Hulubalang atau ‘hulu’ dalam ‘balang’?

Lokman Adam telah dipecat dan akan tetap berjuang mempertahankan parti dalam gelanggang Laskar Siber Malaysia.  Lokman akan memperjuangkan parti secara bersendirian, bukan lagi secara berjemaah. Masih ada kesetiaan kepada parti. Lokman sudah merujuk kepada peguam, pemecatannya tidak sah. Pemecatan dilakukan secara tidak sah kerana tidak keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO. Ia dibuat oleh presiden parti yang dikritiknya kerana ada desas-desus untuk ikut bersama PAS, takut ketinggalan bagi ‘menzahirkan’ pakatan baharu bersama Dr Mahathir Mohamad.

Berbeza dengan kisah Dr Mazlee Malik. Mazlee dinasihatkan ‘pulangkan jawatan’.  Atas nasihat itu, Mazlee tidak  berazam untuk “menentang nasihat’. Beliau akan terus bekerja untuk parti, memenuhi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat Simpang Renggam walaupun belum tentu dipilih mewakili parti dalam PRU ke-15.  Mungkin selepas itu beliau kembali ke kerjaya akademik, sama ada dalam atau luar negara.

Mereka berdua, walaupun berlainan parti, jawatan dan kedudukan tetap mengutamakan parti daripada kepentingan peribadi biarpun ‘kecamuk rasa’ atau ‘hati terluka’. Mazlee mengambil semangat Hang Tuah. Memang ramai tahu, Dr Mahathir mahukan jawatan Menteri Pendidikan, tetapi kerana ikrar sebelumnya, menyerahkannya kepada Dr Mazlee Malik.

Hang Tuah dihukum bunuh atas tuduhan fitnah dan menerima keputusan itu tanpa sanggahan. Ia berbeza dengan Hang Jebat.  Hang Jebat mengamuk sebagai bantahan dan akhirnya membuat kacau dalam istana. Menuntut bela berdasarkan prinsip, adil disembah, zalim disanggah.  Tiga sahabatnya yang lain, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu tidak berani campur tangan.

Sultan Melaka kesal dengan perintah baginda sendiri. Kembali merujuk Bendahara, lantas diberitahu bahawa Hang Tuah belum mati, hanya disembunyikan. Hang Tuah dipanggil pulang untuk menamatkan amukan Hang Jebat. Akhirnya, dua hulubalang itu bertikam dan akhirnya Hang Jebat mati. Tetapi falsafah atau pegangan orang hulubalang terhandal itu terus mempengaruhi minda masyarakat, termasuk ahli politik Melayu Malaysia.

Mungkin kita boleh mengambil teladan, ‘perkelahian dalam parti’ menyebabkan UMNO berpecah. Kita melihat semula senario politik berlaku pada tahun 1987. Tengku Razaleigh, Rais Yatim, Musa Hitam membentuk pasukan untuk melawan Dr Mahathir. Ucapan dasar Tengku Razaleigh ketika menyatakan faktor menawarkan diri ialah bagi mengekang kemungkaran politik dan ekonomi akibat dasar pemerintahan Dr Mahathir.

Tengku Razaleigh tewas. Musa Hitam tewas. Rais Yatim yang ‘membakar jambatan’ bersama-sama Tengku Razaleigh berusaha mendaftarkan semula UMNO setelah disytiharkan haram pada tahun 1988. Pendaftaran itu ditolak, Dr Mahathir menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mempercepatkan kelulusan UMNO (Baru). Akhirnya, Tengku Razaleigh mendaftarkan Parti Melayu Semangat ’46. Setahun selepas PRU 1995, Semangat ’46 dibubarkan dan kembali ke pangkuan UMNO. Jambatan yang dibakar itu dibina semula. Tapi, selepas PRU 2018, Rais menyertai PPBM tetapi tidak mengisytiharkan ‘membakar jambatan’ sekali lagi.

Ia berbeza dengan Anwar ketika diminta meletakkan jawatan, Anwar menyanggah dan UMNO terbelah. Anwar mengatakan, pemecatan itu tidak sah dan dikaitkan dengan konspirasi politik. Sebelumnya,  Anwar didakwa ‘sangat gelojoh’ dan tidak sabar ‘menunggu giliran’.  Dr Mahathir pernah mengkritik Tunku, terlalu lama sebagai Perdana Menteri (13 tahun) sedangkan Dr Mahathir sudah 17 tahun berkuasa (ketika itu).

Anwar adalah contoh klasik (semangat Hang Jebat) dalam politik moden Malaysia. Lokman dan Mazlee pula mengambil semangat Hang Tuah yang menjadi contoh usang daripada sejarah silam. Namun semangat-semangat itu telah meninggalkan kesan yang besar dalam budaya politik dan berorganisasi hingga kini. Ia membentuk kerangka politik yang hingga kin masih relevan untuk diperkatakan. Lumrahnya, mereka yang mengambil semangat Hang Jebat bukan sahaja terpaksa melalui jalan sukar, bahkan akhirnya boleh terkorban.

Rahman Shaari (Tingkah Politik, 2009) menyamakan percubaan Anwar untuk seumpama mitos Sisyphus (mitologi Greek). Sisyphus adalah putera Raja Aelos, naik takhta secara licik. Akhirnya  dihukum oleh dewa Zeus. Sisyphus boleh kembali berkuasa, dengan syarat menolak batu naik ke puncak bukit yang curam. Sisyphus gagal, dan mati dihempap batu yang sentiasa bergolek itu. Tiada teknologi canggih yang boleh digunakan ketika itu, kecuali kudrat sendiri.

Ketika agenda reformasi dimulakan,  internet sudah mula berkembang, maka internet digunakan untuk membentuk persepsi buruk  terhadap Dr Mahathir. Menteri-menteri menjadi kabinet (di ISIS mula ditubuhkan IRG –Internet Response Groups) untuk memantau dan menjawab sisi negatif kerajaan. Anwar pula berhadapan  dengan proses undang-undang, akhirnya Anwar didapati bersalah (salah guna kuasa). Kes semburit , Anwar terlepas walaupun jagat raya ingin mengetahui kesudahannya. Juri memutuskan Anwar tidak bersalah, tapi bukan bermakna ‘tidak berlaku’.

Kini, kemelut kuasa yang heboh diperkatakan: Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat sepenggal dan Anwar sebagai perdana menteri ‘menanti’ sudah tidak sabar lagi.  Dr Aziz Bari, bekas pensyarah undang-undang yang semakin selesa bergelar Yang Berhormat,  mencadangkan agar  Dr Mahathir dan Anwar membuktikan mereka ada sokongan yang cukup (Ahli Parlimen). Jika Anwar ada sokongan minimum 112, maka Dr Mahathir perlu meletakkan jawatan secara terhormat.

Lokman Adam dipecat kerana mendedahkan audio (desas-desus Presiden UMNO) menyertai PAS menyokong Dr Mahathir. Ekorannya, dikatakan bakal terbentuknya ‘kerajaan pintu belakang’ atas nama Pakatan Nasional.  Kalaupun perbincangan itu benar-benar berlaku dan butirannya seperti dihebohkan, Lokman tidak sewajarnya berbuat demikian atas prinsip kesetiaan atau wala’ kepada parti. Kalaupun tidak bersetuju, Lokman masih ada cara untuk membantah, bukan menyebarkan kepada umum sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Dalam ikrar parti, rahsia parti perlu dijaga agar tidak pecah di mulut. Ia merupakan rukun asas dalam berorganisasi. Begitu juga dalam kehidupan berkeluarga, rahsia suami isteri diharamkan naratifnya diberitahu kepada sesiapa, termasuklah orang tua sendiri kecuali perangai buruk yang sukar dibaiki setelah dinasihat berkali-kali. Rukun itulah sepatutnya dipatuhi dan sebagai Ahli Majlis Tertinggi, beliau tahu salurannya. Jika tidak diterima atau dibantah, ia dianggap memadai, sekurang-kurang sudah dimaklumkan, bukan berdiam diri sebagaimana kenyataan kesal Khairy Jamaludin yang  segan dan “tidak mahu peduli” (sentimen 1MDB).

Semangat sayangkan parti yang diterjemahkan oleh Lokman bukan sekadar terus kekal bercakap dan mempertahankan UMNO, tapi juga meliputi tindakan menegur pemimpin sekiranya dirasakan ada kesalahan dan kekhilafan yang berlaku secara hikmah dan teratur.

Lokman perlu belajar daripada kesilapan yang belum kering dakwat apa yang diakui oleh Khairy Jamaludin sehingga menyebabkan UMNO kalah teruk dalam PRU ke-14. Menteri-menteri tidak menyampaikan pandangan dan makluman kepada Perdana Menteri kerana takut kedudukannya dalam dalam kabinet berubah. Lokman juga perlu belajar daripada Muhyiddin dan Shafie Afdal, terpaksa menyendiri kerana membuat kritikan terbuka,  sedangkan mereka boleh berbincang (dengan Perdana Menteri) untuk mencari titik temu atau langkah pembetulan mengenai 1MDB.

Muhyiddin membuat keputusan berdasarkan naluri sendiri, akhirnya penasaran sementara waktu sehinggalah bergabung dengan Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Shafie kembali ke Sabah dan bergabung dengan sebuah parti kecil yang kemudiannya memimpin Parti Warisan. Ertinya, atas sikap berdendam, Muhyiddin dan Shafie telah mengheret UMNO berpecah. Ia seumpama Anwar turut menyebabkan UMNO terbelah.

Dr Mahathir pernah meratib perihal kelemahan yang berlaku akibat perpecahan tetapi beliau sendiri berperanan sebagai katalis bila menhengam secara terbuka Abdullah Badawi yang dilihat lemah dan hilang arah selepas menang besar dalam PRU ke-11. Saya tinggalkan andaian terhadap Dr Mahathir yang ‘rendah hati’ bila pencapaian Abdullah lebih hebat daripada zamannya menerajui UMNO dan BN (dalam lima PRU). PRU 1999, UMNO tewas di Terengganu. 1985, BN tewas di Sabah. 1999 DAP hampir menguasai keseluruhan parlimen majoriti bukan Melayu walaupun MCA, Gerakan dan MIC tidak kecundang habis sebagaimana PRU 2008, 2013 dan 2018.  Kekalahan BN di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dalam PRU ke-12 ada sumbangan Dr Mahathir kerana beliau bukan sahaja keluar parti bahkan turut berkempen bencikan Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Tan Sri Isa Samad walaupun digantung keahliannya dalam UMNO setelah didapati merasuah perwakilan dalam perebutan jawatan parti di peringkat pusat boleh berdiam diri membungkam kecewa.  Lokman Adam bukanlah seorang wakil rakyat biarpun percubaannya di PRK Sg Kandis (2018) gagal. Beliau hanya menang AMT setelah UMNO berhadapan dengan defisit keyakinan akibat rempuhan badai tsunami 2018. Sebelumnya beliau adalah pemikir JASA dan Ketua Komunikasi Korporat di Kementerian Kewangan.

Lokman yang tetap setia kepada parti tidak mengambil peranan seperti orang penasaran. Lokman tidak dilihat berpenasaran seperti Hishamudin Hussein dan Khairy Jamaludin, walaupun tidak keluar parti, bercakap seolah-olah ‘ingin lari’. Tunjukkan semangat kesetiaan kepada parti dengan jelas, bukannya menjadi pak turut kepada pemimpin yang sukar menerima teguran. Bukan bermakna sudah tertutup ruang perundingan dan memberi teguran, masih ada cara lain yang boleh digunakan.

