HINDARI POLITIK PEREBUTAN KUASA

Oleh: Dr. Alies Anor Abdul

KRISIS politik yang berlaku hari ini lebih menjurus kepada senario penggulingan kuasa sebagai titik noktahnya. Natijahnya, keadaan negara telah digambarkan mengalami krisis politik yang cukup merimaskan sejak 1998.

Persengketaan politik ini juga dihidu media antarabangsa yang menyifatkan situasi politik kebelakangan ini adalah pertembungan yang tidak hanya melibatkan antara pembangkang tetapi turut membabitkan entiti dalaman di dalam parti kerajaan.

Sebuah majalah terkemuka negara jiran misalnya, sejak awal tahun ini menjadikan isu pertelingkahan ini sebagai salah satu ‘hashtag’ berita yang cukup mendapatkan liputan meluas.

Pada hakikatnya, perselisihan faham dalam isu politik adalah perkara biasa dan kadangkala meningkat menjadi `menu wajib’ sebagai rencah dalam panggung politik yang sentiasa hidup dan dinamik. Sebabnya, jika persaingan dan perjuangan politik bertukar kepada keadaan statik, ini tidak hanya menjadikan sebagai hidangan politik yang membosankan akan tetapi situasi itu boleh membahayakan kepentingan rakyat kerana keadaan ini boleh melekakan pemimpin dan pada akhirnya mengakibatkan perancangan untuk mensejahterakan rakyat akan terabai dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Walau bagaimanapun, sudah tentu bagi menghidupkan gelanggang politik janganlah sampai terlajak kepada hanya memfokuskan kepada penggantian pemimpin sebagai tujuan utamanya. Tiada jaminan bila seorang pemimpin diganti akan merubah dan membaiki segala persoalan dan isu-isu yang dibangkitkan.

Penggantian pemimpin secara tiba-tiba, tidak berdasarkan konsensus hanya akan mencetuskan situasi huru-hara yang mendatangkan kemudaratan lebih besar kepada rakyat.

Dalam hal ini, menarik sekiranya kita mengambil pandangan Imam al-Ghazali mengenai cara menangani kepimpinan bermasalah. Menurut tokoh yang digelar sebagai hujjatul Islam itu, pemimpin bermasalah bahkan pemimpin zalim pun tidak boleh ditukar secara sewenang-wenangnya tanpa mempertimbangkan kerosakan dan kekacauan yang bakal timbul.

Menurut al-Ghazali pendekatan revolusi dan radikal bagi mengganti pemimpin perlu dielakkan. Sebaliknya, al-Ghazali menekankan prinsip nasihat dan rundingan sebagai kaedah untuk meluruskan pemimpin ke landasan yang benar dan diredai.

Keutamaan untuk memilih mengekalkan suasana kondusif dan mengelakkan kekacauan sebagaimana yang dianjurkan al-Ghazali bukannya tanpa asas. Perkara ini turut disentuh oleh pendapat popular Ibn Taimiyah dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar’iyyah yang menyatakan bahawa 60 tahun di bawah pemerintahan zalim lebih baik daripada satu malam tanpa pemerintahan. Negara tanpa ada kerajaan dan pemimpin akan menyebabkan kekacauan.

Ini bermakna, menciptakan keadaan sosiopolitik yang stabil, damai, harmoni, meletakkan nilai kepentingan am sebagai segala-galanya, lebih diutamakan berbanding merombak dan menukar kepimpinan yang zalim sekalipun, akan tetapi natijahnya menciptakan keadaan ketidakstabilan negara, huru-hara, kekacauan dan krisis yang berpanjangan.

Rasulullah SAW pernah ditanya, apakah kita harus memerangi mereka (pemerintah) yang melakukan perkara yang tidak disenangi rakyat dengan pedang atau menggunakan kekerasan. Nabi Muhammad SAW menjawab menerusi sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak, selama ia menegakkan (menunaikan) solat dengan kamu. Ketahuilah, orang yang dikuasai oleh seorang pemerintah dan melihatnya mengerjakan maksiat kepada Allah, hendaknya ia membenci maksiat kepada Allah itu tetapi tetap tidak melepaskan ketaatan kepada pemerintah tersebut” (Riwayat Muslim).

Apa yang berlaku di Asia Barat menjadi contoh konkrit kepada situasi yang diakibatkan oleh pergaduhan politik, perebutan kuasa dan nafsu untuk menumbangkan pemimpin yang dianggap menyeleweng. Bukan dilakukan dengan cara nasihat dan rundingan dengan cara santun yang diistilahkan dalam al-Quran wa jaadilhum billati hiya ahsan (berdiskusi dengan cara yang bijaksana). Hakikatnya, kemunculan gerakan militan IS bukan sepenuhnya dilatari keinginan menubuhkan negara Islam menurut versi mereka.

Sebaliknya, kemunculan IS berpunca kepada berlakunya kekacauan dan ketiadaan pemimpin negara yang stabil, kuat dan berupaya dalam mengatasi krisis yang berlaku. Kewujudan IS adalah cerminan daripada kekosongan ‘kuasa negara’ yang diakibatkan oleh perebutan kekuasaan sehingga dengan mudah negara dibolosi oleh elemen lain yang pada masa sama mempunyai kekuatan menubuhkan ‘negara dalam negara’.

Perkara inilah yang harus dibayar mahal oleh negara yang kacau, tidak stabil, lemah dan tidak berupaya mengatasi krisis yang berlaku disebabkan lebih mengutamakan idealisme kepimpinan negara.

Ramai terpedaya dengan impian mencari pemimpin ideal kononnya merupakan perkara prinsip yang tidak boleh dikompromi lagi. Walhal, isu ini sebenarnya mereka tenggelam kepada lamunan keutamaan dalam mencari pilihan. Hal ini akan mencetuskan situasi yang membahayakan umat apabila diheret kepada terbentuknya pemikiran furu’ (cabang) dijadikan isu usul (pokok).

Tidak ramai ahli politik yang memutuskan untuk terjun ke dunia politik diinsafi oleh kesedaran bahawa sesungguhnya politik amat mulia dan adalah salah satu tuntutan agama. Politik, dalam bahasa al-Quran diterjemahkan sebagai manifestasi tugas manusia dalam kapasitinya sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

Dengan politik dan kuasa yang ada di genggamannya, seorang khalifah atau pemimpin tidak hanya melaksanakan perintah agamanya akan tetapi dengan politik dapat memakmurkan negara, mensejahterakan rakyat, membanteras kemungkaran, memerangi rasuah, menghukum pengkhianat kerajaan dan menyekat sebarang bentuk penyelewengan.

Dengan politik, kerajaan boleh menciptakan tadbir urus yang baik, menerapkan ketelusan dalam pentadbiran dan yang paling penting menjadi delegasi utama dalam memartabatkan Islam dalam segala aspek kehidupan manusia.

Tidak semudah itu untuk menjadi pemimpin politik, malah ada dalam kalangan kita yang suka meminta-minta jawatan walhal tidak mampu untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Rasulullah SAW pernah menegur sahabatnya Abdul Rahman bin Samurah agar jangan meminta jawatan seperti mana dalam sabdanya yang bermaksud: ”Wahai Abdul Rahman Bin Samurah, janganlah kamu meminta kedudukan dalam pemerintahan. Sungguh, jika kau diserahi satu jawatan tanpa meminta, maka kamu akan ditolong oleh Allah. Tetapi jika kau diserahi jawatan itu kerana permintaanmu, maka semua risiko akan terpikul oleh kamu sendiri”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hakikatnya, politik perebutan kuasa amat mudah menjerumus umat Islam ke dalam konflik yang memecahbelahkan persatuan dan kesatuan umat. Situasi inilah yang menjadi keprihatinan ikon dakwah terkemuka Hasan al Banna dalam karyanya Majmu’ah Rasail yang menyatakan bahawa perpecahan umat merupakan bentuk kekalahan ukhuwah imaniah yang disebabkan oleh kerakusan mengejar jawatan dan material dunia yang fana.

Dalam konteks ini Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk menyampaikan pernyataan tegas berikut melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan daripada siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, dalam tangan-Mu segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu,” (Surah Ali-Imran ayat 26).

No Comments

    Leave a reply