IBN KATSIR: LEGENDA TAFSIR

Ibnu Katsir atau nama sebenarnya Imanuddin Ismail bin Umar bin Katsir merupakan seorang ulama yang terkenal dalam ilmu tafsir, hadis, sejarah, dan juga fekah. Beliau mendengar hadis daripada ulama-ulama Hijjaz dan mendapat ijazah dari al-Wani serta mendapat asuhan daripada ahli ilmu hadis terkenal Syam (Syria), Jamaluddin al-Mizzi, iaitu bapa mentuanya sendiri. Ayah beliau meninggal ketika beliau berusia 6 tahun. Oleh kerana itu, sejak tahun 706 H / 1306 M, beliau tinggal bersama kakaknya di Damsyik. Di sinilah beliau mulai menuntut ilmu.

Guru pertamanya adalah Burhanuddin al-Fazari, pengamal Mazhab Syafie. Tidak lama selepas itu, beliau berada di bawah pengaruh Ibnu Taimiyah. Untuk jangka masa yang panjang, beliau menjalani hidup di Syam sebagai orang yang sederhana dan tidak terkenal. Popularitinya bermula ketika beliau terlibat dalam penelitian untuk menetapkan hukum terhadap seorang zindik yang didakwa menganut fahaman hulul (syirik). Penelitian itu disaksikan oleh Gabenor Syam, Altunbuga an-Nasiri, pada penghujung tahun 741 H / 1341 M.

Sejak itu berbagai-bagai jawatan penting disandangnya, sesuai dengan bidang keahlian yang dimilikinya. Dalam bidang ilmu hadis, pada tahun 748 H / 1348 M beliau menggantikan gurunya az-Zahabi sebagai guru di Turba Umm Salih, dan pada tahun 756 H / 1355 M, beliau diangkat menjadi ketua Dar al-Hadis al-Asyrafiyah, setelah hakim Taqiuddin as-Subki meninggal dunia. Beliau banyak menghasilkan karya dalam ilmu hadis. Karyanya yang terpenting dalam ilmu hadis antara lain adalah:

  1. Kitab Jami al-Masanid wa as-Sunan (Kitab Penghimpun Musnad dan Sunan);
  2. Al-Kutub as-Sittah (Kitab-kitab Hadis Yang Enam);
  3. At-Takmilah fi Ma’rifat as-Sigat  wa ad-Dhua’afa’ wa al-Mujahal (Pelengkap dalam mengetahui Rawi-Rawi Yang Dipercayai, Lemah dan Kurang Dikenal);
  4. Al-Mukhtasar (Ringkasan), yang merupakan ringkasan daripada Muqaddimah Ibnu Salah dan dikatakan bahawa beliau juga menulis buku yang berisi tafsiran terhadap hadis-hadis daripada Sahih al-Bukhari, serta beberapa karya yang menyangkut mengani hadis yang lain; dan
  5. Adillah at-Tanbih li Ulum al-Hadis (Buku tentang ilmu hadis) yang lebih dikenal dengan nama al-Ba’is al-Hadis.

Dalam bidang tafsir, pada tahun 1366 beliau dilantik menjadi guru besar oleh Gabenor Mankali Bugha di Masjid Umaiyah, Damsyik. Dalam ilmu tafsir itu juga, beliau mempunyai kaedah tersendiri. Menurutnya, tafsir yang terkenal adalah:

1)    Tafsir al-Quran dengan al-Quran sendiri;

2)    Apabila penafsiran al-Quran dengan al-Quran tidak diperolehn, maka al-Quran harus ditafsirkan dengan hadis Nabi; menurut al-Quran sendiri, Nabi s.a.w memang diperintahkan untuk menerangkan isi al-Quran itu;

3)    Jika yang kedua tidak diperoleh, maka al-Quran harus ditafsirkan oleh pendapat-pendapat para sahabat, kerana merekalah orang yang paling mengetahui konteks sosial turunnya al-Quran; dan

4)    Jika yang ketiga juga tidak ditemukan, pendapat para tabiin perlu diambil dan diterima pakai.

Karyanya dalam bidang tafsir ini adalah Tafsir al-Quran al-Karim yang dihasilkan dalam sepuluh jilid. Pengaruh kitab tafsir ini sangat besar dan sehingga sekarang masih banyak digunakan sebagai rujukan. Beliau juga menulis buku berjudul Fada’il al-Quran (Keutamaan al-Quran) yang berisi ringkasan sejarah al-Quran.

Dalam bidang sejarah, paling tidak terdapat tiga buku yang ditulisnya;

1) Al-Bidayah wa an-Nihayah (Permulaan dan Akhir), 14 jilid;

2) Al-Fusul fi Sirah ar-Rasul (Huraian mengenai Sejarah Rasul); dan

3) Tabaqat asy-Syafi’iyyah (Peringkat-peringkat Ulama Mazhab Syafie)

Al-Bidayah wa an-Nihayah adalah kitab sejarahnya yang terpenting dan terbesar pengaruhnya. Sejarah dalam kitab ini dapat dibahagi kepada dua bahagian besar: pertama, sejarah kuno yang menuturkan mulai daripada riwayat penciptaan sehingga masa kenabian Muhammad s.a.w., dan kedua, sejarah Islam mulai dari masa dakwah Nabi s.a.w di Mekah sehingga pertengahan abad ke-8 H. Peristiwa-peristiwa setelah hijrah disusun berdasarkan tahun kejadian itu.

Dalam bidang fekah, beliau dijadikan tempat perbincangan oleh para penguasa mengenai persoalan-persoalan hukum seperti dalam pengesahan keputusan yang berhubungan dengan rasuah (1358 M) dan untuk mewujudkan persefahaman dan perdamaian setelah terjadinya perang saudara atau Pemberontakan Baydamur (1361 M), serta dalam menyerukan jihad (1368-1369 M). Dalam hal yang terakhir ini, beliau menulis sebuah kitab yang berjudul al-Ijtihad fi Talab al-Jihad (Ijtihad Dalam Mencari Jihad). Beliau juga menulis kitab fekah yang didasarkan pada al-Quran dan hadis. Akan tetapi, kitab ini tidak selesai, hanya sampai pada bab Haji dalam bahagian Ibadah. Berkenaan dengan persoalan jihad, beliau banyak memperoleh inspirasi daripada kitab Ibnu Taimiyah, As-Siyasah as-Syar’iyyah (Politik Hukum).

Beliau meninggal dunia beberapa tahun setelah berhasil menyusun kitab al-Ijtihad fi Talab al-Jihad, dan dikebumikan di permakaman sufi, di sisi makam gurunya, Ibnu Taimiyah.

Catatan :  Ibnu Qayyum

No Comments

    Leave a reply