“HUTAN BUKAN HANYA POKOK”

Umpama peribahasa Inggeris, “can’t see the forest for the trees”, akhirnya sesuatu perkara yang baik akan mencetuskan situasi negatif akibat terlalu ingin mempertahankan perkara-perkara yang kecil.

Perumpamaan itu boleh disamakan dengan apa yang diihat oleh seorang wartawan Kosmo di Sarawak apabila menulis “jika soal pendidikan diabaikan, ia pasti menjejaskan perancangan ke arah pembentukan modal insan yang dinamik dan memiliki minda kelas pertama.” (“Jangan korbankan institusi perguruan”, Kosmo, 9 November 2016).

Tulisan itu cuba mempersoalkan mengenai cadangan yang dibuat oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2017 untuk menukarkan fungsi 9 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada Kolej Vokasional (4 buah), Politeknik (4 buah) dan sebuah lagi untuk latihan tenaga pengajar bagi pengembangan pendidikan vokasional dan teknik atau ringkasnya TVET.

Menurut Muller Asen, “penukaran status IPG itu merupakan pendekatan yang kurang tepat memandangkan kedudukan institusi pendidikan guru sangat dihormati di negara ini. Warga pendidik merupakan tunjang yang penting dalam memastikan setiap lapisan pelajar tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang mendapat akses pendidikan berkualiti.”

Secara jelasnya, wartawan berkenaan tidak memahami apakah yang dinamakan sebagai transformasi pendidikan dan prosesnya sudah berjalan sebelum kerangka yang bersifat holistik dibentangkan kepada umum. Kerangka transformasi pendidikan telah dilancarkan pada 11 September 2013 dan didokumentasikan sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dengan meletakkan harapan besar pembangunan modal insan, iaitu kemenjadian murid, khususnya di peringkat prasekolah dan lepasan menengah.

PPPM membabitkan pengumpulan pelbagai pandangan, dapatan kajian dan pemikiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk kumpulan pakar dalam dan luar negara yang menetapkan garis masa selama 13 tahun dalam 3 gelombang dan 11 anjakan. Ia mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan hasilnya, gelombang pertama (2013-2015) menunjukkan “kemenjadian murid” berada dalam landasan yang betul.

Pada tahun 2014, transformasi pendidikan dilanjutkan kerangkanya kepada pendidikan tinggi dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dilancarkan pada 7 April 2015 oleh Menteri Pendidikan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang digugurkan semasa rombakan kabinet pada 29 Julai 2015.

Untuk menghasilkan “kemenjadian murid”, proses penilaian murid sedang ditransformasikan berasaskan kaedah pentaksiran yang baharu, iaitu berasaskan sekolah dan bukan sepenuhnya berdasarkan keputusan peperiksaan awam.

Tentunya untuk menghasilkan “kemenjadian murid”, Kementerian Pendidikan Malaysia turut memberikan fokus kepada guru dengan cara meningkatkan profesionalisma guru dan membudayakan komuniti pembelajaran  di samping mengadaptasikan konsep pembelajaran abad ke-21 yang berorientasikan murid. Inilah yang berbeza dengan sistem dan corak pendidikan sebelumnya, di mana lazimnya aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah banyak tertumpu kepada guru atau istilah lazim “kapur dan papan hijau”.

Sebagai seorang wartawan, prinsip utama yang wajib ada ialah memahami perkara yang hendak ditulis itu dengan jelas. Bila seseorang itu menulis berdasarkan “maklumat yang diterima” tanpa memahami keseluruhan sistem pendidikan maka berlakulah keadaan yang digambarkan oleh peribahasa tersebut. Peribahasa itu menggambarkan budaya berfikir seseorang, maka untuk memahami gambaran sebenar apa yang ingin dicapai dalam sistem pendidikan Malaysia, saya mengesyorkan melihat secara mendalam mengenai PPPM dan menyemak laporan-laporan yang dikeluarkan oleh KPM setiap tahun pencapaian kepada asas pembinaan modal insan yang dimaksudkan.

Latihan guru bukan terhad kepada IPG kerana universiti-universiti awam dan swasta turut menawarkan bidang pendidikan sebagai salah satu bidang pengkhususan. IPG hanya melatih bakal guru di peringkat sekolah rendah manakala keperluan guru di peringkat sekolah menengah dilaksanakan oleh universiti awam dan swasta.

Bagi meningkatkan profesionalisma keguruan, IPG telah melakukan penilaian semula terhadap bidang-bidang pengkhususannya untuk menjadikan setiap IPG mempunyai kebitaraannya yang tersendiri. Atas sebab itulah IPG telah memulakan proses transformasinya, termasuklah membuat unjuran kemasukan pelajar secara lebih komprehensif dan menepati keperluan guru.

Sehingga kini, akibat proses penawaran guru adalah melebihi daripada keperluan, menyebabkan ramai graduan dalam bidang pendidikan terpaksa menunggu tempoh yang lama manakala sebahagian daripadanya sukar memohon kerjaya yang lain disebabkan pengkhususannya. Untuk pengetahuan Muller Asen, keperluan guru baharu setiap tahun semakin berkurangan kerana sebahagian besar guru-guru yang ada di sekolah merupakan kumpulan yang berusia 40 tahun ke bawah. Ini bermakna, berdasarkan peraturan semasa, pencen wajib bagi penjawat awam ialah ketika berumur 60 tahun, guru-guru muda ini masih mempunyai 20 tahun lagi sebelum bersara.

Tentunya proses penggantian sekarang bergantung kepada pensaraan guru-guru yang dianggarkan semakin berkurangan. Untuk mengharapkan lebih banyak sekolah-sekolah baharu dibuka, ia hanyalah suatu kemungkinan kecil memandangkan sebahagian besar sekolah-sekolah telah dibina hampir setiap mukim, kalaupun tidak setiap kampung. Keperluan pembukaan sekolah-sekolah baharu tidaklah menanjak sebagaimana berlaku pada tahun 1980-an hingga tahun 2000-an.

KPM juga berhadapan dengan situasi sekolah-sekolah kurang murid, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, di mana proses penempatan guru setiap tahun sentiasa ada penolakannya kerana ada graduan tidak sanggup ke sana, atas pelbagai alasan. Tentunya, sikap guru yang menolak penempatan mereka ke sekolah tertentu boleh menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, yang ada kaitannya dengan pendidikan berkualiti, bukannya perubahan fungsi IPG.

Sembilan IPG yang dicadangkan oleh Perdana Menteri bukanlah bermaksud ditutup, ianya ditukarkan fungsinya selaras dengan keperluan semasa. Pada masa kini dan masa hadapan, sasaran bidang pekerjaan lebih tertumpu kepada bidang kemahiran, teknik dan vokasional. Penekanan itu menyebabkan permintaan kemasukan ke Kolej Vokasional, Politeknik dan institusi yang menawarkan pendidikan kemahiran semakin meningkat sedangkan penawaran tempat masih terhad.

Perubahan fungsi 9 buah IPG adalah satu daripada inisiatif transformasi pendidikan guru dan mempercepatkan transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Langkah yang sedang dan akan dilaksanakan itu bukanlah “kurang bijak” dan “merencatkan sistem pendidikan negara.”  Perkara yang perlu diberikan penekanan ialah “value for money” kerana kemasukan dan pengambilan bakal guru untuk dilatih semakin berkurangan disebabkan keperluannya menghampiri kepada keadaan “tepu”. Jadi, untuk apa lagi dipertahankan IPG kalau ia boleh mengakibatkan pembaziran sumber dan kewangan.

Para pensyarah perlu memahami bahawa mereka tergolong dalam kategori Pegawai Pendidikan dan boleh ditukar ke mana-mana institusi pendidikan atas kepentingan perkhidmatan. Ertinya, jawatan pensyarah hanyalah “panggilan lain kepada pendidik”. Disebabkan keperluan tidak ada lagi di IPG, mereka boleh ditempatkan ke peringkat pusat dan negeri, daerah dan dilantik sebagai fasilitator atau penggerak kepada transformasi (SIP+, SISC+ dan FasiLinus). Mereka masih boleh mengaplikasikan kepakaran yang dimiliki di peringkat operasi, kalaupun tidak sanggup ditempatkan sebagai pasukan pengurusan pendidikan dan mengajar di sekolah.

Sehingga kini, belum ada senarai muktamad mengenai 9 buah IPG yang terbabit dengan transformasi atau perubahan fungsinya sebagai Kolej Vokasional dan Politeknik. Perundingan masih berjalan, tetapi hanya kerana ingin mempertahankan IPG Miri, IPG Rajang dan IPG Samarahan, Muller Asen cuba “melihat pokok” bagi menggambarkan “kehijauan hutan”, suatu sudut pandangan yang boleh dianggap juling dan perlukan pembedahan, kalaupun tidak melakukan “pembedahan lastik.”

Sarawak kini ditempatkan sejumlah 88.7 peratus guru anak tempatan dan masih berbaki 1.3 peratus dalam tempoh dua tahun (2017 dan 2018). Sarawak memerlukan sekitar 500 hingga 600 orang lagi guru untuk memenuhi kouta 90 peratus anak tempatan. Ertinya, kalaulah angka itu benar, hanya memerlukan hanya sebuah IPG bukannya 4 sebagaimana yang cuba dipertahankan.

Dengan perubahan fungsi tiga buah IPG di Sarawak (jika betul seperti yang dilihat), ia tidak bermakna proses penyediaan “pelajar berprestasi tinggi” akan mengalami “kerencatan” atau terganggu. Perlu difahami bahawa bukan semua pelajar dianggap mencapai tahap “kemenjadian” hanya semata-mata oleh IPG, kerana ada pelajar yang boleh membina masa hadapan mereka menerusi bidang-bidang kemahiran, vokasional dan teknikal.

Bidang kerjaya bukan lagi tertumpu kepada platform akademik, TVET semakin menjadi fokus oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia. Bahkan, dalam satu persidangan antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur setahun lalu, Deklarasi Kuala Lumpur 2015 telah menetapkan bahawa TVET adalah bidang keutamaan yang wajib diketengahkan untuk meningkatkan “kemenjadian murid.” Hampir keseluruhan IPG melatih guru-guru yang bersifat akademik, kecuali IPG Ilmu Khas (Kuala Lumpur) dan IPG Tun Hussein Onn (Batu Pahat, Johor), maka jika salah sebuah daripada sembilan IPG yang terlibat dijadikan pusat latihan tenaga pengajar TVET dan lapan buah untuk Kolej Vokasional dan Politeknik ia adalah satu langkah terbaik dan bijaksana dalam konteks pembangunan modal insan.

Mullen Asen sepatutnya terlebih dahulu “melihat hutan” sebelum berusaha mengenali “pokok” kerana flora dan faunanya yang terkandung di dalam yang menyebabkan suasana nyaman dan sejuk mata memandang. Ekosistem pendidikan adalah lebih besar daripada IPG. Dengan hanya melihat keperluan IPG dan kemudian dipertahankan atas sifat tertentu, ia masih belum mampu mengenali “hutan” dengan lebih baik, termasuk fungsinya sebagai pembekal udara segar. Begitu juga dengan pendidikan, ia perlu kepada pemerhatian dan pemahaman yang menyeluruh mengenai transformasi yang sedang dan akan dilaksanakan sebelum boleh membuat andaian “kurang bijak.”

Oleh Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply