HOMOSEKSUAL: TANGANI SECARA TEGAS

Kegiatan homoseksual yang bergerak secara underground (sembunyi-sembunyi) di negara ini merupakan suatu perkara yang sangat membimbangkan. Ada desas-desus (belum dapat dipastikan kesahihannya) mengatakan kegiatan homoseksual ini mulai menular dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa/si di universiti. Bukan setakat itu, malah turut tersebar video-video adegan lucah golongan homoseksual hingga menyebabkan ramai golongan muda yang terpengaruh.

Semua ini berlaku hanya secara sembunyi-sembunyi kerana negara kita masih tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu yang mahukan golongan homoseksual ini diiktiraf atas nama hak asasi manusia. Seandainya ia diiktiraf, maka perlakuan terkutuk ini akan dibuat secara terang-terangan dengan penuh rasa bangga. Hal ini sebagaimana yang berlaku di Amerika Syarikat setelah golongan ini diiktiraf.

Dari sudut pandang Islam, homoseksual merupakan satu penyakit moral yang bertentangan dengan fitrah dan tamadun hidup manusia. Hal ini kerana ia melibatkan kecenderungan songsang dalam diri seseorang atau seseorang yang tertarik dari segi seks kepada orang yang sama jantinanya. Dengan perkataan lain, golongan homoseksual ini mengamalkan seks songsang yang sangat bercelaru dan membimbangkan.

Sebenarnya, kegiatan homoseksual ini bukanlah suatu penyakit moral yang baru muncul. Kegiatan ini telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud, “Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah (mungkar itu) yang belum pernah dikerjakan oleh seseorang pun (di dunia ini) sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah al-A‘raf ayat 80-81).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia? Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) daripada badan isteri-isteri kamu? Kamu orang yang bersalah, bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan).” (Surah al-Syu‘ara ayat 165-166).

Hubungan jenis sesama jantina ini bukan sahaja dosa besar, malah termasuk dalam perbuatan yang dilaknat Allah SWT. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah SWT melaknat sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Lut (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali)” (Riwayat al-Nasa’iy).

Perbuatan itu bukan sahaja diseksa pada hari akhirat bahkan Allah SWT akan timpakan bala di dunia ini. Misalnya, sebagai akibat daripada hubungan seks sesama jantina yang dilakukan oleh kaum Nabi Lut a.s., iaitu penduduk Sodom, Allah SWT menurunkan bencana kepada mereka. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Kami turun­kan kepada mereka (kaum Lut) hujan (batu), maka perhatikan bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu.” (Surah al-A‘raf, ayat 83).

Selain peristiwa di Sodom itu, terdapat juga peristiwa kemungkaran penduduk di bandar-bandar di bawah pemerintahan Rom seperti Pompeii, Stabiae dan Herulaneum pada era hampir abad pertama Masihi. Mengikut ahli sejarah, penduduk di bandar ini melakukan pelbagai kegiatan maksiat seperti homoseksual, pelacuran dan seks bebas secara terbuka. Sebagai akibatnya Allah SWT menurunkan bala dan kemurkaan terhadap penduduk bandar itu dengan menjadikan Gunung Vesuvius di Itali meletup sehinggakan bandar-bandar dan beribu-ribu orang penduduk di situ tertimbus.

Pompeii tertimbus sedalam 3.05 meter, manakala Herculaneum tertimbus sedalam 23 meter. Sebelum gunung berapi tersebut meletus, ia mengeluarkan bunyi seperti guruh yang dahsyat dan menggerunkan. Ahli-ahli arkeologi yang menggali bandar-bandar tersebut mendapati mayat-mayat yang tertimbus itu diselaputi lumpur. Bentuk-bentuk tubuh badan mereka pula masih kekal. Gambar-gambar lukisan yang digantung di dalam bangunan-bangunan yang tenggelam itu menunjukkan corak kehidupan masyarakat ketika itu.

Antaranya terdapat gambar lelaki melakukan hubung­an seks sesama jantina dan pelbagai gambar lucah berkaitan hubungan seks di khalayak ramai termasuk bersama haiwan. Berdasarkan corak kehidupan yang dipenuhi dengan hawa nafsu yang melampaui batas, maka kemurkaan Allah SWT terhadap mereka adalah tidak terbatas.

Islam secara tegas menentang kegiatan homoseksual tersebut kerana jelas bertentangan dengan fitrah dan tamadun manusia. Amat mendukacitakan apabila amalan ini masih dianggap sebagai fitrah manusia bagi sesetengah pihak. Misalnya, Siti Musdah Mulia melalui kertas kerja beliau “Understanding of LGBT Issues in Islam Promoting the Appreciation of Human Dignity” menyatakan homoseksual merupakan satu fitrah dan bukan dibuat-buat

Kini, nasib golongan homoseksual ini mula diperjuangkan oleh banyak pihak. Misalnya, di peringkat antarabangsa, Amnesty International adalah antara pertubuhan hak asasi manusia yang bertindak memperjuangkan nasib golongan homoseksual ini. Mereka percaya bahawa setiap individu harus menikmati hak asasi tidak kira yang normal ataupun yang mengamalkan orientasi seks songsang. Selain itu, pertubuhan lain yang menyokong kegiatan homoseksual ini seperti Imaan LGBTIQ Support Group yang bergerak melalui laman sesawang dan dipercayai kumpulan terbesar di United Kingdom (UK). Kumpulan ini ditubuhkan bagi tujuan mempromosikan nilai Islamik yang aman, keadilan dan toleransi dalam bersosial serta berhasrat untuk membawa dunia dengan visi ‘tiada prejudis dan ‘diskriminasi’ terhadap LGBT Muslim di seluruh dunia’.

Selain di UK, di Amerika Syarikat, Al-Fatiha Foundation bertindak mengumpulkan LGBT di seluruh dunia melalui medium internet dan mempunyai 14 cawangan di Amerika Syarikat, England, Kanada, Sepanyol, Turki dan Afrika.

Sebenarnya bukan sahaja organisasi yang bergerak untuk menyokong perjuangan golongan homoseksual ini, malah terdapat Imam Muslim di USA yang menjadi ketua perjuangan homoseksual ini iaitu Imam Daayiee Abdullah. Beliau seorang gay yang berasal dari Detroit muncul dan menjadi Imam kerana terdapat ramai golongan homoseksual beragama Islam yang dipulaukan. Selain menjadi tempat rujukan golongan homoseksual Islam, Imam Daayiee Abdullah merupakan imam pernikahan sejenis di Washington DC, USA. Lebih 50 pasangan sama jantina telah dinikahkan oleh beliau.

Selain di peringkat antarabangsa, di Malaysia juga terdapat pertubuhan yang menyokong dan memperjuangkan hak asasi golongan homoseksual ini melalui kumpulan LGBT. Gabungan Non Governmental Organization (NGO) yang terlibat dalam menyuarakan hak asasi manusia, Coalition of Malaysian NGO (COMANGO) adalah antara yang terlibat secara langsung dengan perjuangan ini. COMANGO terdiri daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Woman Assosiation Organization (WAO), Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan beberapa pertubuhan lain. Pada Oktober 2013, COMANGO menuntut pengiktirafan hak-hak berkaitan dengan Sexsual Orientation and Gender Identity (SOGI) iaitu hak-hak LGBT. Namun pada Januari 2014, Malaysiagazette melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan COMANGO kerana pertubuhan tersebut merupakan pertubuhan yang tidak berdaftar.

Bagi mencapai hak mereka, pejuang LGBT ini sedaya upaya mengetengahkan prinsip dalam penerapan undang-undang antarabangsa yang berkait dengan orientasi seksual dan identiti jantina. Keadaan ini dibuktikan dalam Yogyakarta Principle yang merupakan hak asasi manusia yang dibentuk atas kepercayaan bahawa manusia dilahirkan mempunyai hak dan penghormatan sama rata tidak kira orientasi seksualnya. Prinsip ini turut menegaskan hak kemanusiaan adalah universal, saling bergantung (interdependent), tidak boleh dipisahkan (indivisible) dan mempunyai kaitan antara satu sama lain (interrelated). Bagi prinsip ini, hak kemanusiaan merupakan hak asasi manusia dalam menjaga penghormatan dan sifat kemanusiaan individu. Selain itu, orientasi jantina tidak harus dijadikan sebagai asas kepada diskriminasi.

Jika benar-benar diamati, golongan LGBT ini semakin hari semakin berani tampil ke hadapan untuk meminta agar hak mereka dijamin. Pada 24 Oktober 2013, beberapa laporan dikemukakan oleh COMANGO melalui Universal Periodic Review (UPR) kepada Majlis Hak Asasi Manusia bertempat di Geneva, Switzerland. Antaranya pada perenggan 6.8, Malaysia ditekankan untuk mengiktiraf hak-hak berkaitan dengan SOGI iaitu hak-hak lesbian, gay, bisexsual, transgender, intersexed dan queer person (LGBTIQ). Mereka mendakwa hak mereka dinafikan dan tidak diiktiraf oleh kerajaan mahupun masyarakat. Mereka meminta agar kerajaan mengiktiraf dan melaksanakan Yogyakarta Principle, undang-undang hak asasi manusia dalam orientasi seksual dan identiti gender. Namun permintaan itu ditolak oleh kerajaan sehingga membawa kepada pengharaman COMANGO kerana didakwa sebagai sebuah pertubuhan NGO yang tidak berdaftar.

Perlakuan homoseksual merupakan suatu kesalahan di bawah undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah. Peruntukan kesalahan ini terletak di bawah hubungan jenis antara orang yang sama jantina. Perkara ini terangkum dalam akta, enakmen dan ordinan di negeri-negeri seluruh Malaysia.

Tujuan Allah SWT menjadikan makhluk itu berpasang-pasangan adalah supaya fitrahnya akan tertarik kepada jantina yang berlainan. Peraturan dan fitrah ini tidak hanya ditentukan kepada manusia, malah kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, haiwan mendatangi jantina sesama jenis begitu juga tumbuh-tumbuhan. Namun, sejarah manusia melakarkan perbuatan tidak bermoral ini dan melanggari fitrah sepertimana yang berlaku pada zaman Nabi Lut a.s sehingga Allah SWT telah menurunkan bala yang dahsyat disebabkan oleh kerosakan dan maksiat yang dilakukan oleh manusia pada masa tersebut.

Hari ini, sejarah kembali berulang apabila perlakuan keji tersebut dianggap sebagai fitrah hidup manusia dan diterima masyarakat. Malah, sesetengah negara membenarkan perbuatan ini secara sah di sisi undang-undang dan pasangan sejenis diberi kebenaran untuk berkahwin.

Bagi mengelak kegiatan terkutuk ini daripada terus bebas dilakukan, paling tidak terdapat empat cara untuk menanganinya, iaitut:

Pertama, sekiranya perbuatan homoseksual itu dilakukan dengan sembunyi-sembunyi dan si pelakunya masih mempunyai rasa bersalah, maka mereka patut dibimbing dengan lembut, berikan kata-kata semangat, dorongkan untuk mereka langkah-langkah untuk berubah, tunjukkan mereka jalan keluar dan sentiasa doakan mereka. Sebenarnya golongan sebegini baik, tetapi mereka diuji Allah SWT dengan perasaan suka sesama jantina. Mereka telah berusaha melawan perkara itu, cuma mereka masih tertewas dengan nafsu. Sehubungan itu, mereka patut dibimbing dan elakkan menghina golongan yang berada dalam situasi sebegini.

Kedua, jika perbuatan homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan, bangga dan si pelakunya tidak langsung rasa bersalah, maka dalam situasi sebegini kita perlu tegas dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan terhadap mereka. Bahkan dalam perundangan Islam juga ada tindakan yang perlu dilakukan terhadap mereka yang melakukan perbuatan homoseksual. Segala parti berorientasi seks yang melibatkan golongan ini khususnya perlu dicegah dan dihalang.

Sekiranya ada antara mereka sudah ditangkap dan dikenakan tindakan, pihak berwajib juga perlu memberi pengisian rohani untuk membangunkan kembali insaniah mereka. Moga-moga dengan itu mereka sedar atas kesalahan yang dilakukan dan tidak akan mengulangi lagi perbuatan terkutuk tersebut pada kemudian hari.

Dalam hal ini, perlu diingatkan ‘golongan agama’ janganlah cuba tunjukkan sokongan buat golongan homoseksual ini. Kesan daripada sokongan terhadap perbuatan terkutuk mereka itu, maka mereka akan bangga dan rasa disupport oleh ‘golongan agama’ ini. Jika disoroti kembali usaha dakwah Nabi Lut a.s., Baginda bertungkus lumus berdakwah pada umatnya yang mengamalkan seks songsang ini. Meskipun ditentang, Baginda dengan beraninya mencegah, mengancam dan memberi peringatan. Jelas di sini tidak terdapat unsur-unsur sokongan Nabi Lut a.s. terhadap perbuatan mereka.

Amat mendukacitakan apabila kita menegur dan mencegah perbuatan homoseksual ini, ada sesetengah pihak yang berkata “Janganlah hina mereka. Mereka pun ada hak nak amalkan apa yang mereka suka”. Jika diimbas kembali, skrip mereka ini sama seperti skrip yang dilafazkan oleh Abu Jahal serta kaum musyrikin Mekah terhadap dakwah Nabi Muhammad SAW kepada mereka. Mereka berkata “Muhammad menghina tuhan-tuhan kami. Muhammad menghina agama nenek moyang kami”.

Dalam hal ini, jelas Nabi Muhammad SAW tidak menghina mereka, tetapi Baginda hanya mahu keluarkan mereka daripada kehinaan. Samalah juga  dengan situasi sekarang ini. Kita tidak menghina golongan homoseksual, tetapi kita menghina perbuatan keji yang mereka lakukan itu. Lebih-lebih lagi apabila Allah SWT dan Rasulullah SAW sendiri melaknat perbuatan tersebut, maka Allah SWT akan campakkan dalam hati orang yang beriman untuk merasakan perbuatan mereka itu hina. Oleh sebab itulah kita perlu selamatkan mereka agar keluar daripada kehinaan ini.

Ketiga, janganlah sama sekali menyokong individu, pertubuhan dan NGO yang bertindak menyokong perbuatan homoseksual ini. Perbuatan menyokong dan bekerjasama dengan mereka sebenarnya seolah-olah kita meredai perbuatan terkutuk itu. Dalam hal ini, amat membimbangkan apabila dengan tidak disangka-sangka ada juga ‘golongan agama’ yang masih lagi melindungi, menghormati dan menyokong perbuatan homoseksual ini. Mereka tidak langsung mengatakan perbuatan homoseksual itu salah, bahkan terus menerus menyalahkan golongan yang berusaha untuk menyelamatkan Malaysia dari perbuatan terkutuk ini.

Keempat, isu tuntutan supaya perbuatan homoseksual ini diiktiraf oleh semua pihak tidak harus dilaungkan-laungkan sekadar kempen dalam manifesto politik. Dalam politik Islam, manifesto-manifesto tidak digunakan untuk memperjuangkan bagi mendapat kuasa dan pangkat. Sebaliknya, pemimpin Islam berjuang untuk memartabatkan Islam, iaitu berjuang untuk benar-benar menyekat perbuatan homoseksual yang jelas diharamkan dalam al-Qur’an dan hadis daripada terus berlaku.

Kesimpulannya, golongan yang melakukan perbuatan homoseksual ini perlu dikawal dan dicegah melalui pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Tindakan agresif perlu diambil agar golongan ini tidak terus memperlekehkan dan menghina perundangan syariah di Malaysia. Wujudnya perlembagaan Persekutuan dengan membawa hasrat bagi menjulang agama Islam sebagai agama negara secara jelas menunjukkan bahawa tiada sesiapa pun di dalam negara ini yang boleh memperlekeh dan mengenepikan undang-undang Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Oleh Dr. Mohd Shukri Hanapi,

Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Minden, Pulau Pinang

No Comments

    Leave a reply