Fikir-fikirkanlah bagaimana caranya. Ingatlah, walaupun al-Ghazali pada zamannya melihat Empayar Abasiyah mengalami perpecahan, beliau menyampaikan teguran secara berhemah, tidak mengkritik secara terbuka demi menjaga kepentingan Islam. Islam berpecah atas banyak faktor, selain perebutan kuasa, rempuhan aliran falsafah batiniyyah, ideologi syiah dan Greek telah menyebabkan sebahagian umat Islam terpesong akidahnya. Al-Ghazali cuba memperbetulkannya dengan memperkembangkan kaedah tasauf dan menulis secara ilmiah menyangkal ‘rasional’ dengan dalil akal dan peringatan Allah SWT.

Walaupun al-Ghazali tidak kaya dari segi material, beliau begitu kaya dengan ilmu sehingga belum ada lagi yang dapat menandinginya. Fikiran dan hujahnya sampai sekarang menjadi pedoman dan terus dikaji bagi melengkapkan kehidupan sebagai seorang mukmin.

Hulubalang tidak lari lintang pukang bahkan sanggup menyusur akar untuk menampakkan kemunculannya sangat berbisa.  Itulah yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Walaupun sudah bersara selama 15 tahun dan sepatutnya berehat, beliau mampu memporakperandakan kekentalan UMNO dan BN. Meskipun parti pimpinannya mampu menang 13 kerusi, auranya telah mempengaruhi sokongan pengundi kepada PH menerusi undian kepada PKR.

Namun, aura Dr Mahathir tidak kekal hebat, dipersoalkan sebagai punca kekalahan PH dalam separuh PRK yang diadakan selepas PRU ke-14. Parahnya bila calon PPBM tewas di Semenyih dan kecewa habis di Tanjung Piai, undi yang diraih lebih kecil (10,380 undi) daripada majoriti BN (15,086 undi). Sebab itu Anwar seperti menyindir mahukan PH membaiki kelemahan pentadbirannya dan ‘merawat hati yang terluka’.

Sekiranya Anwar memimpin PH ketika itu, PH belum tentu mampu meraih kemenangan besar kerana Anwar mempunyai ‘track-record’ yang kurang disenangi oleh ramai orang, termasuklah dalam PKR sendiri. Kini, PKR dilihat sebagai parti yang hanya mendokong Anwar, bukan mendokong semua orang. Kem Azmin sedang ‘dikembirikan’. Kerajaan ‘pintu belakang’ bukan tujuan menyelamatkan Dr Mahathir semata-mata, ia memperlihatkan ada penentangan terhadap Anwar.

Ada yang berkata, Anwar tidak boleh menjadi perdana menteri, beliau cenderung kepada DAP dan amat diharapkan oleh DAP bagi menggantikan Dr Mahathir. Dr Mahathir sudah ‘muak’ dengan tingkah politik DAP, yang pada suatu ketika dilabelkan sebagai ‘rasis’. Ada juga dakwaan bahawa DAP nekad ‘langgar Mahathir’ atas beberapa isu termasuk tulisan jawi, pendakwah dari India (Dr Zakir Naik) dan isu Lynas, (https://www.sinarharian.com.my/article/42975/BERITA/Nasional/DAP-nekad-langgar-Dr-Mahathir). Ia menjadi semakin besar apabila Dr Mahathir hadir di Kongres Maruah Melayu, dan UEC yang belum diiktiraf.

Hulubalang akan tetap hulubang, tapi boleh jua jadi ‘hulu’ dalam ‘balang’. Hilirnya terlepas, badannya terpelau (kecewa). Umpama pantun dua kerat: Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terlepas, Sana Terpelau. Dikendung berciciran, dikelek bertaburan.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply