Saya tak faham mengapa seorang yang mempunyai rekod sebegitu buruk dilantik menjadi Menteri Kabinet. Sudahlah begitu kelakuannya, dilayan ibarat ‘menatang minyak yang penuh.’ Jika sudah mindanya pembangkang, setelah berada dalam kerajaan pun ia kekal berminda pembangkang. Itulah perangai pelik Moorthy.

Jika pun ragu mengenai tindak tanduk PDRM, sepatutnya beliau berbincang secara tertutup terlebih dahulu dengan menteri bertanggungjawab. Jika beginilah caranya beliau berperanan sebagai seorang menteri, tak dapat hendak dibayangkan bagaimana kerajaan akan terus berperanan dengan berkesan, apatah lagi dalam agenda berkaitan perpaduan.

Oleh kerana tragedi di kuil itu berlaku dalam masa sama ketika sekumpulan rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan menentang ratifikasi ICERD, secara tidak langsung timbul kebimbangan akan berlaku ketegangan etnik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri apa yang beliau lakukan? Isu ratifikasi ICERD beliau kecohkan, di kuil yang kecoh beliau cetuskan kontroversi. Kini tragedi di kuil berkenaan sudah reda, tapi belum isu ratifikasi ICERD. Walaupun Perdana Menteri sudah membuat kenyataan menangguhkan ratifikasi ICERD, menteri yang ghairah untuk meratifikasinya belum pun menarik balik usaha beliau itu. Begitu juga dengan beberapa NGO yang selama ini mencaturkan inisiatif ini, mereka juga masih berdiam diri. Maknanya, isu ratifikasi ICERD ini masih ibarat api dalam sekam. Justeru, Himpunan Rakyat 8 Disember wajar diteruskan dan akan terus waspada.

Sayugia dinyatakan di sini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) komited terlibat sama dalam penganjuran Kongres 25 November itu ialah kerana tema kongres tersebut dan statusnya sebagai himpunan perpaduan rakyat Malaysia.

Saya difahamkan oleh penganjur bahawa semua institusi politik turut dijemput, tetapi hanya UMNO dan Pas menerima undangan mereka. Maka, silaplah kenyataan Lim Guan Eng, kepada media secara tertutup pada 23 November lalu yang melabelkan Kongres 25 November itu dan himpunan yang bakal diadakan pada 8 Disember sebagai acara anjuran ekstremis bersama UMNO dan Pas.

Usaha Ummah dan banyak pihak menolak ratifikasi ICERD ini tidak rumit untuk difahami. Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara sudah membuat penjelasan yang amat mudah untuk difahami, jika kita membuka minda dan memilih untuk memahaminya. Ia bukan sekadar menjaga kepentingan Islam dan bumiputera. Jauh lebih penting daripada itu ialah melindungi kedudukan negara ini sebagai negara berdaulat dengan Perlembagaannya sudah cukup sempurna.

Buat sekian lamanya kita hidup aman damai dilindungi oleh Perlembagaan itu. Mengapa perlu ada campur tangan asing mempersoalkan cara dan tindak-tanduk kita dalam mentadbir urus negara? Setuju dengan ratifikasi ICERD samalah juga halnya dengan menyerahkan kembali kedaulatan negara kepada penjajah asing, kali ini penjajah global. Inilah salah satu bahana globalisasi dalam era baharu ini. Globalisasi ada kesan positif dan ada negatif. Globalisasi bukan sekadar dalam bidang ekonomi, semua bidang kini sudah diglobalisasikan termasuk agenda international policing, penyebaran international values dan pelbagai lagi.

Jika Waytha Moorthy meragui keterangkuman Perlembagaan itu dalam hal berkaitan kesaksamaan hak setiap warga negara, beliau boleh merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perlembagaan itu. Perkara 8 misalnya, iaitu mengenai kesamarataan, amat jelas maksud dan kandungannya yang meletakkan semua orang sama rata di sisi undang-undang.

Dalam kekalutan ini rakyat Malaysia yang sama-sama cintakan negara ini wajib bangkit untuk bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memudahkan beliau mentadbir-urus negara.

Isu ICERD ini sudah dipolitikkan menjadi isu sensitif. Satu isu seperti itu jika dibiarkan mampu mengheret bersamanya beberapa isu lain menjadi sensitif. Maka, amat bertepatan sekali usaha Ummah ini disokong semua pihak bagi mengadakan Himpunan Rakyat Malaysia 8 Disember ini.

Ia adalah perhimpunan aman terbuka kepada semua golongan dan institusi untuk turut sama. Ia adalah himpunan kedaulatan negara, mengajak semua rakyat komited mempertahankan kedaulatan negara. Ini bukan himpunan mencari populariti. Ia akan dijadikan himpunan berkala bila mana dirasakan perlu berbuat demikian.

Ini bukan himpunan politik dan bukan juga himpunan yang boleh dipolitikkan. Tidak salah bagi Presiden UMNO dan Presiden Pas membuat kenyataan menyokong, malah kehadiran mereka bersama penyokong masing-masing amat dialu-alukan.

Itu adalah komitmen mereka untuk menjayakan himpunan itu kelak kerana mereka juga cintakan keharmonian dan kedamaian. Diharapkan Lim Guan Eng juga sudi hadir, sekalipun berbeza ideologi politik. Demi perpaduan nasional pastinya beliau juga sama seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi cintakan kedamaian dan perpaduan.

Kita ada acuan dan cara sendiri dalam menyelesaikan apa juga perbezaan dan kemelut sesama kita. Apa perlunya campur tangan asing mengajar kita bagaimana mentadbir urus negara?

Lebih baik jika Waytha Moorthy suruh mereka perbetulkan konflik di Myanmar. Di sana ratifikasi ICERD diperlukan. Bukan di sini, bukan di bumi berdaulat ini. Kepada Dr. Mahathir, kami terima siapa saja wakil rakyat yang dipilih secara sah dalam PRU-14 untuk menerajui portfolio perpaduan, asalkan bukan Waytha Moorthy. Himpunan 8 Disember nanti pun beliau tak perlu hadir!

Oleh Dr. Hasan  Mad

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).