Hati masih lagi keras walaupun kita di uji

Covid-19 merupakan satu ujian dan tamparan hebat   bukan sahaja dinegara kita bahkan diseluruh dunia. Ini merupakan peringatan Allah kepada manusia agar kembali kepadaNya tetapi ada dikalangan masyarakat yang tidak merasakan ia sebagai satu bencana dariNya. Ada dikalangan mereka yang masih bergurau senda dengan lawak-lawak yang tidak masuk akal, mempersenda akan bencana ini serta terus menerus bermusuhan antara satu puak dengan puak yang lain hanya disebabkan oleh berbeza pandangan.

Antara hikmah yang mahu Allah khabarkan kepada kita ketika mana manusia itu diuji khususnya disebabkan Covid-19 ialah :

1- Menguji keimanan seseorang dan tahap pergantungannya kepada Allah.

2- Allah tidak akan mendatangkan bala kecuali untuk menghapuskan dosa-dosa hambaNya.

3- Supaya manusia sedar akan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukanya.

4. Bagi membezakan mereka yang benar-benar beriman dan mereka yang menipu dalam agamaNya.

5. Merasai nikmat kebebasan yang mana sebelum daripada ini kita bebas untuk keluar kemana sahaja akan tetapi apabila terjadinya wabak ini maka kita dihadkan pergerakkan dan terpaksa berkurung di rumah.

6. Merasai nikmat berkeluarga. Berapa ramai dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga sehingga tidak menghiraukan mereka dirumah. Ibubapa terlalu sibuk mengejar harta sehingga lupa akan anak yang memerlukan kasih sayang dan perhatian. Oleh kerana itu, waktu yang masih berbaki di rumah ini gunakanlah sebaik-baiknya untuk bemesra dengan anak isteri agar hubungan yang hambar dapat dipupuk semula kemanisannya.

7. Lebih menghargai makanan dan hidangan yang ada. Mungkin sebelum ini kita sangat memilih untuk makan dan minum bahkan ada dikalangan mereka yang membazir dengan membuang makanan yang dimasak terlebih kuantitinya. Akan tetapi pada masa sekarang makanan tidak lagi dapat kita pilih seperti biasa. Penjimatan haruslah dilakukan dengan sehabis baik.

8. Meningkatkan keimanan dengan melakukan ibadah. Sering kali kita beri alasan tidak sempat untuk melakukannya disebabkan bekerja dan tidak ada masa. Oleh itu apabila dikeluarkan perintah untuk duduk dirumah maka masa yang ada sangat banyak untuk kita mempertingkatkan segala amalan.

Bukankah ini semua merupakan hikmah disebalik ujian Allah agar kita sedar akan segala kekurangan dan kelompangan yang kita telah lakukan?

Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan personaliti TV Al-Hijrah

No Comments

    Leave a reply