Hina Agong: Ratusan laporan polis tuntut tindakan segera terhadap Eric Liew

BANGI, 2 Jamadilawal 1440H, Selasa – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa pihak polis segera bertindak ke atas ratusan laporan yang dibuat sejak kelmarin terhadap Eric Liew – individu yang menghina bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, baru-baru ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak sampai 24 jam pihaknya menghantar bantahan, Cisco Asean hari ini tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyatakan bahawa Eric Liew sudah tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan.

“Harap menjadi pengajaran buat yang lain. Pemuda UMNO tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan dan desakan serupa terhadap mana-mana warga yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

“Harap pihak Polis juga segera bertindak atas ratusan laporan polis yang dibuat kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Sebelum ini, Eric didakwa memberikan komen jelek terhadap Sultan Muhammad V berhubung peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam sebuah hantaran di media sosial.

Dia didapati menulis ‘Too busy fornicating with his new bride’ (Terlalu sibuk berzina dengan isteri baharunya) dalam ruang komen berita ChannelNewsAsia.com.

Tindakannya menimbulkan kemarahan netizen, malah Pergerakan Pemuda UMNO semalam menyerahkan memorandum bantahan terhadap Eric Liew kepada majikannya Cisco Asean.

Hari ini, Syarikat Cisco Asean mengumumkan bahawa Eric Liew sudah tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan dan turut membuat permohonan maaf secara terbuka atas perbuatan kakitangannya itu.

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply