Kemerdekaan negara kita Malaysia berlandaskan perpaduan kaum Melayu, Cina, India dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak serta lain-lain kaum minoriti.

Kemerdekaan tidak ternilai nikmatnya kerana ia memberi peluang kepada negara menentukan sendiri nasib, hala tuju dan masa depan kita.

Keharmonian dan keselesaan yang Malaysia nikmati sekarang mencetus fenomena kebanjiran pendatang asing yang sanggup bertarung nyawa untuk memijakkan kaki dan mencari rezeki di negara kita.

Pelbagai gejala yang boleh menghancurkan masa depan negara ini muncul satu persatu ibarat cendawan yang tumbuh mekar selepas hujan.

Isu moral dan etika semakin meruncing akibat pengaruh pendatang asing dan media sosial.

Tsunami politik yang tidak dijangkakan menjentik para pemimpin negara dan rakyat berfikir akan pentingnya penerapan nilai yang betul dan institusi kehidupan yang sihat.

Musibah yang menimpa negara lain dan tempiasnya turut kita rasai mewujudkan peringatan dan rasa syukur yang kita masih di bawah lindunganNya.

Bencana alam bertukar ganti daripada tanah berpusar, tanah mendap, tanah runtuh, gempa bumi, banjir, tsunami, ribut, kebakaran dan kemarau namun kita menghadapinya bersama dan saling

membantu.

Tanah air kita pernah dijajah kolonialis seperti Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam.

‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ menanam makna kasih sayang yang sanggup mempertahankan tanah air ini agar kekal merdeka dan memastikan tanah tumpah darah kita ini bersih daripada ancaman anasir luaran dan dalaman.

Ancaman keselamatan kepada negara dan tahap kebersihan tanah air perlu ditangani dengan baik namun tegas.

Sistem perundangan negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan berteraskan demokrasi berparlimen telah berjaya menyatupadukan Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Kita perlu memahami Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri yang memahat prinsip integriti, keadilan dan keterangkuman.

Malaysia berpegang dengan prinsip pembinaan negara bangsa melalui integrasi kaum. Kesepaduan sosial dan penyatuan bangsa yang terbina dengan baik mampu menstabilkan negara hingga menjamin kemajuan negara.

Perlembagaan Persekutuan memperakui dan menerima bentuk pembinaan negara bangsa Malaysia.

Raja Berperlembagaan menjadi simbol perpaduan. bahasa ibunda boleh dipelajari, agama lain boleh diamalkan dan kepentingan minoriti lain dijamin dengan Perkara 153.

Pembentukan Perlembagaan Persekutuan menyaksikan sebuah negara pelbagai etnik, dengan anak watannya Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak serta kewarganegaraan terdiri daripada kepelbagaian etnik dan agama.

Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi ikatan dalam membentuk kerjasama antara masyarakat majmuk di Malaysia.

Perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi bagi sesebuah negara yang berdaulat.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu bagi mematuhi keluhurannya.

Menyusuri sejarah, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu ini telah digubal oleh Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada tahun 1956. Ini bermula dengan memorandum Perikatan yang telah diserahkan kepada Suruhanjaya Reid oleh satu rombongan Perikatan yang terdiri daripada Datuk Abdul Razak, Encik Mohammad Khir Johari, V.T. Sambanthan, Bong Pang Hwa, Ng Ek Tiong dan Ramanathan yang diketuai oleh Tunku

Abdul Rahman pada 27 September 1956.

Menurut Suruhanjaya Reid, memorandum yang diterima daripada Perikatan itu sebagai satu memorandum yang berpatutan dan terbaik kerana gambaran yang jelas sebagai mewakili tiga kaum terbesar di negeri ini melalui parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Persatuan Cina Malaya (MCA) dan Kongres India Malaya Congress (MIC).

Memorandum itu pula digubal melalui penyelidikan yang sangat teliti oleh pakar undang-undang. Memorandum Perikatan ini membuktikan bahawa semua bangsa dan kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India yang tercantum dalam Perikatan itu telah bersetuju.

Tidak ada sebab bagi mana-mana pihak untuk mempertikaikannya sehingga sekarang kerana telah dipersetujui bersama oleh UMNO yang mewakili Melayu, MCA yang mewakili Cina, dan MIC yang mewakili kaum India di samping suruhanjaya turut meminta cadangan dan pandangan daripada parti-parti politik, orang ramai, individu-individu dan Raja-raja Melayu.

Perkara ini menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan sekarang ini telah mendapat persetujuan dan pandangan daripada semua rakyat Malaysia.

Kontrak sosial yang telah termateri secara bersama harus difahami supaya dapat membentuk kefahaman yang tepat berkaitan dengan persetujuan kerjasama semua kaum di Malaysia.

Oleh itu, jangan kita musnahkan keharmonian, keselesaan dan keamanan yang kita rasai sekarang dengan mencetuskan rusuhan, kacau bilau, kekejaman, rasis, diskriminasi, hasutan, fitnah, demonstrasi, rasuah, pencemaran serta kerosakan harta benda dan nyawa.

Lihatlah negara-negara yang silih berganti dilanda mala petaka bencana alam dan rusuhan serta pergaduhan berpanjangan.

Tiada siapa yang menang tetapi rakyat dan negara yang merana. Hargailah nikmat kemerdekaan dan hormatilah nilai perlembagaan.

Kita yang bertanggungjawab memastikan kemerdekaan dan kedaulatan negara kita berkekalan.