HIMPUNAN RUU 355 BERJAYA, LEGITIMASI UNDANG-UNDANG MASIH JAUH

Sabtu lalu (18 Februari 2017) berlangsung dua perhimpunan yang saling bertentangan agenda di dua tempat berbeza. Perhimpunan pertama berlangsung di Padang Merbuk, Kuala Lumpur dengan kehadiran puluhan ribu untuk menghantar isyarat bahawa Akta 355 yang berkaitan dengan had dan batasan hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah perlu dipinda. Pindaan dikatakan perlu kerana kedudukannya dilihat lebih rendah daripada mahkamah sesyen, iaitu mahkamah yang paling rendah dalam sistem perundangan di Malaysia. Perhimpunan ini mendapat jolokan sebagai ‘lautan ungu’ apabila hampir kesemua yang menyertainya memakai pakaian berwarna ungu.

Perhimpunan kedua adalah sebagai reaksi balas oleh sekumpulan penentang usul pindaan Akta 355 atau dirujuk sebagai RUU 355. Ia berlangsung di Petaling Jaya, Selangor yang hanya dihadiri  sekitar 200 orang, termasuklah golongan yang berfikiran liberal dan takut dengan bayang-bayang kesalahan sendiri walaupun mengakui dirinya adalah ‘juga Islam dan Melayu’. Hanya berlangsung dalam beberapa jam dan perucap yang bercakap dilihat sebagai ‘syok sendiri’ kerana sebahagian besar khalayaknya seperti ‘Aiman tak kisah’, hadir hanya kerana ‘perlu hadir sebagai tindakan membantah’.

Ucapan bekas menteri yang beberapa hari lalu menyertai DAP dan diisytiharkan sebagai ‘perampas takhta’ yang pernah dijuarai oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan (Datuk Ibrahim Ali, yang kini Presiden PERKASA) tidak mampu menarik perhatian awam. Kemunculannya dalam perhimpunan membantah RUU 355 diancam dengan pemikiran liberal yang turut menuntut pelaksanaan undang-undang adalah berdasarkan kaca mata sekular. Seorang lagi pengamal undang-undang, Siti Kassim turut memberikan ucapan, yang hanya dilihat seperti ‘wanita meroyan’ di tengah-tengah ‘kegalauan pemikiran dan idealism politik.’

Perhimpunan ‘lautan ungu’ bermula sekitar 2 petang dan berakhir  jam 11 malam. Ia berlangsung selama sembilan jam dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti termasuklah penerangan kenapa RUU 355 perlu dilakukan dari pelbagai individu yang mewakili pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang merasakan ‘sudah tiba masanya kedudukan Mahkamah Syariah’ diperkasakan. Pindaan itu tidak wajar dibantah kerana sebelum akta yang sama telah beberapa kali dipinda ( 1984 dan 1988) dan tidak membabitkan bukan Islam.

Kumpulan kedua yang berkumpul di Petaling Jaya pula melihat pindaan tersebut sebagai ‘tidak berperlembagaan’ dan mengaitkannya sebagai ‘permulaan kepada pelaksanaan Hudud di Malaysia.’ Hukum Hudud pernah menjadi sesuatu yang menimbulkan ‘konflik perundangan’ apabila Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II pada tahun 1993 dan Terengganu mengekorinya sepuluh tahun kemudian (2003). Hukum Hudud itu dikaitkan secara langsung dengan PAS, bagi menunjukkan ia suatu ‘kisah perjuangan politik dan ideologi politik’ walaupun pada asasnya sedar bahawa untuk melaksanakannya, ia tidak semudah yang difikirkan semasa membawa usul itu ke Dewan Undangan Negeri.

Hingga kini dua enakmen itu dianggap sebagai ‘dokumen retorik politik’ yang hanya kekal dalam ‘dimensi kegagalan politik PAS’. Dan, ketika dua kumpulan politik dalam PAS ‘bertarung’ untuk mengekalkan dimensi kepimpinan ulamak dan kepimpinan profesional, Brunei Darussalam dengan tegasnya mengisytiharkan akan dilaksanakan Hukum Hudud pada tahun 2014. Ekoran kesungguhan pemimpin tertinggi Brunei untuk menukarkan peraturan menyebabkan PAS rasa tercabar .

PAS kemudiannya kembali menyatakan ‘keinginan untuk mensyariatkan undang-undang Islam’ dengan gema yang lebih ‘keras’ sehingga tertolaknya ‘tahaluf siyasi’ dalam pakatan pembangkang. PAS mendakwa DAP tidak pernah bersetuju dan menghormati prinsip perjuangan. Sebab itulah PAS wajib merengangkan kerjasama sehinggalah DAP membuat keputusan memecatnya daripada Pakatan Rakyat.

RUU 355 diberitakan sebagai peraturan yang tidak menyebabkan keputusan Mahkamah Syariah dilihat ‘perkasa’ kerana had yang dibenarkan ialah kurang daripada apa yang diperuntukkan oleh Mahkamah Sesyen. Atas semangat itulah RUU 355 dicadangkan agar Mahkamah Syariah boleh melaksanakan proses undang-undang ke atas pesalah sehingga mencakupi had hukuman penjara 30 tahun, denda RM 100,000 dan rotan maksimum 100 sebatan. Persoalan ini menjadi suatu kebimbangan oleh seorang yang menggelarkan dirinya Mujahidin Zulkifli, bahawa RUU 355 bukanlah ‘hukum syariat Allah’. Dalam peruntukan Perlembagaan (1984), kuasa Mahkamah Syariah hanya boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam; denda tidak melebihi RM 5,000; maksimum tiga tahun penjara; hukuman rotan tidak melebihi daripada enam sebatan; dan gabungan kedua-duanya (dendan, penjara dan rotan).

Hukuman tersebut adalah ‘rekaan manusia’ kerana hukuman yang ‘dikenakan dalam wang ringgit’ tidak terdapat ‘di dalam al-Qur’an dan hadis.’ Dalam syariat ‘tiada saman atau denda’ dan ‘yang ada cuma bayaran diyyat atau pampasan bagi menggantikan Qisas (hukum balas satu dengan satu)’ Soalnya lagi, ‘dari manakah hukuman bayar duit ini datang? Atau Hadi sudah jadi Tuhan?” (Nama Saya Mujahidin, Saya Muslim, Saya Tolak RUU 355, Free Malaysia Today, 19 Februari 2017). Ertinya, kenapa pindaan ini dipersoalkan oleh Mujahidin sedangkan peruntukan sebelumnya tidak didakwa sebagai ‘rekaan manusia’. Yang berbeza ialah had maksimum, dicadangkan dinaikkan kepada denda RM 100,000, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Jika seseorang Muslim itu didenda maksimum RM 100,000 tidak ramai yang mampu membayarnya kerana orang Melayu-Islam di Malaysia secara puratanya bukanlah golongan yang berpendapatan tinggi. Denda yang tinggi itu akan menyebabkan orang Melayu-Islam ‘tidak memperoleh keadilan’. Hujahnya Nampak munasabah, tetapi hakikatnya Mujahidin terlupa apa sebenarnya prinsip asas sesuatu undang-undang itu digubal. Ia bukan hanya sekadar hukuman, tetapi perkara yang lebih besar ialah memberikan peringatan kepada orang Melayu-Islam tidak terjerumus ke perkara-perkara yang ditegah atau dilarang, kerana pembabitannya boleh membawa kepada hukuman berat. Seperti ditulis oleh seorang pensyarah kanan Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia, Ros Niza Mohd Sharif, pindaan itu bukanlah pelaksanaan hukum hudud, ia bertujuan ‘menaikkan taraf Mahkamah Syariah, memperkemaskan hukuman sedia ada dan meminda hukuman agar bersesuaian dengan kesalahan’. (Rujuk: Pindaan mantapkan Mahkamah Syariah, Utusan Malaysia, 4 Julai 2016)

Begitu juga undang-undang sekular yang meletakkan ‘mati mandatori’ apabila melakukan kesalahan berat seperti membunuh, merompak menggunakan senjata api, mengedar dadah dan menjadi agen perisikan kepada kerajaan asing. Apakah Mujahidin memahami kenapa ‘mati mandatori’ itu dimasukkan ke dalam undang-undang. Tujuan sebenar undang-undang bukan untuk ‘menjatuhkan hukuman mati’ tetapi sebagai langkah pencegahan kepada lebih ramai rakyat agar tidak mengulangi atau melibatkan diri dalam kesalahan yang serupa. Inilah sepatutnya difikirkan oleh Mujahidin, bukannya menuduh bahawa peraturan itu ‘membebankan’ atau ‘tidak ada dalam al-Qur’an dan hadis’.

Benar, ketika al-Qur’an diturunkan penggunaan wang bukanlah sesuatu yang mesti dalam peraturan ‘pertukaran barangan’ dan ‘penilaian harga’. Setiap kesalahan yang berlaku pada zaman Rasullullah SAW dihukum seperti menjalankan kerja amal, bertaubat, sepadan dengan barangan (unta, tamar dan sebagainya) kerana nilai pada waktu itu adalah berdasarkan kepemilikan harta. Ini tidak bermakna, denda sedemikian tidak boleh ditukar kepada ‘nilai wang’ apabila kehidupan terus bergantung kepadanya. Mujahidin masih memikirkan bahawa ‘zaman dahulu’ adalah sama dengan ‘zaman sekarang’ kerana itulah fahaman klasik yang masih menjiwai diri, sehingga tidak boleh menerima perubahan. Islam merupakan cara hidup yang boleh disesuaikan dengan keperluan semasa manusia, maka itulah Mujahidin perlu memahami bahawa umat Islam masakini sudah tidak lagi memerlukan ‘kuda perang’ atau ‘busur panah’ untuk mempertahankan negara dari diceroboh, ia sudah bertukar kepada bentuk senjata yang lebih canggih, termasuk peluru berpandu.

Yusuf al-Qaradawi pernah membedah mengenai kelemahan peradaban Islam yang sedang dialami oleh umat Islam dan menyimpulkan: Harapan kita amat besar pada kebangkitan Islam moden: Agar ia bekerja keras dan bertekad untuk membawa umat Islam berpindah dari kelemahan menuju kekuatan, dari kemiskinan menuju kemakmuran, dari kekacauan menuju sistem, dari kediktatoran menuju syura, dari perpecahan menuju kesatuan, dari kemalasan menuju pembangunan, dari perbalahan menuju integrasi dan saling membantu, dari kemunduran material menuju kemajuan yang utuh pada sudut material dan spiritual. …membangunkan kesedaran dan pembinaan, melakukan perubahan dari dalam diri masyarakat sehinggalah Allah merubah keadaannya menurut sunnah Allah.” (Yusuf al-Qaradawi, Hebatnya Islam: Peradaban Alternatif Masa Depan, 2015: 276)

Mujahidin turut mempersoalkan bahawa ‘hukuman 100 rotan’ sebagai hukum hudud, yang terdapat dalam al-Qur’an untuk kesalahan zina. Bagi melaksanakan kesalahan ini, ia memerlukan 4 orang saksi. Ertinya, Mujahidin hampir senada dengan Tun Dr Mahathir yang pernah mengkritik kegunaan saksi dalam menentukan kesalahan zina. Tidak semua penzinaan berlaku dalam keadaan atau persekitaran terbuka yang disaksikan oleh orang lain. Zina kebanyakannya berlaku secara sulit dan tersembunyi, maka ia adalah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan. Bahkan kriteria saksi juga wajib disahkan kewarasannya sebelum dijatuhkan sesuatu hukuman kerana ia boleh menimbulkan keputusan yang tidak adil.

Bukankah peredaran zaman boleh diketengahkan dengan pembuktian DNA? Ujian DNA boleh mengesahkan bahawa berlaku atau tidak kesalahan zina, yang tentunya ia bergantung pula kepada integriti pihak yang mengendalikan ujian berkenaan. Maka itulah penggunaan saksi dalam kes zina dan rogol boleh menjadi sesuatu yang sukar, maka ia perlu digantikan oleh ‘pemeriksaan pakar perubatan’ dan ujian DNA. Untuk menjamin hukuman yang adil, mereka yang dituduh perlu memberikan keterangan dan bukannya terlalu mencari kesilapan teknikal. Inilah sebenarnya yang boleh dianggap banyak berlaku dalam beberapa proses perbicaraan undang-undang sivil atau jenayah sekular, ia tidak banyak menjurus kepada menjawab ‘siapakah sebenarnya bersalah’. Ia lebih cenderung penentuan kesahihan bukti sehingga berjaya diketepikan atas kesilapan teknikal.

Benar ‘hanya Allah yang layak menghakimi keadaan seseorang itu’ tetapi ia tidak bermakna kehidupan di dunia tidak boleh ‘dihakimi oleh manusia’ kerana Allah SWT turut memerintahkan manusia dengan prinsip ‘menolak kemungkaran’. Ertinya, setiap yang mungkar atau memudaratkan wajar dihindari oleh manusia. Bagaimanapun, oleh kerana manusia juga dilentur oleh sikap tamak, hasad dengki dan keinginan memonopoli, ia memerlukan peraturan untuk mengawal atau melindungi yang lain daripada menjadi mangsa.

Inilah tanggungjawab manusia dan dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut manusia membentuk sistem peraturan, norma sosial dan sempadan tanggungjawab. Untuk menentukan ia tidak dilanggar atau dipatuhi maka ia memerlukan proses perbicaraan berdasarkan peruntukan undang-undang. Maka di situlah letaknya peranan hakim atau orang yang diberikan tanggungjawab ‘menentukan keadilan’. Sebuah undang-undang turut disusuli dengan satu undang-undang lain yang menjurus kepada kaedah dan tatacara pelaksanaannya, ia bukan sebuah undang-undang yang tunggal. (Rujuk: Siti Zubaidah Ismail, Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, 2016).

Memang Allah SWT akan mengadili setiap tindakan manusia tetapi resapan nilai itu tidak menjadi budaya hidup dalam sebahagian masyarakat Islam. Sebab itulah dalam masyarakat Islam turut berlaku jenayah, penganiayaan dan masalah sosial. Soalnya, Mujahidin perlu memahami bahawa manusia cenderung melakukan kesalahan atau kemungkaran sekiranya tidak ada peraturan yang boleh disabitkan kesalahan secara langsung semasa hidupnya.

Contohnya, walaupun Islam mewajibkan setiap penganutnya berbuat baik sesama manusia, kenapa ada orang Islam yang sanggup menipu atas nama ‘pakej umrah’ ataupun ‘saham Mekah’ dan ‘mencuri tabung masjid’. Mungkin Mujahidin boleh memberikan seribu alasan, tetapi alasan itu tidak menjurus kepada bentuk pencegahan dan kawalan secara berkesan jika tidak ada undang-undang berbentuk denda, hukuman penjara dan rampasan harta benda.

Bentuk hukuman—denda yang berat, rotan dan penjara—merupakan simbolik kepada keseriusan sesuatu kesalahan, maka perubahan kepada pindaan RUU 355 adalah sesuatu yang wajar untuk menjadikan orang Melayu-Islam lebih berhati-hati dalam setiap urusan kehidupannya. Ia memberikan gambaran, bila hukuman berat menanti, seseorang itu akan berfikir beberapa kali sebelum melakukan kesalahan, kerana membawa kepada ‘keresahan diri’ dan ‘penderitaan fizikal’ atau ‘kutukan masyarakat.’

Rasanya pindaan yang dicadangkan itu boleh mengurangkan sikap sesetengah orang Melayu-Islam untuk lebih menghormati undang-undang dan peraturan Islam. Misalnya, ada segelintir umat Islam cenderung melakukan zina atau meminum arak kerana hukumannya tidaklah berat. Seseorang yang dihukum kesalahan meminum arak sekitar RM 1,000 dan sebab itulah ramai juga mereka yang mengakui ‘saya juga Islam’ tidak merasakan ia sebagai satu kesalahan besar, yang boleh menjejaskan keislamanannya dengan ‘minum arak’.

Pernah berlaku, di sebuah pejabat yang dipunyai oleh seorang Islam dihiasi dengan ‘botol arak’ manakala setiap majlis keraian dihidangkan dengan minuman tersebut, walaupun diadakan secara eksklusif atau tertutup. Inikah pilihan yang hendak kita ‘budayakan’ atas alasan kebebasan individu atau ‘minyak dan air tidak bercampur?”. Arak diharamkan kerana ia boleh mengheret kepada lebih banyak kesalahan dan tindakan buruk termasuk mendedahkan ‘rahsia’ dan berzina.

Setiap hukum yang tidak ada dalam al-Qur’an, bagi Mujahidin ‘tidak boleh dipanggil hukum Allah’ dan ‘janganlah kita memandai-mandai mencipta hukum duniawi dan dalam masa yang sama melabelkannya sebagai hukuman Allah’. Dengan melabelkannya sebagai hukum Allah, ia adalah perkara “bohong” dan “fitnah Allah”. Bagaimanapun, Mujahidin mungkin terlupa bahawa walaupun penjara selama 30 tahun tidak disebut dalam al-Qur’an dan kemudiannya dimasukkan ke dalam Akta 355, ia tetap tidak menjadi kesalahan dan boleh dianggap sebagai ‘fitnah Allah’.

Mungkin Mujahidin terlupa bahawa Allah SWT mengharapkan manusia akan menyusunatur kehidupannya agar tidak mengkhianati orang lain, menjadi seorang yang beriman dan mementingkan kesejahteraan awam. Bukankah ‘ketetapan’ itu merupakan suatu kaedah menyusunatur sebuah peraturan untuk dijadikan pedoman kepada manusia?

Ia selaras dengan ajaran besar Islam bahawa ‘kita akan dipertanggungjawabkan’ dengan apa sahaja tindakan yang kita lakukan dan kerana itu dengan meletakkan hukuman 30 tahun penjara akan membimbing umat Islam untuk tidak menimbulkan lebih banyak keburukan. Misalnya, berjudi adalah dosa besar yang dilarang. Apabila hukuman hanya dikenakan sekitar RM 1,000 ia masih belum menghindari manusia daripada melakukan aktviti perjudian.

Contohnya, walaupun Kelantan dan Terengganu telah menutup premis perjudian, tidak bermakna aktiviti atau pembabitan rakyat kedua-dua negeri berkenaan terhapus sepenuhnya. Rakyat negeri berkenaan masih boleh membeli nombor pertaruhan menerusi pelbagai kaedah, termasuklah membeli nombor dengan mengubah seseorang lakukan menerusi teknologi, sindiket dan juga ‘runner’.

Nombor pertaruhan boleh dibeli menerusi ‘akses telefon pintar’ atau memesannya dalam talian dan mengupah seseorang. Fenomena ini belum berjaya disekat. Fenomena ini semakin memerlukan ‘kecekapan penguatkuasaan’ dan apakah perubahan sedemikian tidak perlu diperuntukkan oleh undang-undang? Tentunya, secara jelas fenomena ini tidak terdapat dalam al-Qur’an dan sesuatu proses penyesuaian itu boleh diistilahkan sebagai ‘fitnah Allah?’.

Sekalipun Himpunan RUU 355 berjaya memperoleh sokongan besar berbanding himpunan menentang pindaannya, jalan yang perlu diikuti adalah masih jauh. RUU 355 perlu dibawa semula ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk dibahas dan dipertimbangkan kelulusannya secara prinsip. Kelulusan tersebut masih belum boleh dianggap sah kerana ia perlukan kepada Pindaan Akta 355 itu sendiri, yang tentunya perlukan kelulusan kabinet dan pertimbangan Yang di Pertuan Agong. Ia akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum disahkan sebagai undang-undang. Setelah digazetkan baharulah Akta 355 yang dipinda itu boleh dikuatkuasakan.

Inilah yang perlu difahami oleh ‘pembuat undang-undang’ bahawa prosesnya bukan hanya berbekalkan semangat semata-mata, ia memerlukan sokongan kumpulan pelaksana yang professional. Kita tidak mahu apa yang berlaku ke atas pasangan yang ditangkap oleh pegawai penguatkuasa JAWI akan terus memburukkan keadaan. Pasangan tersebut telah memulakan tindakan menyaman JAWI dan ini memberikan kesan ke atas ‘keyakinan dan reputasi penguatkuasaan’ agensi agama.

Kita juga pernah merasa terkilan apabila JAWI gagal dalam prosedur ‘rampasan’ terhadap buku Allah, Kebebasan dan Cinta karya Irsyad Manji pada suatu ketika. Buku tersebut sekarang boleh dibeli di kedai-kedai buku, walaupun kandunganya mempamerkan liberalism Islam, JAWI telah gagal dalam proses pengharamannya. Bukankah Allah SWT menasihatkan manusia jangan menghampiri perkara-perkara yang disifatkan sebagai maksiat, menghampirinya boleh mempengaruhi ataupun menimbulkan keburukan, sedangkan Islam adalah cara hidup yang ditegakkan berasaskan prinsip moral agar setiap manusia lebih cenderung menolak pelbagai bentuk kemungkaran.

Persoalan-persoalan sebeginilah yang membuatkan Islam tercemar, walaupun dari segi asasnya Islam itu adalah sebuah cara hidup yang lengkap dan terbaik. Seperti dijelaskan oleh Angela Markel, Islam adalah sebuah agama yang baik dan berjaya memperbaiki kehidupan tetapi yang mengjengkelkan ialah tindakan orang Islam itu sendiri yang melangkaui ajaran agama. Jika orang Islam membudayakan konsep persaudaraan dan menghormati setiap manusia, maka tidak akan berlaku ‘tindakan ganas’ dan ‘perbalahan yang panjang’ sehingga memunculkan politik sektarian.

RUU 355 turut dilihat dalam perspektif politik sectarian kerana ia dimotori oleh kehendak PAS untuk kembali mencari sokongan setelah berpecah. PAS perlu melakukan ‘lonjakan’ selepas hubungannya dalam pakatan pembangkang terputus dan hapir separuh wakil rakyatnya menyertai Parti Amanah Nasional (PAN). Jika tiada lonjakan, PAS bakal berhadapan dengan ‘kegelisahan besar’ maka dengan itulah Haji Hadi bertegas mencari sokongan untuk menggunakan Undang-Undang Peribadi bagi mengusulkan pindaan RUU 355.

Ramai juga yang menyertai Himpunan RUU 355 tidak memahami dengan jelas apa yang akan dipinda termasuk perinciannya kerana Presiden PAS itu dijangka akan mengemukakannya di Dewan Rakyat pada bulan Mac nanti. Setelah membawa usul pada bulan Mei 2016, pada bulan November lalu, Presiden PAS memohon penangguhannya. Ini memberikan tafsiran bahawa Presiden PAS sebenarnya ‘belum bersedia secukupnya’ untuk memberikan penerangan yang jelas. Penerangannya semasa ‘ucapan kemuncak’ Himpunan RUU 355 belum cukup memberikan kita kefahaman mengenai pindaan yang bakal dilakukan, hanya sekadar memberikan hujah dan penekanan pindaan dilakukan kerana orang Barat juga mencadangkan kerana peraturan yang dianggap ‘ketinggalan zaman’.

Hendaknya selepas Himpunan RUU 355, PAS bersedia dengan lebih besar untuk memberikan penerangan kepada umat Islam agar memahami maksud perincian pindaan yang dicadangkan. Ramai umat Islam mengharapkan ‘sokongan yang terlahir daripada Himpunan RUU 355’ hanya sekadar semangat, kesungguhan tindakan tidak ada sebagaimana pernah berlaku ke atas Enakmen Jenayah Syariah II (Kelantan 1993) dan Undang-undang Islam Terengganu (2003), dokumen retorik politik yang terkandas dan menyerupai resolusi aktiviti persidangan.

Oleh: Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply