HARI RAYA AIDILFITRI HARI JUMAAT …WAJARKAH UNTUK BERSELISIH

Sering timbul persoalan, apabila Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat terdapat perbezaan pendapat mengenainya, apakah orang yang telah melakukan solat Aidilfitri perlu melakukan solat Jumaat. Ulama Mazhab Hanafi berpendapat tidak perlu, kerana sudah ada khutbah pada solat Aidilfitri, cukup melakukan solat zuhur sahaja. Ulama Mazhab Syafie berpendapat orang yang jauh dari masjid boleh tidak solat Jumaat, namun yang dekat tetap harus melakukannya. Menurut Imam Syafie tidak ada kesulitan bagi orang yang dekat dengan masjid untuk datang ke masjid dua kali dalam waktu yang berdekatan.

Bagi kaum muslimin, dalam kekuatannya sebagai makhluk sosial, Aidilfitri adalah saat yang tepat untuk bersilaturahim dengan keluarga, kerabat dan sahabat. Hal ini dilakukan atas kesedaran bahawa dalam pergaulan sehari-hari setiap orang boleh berbuat khilaf, baik disengaja atau tidak. Kerana itu pada hari Aidilfitri kita perlu saling memaafkan, menghilangkan rasa benci dan dendam antara kita.

Bukankah manusia sebagai alinsan mahalul khata wannisyan (tempat salah dan lupa), cenderung tercemar oleh berbagai salah dan dosa, baik terhadap Allah mahupun terhadap sesama manusia. Maka ibadah puasa selama Ramadan yang kita jalani dan amaliah Aidilfitri yang kita syiarkan dengan silaturahim adalah wujud pengalaman agama untuk meneutralkan pencemaran itu.

Puasa yang kita jalani secara tulus akan membantu kita untuk menghapuskan salah dan dosa yang telah mencemari keperibadian kita, sehingga jati diri sebagai manusia yang berakhlak mulia akan kita temukan kembali seutuhnya. Kemudian, mengingat antara ibadah puasa dan Aidilfitri merupakan mata rantai yang tak terpisah, maka solat Aidilfitri yang kita tunaikan selepas berpuasa sebulan penuh ini adalah sebagai saksi bahawa kita telah melakukan kerja keras untuk mengembalikan fitrah kita sebagai manusia.

Mengapa silaturahim mendapat kedudukan sedemikian mulia dalam agama? Kerana Islam mengajarkan, bahawa salah satu perilaku akhlak mulia ialah kesediaan seseorang untuk menyambung persaudaraan dengan sesama kita bersilaturahim, saling mengunjungi di antara kerabat, tetangga dan seterusnya, yang selama ini telah menjadi tradisi dan budaya kita dalam mensyiarkan Hari Raya.

Jelasnya ialah, bahawa hati nurani orang mukmin setelah menjalani puasa dan beraidilfitri, pasti akan lebih mampu menghayati dirinya. Ia sedar bahawa manusia pada hakikatnya bukan hanya makhluk pemburu material, tetapi juga mempunyai kepentingan-kepentingan lain dalam hidupnya yang perlu berhubungan dengan orang lain tanpa ada kepentingan material dan egois. Ia memerlukan hubungan antara sesama yang dilandasi rasa cinta dan kasih sayang. Sehingga ia akan sangat peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan bangsanya. Dia sedar betul bahawa manusia tidak mungkin hidup bersendirian. Kesedaran ini kalau dipupuk terus tentu akan memudahkan terwujudnya ukhuwah Islamiah, bahkan dapat melahirkan rasa kebersamaan dan solidariti sosial yang tinggi, bukan sahaja terhadap saudara-saudaranya seagama tetapi juga terhadap yang beragama lain, sesuai dengan misi kedatangan Islam iaitu membawa rahmat bagi alam semesta.

Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud: Berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah secara kuat dan janganlah kamu bercerai-cerai. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, ketika dahulu kamu bermusuhan, lalu Allah persatukan hati kamu, sehingga kamu menjadi bersaudara kerana nikmat-Nya dan kamu waktu itu berada di pinggir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu dari jurang itu. Demikianlah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya, mudah-mudahan kamu terpimpin ke jalan yang benar.

Di dalam ayat ini Allah menjelaskan, bahawa usaha bersatu sesama muslim merupakan kewajipan syariah. Dan terwujudnya persatuan itu merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar. Ada pun perpecahan, jelas merupakan dosa besar dan kemurkaan Allah yang berat. Ibnu Jarir at Thabrani di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan keterangan dari Qatadah tentang maksud firman Allah di atas. Ia berkata: Sungguh Allah membenci kamu berpecah belah dan melarang kamu mendekatinya, memperingatkan dan mencegah kamu daripada perbuatan demikian, tetapi Allah menyenangi kamu taat, mendengar perintahnya dan bersatu padu. Kerana hendaknya kamu menyenangi apa yang disenangi oleh Allah untuk kamu.

Berpecah dan berselisih selain merupakan perbuatan derhaka kepada Allah, juga merupakan faktor yang menyebabkan kehinaan, keruntuhan dan kelemahan umat Islam. Allah s.w.t menceritakan kepada kita bahawa di antara sebab kekalahan kaum muslimin pada perang Uhud, adalah terjadinya pertentangan sesama muslim dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.

Dan di antara hadis-hadis yang berbicara mengenai masalah ini (bahayanya perselisihan), adalah sabda Nabi s.a.w yang memberikan peringatan keras kepada umat ini tentang bahaya perselisihan yang menyebabkan hancurnya umat-umat terdahulu. Beliau bersabda: Sesungguhnya hancurnya umat-umat sebelum kamu sekalian adalah kerana mereka berpecah belah dalam agama (Hadis riwayat Muslim).

Oleh Mohd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply