ dan ‘menerima politik Islam’ kerana parti itu hanya boleh hidup dengan mempolitikkan agama.

Budaya politik ‘bersetuju-tidak bersetuju’ sebenarnya sudah lama berakar umbi dalam politik Malaysia sejak parti-parti politik mula membentuk  kerjasama. UMNO lahir daripada kesepakatan pertubuhan kebangsaan Melayu negeri-negeri atas satu tujuan iaitu menentang Malayan Union kerana dilihat sebagai satu percubaan menghapuskan kedudukan Raja-Raja Melayu. PAS muncul dari sayap UMNO kemudiannya ‘tidak bersetuju’ dengan ideologi politik nasionalisme Melayu setelah terpengaruh dengan kebangkitan faham reformasi politik di Timur Tengah selepas Perang Dunia II mahukan ‘negara Islam’ dan meletakkan prinsip perjuangan agama sebagai ideologi politiknya. Bagaimanapun, ‘negara Islam’ tidak lagi kedengaran ketika berada dalam pakatan pembangkang tetapi mempopularkan istilah ‘negara kebajikan’. Negara kebajikan juga menemu kegagalan kerana PAS sebenarnya ‘terhalang’ dan terpaksa ‘akur kehendak DAP’ maka itulah akar umbi mula mempersoalkan dikaji semula tahaluf siyasi sebelum PRU 13.

Selepas PRU 13, kemenangan kerusi oleh DAP bertambah manakala PAS merosot, menyebabkan DAP semakin merasakan ‘dominasi politik’ sehinggalah tidak sanggup menyokong PAS dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak (2015) dan berlaku pertembungan sesama sendiri. Akibatnya, PAS gagal ‘melahirkan anak sulong di Sarawak’ manakala DAP merosot pengaruhnya. BN mencapai kemenangan besar. Ketika dua pilihan raya kecil (Sungai Besar dan Kuala Kangsar), PAN terus meletakkan calon yang disokong oleh DAP untuk ‘menikam PAS’ dan akhirnya calon BN memperoleh majoriti besar. Hakikat inilah yang dibimbangi oleh parti-parti pembangkang, sekiranya berlaku pertembungan tiga atau empat penjuru, kemenangan lebih berpihak kepada BN kecuali beberapa kawasan yang dianggap kubu masing-masing.

PRU 12 (2008) meyaksikan banyak ‘kubu kuat’ BN tewas sehingga beberapa orang menteri dan veteran tewas. Kemungkinan sedemikian juga akan berlaku apabila membabitkan pertandingan tiga atau empat penjuru disebabkan jentera BN adalah lebih mantap dan tersusun sekiranya setiap ahli parti komponen tidak ‘sabotaj’ . Bagaimanapun, komponen BN sendiri masih belum bersedia untuk membuat perhitungan dan ada di antaranya ‘mohon kerusi tradisi’ dikembalikan dan tidak bersedia untuk bertanding di kawasan-kawasan majoriti Cina. MCA sudah menunjukkan ‘keingkaran’ apabila menolak untuk bertanding dalam PRK Bukit Gelugor 2014 dengan memberikan alasan ‘mengkaji krisis yang bakal terjadi atas cadangan PAS melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan’ walhal masalah sebenarnya ialah takaut berhadapan dengan ‘bayangan kekalahan’ setelah DAP mencalonkan Ramkarpal Singh untuk mengisi kekosongan akibat kematian Karpal Singh.

Kematian Karpal Singh akibat kemalangan tentunya memberikan ‘emosi simpati’ kepada calon parti yang memenangi kawasan berkenaan sebagaimana berlaku ke atas Parlimen Batu Sapi, Sabah (2010) dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak (18 Jun 2016).Hubungan rapat dengan penyandang menyebabkan calon memperoleh undi simpati yang besar kerana ‘tragedi’ membawa kelebihan dalam pilihan raya kecil. Bagaimanapun, prestasi pencapain UMNO adalah lebih baik dalam PRU 13 berbanding PRU 12 manakala prestasi Gerakan semakin terhimpit setelah hanya menang dua kerusi Parlimen dan ‘hampir lenyap’ di kubunya sendiri, iaitu Pulau Pinang.

Apa pun boleh berlaku dalam bidang politik kerana politik diberikan pengertian sebagai “seni dan sains pelbagai kemungkinan.” Budaya politik juga begitu; antara ‘kemanusiaan’ dan ‘kebinatangan’.Sebab itulah dunia politik adalah dunia yang serba mungkin dan juga dunia yang serba tidak mungkin. Garis pemisah antara ‘mungkin’ dan ‘tidak mungkin’ kadangkala begitu lebar, ada ketikanya ia menjadi semakin sukar untuk dilihat. Dalam politik, ada pepatah, tiada teman kekal dan tidak juga tidak ada musuh abadi.Namun, yang terus menjadi faktor kekal ialah kepentingan. Tidak mustahil “phobia pengalaman” pada suatu ketika akan berubah menjadi ‘kemanisan perjuangan’ apabila konsep ‘perkongsian kuasa’ benar-benar terjadi setelah berjaya meraih kemenangan.

Oleh Monosin Sobri

Tags:

No Comments

    Leave a reply