Piagam yang berasaskan kepada ta’awun itu tentunya akan menyentuh tentang perkongsian kuasa yang menjurus kepada usaha mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu secara keseluruhan. Tidak terkecuali usaha memelihara kepentingan kaum-kaum lain yang mendiami negara ini.

Faktor ini jugalah yang mendorong UMNO dan Pas membentuk kerjasama secara lebih formal melalui pia­gam tersebut. Atas nama tanggungjawab memper­tahankan Melayu dan Islam, UMNO dan Pas akhirnya mengambil keputusan mengete­pikan segala perbezaan dan perseteruan yang berlaku antara dua parti berkenaan selama ini.

Hakikatnya, itu jugalah harapan orang Melayu dan Islam termasuk penulis sendiri yang mahu melihat UMNO dan Pas kembali bekerjasama atas nama kepentingan Islam dan Melayu. Malah penulis cukup yakin perkembangan yang dilihat ini adalah berkat doa oleh mereka yang mahu UMNO dan Pas menamatkan segera perseteruan agar umat Islam kembali bersatu.

Yang pasti, gandingan antara UMNO dan Pas mampu mengubah landskap politik negara. Dengan jumlah ahli kedua-dua parti ini dianggarkan lebih lima juta orang, sudah tentu kerjasama UMNO dan Pas akan mengukuhkan lagi kekuatan suara sedia ada khususnya kuasa menentukan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, PRK Semenyih dan PRK Rantau telah membuktikan segala-galanya. Malah ketiga-tiga PRK ini yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) boleh dianggap testimoni hasil daripada gerakan bersama jentera daripada kedua-dua buah parti.

Ucapan terima kasih tidak terhingga oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, semua pemimpin serta ahli-ahli UMNO kepada Pas turut menunjukkan bahawa UMNO amat menghargai penat lelah parti Islam itu membantu calon-calon BN menang dalam ketiga-tiga PRK tersebut.

Oleh itu tidak hairanlah terdapat pihak-pihak tertentu yang berasa kurang senang dengan jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas lebih-lebih lagi dalam tempoh pemeteraian piagam yang hanya tinggal sebulan lebih lagi.

Terbaharu, sebuah portal berita iaitu Malaysiakini dikatakan menyiarkan satu kenyataan tidak tepat berhubung jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataannya membidas sikap tidak bertanggungjawab Malaysiakini apabila bertindak menyiarkan berita-berita tidak benar.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled mahu fokus semua pihak yang terli­bat dalam menjayakan kerjasama UMNO dan Pas secara rasmi ini tidak tersasar ekoran wujudnya cubaan mensabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam hal ini, UMNO dan Pas perlu lebih berhati-hati. Percayalah, di saat ini ada pihak-pihak tertentu yang sedang merangka strategi untuk mensabotaj jalinan kerjasama tersebut. Matlamat mereka adalah untuk memastikan jalinan kerjasama tidak akan diteruskan dan gagal di tengah jalan.

Bagi puak-puak ini, kerjasama antara UMNO dan Pas diibaratkan sebagai satu malapetaka. Kerjasama ini boleh menyebabkan cita-cita mereka menjadikan Malaysia lebih liberal tidak kesampaian.

Memetik kenyataan penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub dalam UMNO Online, piagam UMNO dan Pas bakal merencatkan usaha liberalisasi oleh sesetengah ahli politik yang memperjuangkan kesamarataan, maka sebab itulah ada sahaja usaha yang dilakukan untuk menggagalkan kerjasama kedua-dua parti Melayu Islam terbesar ini.

Secara peribadi, penulis amat bersetuju dengan kenyataan Mohammad Tawfik kerana beliau bercakap atas realiti yang berlaku. Di luar sana, banyak pihak yang bimbang dengan jalinan kerjasama tersebut kerana boleh merencatkan cita-cita mereka selama ini.

Tidak mustahil juga mereka akan menggunakan pemimpin-pemimpin Melayu yang sealiran untuk membuat kenyataan-kenyataan negatif berhubung jalinan kerjasama antara UMNO dan Pas ini. Perlu diakui UMNO dan Pas adalah sandaran bagi orang Melayu dan Islam ketika ini dalam memperjaugnkan hak dan kepentingan mereka.

Oleh itu, semua pemimpin dan ahli UMNO serta Pas perlu istiqamah dengan usaha ini. Jangan biarkan diri dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan yang boleh memecahbelahkan dan yang boleh menimbulkan prasangka antara kedua-dua belah pihak.

Usaha yang baik pasti ada cabarannya. Sesungguhnya usaha menyatukan ummah adalah usaha paling mulia dan paling dituntut oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Penulis yakin sama ada UMNO mahupun Pas lebih maklum tentang ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah yang memerintahkan umat Islam bersatu.

Hanya melalui penyatuan akan membuatkan umat Islam menjadi kuat. Selain berusaha, tadahlah tangan memohon kepada Allah agar pemeteraian piagam ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar apabila tiba waktunya. Mohonlah juga perlindungan Allah. Semoga Allah melindungi usaha yang mulia ini.