HUDUD DALAM PERUNDANGAN NEGARA

Sudah dua dekad atau lebih istilah hudud menjadi popular dan mendapat perhatian pelbagai lapisan masyarakat negara ini. Walaupun udud hudhudud dalam kursus perundangan Islam merupakan topik khusus tetapi pada mulanya hudud diperkenal kepada khalayak melalui pentas politik. Bermula di situ, dalam banyak keadaan hudud ini menjadi buah mulut politik. Perbincangan berkaitan hudud juga seolah mengikut rentak susunan melodi politik. Ia menjadi semakin rancak sebelum pilihan raya, tetapi bernada perlahan selepas pilihan raya. Walau apa pun, dalam membincangkan perkara berkaitan hudud dalam sistem perundangan, kita mesti ketepikan nada dan nyanyian politik itu. Kita mesti membincangkannya melalui kaedah akademik dan praktikalnya dalam sistem yang ada bagi usaha kita berdakwah demi memartabatkan hukum Allah di bumi tanah air yang kita cintai ini.

Dalam ruangan ini perkara utama yang saya mahu mengajak pembaca untuk melihat polemik hudud ini dalam kaca mata sistem perundangan kita; tentang kedudukan dan pelaksanaannya dalam kerangka undang-undang yang sedang kita amalkan. Undang-undang utama yang kita harus lihat dan perhati ialah Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada itu, ia juga melibatkan undang-undang lain, seperti undang-undang jenayah, tatacara jenayah dan juga keterangan.

Sebelum saya teruskan dengan perbincangan berkaitan perundangan, saya mahu berkongsi maksud hudud secara ringkasnya. Hudud secara harfiahnya boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai had-had atau sekatan-sekatan. Dalam istilah perundangan dan bagi tujuan rencana ini yang saya maksudkan hudud sebagai merujuk kepada kesalahan-kesalahan beserta hukumannya disebut dengan jelas dalam al-Quran atau sunnah. Walaupun terdapat perbahasan fiqh atau tafsiran tentang apakah kesalahan dan hukuman hudud, saya tidak berniat untuk mengulasnya di sini. Cukuplah sekadar pengenalan umumnya sahaja disebut di sini bahawa hudud terdiri daripada tujuh kesalahan yang mana hukumannya didapati sama ada dalam al-Quran sendiri atau bersumber daripada hadis. Kesalahan-kesalahan tersebut ialah curi, zina, menuduh zina, rompak, memerangi kerajaan yang sah, riddah dan minum minuman memabukkan. Perincian seterusnya lebih merupakan memerlukan perhatian khusus dalam forum berlainan.

Dalam aspek lain perundangan Islam, hudud juga merujuk kepada had-had tertentu, yang mana, al-Quran melarang perbuatan membunuh dan menyebabkan kecederaan; secara ringkasnya kesalahan yang melibatkan tumpahnya darah. Ini juga adalah had-had atau batasan sistem kehidupan Islam yang dipagari dengan perundangannya. Mengenai perkara ini undang-undang Islam meletakkan kesalahan dan hukuman qisas yang secara harfiah bermaksud balas balik. Maksudnya, perbuatan jenayah dilakukan seseorang, setelah dibuktikan boleh di‘qisas’kan atau dibalas balik ke atas pelaku itu. Berkaitan dengan qisas ini ialah diyyah atau sejumlah bayaran bagi kesalahan membunuh atau kesalahan seumpama denda atas kesalahan melibatkan darah seperti membunuh atau mengakibatkan kecederaan;

Kedua-dua aspek hudud ini (tujuh kesalahan, bunuh dan menyebabkan kecederaan) akan saya huraikan dalam kerangka perundangan kita. Saya mulakan perbincangan dengan membahaskan isu-isu yang ada hubungkait antara hudud, qisas dan diyyat dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hudud dan Perlembagaan Persekutuan

Persoalan utama di sini ialah adakah Perlembagaan menyediakan ruang untuk pelaksanaan hudud, atau, adakah Perlembagaan meletakkan sebarang halangan atau kekangan kepada pelaksanaan hudud. Bagi menjawab dua persoalan ini, huraian akan diberikan kepada dua perkara pokok, iaitu, sifat ketinggian Perlembagaan, dan kedua, sifat agama Persekutuan.

Hudud dan Ketinggian Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan, sebagaimana kita maklum, merupakan undang-undang tertinggi negara. Adakah sifat ketinggian Perlembagaan itu menyebabkan undang-undang hudud tidak boleh dilaksana?

Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan antara lain,

“Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu”.

