Hassan Azhari meninggal dunia

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga anak kepada Allahyarham mengesahkan perkara itu.

Musa berkata, jenazah bapanya akan dibawa ke kediaman di Persiaran Keramat Hujung, di sini, sebelum dikebumikan.

“Bapa saya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang tadi di HKL.

“Ketika ini saya difahamkan arwah bapa akan dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Allahyarham dimasukkan ke HKL Ahad lalu selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Beliau pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham turut melaungkan azan pada perasmian Masjid Negara pada tahun 1967, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Hassan juga adalah hakim Pertandingan Tilawah al-Quran yang paling lama berkhidmat dalam negara iaitu hampir 46 tahun.

Tiga anak lelakinya dikenali ramai iaitu Musa, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang Datuk Fuad Hassan dan pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan.

No Comments

    Leave a reply