HARGAILAH ANAK-ANAK DENGAN NAMA YANG BAIK

Kenyataan Mufti Wilayah
Apa yang berlaku memberi kepada kita betapa Bahasa Arab mempunyai makna yang pelbagai. Justeru melihat kepada makna yang baik sebagai tafa’ul adalah penting. Pada saat yang sama elakkanlah daripada penamaan yang boleh membawa kekeliruan. Isu seperti ini perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Ini kerana jika dibiarkan keadaan seperti ini ia akan berlaku ke semasa dari semasa. Justeru satu tindakan yang bersepadu untuk mengemaskinikan isu penamaan ini dengan lebih efisyen dan terkini perlu digerakkan dengan pantas.

Cadangan
Pertama: Kepada Jabatan Pendaftaran Negara

  • Kami mencadangkan supaya pihak Jabatan Pendaftaran Negara memberi ruangan khusus dalam nama anak-anak umat Islam untuk ditulis dengan dua nama iaitu dalam tulisan Rumi dan juga tulisan Jawi. Seterusnya tulisan Jawi diambilkira sebagai yang paling muktamad terutamanya dalam kalimah atau nama yang wujud dalam Bahasa Arab. Ini kerana kami dapati banyak juga nama apabila ditulis dalam huruf Latin atau Rumi boleh memberi maksud yang lain. Contohnya perkataan yang mengandungi huruf ‘Ain dan Alif yang biasanya akan ditulis dalam bahasa melayu dengan huruf A sahaja seperti Abdullah. Ini bertujuan agar ketepatan sebutan dan makna sebenar yang dikehendaki sampai kepada maksudnya. Perkara ini telah dilakukan di Singapura untuk umat Islam di sana.
  • Sudah sampai masanya Jabatan Pendaftaran Negara menempatkan para asatizah atau yang berkelayakan dalam agama seperti kader JAKIM bagi menentukan kesahihan nama sebutan, pensabitan nasab juga menjadi penasihat kepada ibu bapa yang datang untuk penamaan anak.

Kedua: Kepada Ibu Bapa
Kami cadangkan kepada para ibu bapa yang direzekikan dengan cahaya mata dan zuriat solehah agar:

  • Memberi dan memilih nama yang baik kepada anak-anak sama ada putera atau puteri.
  • Tanyalah kepada ahli ilmu dan para asatizah ketika mahu menamakan anak.
  • Janganlah rujuk kepada buku sahaja tatkala ingin menamakan anak.
  • Elakkanlah daripada menamakan anak dengan nama-nama yang panjang dan tersusun (murakkab) tetapi berpadalah dengan satu atau dua sahaja kerana ghalibnya sebutan akan dipendekkan.
  • Biasakanlah dengan memanggil anak dengan nama yang penuh supaya menghasilkan maksud dan maknanya.

Semoga dikurniakan pasangan hidup, suami dan isteri yang soleh dan solehah serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan saham buat kita di Hari Akhirat. Kami tutup dengan sebuah doa yang sangat baik untuk dibaca selepas solat.

“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Akhukum fillah,
SS. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Nov 2016 bersamaan 15 Safar 1438 H

Sumber: http://muftiwp.gov.my/

No Comments

    Leave a reply