Oleh itu, perkara pertama yang biasanya dihujah sebagai kekangan kepada pelaksanaan hukum Allah ini ialah sifat atau prinsip ketinggian Perlembagaan. Apabila kita menerima pakai prinsip ketinggian Perlembagaan ini, kesannya ialah apa juga undang-undang yang mahu diperkenal dan dilaksana hendaklah selaras dan sentiasa bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan. Dalam konteks undang-undang hudud sekiranya didapati bercanggah dengan Perlembagaan maka ia tidak sah dan tidak boleh dilaksana. Namun sekiranya kita berjaya berhujah bahawa ia selaras dengan Perlembagaan, maka hukum Allah itu boleh diperkenal dan dilaksana dalam sistem dan institusi yang sedang kita amalkan kini.

Walaupun kita menerima prinsip ketinggian Perlembagaan, Perlembagaan tidak secara harfiah meletak halangan penggunaan kepada penerimaan dan pemakaian prinsip agama. Selain itu, walaupun Perlembagaan tidak meletakkan secara khusus sumber undang-undang Islam, paling utama, Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan khusus yang menolak sumber perundangan Islam itu. Perlembagaan juga tidak mempunyai peruntukan khusus yang menolak pemakaian prinsip Islam atau menghalang penggunaan prinsip undang-undang Islam yang diterima secara sejagat, seperti prinsip kesaksamaan. Malah, saya percaya, Perlembagaan amat mendokong prinsip ini. Amat jelas, Perlembagaan tidak menggunakan perkataan “sekular” dalam mana-mana peruntukannya.

Dengan tiadanya peruntukan yang secara harfiah menolak secara total sumber undang-undang Islam dan dengan tiadanya peruntukan berkaitan sifat sekular dalam Perlembagaan, maka kita tidak boleh secara implikasi menyatakan bahawa Perlembagaan tidak menolak atau menghalang penggunaan prinsip Islam yang boleh dimanfaatkan. Dengan tidak adanya deklarasi berkaitan sifat sekular negara, maka sifat ketinggian Perlembagaan itu tidak semestinya menafikan kedudukan agama dan seterusnya menyatakan bahawa sifat ketinggian Perlembagaan itu menjadi kekangan atau halangan dalam pelaksanaan hukum hudud. Sebagai rumusan kita tidak boleh menganggap hudud menyalahi prinsip ketinggian Perlembagaan.

Sifat Sekular

Ada yang menghujah bahawa negara ini adalah negara sekular. Kesan daripada hujah ini, maka kesalahan dan hukuman hudud, qisas dan apa juga undang-undang yang mempunyai sifat atau elemen agama tidak boleh dilaksana.

Sifat sekular telah disebut oleh panel hakim dalam kes Che Omar Che Soh. Penghakiman dalam kes ini menyebut,

“When the British came… through a series of treaties with the sultans beginning with the Treaty of Pangkor and through the so-called British advice, the religion of Islam became separated into two separate aspects, viz. the public aspect and the private aspect. The development of the public aspect of Islam had left the religion as a mere adjunct to the ruler’s power and sovereignty. The ruler ceased to be regarded as God’s vicegerent on earth but regarded as a sovereign within his territory. The concept of sovereignty ascribed to humans is alien to Islamic religion because in Islam, sovereignty belongs to God alone. By ascribing sovereignty to the ruler, i.e. to a human, the divine source of legal validity is severed and thus the British turned the system into a secular institution. Thus all laws including administration of Islamic laws had to receive this validity through a secular fiat”.

Beberapa pihak memetik keputusan kes Che Omar Che Soh ini sebagai hujah bahawa negara ini adalah negara sekular. Sebenarnya saya ragu-ragu dengan ketepatan hujah yang menggunakan keputusan ini sebagai menyatakan tentang sifat sekular negara. Ini kerana keputusan kes ini tidak menyebut tentang negara sekular, tetapi sistem yang digunakan di negara ini sekular setelah British menjadikan institusi raja sebagai ‘sovereign’ dan prinsip ‘sovereignty’ ini bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang yang diluluskan menerusi cara sekular. Ternyata, keputusan tersebut tidak menggunakan istilah ‘secular state’ atau negara sekular.

Satu lagi hujah saya mengenai keputusan Che Omar Che Soh ini ialah, walaupun dihujahkan bahawa instusi Raja Melayu telah dijadikan British sebagai kuasa utama, tetapi kuasa institusi raja itu tertakluk kepada Perlembagaan. Dan sebagaimana dihujahkan di atas, bahawa Perlembagaan, walaupun mempunyai sifat ketinggian, tidak pula meletakkan peruntukan khusus menolak kedudukan agama atau prinsip agama.

Rujukan tentang sifat sekular negara ini juga sering dikaitkan dengan kenyataan Tunku Abdul Rahman dalam Kertas Putih dan juga pendapat Hakim Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid ketika menulis pendapat berasingan yang memberikan sokongan untuk memasukkan peruntukan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara ini.

Persoalan yang saya ingin timbulkan di sini ialah, sekiranya kita merujuk kepada sejarah dan kedudukan agama Islam di negara ini adakah kenyataan Tunku dan kenyataan Hakim Abdul Hamid itu benar? Negara ini pada setiap masa tidak pernah menolak agama Islam. Walaupun dikatakan undang-undang Islam terpinggir, terutamanya undang-undang jenayah, tetapi orang-orang di negara kita tidak pernah menolak kewujudan agama

Bahkan agama sentiasa mendapat tempat bukan sahaja dalam hal-hal formal, malah juga perkara sosial. Dari perspektif sejarah tiada fakta yang diterima umum menunjukkan negara ini adalah negara sekular dalam erti kata negara menjurus kepada falsafah yang memisahkan agama atau menafikan agama daripada perundangan dan juga sistem sosialnya. Apa yang jelas ialah, dalam Perlembagaan Negeri Johor (1895) dan Perlembagaan Negeri Terengganu (1911) adalah dengan jelas disebut bahawa negeri-negeri Melayu tersebut adalah negeri-negeri “Islamiyyah Malayuwiyyah”.

Selain daripada itu, setelah kemerdekaan, sifat sekular negara juga boleh dinafikan dengan adanya Perkara 3 dan beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan yang meletakkan agama Islam di tempat yang sangat selesa seperti dalam lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana disebut dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, hujah untuk menolak hudud kerana negara ini sekular bukanlah satu hujah yang kukuh. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan mengisytihar Islam sebagai agama bagi negara ini. Sekiranya dilihat secara keseluruhan, Perkara 3 ini adalah peruntukan umum yang meletakkan sifat Perlembagaan dari sudut kedudukan agama.

Berkaitan hukum jenayah, kesan kepada Perkara 3 ini, sebagaimana yang cuba dihujahkan oleh peguam dalam kes Che Omar Che Soh ialah untuk menjadikan suatu hukuman (dalam kes ini hukuman mati mandatori) itu tidak sah sekiranya bertentangan atau menyalahi hukum yang dianjurkan Islam. Dalam penghakiman kes ini, ada disebut,

“It is the contention of Mr. Ramdas Tikamdas that because Islam is the religion of the Federation, the law passed by Parliament must be imbued with Islamic and religious principles and Mr. Mura Raju, in addition, submitted that, because Syariah law is the existing law at the time of Merdeka, any law of general application in this country must conform to Syariah law”.

Panel hakim walau bagaimanapun memutuskan, “Needless to say that this submission, in our view, will be contrary to the constitutional and legal history of the Federation and also to the Civil Law Act which provides for the reception of English common law in this country”.

Sebelum daripada petikan ini, hakim menyatakan bahawa sekiranya diniatkan oleh penggubal Perlembagaan untuk memberikan maksud sebenar “Islam” yang merupakan agama yang lengkap, iaitu satu cara hidup yang juga menyediakan undang-undang jenayah, maka, “there would have been another provision in the Constitution which would have the effect that any law contrary to the injunction of Islam will be void”. Dalam konteks ini, boleh dihujahkan bahawa tafsiran Perkara 3 sebagaimana dalam keputusan kes Che Omar Che Soh ini tidak mesra kepada pelaksanaan hudud.

Walaupun begitu, sebagaimana yang saya sebut di awal tadi, Perkara 3 adalah peruntukan umum yang meletakkan sifat agama kepada Perlembagaan. Perkara 3 ini bukanlah satu-satunya peruntukan Perlembagaan yang mesra Islam. Masih terdapat lagi ruang untuk kita menerima kesalahan dan hukuman hudud menerusi Perlembagaan.

Kita boleh menghujah untuk lebih mesra kepada hudud dengan meletakkan hudud di bawah tiket undang-undang jenayah secara umum, bukan melabelkannya sebagai undang-undang Islam.

Hudud dan Pembahagian Kuasa Perundangan

Sebagaimana kita maklum, Perlembagaan membahagikan kuasa legislatif kepada Persekutuan dan juga negeri. Pembahagian kuasa ini menjadikan Islam, termasuk undang-undang jenayah Islam sebagai urusan negeri-negeri, manakala urusan berkaitan pentadbiran keadilan secara umum, termasuklah pewujudan kesalahan jenayah dan prosedurnya di bawah kuasa legislatif Persekutuan. Setakat masa ini oleh kerana pembahagian kuasa, maka terdapat empat kesalahan hudud telah dibuat oleh Dewan Undangan Negeri. Kesalahan-kesalahan tersebut ialah, zina, menuduh zina, minum arak dan murtad. Empat kesalahan ini dianggap sebagai kesalahan terhadap perintah agama Islam dan hanya terpakai ke atas orang Islam. Tiga kesalahan hudud yang lain, iaitu curi, rompak dan memerangi kerajaan sah telah disebut dalam Kanun Keseksaan, iaitu satu undang-undang di peringkat Persekutuan yang diterima pakai ke atas semua pihak.

Sekiranya kita boleh menerima kesalahan-kesalahan tersebut sebagai kesalahan umum bagi semua rakyat Malaysia, perubahan yang perlu dilakukan untuk meletakkan hukuman hudud dan seterusnya menjadikan kesalahan-kesalahan yang ada di bawah undang-undang Persekutuan ini sebagai jenayah umum.

Hudud sebagai Undang-Undang Jenayah Umum

Sekiranya hudud dilabelkan sebagai undang-undang jenayah umum, dan membebaskan hudud daripada sekatan undang-undang yang bersumberkan agama Islam, maka hudud boleh digubal oleh Parlimen. Dari perspektif Perlembagaan, tiada halangan untuk Parlimen menggubal undang-undang hudud di bawah tiket “undang-undang jenayah”. Asalkan sahaja ia adalah berkaitan dengan mana-mana perkara yang disebut dalam Senarai Persekutuan. Perkara ini agak jelas sebagaimana disebut dalam Butiran 4(h) Senarai Persekutuan, pada Jadual Kesembilan. Tiada sekatan yang diletakkan ke atas Kuasa Parlimen bagi tujuan “Pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan;”

Senarai Persekutuan begitu luas untuk merangkum kesalahan-kesalahan hudud seperti Hirabah, mencuri, al-baghy, zina, qazf, riddah dan minum arak atas sebab falsafah undang-undang jenayah berkaitan ketenteraman atau keselamatan awam.

Lebih daripada itu kita perlu selaraskan falsafah undang-undang jenayah yang sedang kita amalkan di Mahkamah Sivil bagi mengembalikannya kepada falsafah jenayah sebagaimana kehendak hukum Allah itu; terutamanya berkaitan maqasid Syariah yang mempertahan kedudukan agama, akal, keturunan, harta dan kehormatan. Ini juga bagi memudahkan kita untuk menyelaraskan tuntutan Syariah dengan peruntukan Perlembagaan, terutamanya dalam menggariskan hukuman bagi kesalahan riddah, dan minum arak yang sentiasa sahaja dihujah dan dikaitkan dengan kebebasan beragama atau kebebasan individu.

Dengan lebar dan luasnya kuasa Parlimen (dengan sedikit persediaan berhujah mengenai falsafah undang-undang jenayah) berkaitan penggubalan undang-undang jenayah serta hukumannya, maka lebih sesuai untuk hudud (kesalahan dan hukuman) digubal oleh Parlimen dan seterusnya dilaksana di peringkat Persekutuan berbanding di peringkat negeri.

Dewan Undangan Negeri, Mahkamah Syariah dan Hudud

Perlembagaan tidak menyekat Dewan Undangan Negeri daripada menggubal undang-undang hudud di bawah tiket “kesalahan-kesalahan terhadap perintah Islam”. Frasa ini begitu luas sehingga mencakupi semua perkara yang dikatakan sebagai jenayah menurut perspektif hukum syarak. Sudah tentu ia juga merangkum hudud.

Walaupun tiada halangan bagi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang hudud, kesukaran perundangan mungkin berlaku apabila Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan membenarkan Parlimen untuk menggubal undang-undang berkaitan bidang kuasa mahkamah Syariah.

Disebut dengan jelas dalan Butiran 1 tersebut bahawa mahkamah Syariah “tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan”. Atas peruntukan inilah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 yang meletakkan bidang kuasa mahkamah Syariah berkaitan hukuman kepada 3 tahun penjara, 5 ribu ringgit denda dan 6 sebatan telah digubal oleh Parlimen. Akta ini adalah halangan nyata bagi mahkamah Syariah dalam melaksanakan hudud. Dalam konteks ini halangan Perlembagaan tidak berlaku di peringkat penggubalan hudud oleh Dewan Undangan Negeri tetapi halangan diwujudkan oleh Akta 1965 dan Perlembagaan membuka ruang kepada halangan ini.

Satu lagi kepayahan pelaksanaan hudud sekiranya dibicarakan di mahkamah Syariah ialah berkaitan pihak-pihak. Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa berkaitan kesalahan ke atas orang-orang Islam sahaja. Sekiranya hudud perlu dilaksanakan juga ke atas orang bukan Islam maka bidang kuasa mahkamah Syariah terhadap pihak bukan beragama Islam memerlukan pindaan Perlembagaan. Kita mengambil perhatian tentang kedudukan fiqh mengenai persoalan sama ada hudud terpakai ke atas orang Islam, maka kemungkinan perkara ini bukan merupakan persoalan besar.

Pelaksanaan Hudud

Dalam pelaksanaan hukum hudud, kita memerlukan undang-undang prosedur dan dalam perbicaraan kes hudud, kita memerlukan undang-undang keterangan. Kedua-dua jenis undang-undang ini boleh diluluskan oleh badan perundangan berkaitan.

Penguatkuasaan hudud perlu dilakukan oleh agensi penguatkuasa yang layak dan mampu. Sekiranya di peringkat Persekutuan maka, penyiasatan dilakukan oleh pasukan Polis dan Pejabat Peguam Negara melaksanakan tanggungjawab berkaitan pendakwaan dan seterusnya perbicaraan di Mahkamah Sivil. Bagi proses penyiasatan dan pendakwaan ini sekatan atau halangan perundangan tidak begitu ketara. Sebagaimana diperuntukkan bawah seksyen 3 dan 20 Akta Polis, tugas penguatkuasaan undang-undang yang sah beroperasi adalah tanggungjawab Polis dan begitu juga tanggungjawab Pejabat Peguam Negara sebagaimana kehendak Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya kita mengambil pendekatan hudud sebagai urusan negeri, komplikasi dari segi penguatkuasaan akan menjadi lebih ketara kerana bidang kuasa negeri yang terhad. Ini belum lagi mengambil kira proses pentadbiran lain, seperti pengendalian orang tertuduh serta penyampaian saman kepada saksi.

Penutup

Secara keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa Perlembagaan tidak meletakkan halangan yang muktamad bagi pelaksanaan hudud, sama ada dari segi penggubalan undang-undang (substantif, prosedur atau keterangan) atau juga dari segi institusi pelaksana. Dengan kata lain Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai peruntukan khusus yang menafikan ruang penggubalan dan pelaksanaan hudud di negara ini. Menerusi peruntukan Perlembagaan adalah difahami bahawa kemungkinan untuk penggubalan hudud boleh berlaku di peringkat perundangan negeri dan juga Persekutuan. Namun begitu walaupun kedua-dua peringkat Badan Perundangan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang hudud, Badan Perundangan di peringkat Persekutuan, iaitu Parlimen didapati sebagai kompeten dan lebih berkesan. Ini kerana kuasa Parlimen berkaitan penwujudan kesalahan dan hukuman begitu jelas sekali. Sekiranya hudud ini mahu dibuat di peringkat negeri, kita mungkin menghadapi komplikasi undang-undang, walaupun Perlembagaan secara umumnya tidak menyekat Badan Perundangan Negeri daripada menggubal kesalahan berkaitan perintah agama Islam dan hudud ini merupakan sebahagian daripada perintah agama Islam. Namun begitu, sekiranya hudud mahu dilaksanakan di peringkat negeri maka komplikasinya pelbagai, terutamanya dari segi keberkesanan undang-undang itu. Pertama dari segi keseragaman undang-undang antara negeri-negeri. Kedua dari segi institusi pelaksana, seperti agensi penguatkuasaan, pendakwaan dan juga mahkamah. Keberkesanan sesuatu undang-undang, hudud tidak terkecuali, berkait rapat dengan kecekapan institusi penguatkuasaan, penyiasatan dan pendakwaan. Sekiranya dibicarakan di mahkamah Syariah komplikasi terzahir dari sudut jumlah hukuman yang tidak selaras dengan hukuman hudud. Selain daripada itu, hudud ini akan hanya terpakai kepada orang Islam, serta hanya melibatkan kesalahan yang tidak ada dalam Senarai Persekutuan.

Sekiranya kita mengambil pendekatan memperkenalkan hudud sebagai undang-undang jenayah umum dan meletakkannya di bawah bidang kuasa Parlimen, maka perkara pokok yang perlu diusahakan ialah dengan menjelaskan falsafah undang-undang jenayah Syariah supaya boleh dirangkum di bawah Senarai Persekutuan dan seterusnya mewujudkan deraf undang-undang berkenaan hudud (substantif, prosedur dan keterangan) yang mantap.

 Oleh : Prof Madya Dr. Shamrahayu Aziz

No Comments

    Leave a reply