HUTANG CARA BETUL

Tidak dinafikan, berhutang kini menjadi keperluan bagi setiap individu untuk memastikan kelancaran dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, kita perlu berhutang untuk membeli rumah, kereta, membuat pelaburan malah ada yang berhutang untuk berkahwin dan bercuti.

Situasi itu secara tidak langsung menjadikan keperluan berhutang seperti ‘budaya’ walaupun menyedari amalan itu mampu mengundang risiko diisytiharkan muflis jika gagal membayar balik hutang itu dalam tempoh ditetapkan. Dalam menangani risiko diisytiharkan muflis dan keperluan berhutang, Islam memberi garis panduan sebagaimana firman Allah bermaksud:

“Wahai orang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar; dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dalam kalangan kamu” (al-Baqarah: 282).

Berdasarkan surah itu, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhutang. Malah, Islam turut menyediakan garis panduan bagi mengelakkan budaya itu membebankan diri dan keluarga pada masa depan. Dengan kata lain, Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara atau wasilah untuk bermegah-megah dengan berhutang secara berleluasa tanpa keperluan dan asas kukuh.

Dipetik oleh: Utusan Online 8/7/2019

Tags:

No Comments

    Leave a reply