HEBAT DALAM TEORI, GAGAL DALAM PRAKTIS ?

SAYA tidak sedikit pun terkejut dengan berita peletakan jawatan Dr Mazlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat-kuasa esok (3 Januari 2020) ketika sesi persekolahan baharu bermula. Ia mungkin mengejutkan warga pendidik kerana Mazlee sebenarnya baharu beberapa hari menaikkan ‘billboard’: BACA: Membaca itu apa? Membaca untuk tahu huruf dan eja nama. Membaca untuk jadi pandai dan bina negara”.

Billboards itu dikritik bukan kerana mesej yang hendak disampaikan menerusi kalimat BACA. Ia dikritik kerana melambangkan Mazlee,  ‘gila publisiti’ Mazlee. Sebelumnya seorang lagi menteri mencetak gambarnya dalam voucher bantuan pendidikan dan surat ucapan tahniah kepada pelajar yang berjaya dalam UPSR. Mazlee berusaha mempromosikan dirinya, tidak sepatutnya berbelanja untuk tujuan itu dalam situasi negara ‘kekurangan wang’. Misalnya, rerayap di kaca tv, telah tersiar mengenai rayuan sumbangan untuk dana pembaikan sekolah-sekolah dan premis pendidikan yang daif. Sebelum ini, Mazlee pernah  memberitahu 90 peratus sekolah-sekolah daif berjaya dipulihkan.

Suatu kebanggan besar sebagai rekod pencapaian oleh kerajaan PH dan seolah-olah kerajaan BN tidak pernah mengendahkannya, walhal setiap tahun KPM memperuntukkan jumlah yang besar untuk tujuan tersebut. KPM pernah menjalin hubungan kerjasama dengan UTM dan institusi pendidikan lain untuk proses pemulihan bangunan dan pendawaian semula sekolah-sekolah terbabit secara berperingkat-peringkat. Bagi mengurangkan kos, kerjasama secara ‘blue ocean strategy’ dilaksanakan dan melaksanakannya secara IBC, bukan dengan secara konvensional. Kaedah sedemikian telah menyebabkan ada sebahagian kontraktor rasa ‘terkucil’ dan mula melihat KPM berusaha menyingkirkan mereka.

Sebelum akhir tahun 2018, Mazlee menimbulkan polemik yang besar apabila menukarkan warna kasut sekolah, dari putih kepada hitam hanya untuk ‘menyenangkan’ ibu bapa akibat kasut putih mudah comot dan kotor. Kasut berwarna putih sudah digunakan berdekad-dekad lamanya, bahkan ketika Mazlee mula bersekolah pun beliau memakai kasut putih. Tidak ada masalah. Keputusan itu menunjukkan Mazlee menyokong sekumpulan orang berfikir ‘simplistik’ dan ‘mahu senang’ tanpa melakukan tindakan yang baik menjaga kebersihan dan kerapian dalam berpakaian.

Sebenarnya, dengan menggunakan kasut berwarna putih akan menyedarkan ibu bapa bahawa kebersihan pakaian anak-anak mereka perlu diberikan perhatian. Kanak-kanak turut diajar untuk ‘menguruskan diri’ dengan melatih mereka untuk membasuh kasut dan stoking apabila nampak kotor dan comot. Ia bukan bermakna kasut dan stoking hitam terhindar daripada kotor, penampakannya dapat disembunyikan di sebalik warna tersebut.

Ekoran perubahan warna kasut, walaupun akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2021, harga kasut hitam mengalami kenaikan manakala harga kasut putih semakin rendah. Kasut putih, walaupun masih boleh digunakan oleh para pelajar, ibu bapa akan tetap memilih kasut dan stoking hitam ketika berhabis untuk menyiapkan kelengkapan sekolah anak-anak sebelum sesi persekolahan 2019 dan 2020 bermula.

Isu kasut dan stoking hitam turut membawa kepada ‘kemarahan’ Mazlee terhadap akhbar-akhbar yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan Melayu. Pada 18 Julai 2018, Pegawai Khas Menteri Pendidikan menulis memo kepada Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr Gazali Abas agar langganan akhbar berkenaan (Utusan Malaysia dan Kosmo) dibatalkan serta-merta oleh seluruh agensi dibawah KPM. Arahan itu secara langsung membawa makna, Mazlee mengarahkan ianya dihentikan kerana wartawan Utusan menulis mengenai ‘kasut hitam’ sedangkan lain-lain perkara yang dilafazkan oleh beliau tidak dijadikan bahan berita.

Dua hari selepas memo itu ditulis, Mazlee menjawab satu dakwaan bahawa ‘tidak betul’ sebahagian hasil keuntungan menjual kasut hitam akan dimasukkan ke dalam tabung PH. Dalam bukan Oktober 2018, Mazlee mengumumkan bahawa para pelajar sudah boleh memakai ‘kasut dan stoking hitam’ bagi sesi persekolahan 2019, dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2021.

Ertinya, dua tahun proses peralihan diberikan, agar ibu bapa tidak rasa terbeban dengan keputusan tersebut. Kasut dan stoking putih yang masih baik boleh digunakan. Ia melegakan sebahagian ibu bapa, tetapi Mazlee terus dilihat sebagai seorang menteri ‘hilang arah’ apabila terlalu memberikan fokus kepada isu-isu kecil. Isu pertukaran warna kasut dan stoking seharusnya dilaksanakan secara pentadbiran, memadai dengan Surat Pekeliling KPM kepada semua Pengarah Pendidikan Negeri.

Mazlee yang hanya berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan selama 19 bulan turut terpalit dengan beberapa keputusan kontroversi. Sebagai seorang menteri, beliau tidak sepatutnya menerima pelantikan di UIAM kerana dilihat ada ‘conflict of interest’. Alasan penerimaan beliau juga dianggap dangkal bahkan dalam satu penjelasan beliau seolah-olah menyediakan tempat untuk dirinya selepas sepuluh tahun berada dalam politik. Beliau bercadang kembali ke UIAM, dan mungkin sebagai eksekutif atau pentadbir yang paling berkuasa. Alangkah bahagianya Mazlee, mempunyai masa yang panjang untuk ‘merancang keselesaan’.

Reaksi dalam kalangan segelintir ahli akademik seperti tersenyum mendengar berita pengundur Mazlee kerana mereka pernah diberikan amaran, jika tidak bersetuju dengan kerajaan PH boleh meletakkan jawatan sebelum KPM memecatnya. Dalam masa yang sama, disebabkan ada beberapa orang Naib Canselor berbeza kecenderungan politik, Mazlee mengambil keputusan menamatkan kontraknya lebih awal, dan digantikan dengan mereka yang dilihat menyokong Kerajaan PH. Tindakan itu turut terpalit ‘kemarahan dan dendam’ dalam kalangan ahli akademik. Peletakan jawatan tersebut dilihat sebagai ‘hukum karma’.

Tentunya kita tidak terlupa dengan Janji PH untuk menyediakan pendidikan percuma hingga ke peringkat ijazah pertama. Janji tersebut menyebabkan golongan muda ‘rasa lega’ termasuklah dalam kalangan graduan yang berhadapan dengan tindakan kerana tidak membayar balik pinjaman PTPTN. Mereka dijanjikan, sekiranya pendapatan bulanan tidak mencecah RM 4,000 sebulan, bayaran balik tidak perlu dilunaskan. Mereka yang disenarai hitam, dibebaskan daripada senarai tersebut.

Akibat pertumbuhan ekonomi yang rendah, peluang pekerjaan begitu terhad, dianggarkan lebih 80,000 graduan menganggur. Ada yang berusaha mencari rezeki dengan menjual nasi lemak dan menyertai perkhidmatan e-hailing, sebagai pemandu Grab dan penghantar makanan. Dr Mahathir menyifatkan penyertaan graduan tersebut sebagai memalukan. Mazlee pula tetap mengharapkan para peminjam membayar balik pinjaman tersebut dan berkata, mereka yang tidak membayarnya sebagai ‘tidak bermoral’. Timbalan Menteri Pendidikan pula menyatakan mereka yang degil itu bakal disenaraihitamkan semula.

Kemelut bayaran balik pinjaman PTPTN itu menyebabkan golongan muda menuduh PH sebagai Pakatan Hancing. Imej PH semakin ‘hancing’ dan ‘dibenci’. Dibenci bukan kerana ianya PH tetapi kerana gagal menunaikan janji dan terus menuding jari, kononnya akibat ‘ketirisan 1MDB’ mereka tidak boleh laksanakan janji. Buku Harapan pernah dikritik, jika semuanya mahu dilaksanakan negara akan boleh muflis, tetapi aktivis politik PH tetap berkempen mereka boleh melakukannya dengan mudah.

Harga minyak yang rendah dilaksanakan dengan mengambil keuntungan daripada Petronas. Pendidikan percuma yang memerlukan dana sebanyak RM 6 bilion setahun boleh diadakan dengan senang. Tol tidak lagi perlu dibayar kerana kerajaan PH akan mengambil alih semuanya daripada syarikat-syarikat yang diberikan konsesi. Janji itulah yang terus ditagih oleh rakyat, termasuklah dari Mazlee yang berjanji akan membayar balik bayaran tol penduduk Simpang Renggam yang berulang-alik setiap hari ke Johor Bahru. Rakyat tidak meminta yang bukan-bukan, rakyat meminta ‘apa yang dijanjikan’ oleh Buku Harapan. Peluang pekerjaan yang lebih baik dan gaji minimum sebanyak RM 1,500 sebulan. Realitinya, tahun 2019 semakin ramai pekerja hilang sumber pendapatan apabila syarikat ditutup, syarikat mengecilkan operasi dan berpindah ke negara lain yang dasarnya lebih menarik.

Iklim politik Malaysia terus berarak dalam situasi ‘mendung ke gelap’. Nilai ringgit terus bergerak sekitar RM 4.19 bagi setiap dolar menyebabkan harga barangan meningkat. Meskipun GST dikatakan sebagai punca meningkatnya sara hidup, PH menggantikannya dengan rejim cukai sebelumnya, SST kos sara hidup tidak juga berubah. Tetapi, seorang menteri begitu bangga dengan penurunan harga telur sebanyak dua sen sebiji. Tahun 2020 mula menularkan ‘posisi imej bodoh’ mengenai bawang merah dari India yang naik mendadak. Harga di pasaran sudah berkali ganda meningkat. Ada peniaga pasar malam menjualnya sehingga RM 20 sekilogram. Tetapi menteri menunjukkan tanda harga RM 1.99 sekilogram manakala tangan kanannya memegang ‘bawang besar’. Adegan lawak Mr Beans yang memualkan dan rakyat terasa seperti sedang diperbodohkan.

Menjelang 2020, Rafizi Ramli mengumumkan berundur daripada politik dan akan menumpukan pembabitan dalam bidang yang baharu dipelajarinya, iaitu teknologi. Masyarakat mula memberikan reaksi da nada yang melafazkan ‘innalillah hi wainnailaihiroji’un’. Rafizi adalah seorang ‘pakar ekonomi’ yang hadir dengan pelbagai pendedahan dan pembohongan politik. Sejak PH memerintah, Rafizi tidak lagi rancak berkempen dan membuat perkiraan tentang bagaimana boleh menurunkan harga minyak. Formula Rafizi kedengarannya cantik dan lojik, tetapi tidak boleh dipraktikkan. Beliau turut gagal dengan Lompat Kajang dan penipuan cincin berlian merah. Beliau turut menyumbang kepada perpecahan dalam PKR kerana percaturan politiknya yang dahsyat dan ‘kejam’.

Dengan berundurnya Mazlee Malik, terkeluarnya Rafizi dari politik, ia memberikan suatu peringatan yang jelas bahawa mereka yang bijak berteori akan terus gagal dalam praktisnya. Mazlee pada suatu ketika banyak mengkritik polisi kerajaan terdahulu, akhirnya terjerat dengan idealismenya sendiri dan sentiasa ditekan. Terpaksa meletakkan jawatan. Rafizi terpaksa mengaku kalah, orang tidak lagi boleh percaya kepada ‘semua pembohongan’ dalam semua masa dan kepada semua orang.

Itulah yang sebahagian perkara yang telah melakar sejarah 2019 dan bakal mewarnai tahun 2020. Semoga ‘cuaca buruk’ tidak akan terus bergerak sepanjang tahun 2020 dan menjadikannya sebagai satu lagi tahun yang gagal. Walaupun matlamat Wawasan 2020 sudah diputuskan gagal, tidak bermakna ia akan kekal dalam ‘cuaca buruk’ sekiranya keberanian politik untuk mencuba diteruskan: perubahan kabinet dengan mengeluarkan mereka yang tidak berprestasi, suka mencipta alasan dan memancing polemik; menteri-menteri tidak terlalu memikirkan ‘political mileage’ dan adu domba agar partinya besar dan kuat; menyingkirkan elemen fitnah dan bekerja dalam satu pasukan; dan lebih penting ialah nawaitunya, membina semula kekuatan Malaysia, bukan hanya berteori ‘ekonomi Malaysia masih kukuh kerana fundamentalnya kuat’ serta ‘hutang yang meningkat masih boleh diuruskan’.

Rakyat tidak sanggup ‘mengikat perut’ untuk tempoh yang lama. Tahun 2019 mereka sudah terasa ‘perit’ dan tahun 2020, rasanya semakin cemas dan menyesakkan nafas kerana permulaannya disambut dengan berita kenaikan caj air bersih, cukai digital, bayaran rawatan di klinik dan hospital swasta, penyelarasan cukai taksiran oleh PBT, penangguhan PSB, saman merokok dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Semuanya bakal mengempiskan poket dan ‘mengikat perut’.

Penurunan harga telur ayam tidak dapat melegakan rakyat kerana harga bawang merah yang terlalu meroket. RM 100 belum mampu memenuhi satu troli berbeza dengan dakwaan PKR pada tahun 2007, RM 50. Ringgit Malaysia semakin mengecil dan kedai tomyam bakal ditutup bila gaji minimum RM 1,800 sebulan. Harga makanan di kedai ‘masakan panas’ juga semakin mahal, maka ada kebenarannya kedai tom yam akan berkurangan kerana rakyat Malaysia semakin terkilan dengan PH yang tidak bersungguh-sungguh menyediakan mekanisme menurunkan kos sara hidup. Tidak cukup dengan hanya berkata, stok ikan kembong masih banyak yang belum ditangkap sedangkan harganya mencecah RM 20 sekilogram. Peniaga degil dan pengedar sabotaj.

Bertindaklah, bukan hanya sekadar bercakap untuk ‘memecahkan monopoli’. Ajarlah mereka supaya lebih beretika, bukan berdiam diri kerana mengharapkan sumbangan mereka untuk memenuhi ‘dana parti’. Paksakan pemaju agar membina rumah mampu milik bukan rumah mampu tengok. Kenakan tindakan keras kepada bank-bank, jangan hanya tahu memufliskan pengguna dengan ikatan kontrak semata-mata, bertindaklah dengan rasa ingin bersama memulih ekonomi negara. Berikanlah peluang kepada pengguna berbincang dan melunaskan hutang berdasarkan kemampuan sekarang, kerana ketika ini ramai bergelut dengan gaji yang rendah, tiada pekerjaan dan kos sara hidup yang mencanak. Bila keadaan ekonomi lebih baik, mintalah pengguna membayar balik pinjaman dengan lebih besar. Bukan menekan pengguna sehingga ‘sukar bernafas’ dan ‘menjerat’.

Biarlah Mazlee mengatur langkah seterusnya dan Rafizi dengan perubahan diri. Kita doakan mereka terus bahagia dengan jalan yang dipilihnya, walaupun kita mengenangnya sebagai manusia yang kecewa dan gagal. Mereka mempunyai kekuatan untuk mengatasinya, kerana mereka banyak teori.

SELAMAT TAHUN BARU 2020.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply