HATRIK BN DAN PH “KERAJAAN GAGAL”

 

Tiga kemenangan berturut-turut oleh Barisan Nasional (BN) dalam PRK Cameron Highlands (26 Januari 2019), PRK DUN Semenyih (2 Mac 2019) dan PRK DUN Rantau (13 April 2019) mencetuskan banyak perkara menarik yang tidak akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH), malah kadangkala boleh melemaskan lagi keadaan.

Saperti biasa, apabila kalah maka tersingkaplah pelbagai kelemahan dan sikap tidak peduli kepimpinan parti untuk mendengar keluhan rakyat sedangkan matlamat utama berpolitik ialah meraih kuasa menerusi penentuan undi. Undi  bukan hanya terkumpul dalam kalangan penyokong dan mereka yang bersimpati kepada PH, juga boleh hadir dari kalangan penyokong dan mereka yang pada awalnya diketahui bersimpati dengan BN atau pengundi berkecuali.

Kekalahan PH di DUN Rantau telah mencerminkan tidak setuju penyokong-penyokong PH kepada calon yang dipilih. Sejak awal lagi apabila rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ditolak, penyokong dan mereka yang bersimpati dengan PKR sudah menyuarakan bantahannya jika Dr S Streram dipilih untuk bertanding.

Tetapi kerana Anwar enggan mendengar dan terus menggunakan kuasanya sebagai Presiden PKR, Dr S Streram tetap merupakan calon terbaik untuk mewakili parti dan membawa obor PH bagi merampas kerusi tersebut daripada penguasaan BN. BN pula mempertaruhkan bekas penyandang kerana memahami hubungan akrab dengan penduduk Rantau sebagai satu kelebihan yang menyukarkan PH untuk dinafikan.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Semenyih. Calon yang mewakili PH dari parti PPBM bukanlah calon yang dianggap ‘boleh menang’ memandangkan pembabitan politiknya tidaklah sehebat mertuanya yang meninggal dunia akibat serangan jantung. Walaupun dikatakan mempunyai keistimewaan untuk menarik sokongan pengundi muda, andaian tersebut ternyata meleset kerana pengundi muda juga turut menolaknya.

Ketika PH menerima kekalahan di Cameron Highlands, parti itu tidak cepat belajar dan  bermuhasabah.  Masing-masing ingin memperlihatkan percaturan mereka adalah terbaik daripada mendengar secara menyeluruh pendapat akar umbi.

Walaupun M Manogaran dan Dr S Streram telah berjuang untuk membatalkan keputusan PRU ke-14, tidak bermakna moral kemenangan itu dijadikan sebagai ‘hadiah’. Dalam kes di Cameron Highlands, ramai yang memuji tindakan bekas penyandangnya untuk tidak bertanding semula dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan parti mana yang wajar bertanding.

MIC sanggup mengorbankan ‘kerusi tradisi’,  walaupun ketika itu hanya ada dua sahaja yang dimenanginya, iaitu Tapah dan Cameron Highlands. MIC sanggup berkorban dan akhirnya, BN membuat keputusan meletakkan calon berkecuali. Calon yang dipilih pula merupakan muka baharu yang tidak ada kaitan dengan pelbagai kemelut prestasi buruk BN  pada PRU ke-14.

Faktor hubungan dengan masyarakat setempat menjadi ukuran utama. Kelebihan itu akhirnya membuahkan hasil kemenangan bermaruah dan BN berjaya mengembalikan semula keyakinan rakyat. Walaupun di dua tempat yang dibatalkan kemenangan itu dianggap dalam pengaruh BN yang besar, ia tidak bermakna BN tidak boleh dikalahkan jika percaturan strateginya berkecamuk sebagaimana dialami oleh PH.

Sebaik sahaja M Manogaran disahkan sebagai calon, keterujaan itu telah menyebabkan dirinya terasa kuat dan gagah. Perasaan kuat dan gagah itulah akhirnya memakan diri apabila membuat komen awal berbentuk perkauman dengan menyindir “Orang Melayu tidak akan membeli kueh yang dijual oleh Orang Asli” sedangkan calon yang membawa obor BN adalah dalam kalangan Orang Asli tempatan.

Bagi DUN Rantau, walaupun Dr S Streram tidak menyindir dan mengecam orang Melayu,  pada awalnya, beliau juga telah melakukan kesilapan besar. Beliau mendakwa Rantau tidak mempunyai kemudahan asas saperti Balai Bomba. Dakwaan tersebut telah menjerat Dr S Streram  apabila ramai pemerhati politik menyebarkan foto mengenai Balai Bomba yang telahpun beroperasi.

Dr S Streram juga melakukan banyak kesilapan yang mencerminkan pengetahuannya adalah begitu cetek mengenai Rantau. Dalam kes Hospital Rembau, beliau  terpaksa membisu kerana Menteri Kesihatan telah membius pengetahuannya.  Ia akan mula beroperasi pada bulan Jun nanti. Kes itu memperlihatkan Dr S Streram akan bercakap secara semberono tanpa melihat bahawa apa yang diperkatakan itu menyindir Kerajaan PH sendiri.

Begitu juga dengan calon PH di Semenyih. Tanpa mendapat penjelasan dan persetujuan daripada Kementerian Kesihatan beliau berjanji akan membina Hospital Semenyih. Janji itu kemudian dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, belum ada persetujuan dasar dan tidak ada cadangan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas.

Jika di Semenyih calon PH dilihat tidak cekap mengungkapkan idea, di Rantau juga hampir sama. Perbezaannya ialah Dr S Streram tidak fasih berbahasa Melayu walaupun dikatakan banyak berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan pesakit. Ruang komunikasi yang terjalin    sebagai pakar bius tidak dimanfaatkan dengan berkesan. Ia adalah satu sikap yang tidak boleh ditolak ansur di Malaysia, tetutama sikap politik dan patriotik.

Nasib baik Dr S Streram tidak dikaitkan dengan kelulusan akademik berbanding calon PH di Semenyih yang ternyata bukan calon PhD walaupun maklumat di media sosial mengkhabarkan sedang mengikutinya. Setelah terperangkap, beliau akhirnya mengakui pendidikan lanjutan itu terpaksa dihentikan sementara kerana menjaga nenek yang sakit pada tahun 2016. Antara tahun 2016 hingga beliau dicalonkan bertanding, maklumat tersebut tidak dikemaskinikan sehingga dipersoalkan oleh netizen.

Apa boleh buat, PH terpaksa menelan pahit apabila calon-calonnya kecundang. Sekiranya dalam PRK selepas ini, PH tidak melihat faktor ini sebagai sesuatu yang besar, kemungkinan kalah akan tetap ada. Jentera kempen parti lawan akan menghidunya sebagai senjata untuk mempengaruhi pengundi agar tidak memilih calon PH.

Selain faktor calon, PH wajib melihat semula  kerjasama antara parti komponen dalam menggerakkan kempen sepanjang tempoh berkempen.yang berbeza dengan tempoh kempen. Rata-rata tempoh kempen PRK selepas PRU ke-14 sedikit panjang, yang memerlukan stamina dan pengolahan isu secara berkesan. Parti-parti komponen PH dilihat kurang bersemangat untuk membantu calon kerana kesungguhan hanya terpancar daripada parti yang bertanding sahaja.

Ketika PRK Cameron Highlands, calonnya adalah dari DAP. Kesungguhan kempen dari PPBM, PKR dan PAN tidak begitu jelas, hanya sekadar membabitkan beberapa orang menteri. Sebab itulah dalam kes Cameron Highlands kelihatan begitu jelas bahawa DAP begitu bersungguh-sungguh untuk menang sedangkan parti-parti lain sekadar membantu.

DAP juga tidak bersungguh-sungguh untuk membantu PPBM menang di Semenyih. Hanya beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan komuniti bukan Melayu, dan ia dianggap saperti touch n go. Di Rantau, kehadiran DAP paling kurang membantu menarik sokongan bukan Melayu, kecualilah M Kulasegaran yang melakukan ‘fault’ sehingga pusat daerah mengundi hampir keseluruhan PH kalah, kecuali di Bandar Ekar. Pengundi bukan Melayu yang membentuk 44 peratus telah berubah mood sokongannya.

Berdasarkan tulisan-tulisan dan suara yang dilontarkan selepas PH mengalami kekalahan secara hatrik, kedengaran desakan untuk Dr Mahathir meletakkan jawatan kerana kepimpinannya tidak lagi berwibawa. Dr Mahathir didesak agar segera menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim yang sedang menunggu giliran. Di sebalik desakan tersebut, ada pula kedengaran bahawa di bawah kepimpinannya nanti, PH tidak akan muncul sebagai sebuah gabungan yang kuat kerana beliau sendiri gagal memberikan kemenangan walaupun berkampung di Rantau.

Anwar juga akan menyebabkan PKR berpecah di mana kem Azmin yang pro Dr Mahathir tidak sanggup dipersendakan oleh Rafizi Ramli. Rafizi yang menjadi tulang belakang percaturan politik dan kedudukan Anwar semakin terhimpit dengan politik adu domba sehingga menyebabkan perjalanan politik dalam PKR begitu ‘mencuka’.

Ketika di Rantau, kelibat Azmin turun membantu calon PH, Dr S Streram tidak kelihatan. Dari kem Azmin, hanya Zuraida Kamarudin muncul tetapi kemunculan beliau tidak banyak memberikan kesan.

Mungkin kerana mereka sedar, Anwar merupakan ketua kempen di Rantau dan menganggap Anwar mempunyai pasukan kempen yang hebat, mampu melancarkan serangan ke atas calon BN. Sayangnya, gerakan yang dilancarkan oleh Anwar tidak dibeli oleh pengundi Rantau kerana mereka lebih mengenali Tok Mat secara peribadi dan sudah tidak boleh diperlekehkan dengan mudah.

