Menghadiri kenduri di kampung halaman saat libur panjang baru-baru ini menjentik kerisauan. Anak-anak tidak lagi menyapa mesra sepupu mereka. Semua mata tertumpu hadapan skrin gajet pintar yang ternyata telah berjaya ‘menghilangkan’ kepintaran komunikasi berkesan.

Ibu bapa juga tidak kurang hebatnya. Sambil tangan kanan menyuapkan makanan, yang kiri sibuk mengetik papan kekunci aksara di skrin menjawab segala persoalan dan melayan kehendak-kehendak material yang diminta pelanggan mahupun taulan.

Jika timbul sekali sekala pertanyaan dan putik perbincangan, suburnya telah tercantas dengan kualiti bahasa serta tanggapan minda yang meracuni rasa kasih sayang kekeluargaan.

Semua pengalaman ini ternyata amat menakutkan. Takut memikirkan masa depan.

Takut hilang kewarasan nurani dan jiwa. Kerana itulah sahaja yang menjadikan segala amalan bermakna. Bagaimana jika jiwa yang menjadi wadah segala kebaikan telah rosak, apakah ada ruang masih mampu diisi oleh ketulusan amal dan tindakan?

Dunia menghampiri kiamat, namun masih belum benar-benar di penghujung. Kita semua masih hamba Allah punyai tanggungjawab ibadah yang dituntut selagi punya usia. Khuatir, wadah hati menjadi pemangkin ketulusan ibadah telah rapuh menyebabkan kualiti amalan hanya tinggal perhiasan yang dimuat naik dalam media dipaparkan pada layar digital menggamit ribuan pujian dan sukaan.

Benar-benar kita bukan sahaja dilalaikan dengan mengumpul harta, bahkan kelalaian kita hari ini telah merebak kepada kegilaan mengumpul pujian serta pesona manusia pula.

TOKSIK DALAM KEBAIKAN

Kesan daripada jiwa yang punah inilah akan melahirkan natijah, meskipun bersifat kebaikan namun ia penuh dengan toksik dan kotoran. Mengapa toksik? Kerana bahan toksik ini sifatnya mencemar, bahaya, mampu meracuni kesihatan dan elemennya paling sukar untuk diuruskan bahkan mampu membunuh.

Bahayanya tidak bertepi. Namun apakah kaitannya antara toksik dan kebaikan atau amal kebajikan? Analogi ini diambil faham dan pengamatan dari firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 264:

Ertinya: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-sebut dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun daripada apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir.”

Rentetan beberapa hadis Rasulullah menjelaskan lagi maksudnya.“Tidak akan berhimpun antara debu-debu perjuangan pada jalan Allah serta asap neraka Jahanam dalam rongga tubuh seorang hamba itu selama-lamanya. Tidak akan sama sekali berhimpun antara sifat kedekut dan keimanan dalam hati seorang hamba itu selama-lamanya.” – Riwayat Nasa’i

Sabda baginda lagi: “Hendaklah kamu berwaspada dengan sifat kedekut, sesungguhnya sifat itu telah menghancurkan generasi sebelum kamu. Mereka telah diarahkan untuk memutuskan silaturahim lantas ia dilakukan, mereka juga diarahkan melakukan kerosakan dan maksiat maka ia dilakukan…” – Riwayat Abu Daud dan Ahmad

Mudah difahami sebenarnya, sifat kedekut, mengungkit pemberian, berasa diri sebagai paling hebat dan rentetan daripada sifat kedekut yang membinasakan silaturahim serta membawa perlakuan maksiat adalah racun dan toksik yang ‘membunuh’ amalan dan pahala.

Bukan itu sahaja, sifat ini meracuni pemikiran umat hingga mampu mencipta sejuta alasan untuk menjustifikasikan sifat kedekut mereka dengan mengemukakan hujah bersifat falasi agar mereka tidak memberi.

Mulut dan lidah mereka mengeluarkan kata ungkitan, cercaan dan nista kepada si fakir dengan katanya tidak mengenang nasib, lantas menyakitkan hati dengan mengungkit pemberian dalam bentuk menghinakan.

IBARAT RACUN

Ini ibarat racun yang bukan sahaja mencacatkan hubungan bahkan mampu mengikis kemurnian sebuah keikhlasan yang akhirnya membinasakan semua kebaikan seolah-olah tiada satupun pernah dilakukan.

Keracunan toksik ini terlalu berbisa hinggakan merebak ke jiwa hamba meskipun di saat menghadapi kematian. Pernah diceritakan bahawasanya Imam Hasan al-Basri pernah menziarahi seorang yang sedang nazak bernama Abdullah bin al-Ahtam.

Pada ketika itu, Abdullah sedang memandang ke arah sebuah peti berisi hartanya sendiri lantas berkata: “Wahai Abu Said! Apakah pandanganmu terhadap semua 100,000 dinar milikku ini yang belum pernah ditunaikan zakatnya dan tidak pernah aku menyambung silaturahim dengannya?”

Lalu jawab Imam Hasan al-Basri: “Berat sekali tanggungan ibumu! Justeru, mengapa engkau menghimpunkan segala harta itu?” Jawab Abdullah: “Kerana mahu dilihat hebat mengikut peredaran zaman, mendambakan kuasa dan memperbanyakkan nilai kehidupan.” Lantas Abdullah terus meninggal dunia.

Setelah urusan pengebumian selesai, Imam Hasan al-Basri berkata memberi nasihat: “Lihatlah kepada saudaramu yang ‘miskin’ ini. Syaitan telah datang kepadanya dan mempesonakan dengan kehebatan zaman, dambaan terhadap kuasa serta menghebatkan nilai kehidupan daripada segala yang Allah telah rezekikan kepadanya lantas menenggelamkan dirinya dalam pesona harta.

SUBURKAN KEBAIKAN

Kebaikan, kebajikan dan amal soleh hanya akan memberi kesan dalam kehidupan dunia jika disertakan dengan keikhlasan dan ketulusan jiwa. Sedarlah, masa kita di dunia ini hanya seketika.

Jika kita mengetahui hakikat kehidupan dan saat kematian pasti kita tidak punya ‘selera’ untuk menikmati pesona dunia. Jika kita benar-benar mampu ‘melihat’ betapa benarnya akhirat, pasti kita akan lebih sibuk memperbaiki amalan daripada satu dengan yang lain agar ia disempurnakan penuh keikhlasan dan ketulusan.

Berhentilah daripada menggantikan pahala dengan dosa. Ia ibarat usaha yang tiada guna.

Persis seorang yang menaiki anak tangga untuk ke rumah yang terletak di tingkat paling atas, setelah lelah dan penat akhirnya sampai di hadapan pintu lantas menyedari dia tidak membawa bersamanya kunci.Tiada ganjaran kecuali rasa penat kelelahan.