IBRAH : SEJARAH YUSUF DILANTIK BERJAWATAN KERANA AMANAH

Selepas mengumumkan pelantikan Menteri Kanan,kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat yang akan berperanan menasihat kerajaan khusus berkaitan dengan ekonomi dan kewangan negara.

Jatuh bangun sebuah negara adalah bergantung kepada kekuatan ekonomi justeru Islam mengingatkan setiap umatnya agar menggunakan kepakaran dan fikiran bagi menyelesaikan setiap masalah hidup termasuk dalam suasana kita menghadapi krisis ekonomi global ini. Bahkan al-Quran pernah mengingatkan pusingan kehidupan itu adakalanya dilimpahi nikmat dan ada ketikanya kekurangan sumber termasuk makanan. Kemakmuran yang kita kecapi kadang-kadang menyebabkan kita menjadi lupa mengenai persiapan untuk menghadapi saat-saat yang sukar dan genting ini.

Bagi menguruskan bencana ini kita mungkin boleh menyingkap sejarah bagaimana Nabi Yusuf AS memberi tafsiran terhadap dua mimpi Raja Firaun dalam sejarah Mesir kuno. Nabi Yusuf AS telah memberikan gambaran bahawa tujuh ekor lembu dan tujuh biji gandum yang baik melambangkan kemakmuran selama tujuh tahun, manakala tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh biji gandum yang busuk ialah tujuh tahun berada dalam kesukaran.

Bagi menjamin kesejahteraan kehidupan, Nabi Yusuf AS mencadangkan agar seorang yang bijaksana dan berperibadi mulia dipilih bagi mentadbir Mesir agar dapat membuat simpanan ketika tujuh tahun dalam kemakmuran bagi kegunaan tujuh tahun yang sukar. Atas nasihat tersebut, akhirnya Nabi Yusuf AS telah dipilih oleh Raja Firaun mentadbir Mesir. Kemakmuran dan kesedihan merupakan putaran yang perlu dihadapi oleh semua manusia.

Kisah Nabi Yusuf AS misalnya, Allah mengingatkan agar hasil bijiran disimpan untuk kegunaan masa depan dan menurut tafsiran, selepas tujuh kali mengeluarkan hasil yang baik akan berlaku musim sukar disebabkan kemarau atau bencana banjir ataupun angin kencang. Ketika itulah makanan yang disimpan perlu dikeluarkan, kalau tidak mahu dilanda kebuluran.

Tidakkah Allah mengajar kita di sini supaya membuat perancangan dan juga melakukan sesuatu bagi persediaan di hari muka?

Namun berfikir tanpa melakukan sesuatu tidak akan membawa kita ke mana, kecuali apabila kita melakukan sesuatu bagi mengubah situasi dan meningkatkan nilai dan status kewangan kita. Da­lam situasi begini apa yang per­­lu kita lakukan ialah meng­ambil langkah-langkah seperti menyusun semula dasar ke­wangan keluarga, hidupkan ama­lan menabung, melakukan ama­lan berjimat cermat dan tidak membazir serta elakkan berhutang.

Krisis kewangan global seku­rang-kurangnya mem­berikan pengajaran kepada kita bahawa amanah juga adalah pun­ca utama menyebabkan ber­laku krisis ini. Justeru kita kena pilih pemimpin yang amanah seperti mana al-Quran telah memberi petunjuk secara tersurat atau tersirat dalam pelbagai aspek ke­hidupan awal manusia, ter­ma­suk persoalan menjawab “Siapakah yang layak kita pilih”.

Contoh yang jelas adalah pelantikan Nabi Yusuf sebagai Ketua Perbendaharaan Kera­ja­an Mesir oleh rajanya dan diaba­dikan pula di dalam al-Quran menerusi firman-Nya, yang bermaksud: “Sesungguhnya eng­kau menurut penilaian Kami ada­lah seorang yang kuat lagi dipercayai.” (Yusuf: 54)

Manusialah sebenarnya yang mengundang kecelakaan de­ngan tidak menjadi amanah lagi pada diri sendiri, pada alam, pada tuhannya dan menjadi sombong serta merasakan dialah yang paling kuat dan gagah. Manusia kemudian tidak mahu bersyukur atas nikmat-Nya (Al-’Adiyaat: ayat 6), suka membantah (Al-Kahfi: ayat 54), melampaui batas (Al-’Alaq: ayat 6) dan berlaku zalim, tapi sekali gus bodoh terhadap dirinya sendiri (Al-Ahzab: ayat 72).

Justeru dalam menguruskan kewangan negara, pemimpin itu perlu bersifat amanah. Walaupun kita sedang diselubungi rasa benci terhadap seseorang atau golongan atau kaum, kita harus melaksanakan secara bijaksana dan adil. Demikian juga ketika dalam keadaan senang dan gembira.

Sejak berjuta-juta tahun, Allah SWT tetap menguji manusia dengan pelbagai ujian termasuk menurunkan pelbagai bencana bagi mengatasi sikap degil agar manusia belajar, sejauh mana kelebihan ilmunya, ia masih belum mampu menundukkan kekuasaan Allah SWT.

Apa yang berlaku dalam negara kita sekarang adakah kerana kemurkaan Allah SWT. Sejarah Al-Quran mencatat tentang kemurkaan Allah SWT ini dibangkitkan atas beberapa sebab. Antaranya sifat zalim dan fasiq manusia serta tidak mempedulikan perintah Tuhan.

Catatan Ibnu Majid

No Comments

    Leave a reply