HATI KERAS DAN BEKU

Cinta adalah akar daripada segala kebaikan dan keutamaan hidup manusia. Justeru, Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya memberi panduan yang bermaksud: Tidak beriman seorang di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri (Riwayat Tabrani).

Namun ketika peradaban manusia semakin memilih materialistik, sombong serta tamak haloba, masih adakah telinga yang mahu mendengar pesan-pesan agung para Nabi? Daripada hakikat ini juga Nabi Isa a.s. dikatakan pernah berpesan – ‘Cintailah jiranmu’.

Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir daripada keadaan hati yang sedang membeku.

Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya kepekaan terhadap nilai baik dan buruk. Baik dan buruk telah dijadikan barang perniagaan tanpa moral.

Hati yang beku dan tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-Araf ayat 179, firman Allah yang bermaksud:

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.

Hati mereka sudah buta dan sudah tidak berfungsi lagi sebagaimana mestinya. Akibat kebekuan hati ialah hubungan persaudaraan hanya didasarkan semata-mata atas kekuatan benda dan kepentingan-kepentingan duniawi lain.

Akibatnya suasana persaudaraan umat manusia di dunia terasa begitu kering dan tandus. Umat Islam berpecah belah dan berperang sesama sendiri dan ajaran persaudaraan sejati seperti yang ditekan dalam al-Quran sudah tidak dihirau lagi semata-mata kerana tarikan kepentingan benda dan bangsa yang lebih diutamakan. Malah yang lebih malang, umat Islam semakin gemar untuk bernafsi-nafsi.

Akibat kebekuan hati manusia, kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang rakus, baik terhadap benda mahupun terhadap kekuasaan.

Benda dan kekuasaan sesungguhnya apabila jatuh ke tangan hati yang beku akan membawa malapetaka. Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya. Malangnya, hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini kerana ia ditutupi dengan kekayaan dan kemewahan yang dirangkulnya.

Tujuh abad yang lalu Jalaluddin Rumi penyair sufi besar pernah mengungkapkan: “Jika tiada cinta dunia akan membeku.”

Cinta baginya adalah penaka lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cinta yang semestinya menjadi penghubung atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan dan antara sistem hidup yang berbeza.

Jelas sekali hari ini akibat corak hubungan manusia yang terlepas dari panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran.

Contoh yang jelas peperangan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi daripada iklim hati yang membeku, kecuali perang untuk membela diri dan membela keadilan yang hakiki.

Akibat terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan, kini telah lahir generasi yang sangat tebal sifat-sifat individualistik, generasi muda yang bersikap peduli apa orang lain kata.

Justeru tidak hairanlah apabila negara digemparkan dengan insiden-insiden yang merendahkan martabat manusia. Kes-kes penderaan majikan terhadap pembantu rumah, penganiayaan suami ke atas isteri dan antara suami dan isteri tidak ada lagi perasaan kasih yang disebut oleh al-Quran sebagai sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah.

Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Begitu juga dengan konsep kejiranan yang dianjurkan oleh Islam telah jauh diabaikan sehingga jiran sebelah rumah pun tidak kenal dan kalau kenal pun tidak bertegur sapa kerana perbezaan aliran politik. Sedangkan dalam Islam kesempurnaan iman seseorang itu diukur sejauh mana ia dapat menghormati jirannya.

Malah dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Nabi Muhammad bersabda: Tidak beriman seseorang itu jika dia tidur dengan perut yang kenyang di malam hari sedangkan jirannya berlapar.

Demikian juga hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga.

Orang yang memutuskan tali silaturahim dilaknat oleh Allah s.w.t. Kehadiran orang yang memutuskan silaturahim di tengah-tengah di antara kita, ia akan menularkan laknat itu kepada manusia di sekitarnya.

Sebab itulah ketika Nabi berada di Arafah pada waktu Isyak, di tengah-tengah para sahabatnya, tiba-tiba Nabi bersabda: Aku tidak menghalalkan siapa pun yang pada petang hari ini dalam keadaan memutuskan tali silaturahim kecuali dia harus meninggalkan kami.

Pada waktu itu seorang pemuda segera meninggalkan majlis Rasulullah s.a.w., dan tidak lama kemudian dia kembali menemui Nabi. Ketika Nabi bertanya apa yang terjadi kepadanya, pemuda itu menjawab bahawa sudah lama dia bertengkar dengan ibu saudaranya, tidak saling menegur, dan tidak saling bertanya.

Ringkasnya, mereka memutuskan silaturahim. Apabila pemuda tersebut tahu Rasulullah benci kepada orang yang memutuskan tali silaturahim, dia pun segera menemui ibu saudaranya dan menjalin kembali persaudaraannya yang terputus.

Rasulullah mengatakan kepada pemuda itu: Duduklah engkau, engkau telah berbuat baik, kerana rahmat Allah tidak akan turun di suatu kaum yang di situ ada orang yang memutuskan silaturahim.

Ini bererti kalau di tengah-tengah keluarga kita ada orang yang memutuskan silaturahim – misalnya ada anak yang bertengkar dengan orang tuanya dan tidak mahu mengalah, ibunya tidak mahu memaafkan dia dan anaknya tidak mahu datang meminta maaf kepadanya – maka kehadiran orang seperti itu akan mendatangkan laknat bagi orang yang ada di sekitarnya.

Keluarga itu kemudian tidak memperoleh rahmat Allah s.w.t., kerana rahmat Allah tidak turun kepada satu kaum yang di sana terdapat orang yang memutuskan silaturahim. Oleh kerana itu, al-Quran berkali-kali mengingatkan kepada kita untuk memelihara silaturahim. Begitulah anjuran al-Quran bila anda perhatikan ayat al-Quran berikut ini:

Takwalah kepada Allah, tempat kamu saling bermohon dan hendaknya kamu memelihara silaturahim. (QS 4:1)

Sesungguhnya orang yang beriman adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapatkan rahmat. (QS 49:10)

Kalau orang yang memutuskan persaudaraan mendapatkan laknat, maka orang yang menghubungkan silaturahim mendatangkan barkah. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda:

Siapa yang ingin dibanyakkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaknya dia menyambungkan silaturahim. Dengan kata lain, menyambungkan silaturahim dapat mendatangkan banyak rezeki dan memanjangkan usia.

Sayidina Ali Abi Talib pernah berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang mempercepat bencana,” ketika sahabat Saidina Ali bertanya: “Siapa yang mendatangkan bencana, dan dosa apa yang mendatangkan bencana itu?”

Sayidina Ali menjawab: “Ialah orang-orang yang memutuskan silaturahim.

Benarlah sebagai mana firman Allah: Janganlah kamu menjadi orang yang melupakan Allah kemudian Allah menyebabkan mereka lupa pada diri mereka sendiri. (QS 9:67).

Kerana jika kita lupa kepada Allah, kita juga boleh lupa kepada kemanusiaan kita. Allah sudah melihat hati kita yang sudah gelap kerana maksiat, tangan-tangan berlumuran dosa, dan tubuh-tubuh kotor yang penuh noda.

Berbahagialah orang yang menyucikan dirinya dan mengingat nama Tuhannya serta melakukan solat. (QS 87: 14)

Seluruh ajaran Islam dimaksudkan untuk menyucikan manusia; yakni menampilkan kembali sifat kemanusiaan mereka. Kalimah syahadat menyucikan akidah manusia, membersihkan mereka daripada kemusyrikan, menafikan segala pengabdian selain Allah. Solat menyucikan jiwa dengan selalu mengingat Allah.

Tegakkan solat untuk mengingat-Ku, firman Allah. Puasa menyucikan rohani kita dengan mengendalikan hawa nafsu dan menunjukkannya pada perintah Allah.

Zakat menyucikan harta kita dengan memberikan sebahagian kelebihan harta kita buat membantu sesama manusia. Haji menyucikan kehidupan kita dengan mengarahkan seluruh perjalanan hidup kita menuju Allah s.w.t. agar kita bergerak berputar di sekitar Rumah Allah.

Catatan: Ibnu Hayyan

No Comments

    Leave a reply