Sebab itulah serangan peribadi kepada Tok Mat tidak menjejaskan sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu. Sebaliknya, jika dianalisis semula kedudukan pengaruh BN dalam PRU ke-14 berdasarkan keputusan PDM mengundi di DUN Rantau, sokongan kepada BN meningkat dengan begitu besar. Lebih separuh daripada 14 PDM di DUN Rantau, BN dilaporkan kalah, tetapi bila PH berdepan dengan Tok Mat dalam PRK kali ini, BN mencapai kemenangan di 13 PDM. Bahkan di PDM yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, BN terlepas badi ‘bukan Melayu adalah deposit tetap PH’.

Mengulas kekalahan PH di PRK DUN Rantau, bekas veteran UMNO yang kini menyokong PPBM menyalahkan pemimpin PH kerana mempamerkan kesombongan sejak berjaya membentuk kerajaan. Pemimpin PH sedang dihukum oleh pengundi dan kerana kesombongan itulah menyebabkan PAS bersedia melakukan kerjasama dengan BN. Kerjasama tersebut telah membuahkan kejayaan dan ketika ini terpaksa menelan pahit, gagal mentalqinkan UMNO dan BN.

BN dijangka akan terus mencabar kedudukan PH dalam politik Malaysia dan kerjasama dengan PAS telah berjaya mengkucar-kacirkan parti komponen PH. PAN yang mendakwa sebagai alternatif kepada penyokong PAS sebenarnya sedang merintih kerana pemimpin-pemimpinnya yang dilantik sebagai menteri kabinet semakin dipersendakan oleh rakyat Malaysia.

Presidennya, Mohamad Sabu yang pernah dikaitkan dengan watak badut semakin dilihat tidak berupaya memimpin PAN dan tidak berprestasi dengan memuaskan sebagai Menteri Pertahanan. Timbalan Presiden, Salehudin Ayub dipersoalkan kerana tidak membantu petani dan nelayan dalam meningkatkan pendapatan mereka, sebaliknya seringkali melontarkan cadangan tidak wajar. Misalnya menggalakkan nelayan menanam buah-buahan di belakang rumah untuk menambahkan pendapatan sedangkan sebahagian besar nelayan tinggal di pesisir pantai dalam keadaan rumah yang padat.

Naib Presiden, Dr Mujahid Yusuf Rawa tidak berjaya memperkasakan kedudukan Islam dalam pentadbiran Kerajaan PH  dan kelemahan itu telah memberi ruang peningkatan penghinaan terhadap apa sahaja yang berkaitan dengan Islam. Pendiriannya dilihat tidak cepat mengulas tindakan bukan Islam menghina Islam tetapi tangkas mengeluarkan kenyataan bila membidas PAS dan UMNO.

Mujahid didakwa lebih mesra dengan DAP dan semakin menjarakkan dirinya dengan UMNO dan yang keseluruhan ahlinya adalah beragama Islam. Dwistandard itu menyebabkan beliau semakin dibenci dan dipersendakan. Sesetengah kenyataannya menjadi sasaran kritikan tajam dan menimbulkan persepsi cenderung liberal.

Khalid Samad, terus dipersoalkan berikutan kenyataan yang dianggap dangkal. Bahkan, Khalid ketika bersama PAS dengan tegas berjanji untuk ‘menutup kilang arak’ akhirnya dipersendakan bila menyokong Oktoberfest tahun lalu akibat tidak konsisten. Setiap kali beliau membuat komen terhadap PAS dan UMNO, akan ada kenyataan balas yang menyebabkan imejnya menjadi pudar dan dianggap tergelincir.

Setakat ini, hanya Menteri Kesihatan dilihat mampu memberikan sedikit kejelasan imej kepada Kerajaan PH kerana beliau tidak bercakap secara semberono dan melalut berbanding menteri-menteri lain daripada PAN.

Menteri Kesihatan berusaha keras untuk memahami dan melaksanakan tanggungjawab, memahami bidangnya kerana beliau faham, pendirian yang bercapah akan menyebabkan rakyat keliru.

Menteri-menteri lain dari PAN tidak melihat kecenderungan itu sebagai wahamnya yang besar untuk membina imej Kerajaan PH yang kuat.

Apa pun selagi Kerajaan PH tidak menyusun semula kabinetnya, selagi itulah Kerajaan PH akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang gagal. Barisan kabinet yang tidak kompeten, terlalu banyak melakukan u-turn (perkara yang ingin dibatalkan sebelum menang tetapi diteruskan dengan penjenamaan semula), budaya politik hybris (saling bercakaran, sombong,   biadab, semberono dan menunjukkan sikap terlajak dangkal atau jengkel), dan paling utama ialah memahami masalah rakyat.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply