HIDAYAH

Dalam menjalani kehidupan, manusia memerlukan hidayah supaya tidak berada di jalan yang dimurkai Allah S.W.T. atau jalan yang sesat (Q.1:7). Hidayah secara harfiah bererti petunjuk. 

Dalam pengertian syariat, hidayah bererti petunjuk daripada Allah S.W.T. kepada manusia agar manusia berada di jalan dikehendaki Allah S.W.T. Oleh sebab itu, doa yang terdapat dalam firman Allah S.W.T. yang berbunyi: Tunjukilah kami jalan yang lurus (Q.1:6), sering disebut sebagai doa memohon hidayah.

MenurutIslam hanya Allah S.W.T. yang dapat memberi hidayah kepada manusia atau menunjukkan manusia ke jalan yang benar. Manusia tidak akan mampu, sekalipun beliau seorang nabi.

Tugas para nabi dan rasul hanya menyampaikan ajaran kebenaran berupa agama. Sama ada manusia akan menerima hidayah itu atau menolaknya, itu menjadi urusannya dengan Allah S.W.T., pemberi hidayah.

ALLAH S.W.T. PEMBERI HIDAYAH

Nabi Muhammad s.a.w. berusaha keras untuk mengislamkan bapa saudaranya, Abu Talib kerana baginda bimbang bapa saudaranya akan meninggal dunia dalam kufur.

Nabi tidak putus-putus berdoa kepada Allah S.W.T. agar beliau diberikan petunjuk tetapi permohonan baginda dijawab oleh Allah S.W.T., Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)(Q.28:56).

Ayat ini menjelaskan hanya Allah S.W.T. yang berkuasa menghidayahkan seseorang.

EMPAT TINGKAT HIDAYAH

Ada 4 hidayah Allah S.W.T. kepada manusia. Pertama, naluri, iaitu suatu petunjuk yang telah ada dalam diri manusia sejak lahir ke dunia.

Kedua, pancaindera yang berguna untuk melakukan hubungan dengan dunia luar yang tidak dapat dilakukan oleh naluri. Ketiga, akal, iaitu alat untuk berfikir yang hanya ada pada manusia. Namun kemampuan akal terbatas, tidak mampu menjangkau hal yang bersifat ghaib.

Olehsebab itu, manusia memerlukan hidayah yang lebih tinggi lagi, yakni agama. Agama berfungsi untuk memberikan jawapan kepada segala persoalan yang tidak dapat dijawab oleh akal, sekali gus membimbing akal kepada tahap yang lebih tinggi.

NABI DAN RASUL

Nabi dan rasul yang diutus oleh Allah S.W.T. bertugas menyampaikan hidayah kepada manusia dalam bentuk ajaran Allah S.W.T. atau agama. Semua manusia, tanpa dikecualikan akan mendapat hidayah yang dibawa oleh para nabi dan rasul tersebut. Itulah yang disebut sebagai hidayah umum. Namun para nabi dan rasul tidak mempunyai kemampuan untuk memberikan petunjuk agar manusia dapat melaksanakan ajaran agama tersebut. Manusia memerlukan hidayah khusus untuk itu dan hanya Allah S.W.T. yang dapat memberikannya.

MANUSIA SEMPURNA

Manusia yang hanya mempunyai dua hidayah sahaja, iaitu naluri dan pancaindera tidak berbeza daripada haiwan, akalnya tidak berfungsi dan tidak mempunyai rasa malu. Manusia yang hanya mempunyai tiga hidayah sahaja, iaitu naluri, pancaindera dan akal, hanya mempunyai rasa malu kepada manusia, tidak kepada Allah S.W.T. Rasa takutnya kepada Allah S.W.T. hilang sehingga semua perbuatan dosa dilakukannya. Adapun manusia yang sempurna mempunyai empat hidayah, iaitu naluri, pancaindera, akal dan agama.

Orang Islam berdoa kepada Allah S.W.T. untuk memohon hidayahNya agar sentiasa berada di jalan yang diredai Allah S.W.T.

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan rasul terakhir diutus oleh Allah S.W.T. untuk menyampaikan hidayah kepada umat manusia dalam bentuk ajaran agama Islam.

Allah S.W.T. memberikan hidayah kepada manusia dalam bentuk akal fikiran sehingga manusia dapat berkarya.

Catatan Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply