iGURU tuntut perkasa bahasa Melayu, tulisan Jawi

BANGI, 13 Syawal 1439H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menuntut subjek Bahasa Melayu dan tulisan Jawi di sekolah-sekolah arus perdana serta universiti awam dan swasta diperkasakan.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, iGuru berpendapat pelajar antarabangsa dan pelajar yang tidak mengikuti aliran perdana mesti wajib lulus Bahasa Melayu Standard sebagai syarat kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Ini kerana terdapat para pelajar dari luar negara yang belajar di IPTA Malaysia tanpa ada kelayakan lulus Bahasa Melayu.

“Cadangan kita adalah untuk memartabat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sekaligus mempertahankan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan perkara 152.

“iGuru turut mencadangkan agar subjek jawi diperkenalkan bukan sahaja di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi juga di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya dalam satu kenyataan.

Ustaz Azizee berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika kunjungan hormat iGuru beserta beberapa NGO menerusi satu pertemuan semalam.

Katanya, iGuru berharap cadangan itu akan mendapat perhatian dan tindakan Kementerian Pendidikan bagi memperkasa sistem pendidikan negara.

“Selain itu, iGuru dan NGO Pendidikan turut mencadangkan Majlis Permuafakatan Pendidikan Negara diwujudkan melibatkan semua pihak yang terdiri dari para guru, PIBG, NGO-NGO, pihak pentadbir sekolah yang terdiri SK, SJKC, SJKT, badan swasta diperingkat nasional dan negeri bagi membantu mengangkat martabat pendidikan negara.

“Pada masa yang sama iGURU dan NGO Pendidikan berharap pihak KPM sentiasa mengamalkan keterbukaan kepada NGO-NGO Pendidikan di dalam memberikan cadangan-cadangan yang konstruktif,” katanya.

Sumber : Ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply