HIBAH YANG HIBA; PENDEPOSIT “HILANG PERCAYA”

 

  

BEBERAPA hari ini berita mengenai Tabung Haji meresap masuk hingga ke tulang sumsun. Apa tidaknya, setelah pengumuman hibah terlewat seminggu daripada tarikh jangkaan asal, penantian penuh debar menjadi hiba yang amat memeritkan bagi lebih 9 juta pendeposit.

Hibab yang diumumkan pada 5 April 2019 lebih rendah daripada kadar faedah yang diberikan oleh bank-bank komersial terhadap simpanan pemegang akaunnya. Bank-bank perdagangan menawarkan kadar dividen lebih 4 peratus setahun untuk simpanan deposit. Tabung Haji (TH) pula mengumumkan bayaran hibah bagi tahun kewangan 2018 ialah sekadar 1.25 peratus.

Kadar tersebut merupakan yang terendah pernah berlaku sejak TH ditubuhkan. Beberapa bulan sebelumnya TH dilaporkan telah memindahkan aset-aset yang bukan teras kepada Khazanah Nasional menerusi SPV. Ketika heboh mengenai pemindahan tersebut, nama seorang CEO bukan Islam tiba-tiba muncul menyebabkan persepsi daripada sebahagian orang Melayu mula gusar dan khuatir. Khuatir kerana aset-aset yang dipindahkan itu diurus dan dijaga oleh bukan Islam, termasuk menteri kewangan dan pegawai khasnya.

Beberapa hari sebelum kadar hibah diumumkan, diumumkan sebuah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan aset-aset TH itu. Syarikat tersebut ialah Syarikat Urusharta Jamaah Sdn Bhd., bukannya Prokhas Sdn Bhd. Laporan pada 28 Disember 2019, SPV yang mengambilalih aset TH bernilai RM 19.9 bilion telah memulakan memulakan aktiviti pemindahkan aset termasuk saham. Ia melibatkan saham dalam Naim Holdings (24,827,200 unit); Malakoff Corp (500,000,000 unit); Integrated Logistics (20,584,783 unit); Dayang Enterprise (76,367,600 unit); Pintaras Jaya (11,352,100 unit); Eastern & Oriental (94,248,000 unit); dan Hap Seng Plantations (66,074,500 unit). (Utusan Malaysia, 29.12.2019).

hibah cart

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat, aset-aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti bertujuan menstabilkan imbangan tunai dan mempercepatkan pemulihan kewangan kumpulan. Aset-aset yang tidak menguntungkan dikenal pasti menerusia dua kriteria, aset yang hasilnya kurangnya 2.5 peratus bagi hartanah manakala ekuiti ialah yang memiliki rosot nilai melebihi 20 peratus.

Antara contoh hartanah yang tidak menguntungkan ialah tanah di TRX Exchange (TRX) yang diperoleh pada tahun 2015. Antara saham yang merosot lebih 20 peratus ialah FGV. Sebagai pertukaran kepada aset-aset itu, SPV ‘akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,” katanya.

Setelah isu pemindahan aset-aset tersebut menjadi polemik, kadar hibah yang diumumkan turut menjadi polemik besar yang akan menyebabkan Kerajaan PH perlu mengerahkan setiap jenteranya bagi membantu pelbagai tafsiran yang akan terus dibuat oleh orang ramai, apatah lagi pengumuman itu dibuat ketika kempen PRK DUN Rantau mulai rancak. Ramai juga yang bimbang, kadar hibah yang rendah itu akan memberikan gambaran buruk tindakan Kerajaan PH selepas pengumuman-pengumuman dividen amanah saham di bawah pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga merosot.

Orang ramai tidak mudah yakin dengan jaminan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia ekoran kadar hibah yang rendah, termasuk tidak menjejaskan kempen PH di DUN Rantau. Secara jelasnya, kempen PH setakat ini kurang mendapat sambutan, bahkan ada laporan bahawa hanya sekitar 50 orang yang hadir dalam ceramah yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. Anwar juga sedang bergelut dengan tindakannya sendiri yang meninggalkan sebuah masjid ketika azan Maghrib berkumandang atas alasan untuk mengejar waktu dan program di lain tempat.

Pengurusan TH dipersalahkan kerana sejak tahun 2014 memberikan hibah yang tinggi kepada pendepositnya walaupun mempunyai liabiliti melebihi nilai aset semasa. Kesalahan itu dikatakan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995. Akibatnya, TH dilaporkan mengalami defisit sebanyak RM 4.1 bilion. Setelah Kerajaan PH mengambilalih pentadbiran negara, defisit tersebut didedahkan secara besar-besaran untuk menimbulkan suasana panic dalam kalangan pendeposit tetapi keadaannya tidaklah sehebat ketika Rafizi Ramli memberitahu TH mengalami masalah kewangan serius sehingga menyebabkan sebahagian pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.

Pendeposit masih ‘tidak percaya’ TH mengalami defisit yang serius berbanding kenyataan bahawa mereka yang merayu untuk mengerjakan haji pada tahun ini dikehendaki membayar kos sepenuhnya. TH tidak lagi memberikan subsidi, walaupun kali pertama mengerjakan haji kerana keputusan itu dibuat berdasarkan rayuan dan bukan dipilih oleh TH. Situasi panic itu akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri terpaksa menyemak semula dan mencari satu titik ‘penyelesaian’. Diumumkan, kos mengerjakan haji pada tahun ini masih kekal di bawah RM 10,000 bagi setiap Jemaah, walaupun mereka adalah dalam kalangan yang diluluskan rayuannya.

Bagi mereka yang ‘menunggu giliran’, perasaan cemas mula timbul apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri bercakap mengenai ‘kemampuan untuk mengerjakan haji’. Mereka yang berhajat ke Tanah Suci wajib mempunyai wang yang cukup, kerana TH tidak lagi akan dibebankan dengan subsidi yang mencecah RM 400 juta setahun. Bakal Jemaah Haji mula melontarkan rasa terkilan mereka, kerana sejak Kerajaan PH mengambilalih kuasa, semuanya akan dipindahkan kepada rakyat dan kerajaan hanya akan menguruskan hal-hal yang bersangkutan urusan antara kerajaan dan negara.

Sebelum cadangan untuk mengenakan kos mengerjakan haji sepenuhnya pada masa hadapan, orang ramai juga berdebar-debar menunggu keputusan rundingan antara Kerajaan PH dengan Kerajaan Negeri berkenaan bekalan air bersih. Menurut pengumuman, sebahagian Kerajaan Negeri sudah pun bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan tariff air, sebab Kerajaan PH tidak lagi mampu menanggung kos menyediakan air bersih semakin meningkat.

Sejak Kerajaan PH berjaya mentadbir Malaysia Baru, belum ada langkah yang konkrit untuk menjana pendapatan rakyat sebagaimana dijanjikan dalam manifesto. Kempen yang dihebahkan ke seluruh negara untuk mengurangkan kos sara hidup, tidak juga menampakkan kejayaan termasuklah ketika GST dimansuhkan selama tiga bulan dan kemudian apabila SST diperkenalkan, harga barangan terus meningkat. Hasil cukai tidak meningkat, bahkan dengan menggantikan GST dengan SST, Kerajaan PH tidak cukup wang untuk perbelanjaan mengurus sehingga terpaksa meminta PETRONAS mengeluarkan dividen khas sebanyak RM 30 bilion.

TH mengalami kemerosotan pendapatan adalah disebabkan oleh permainan politik PH ketika berkempen untuk menumbangkan BN yang memerintah selama 60 tahun. Dengan melakarkan imej negara ditadbir oleh kleptokrat, manakala projek-projek yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai ‘menjual negara’ akhirnya PH berjaya mengakhiri penguasaan BN. Sebaik sahaja mengambil alih kerajaan, mereka melancarkan ‘perang besar’ untuk menimbulkan rasa percaya rakyat terhadap pentadbiran secara kleptokrasi.

indeks kepuasan hati rakyat

Sesudah berlaku selama 10 bulan, pemimpin-pemimpin PH mula memberikan kenyataan pedas bahawa  rakyat perlu bersabar dan mengikat perut kerana proses pemulihan tidak dapat dilaksanakan dengan cepat. Kerajaan PH tidak mempunyai lampu ajaib, maka, kerajaan perlu mengumpulkan semula aset-aset yang ada untuk dicairkan bagi membantu mengurangkan ‘hutang negara’ yang dibuat oleh kerajaan terdahulu. Semua kegagalan dikaitkan dengan kerajaan terdahulu, termasuklah pengumuman hibah yang terendah, juga disebabkan masalah TH yang digunakan sebagai ‘piggy bank’.

Sejarah tidak pernah berbohong, maka benarlah apa yang dipetik oleh Anwar ketika berucap di Majlis Meraikan PKR 20 tahun (1999-2019), yang mengutip kata-kata mutiara dari seorang tokoh falsafah dari Sepanyol, George Santayana (Jorge Agustín Nicolás Ruiz de Santayana y Borrás, 1863-1952) ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya’. Sebab tidak belajar dari sejarahlah Kerajaan PH semakin ‘menggila’ untuk menjual dan membahagi-bahagikan aset milik GLC dan kerajaan. Hal ini pernah berlaku ketika era Perdana Menteri ke-4 dan sedang diulang kembali oleh Perdana Menteri ke-7.

Oleh kerana kita sentiasa diminta untuk ‘belajar sejarah’, maka adalah wajar menyingkap semula apa yang pernah berlaku ke atas TH semasa Malaysia dibawah pentadbiran Perdana Menteri ke-4. Perdana Menteri ke-4 adalah kebetulan orang yang sama dengan Perdana Menteri ke-7, hanya berbeza ialah parti yang diterajuinya. Semasa menjadi Perdana Menteri ke-4, beliau menerajui UMNO dan BN, manakala untuk tempoh sekarang adalah dari PPBM dalam gagasan Pakatan Harapan bersama DAP yang pernah dimusuhinya (rasis, perkauman dan oportunis).

Hutang Negara

Era Perdana Menteri ke-4, TH telah dijadikan ‘piggy bank’ untuk membeli TH Perdana dan TH Selborn. Dua buah bangunan itu bernilai RM 267.92 juta. TH diarahkan membelinya dengan harga RM 436.38 juta. Ketika itu, pengerusi Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) ialah Tan Sri Ahmad Razali, bekas Menteri Besar Selangor. Beliau adalah adik ipar Tun Dr Mahathir. Dengan membeli dua buah bangunan tersebut, LUTH terpaksa membayar lebih 50 peratus dari harga pasaran, iaitu RM 158.46 juta.

Era Perdana Menteri ke-7, TH cuba disusun semula untuk mendapatkan beberapa asetnya yang boleh memberikan keuntungan kepada SPV yang dikawal oleh Menteri Kewangan. Dengan menerbitkan sukuk bernilai RM 10 bilion, dari nilai sebenar aset yang dipindahkan sebanyak RM 9,9 bilion, ia menampakkan bahawa dalam masa yang singkat TH sudah dipulihkan. Apa sebenarnya berlaku ialah sekiranya aset-aset dan saham yang dipindahkan itu mengalami kenaikan, TH tidak mempunyai apa-apa lagi keuntungan, yang boleh digunakan untuk memberikan subsidi kepada para Jemaah bagi membantu mereka menunaikan fadhu haji.

Memang benar, menunaikan haji berdasarkan kemampuan. Namun, pahalanya adalah lebih besar jika kita dapat membantu orang yang kurang berkemampuan untuk menunaikan haji. Konsep inilah yang dipakai sejak sekian lama, maka itulah kerajaan terdahulu bersedia membantu TH menerusi subsidi kos mengerjakan haji sekitar 51 peratus. TH bukan mencari keuntungan berdasarkan pengurusan haji dan tentunya, deposit yang dikumpulkan itulah digunakan untuk melabur, membeli hartanah dan juga saham-saham dalam syarikat yang dinilai mampu memberikan pulangan. Dengan pemindahan aset-aset tersebut kepada SPV, maka, TH tidak lagi akan dapat menikmati keuntungannya, dan belum tentu mampu membelinya semula aset-aset tersebut selepas cukup tempoh yang ditentukan.

Antara aset-aset yang sudah dipindahkan ialah rangkaian hotel TH (Bayan Lepas, Kuching, Kelana Jaya, Kota Kinabalu, Alor Setar dan Kuala Terengganu); tanah di TRX; Platinum Park. Tanah di TRX dibeli pada harga RM 196 juta dan dijual dengan harga RM 400 juta. Platinum Park dijual dengan harga RM 737 juta manakala harga belian ialah RM 485 juta. Dua hartanah itu telah memberikan keuntungan kasar kepada TH lebih RM 400 juta. Apa yang dipersoalkan oleh orang ramai ialah ‘tekanan politik’ yang ditanggung oleh TH dan dipaksa melepaskan aset-aset yang bernilai itu. Ia mungkin melibatkan sesuatu agenda untuk melemahkan penguasaan ekuiti orang Melayu-Islam yang sedang dirancang dan dikeronyokkan secara halus. Datuk Din Adam dari Terengganu sudah menyuarakan kebimbangan itu, katanya, apakah ia suatu percubaan untuk mengkhianati Melayu-Islam?

Sebelumnya ramai beranggapan bahawa Khazanah Holding turut menjadi salah satu ‘base’ untuk peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera. Kini setelah Menteri Kewangan bukan lagi dari kalangan orang Melayu, persepsi umum berubah sehingga 360 darjah, Kerajaan PH dilihat telah dikuasai oleh sebuah parti yang secara halusnya ‘memusuhi orang Melayu’. Parti tersebut kerap kali menyuarakan kemarahannya apabila kerajaan mengemukakan dasar untuk membaiki sosio-ekonomi orang Melayu yang tertinggal akibat dasar pecah dan perintah penjajah. Bagi mereka, dasar sedemikian adalah satu bentuk diskriminasi dan tidak adil sedangkan dalam situasi sebenar, kekayaan ekonomi mereka semakin bertambah besar. Ini diakui oleh Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri ke-7 dalam kajiannya, Antara Dua Darjat (Dubook, 2017).

Mungkin juga merupakan strategi bagi TH, sebaik sahaja pengumuman kadar hibah yang rendah menjadi polemik, diumumkan pula cadangan TH tidak lagi membuka peluang kepada mereka yang berhajat untuk mengerjakan haji kali kedua atau seterusnya. Ia adalah sesuatu yang menarik.  Sehingga kini, sejumlah 3 juta senarai menunggu dan jika dikirakan secara lojik matematik, seseorang itu terpaksa menunggu selama 107 tahun untuk ke Tanah Suci kali pertama menerusi TH. Ertinya, janin yang belum lahir, jika didaftarkan oleh keluarganya untuk menunaikan haji sebaik sahaja dilahirkan, peluang untuknya akan tiba ketika berumur 107 tahun. Berdasarkan jangka hayat penduduk Malaysia, hanya beberapa orang sahaja yang mampu mencapai umur tersebut. Ertinya, peluang semakin kecil maka penyisihan bagi bakal Jemaah untuk kali kedua atau ketiga, boleh memendekkan sedikit sebanyak tempoh menunggu.

perbandingan indeks BN dan PH

Jika mengambil kira faktor kemampuan, tidak ada lagi subsidi mengerjakan haji, hanya untuk kali pertama, masih lagi terpaksa menunggu terlalu lama. Sebaik-baiknya, TH mungkin mengadakan kouta tertentu, setiap tahun kumpulan umur dalam kategori warga emas perlu diberikan keutamaan yang besar walaupun dengan syarat telah mendaftar dan cukup wang, tanpa mengambil kira berapa lama mendaftar. Golongan yang berumur di bawah 50 tahun diberikan keutamaan kedua dengan syarat telah mendaftar tidak kurang daripada 10 tahun dan cukup wang.

Begitulah seterusnya. Ia mungkin boleh melegakan sebahagian besar warga emas, yang takut niatnya untuk menunaikan haji tidak kesampaian. Ini bukan bermakna mereka yang berumur di bawah 40 tahun disisihkan secara langsung, tetapi bilangannya mungkin dihadkan kurang daripada 10 peratus. Bagi mereka yang berhasrat menunaikan haji kali kedua atau ketiga, salurkanlah secara pakej.

TH bukan sahaja bermasalah untuk menguruskan bakal-bakal haji kerana menanggung subsidi yang besar, senarai menunggu yang ramai, kelemahan pengurusan dan kini, terjerumus pula ke dalam permainan persepsi yang memungkinkan sebahagian pendeposit menarik pelaburan mereka, terutama yang mengharapkan pulangan tinggi. Seandainya sebahagian pendeposit yang kecewa dengan hibah yang rendah membuat pengeluaran besar-besaran, TH besar kemungkinan akan berhadapan dengan kecairan tunai.

Dalam keadaan sekarang, sebahagian pendeposit mula mempersoalkan apa yang pernah diberikan gambaran oleh Kerajaan PH selepas aset-aset itu dipindahkan kepada SPV. Setelah ditolak defisit RM 4.1 bilion, TH masih mempunyai lebihan sebanyak RM 5.2 bilion (dari RM 10 bilion sukuk). Berdasarkan pengumuman menteri, TH boleh menggunakan RM 2 bilion, tetapi yang digunakan untuk membayar hibah ialah RM 913 juta. Ertinya, lebih RM 1 bilion wang itu untuk apa? Apakah ia akan disimpan untuk membayar hibah bagi tahun kewangan 2019? Dan, ketika itu, Kerajaan PH boleh berbangga, hibahnya telah meningkat dan ia adalah satu kejayaan. Bukankah strategi itu telah digunakan oleh DAP ketika ‘mendakwa berjaya mengurangkan hutang’ apabila memindahkan aset air Pulau Pinang kepada kerajaan persekutuan?

Orang ramai turut merasa saperti diperbodohkan. Khabarnya hutang kerajaan berkurangan akibat pertambahan KDNK dan penjualan aset-aset? Berapakah jumlah hutang yang sudah dikurangkan dalam tempoh 10 bulan? Apa yang dilaporkan, hutang semakin bertambah, bukan berkurang apabila dimasukkan nilai bon Samurai, dividen khas dari PETRONAS, penurunan nilai mata wang, penarikan pelaburan pelabur dalam pasaran saham (tahun 2018 dianggarkan lebih RM 270 bilion), kehilangan pendapatan eksport kelapa sawit dan getah, hasil cukai yang rendah dan perbelanjaan di luar Bajet 2019 (Bantuan Sara Hidup, subsidi petrol, dan bayaran panelti (RM 200 juta kerana menangguhkan projek ECRL untuk tempoh enam bulan). Berapakah jumlah wang diperoleh setelah beberapa aset itu dijual? Ke manakah wang itu dibelanjakan?

Semuanya sedang ditelah oleh rakyat. Bahkan, rakyat memohon agar Kerajaan PH segera mengakui kelemahannya, jangan terlalu asyik menyalahkan kerajaan terdahulu. Kalaupun membenci BN, janganlah kebencian itu sampai ke tahap yang paling serius memfitnah. Tahap kebencian melampau itulah menyebabkan PH sekarang semakin sukar untuk memperbaiki imejnya, bahkan dalam suatu kajian persepsi terbaharu ia telah merosot manakala imej BN meningkat.

 

Mahanor Saleha

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply