HIJRAH BUKAN SEKADAR BERPINDAH

Oleh: Dr. Mohd Shukri Hanapi

Peristiwa hijrah umat Islam yang ketuai oleh Baginda Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah adalah merupakan satu peristiwa besar dalam sejarah Islam. Dari sinilah bermulanya pembaharuan sistem nilai dan hidup manusia dari keadaan yang lemah kepada keadaan yang lebih baik.

Perkataan Hijrah bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Selain itu, Hijrah juga boleh diertikan berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Maka dengan itu Hijrah juga boleh diertikan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah SWT”

(Riwayat Abu Dawud).

Dalam konteks yang lebih luas, Hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya meninggalkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Jika ia diterjemahkan dalam konteks kehidupan umat Islam hari ini, mereka wajib meninggalkan perpecahan dan kembali bersatu padu bagi menegakkan syariat Islam.

Adapun Hijrah yang kita sambut pada setiap tahun itu bermaksud memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Namun begitu, Hijrah tidak wajar dilihat sebagai peristiwa berpindahnya kaum Muslimin dari Kota Mekah ke Kota Madinah, lantas menjadi detik permulaan tarikh baru takwim Islam sahaja. Kefahaman sempit begini hanya akan mendorong kita menyambut kedatangan tahun baru Hijrah 1438 dengan pelbagai program yang bersamaan dengan peringatan tahun baru Masihi.

Dalam pada itu para ulama juga telah menolak Hijrah sebagai satu ‘pelarian’ dan ‘arbitrasi’ sebagaimana yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis yang sengaja mahu memutar belitkan pengertian suci daripada peristiwa Hijrah yang berlaku.

Sebenarnya penghijrahan Rasulullah SAW dan para sahabat itu adalah suatu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam. Penghijrahan tersebut telah memberi ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam, bukan sahaja dari aspek akidah dan hubungan manusia dengan Allah SWT, malah merangkumi segala aspek kehidupan manusia seperti sosial, ekonomi, politik, pentadbiran dan sebagainya.

Penghijrahan tersebut adalah satu tuntutan agama yang perjalanannya telah diatur cukup dengan strategi dan perancangan pembangunan umat yang lengkap, lantas menjadikannya satu amalan keagamaan yang agung. Ia juga merupakan suatu langkah penting melalui perancangan dan strategi yang cukup teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan dan kemajuan yang sebenarnya.

Dengan Hijrah umat manusia telah berpindah dari belenggu jahiliah kepada Islam, kemunduran kepada kemajuan, dari hidup berpuak-puak dan bersengketa kepada persaudaraan dan kesatuan; dan dari agama yang dianuti oleh sekumpulan manusia di padang pasir kepada agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk dunia.

Peristiwa Hijrah bukan sahaja meninggalkan sejarah untuk dikenang oleh umat Islam hingga ke hari ini dan disambut setiap tahun, malah peristiwa tersebut membawa beberapa hikmat dan pengajaran yang terkandung di sebaliknya.

Dalam Peristiwa Hijrah itu, setelah Rasulullah SAW sampai di Kota Madinah, Baginda mula melaksanakan ajaran Islam secara lebih menyeluruh. Setiap individu Muslim sentiasa dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah SWT dan taat kepada ajaran yang didasarkan kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah Rasulullah SAW.

Berdasarkan keimanan itulah terbinanya sebuah masyarakat Islam yang mentaati semua perkara yang difardukan oleh Allah SWT dalam ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Masyarakat Islam itu juga patuh dalam menjauhi diri daripada setiap perbuatan keji yang boleh membawa kemudaratan kepada diri dan masyarakat, seperti minum arak, berzina, riba, rasuah dan sebagainya.

Masyarakat Islam di Kota Madinah disatukan dalam ikatan persaudaraan Islam yang dibina atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam. Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam juga diwujudkan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman dan persahabatan dan anti permusuhan dan peperangan.

Tegasnya, peristiwa Hijrah itu telah membuktikan bahawa Islam bukan sahaja agama dalam pengertian yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus sahaja, tetapi ia adalah agama yang syumul (menyeluruh) menyentuh segala perkara yang bersangkutan dengan bidang kehidupan manusia, seperti politik, ekonomi, sosial, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, konsep Hijrah bukan sahaja perlu difahami dari perspektif perpindahan tempat secara lahiriah, tetapi juga dari perspektif dan pendekatan yang lebih luas yang boleh membawa kita kepada memahami segala hikmat pengajaran yang wujud di sebalik peristiwa tersebut.

Kejayaan pembangunan Islam dan umatnya selepas peristiwa Hijrah itu telah menjadi dokumen sejarah merakamkan kemenangan manusia yang telah dibangunkan potensi kemanusiaannya melawan godaan hawa nafsu, serta kejayaan membebaskan diri masing-masing daripada segala belenggu kepentingan peribadi.

Sekiranya kita ingin menjadi umat yang kuat, dicontohi, mulia dan maju dalam semua aspek kehidupan seperti yang telah ditunjukkan oleh generasi Islam terdahulu, maka masyarakat Islam sewajarnya kembali bersatu. Segala persengketaan, perbezaan politik dan kefahaman mazhab perlu diketepikan.

No Comments

    Leave a reply