IJBAR DALAM PERKAHWINAN: MENGEKANG KEBEBASAN WANITA?

FENOMENA perkahwinan seorang anak perempuan dengan lelaki pilihan ibu bapa mungkin sudah jarang terjadi pada masa sekarang berbanding zaman dahulu. Namun demikian, kejadian seperti itu masih berlaku pada beberapa keluarga, terutama di kalangan orang kampung, bahkan dalam keluarga yang kuat beragama. Kebanyakan ibu bapa yang melakukan perjodohan itu adalah atas alasan perkara itu memang dibenarkan dalam ajaran agama Islam, iaitu dengan dalil menggunakan konsep ijbar wali (hak paksa wali) terhadap anak perempuannya. Namun, pernahkah terlintas dalam fikiran kita, apakah memang benar agama membolehkan ijbar? Konsep ijbar bagaimanakah yang dimaksudkan dalam agama? Dan bagaimanakah respons wanita sebagai objek ijbar?

Makna Ijbar

Mengikut kamus Lisan al-Arab, kata ijbar bererti al-qahr atau al-ikrah, iaitu memaksa atau compulsion. Demikian juga menurut Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi yang menyamakan perkataan ijbar dengan ikrah. Takrif lain menyebutkan bahawa ijbar diertikan sebagai al-qahru (memaksa), al-ilzamu (pemaksaan), ajbarahu ‘alal amri (memaksa agar melakukan, mewajipkan). Sedangkan menurut Muhammad Abdul Ra’uf al-Munawi, ijbar adalah usaha seseorang untuk memaksa pihak lain untuk dapat memperbetulkan kesalahannya.

Namun demikian, Muhammad Rawwas Qal’ahji membezakan makna ijbar dengan ikrah dalam dua hal, iaitu perbezaan subjek yang memiliki autoriti/kuasa dan perbezaan matlamat dilakukannya ijbar atau ikrah. Menurutnya, ikrah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja meskipun ia tidak memiliki kuasa, sedangkan ijbar hanya dapat dilakukan oleh seseorang yang memiliki kuasa. Selain itu, ijbar dilakukan untuk tujuan pelaksanaan hukum syarak, sedangkan ikrah tidak semestinya dilakukan untuk tujuan pelaksanaan hukum syarak.

Akar perkataan ijbar di dalam al-Quran ditemui sebanyak sepuluh kali yang muncul dalam bentuk isim fa’il, sedangkan kata ikrah – sebagai sinonim kata ijbar – ditemui dalam lima ayat di dalam al-Quran. Namun demikian, keseluruhan ayat tersebut tidak ada yang berbicara dalam  masalah perkahwinan. Di dalam hadis, kata ijbar dalam konsep pernikahan juga tidak ditemui. Namun demikian, para ulama menggunakan beberapa hadis yang ditafsirkan memiliki makna kebolehan diperlakukannya ijbar pada anak perempuan, antara lain hadis yang bermaksud: “Perempuan janda itu lebih berhak atas dirinya sendiri berbanding walinya. Sementara gadis diminta pendapatnya (terlebih dahulu). Dan diamnya merupakan keizinan daripadanya.”

Dengan melihat bahawa perkataan ijbar dalam konteks perkahwinan tidak diungkapkan secara tegas di dalam al-Quran mahupun hadis, maka konsep ijbar ini seakan-akan membuka jalan yang luas untuk dapat dikaji dengan lebih teliti. Memahami konsep ijbar secara utuh adalah dimaksudkan agar tidak menimbulkan pemahaman yang kurang tepat yang pada akhirnya merugikan pihak tertentu dalam praktiknya. Dalam hal ini adalah wanita sebagai pihak yang “dipaksa”, meskipun pada kenyataannya masih banyak wanita yang memandang dirinya sebagai pihak yang tidak memiliki hak memilih dan kuasa untuk perkahwinannya sendiri. Mereka menganggap bahawa diri mereka memang berhak untuk dipaksa oleh walinya. Keputusan dengan siapa akan berkahwin dan bila pelaksanaan perkahwinan itu berada di tangan bapa sebagai wali.

‘Illah Hukum Ijbar

Dalam penetapan hukum dalam Islam, salah satu proses yang mesti dilalui adalah dengan mempertimbangkan ‘illah hukum (alasan hukum). Setiap hukum fiqh yang muncul selalu diawali dengan adanya ‘illah hukum kenapa hukum itu diwujudkan. Di dalam ilmu usul fiqh, terdapat kaedah yang menyatakan bahawa hilangnya sebuah ‘illah hukum dapat membatalkan hukum itu sendiri. Menerusi penetapan hukum ijbar dalam perkahwinan, Muhammad ibn Ahmad ibn Rusyd menyebutkan setidak-tidaknya terdapat tiga pendapat ulama tentang ‘illah hukum konsep ijbar.

Pendapat pertama menyatakan bahawa ‘illah hukum ijbar adalah bikarah (keperawanan). Dalam pelbagai literatur agama yang membahas konsep ijbar, takrif al-bikr merujuk kepada adanya selaput dara seorang wanita. Akan tetapi pada akhirnya perkataan ini mengalami perluasan makna, iaitu al-bikr adalah wanita yang belum pernah melakukan akad nikah. Dengan demikian, seorang wanita yang selaput daranya pecah disebabkan oleh jatuh ataupun terkoyak kerana jari tangan ataupun terlahir dalam keadaan yang sudah tidak memiliki selaput dara, maka wanita itu masih dikatakan sebagai al-bikr. Bahkan Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa wanita yang hilang selaput dara kerana dirogol atau tanpa seizinnya, masih dikatakan sebagai al-bikr. Maka, wanita yang masih dikategorikan sebagai al-bikr sah dijadikan sebagai objek ijbar oleh walinya. Pendapat ini diperakui oleh Imam Syafie.

Pendapat kedua menyatakan bahawa ‘illah hukum konsep ijbar adalah shighar (usia kanak-kanak). Pendapat ini diperakui oleh Abu Hanifah yang menyatakan bahawa seseorang wanita yang sudah baligh atau dewasa tidak boleh diijbar, sama ada wanita tersebut masih gadis ataupun sudah menjadi janda. Sementara seseorang wanita yang masih kanak-kanak, meskipun dia sudah menjadi janda, maka dia boleh diijbar.

Sedangkan pendapat ketiga yang diperakui oleh Imam Malik menyatakan bahawa ‘illah hukum konsep ijbar adalah bikarah (perawan) dan atau shighar (usia kanak-kanak). Maksudnya adalah apabila seorang wanita mempunyai salah satu atau kedua-dua ciri daripada bikarah dan shighar, maka wanita tersebut boleh dijadikan sebagai objek ijbar oleh walinya. Jadi, seorang perawan baligh mahupun janda yang belum baligh sama-sama boleh diijbar. Pendapat ketiga ini semakin menjadikan wanita mempunyai ruang yang luas untuk dibolehkan diijbar, kerana hanya janda yang sudah baligh sahaja yang tidak boleh dijadikan objek untuk diijbar.

Demikian konsep ijbar apabila dilihat daripada ‘illah hukumnya. Ketiga-tiga pendapat di atas menyebutkan bahawa mesti ada sebab (illah) bagaimana kondisi seorang wanita bagi membolehkan ijbar dalam perkahwinannya. Tidak boleh serta-merta ijbar dilakukan oleh wali terhadap anak perempuannya. Namun demikian, tidak sahaja berhenti kepada ‘illah hukumnya, konsep ijbar juga masih perlu dihuraikan daripada aspek dalil yang menjadi dasarnya, sebagaimana hadis yang bermaksud: “Perempuan janda itu lebih berhak atas dirinya sendiri berbanding walinya. Sementara gadis diminta pendapatnya (terlebih dahulu). Dan diamnya merupakan keizinan daripadanya.”

Menurut maksud hadis di atas, wanita dibahagikan menjadi dua kategori, iaitu gadis dan janda. Perbezaan kategori ini menimbulkan hukum yang berbeza juga dalam pelaksanaan ijbar sebagaimana penjelasan di atas. Pandangan para ulama yang menetapkan bikarah sebagai ‘illah hukum pelaksanaan ijbar menunjukkan bagaimana tubuh seorang wanita menjadi kayu ukur ditetapkannya sebuah hukum. Selain itu, wanita seakan-akan dilihat daripada kewujudan selaput daranya sahaja, sehingga seolah-olah wanita tidak mempunyai pilihan lain dan mesti berada di bawah kuasa walinya. Dalam hal ini, hak seorang wanita dalam sebuah perkahwinan yang diakui oleh Rasulullah s.a.w telah dihilangkan sehingga bikarah wanita dianggap sebagai ‘illah hukum yang penting dalam ijtihad hukum ijbar.

Proses penghilangan atas makna hadis tidak sahaja berhenti setakat itu, tetapi proses bermusyawarah yang disebutkan oleh hadis yang bermaksud, “Sementara gadis diminta pendapatnya (terlebih dahulu)” seakan-akan tidak perlu dilakukan antara wali dan anak perempuannya. Hal ini mengarah kepada maksud hadis seterusnya yang menyatakan bahawa diamnya seorang wanita perawan merupakan petanda persetujuannya. Padahal proses diam itu ada setelah adanya proses bermusyawarah yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Dengan demikian, pendapat wanita dalam proses pengambilan keputusan yang menjadi pesan penting dalam hadis di atas seolah-olah hilang dengan adanya sikap diam wanita.

Makna diam pada seorang wanita mengandungi pelbagai erti di kalangan para ulama. Misalnya, al-Bahuti (1402 H) yang menyebutkan bahawa hukum memohon izin (persetujuan) seorang wanita adalah wajib. Beliau menyebutkan bahawa seorang wanita boleh jadi akan mengekspresikan kemahuannya melalui reaksi diam. Tetapi proses ini mesti melalui proses adanya soalan ataupun bermusyawarah dengan walinya. Bahkan al-Zaila’i (1357 H) telah mengutip pendapat dalam kitab al-Tanqih bahawa kalimat “si bapa hendaknya memohon izin anak perempuannya ketika akan menikahkannya” tidak mengandungi dalil tentang ijbar. Pengertian seperti ini merupakan hasil interpretasi para ulama yang subjektif, meskipun para ulama Hanafiyah menganggap masih memungkinkan diterapkannya pemahaman tersebut bagi wanita perawan yang belum baligh/dewasa.

Pembahasan di atas telah menunjukkan bagaimana perdebatan para ulama dalam menetapkan hukum ijbar bagi wanita. Secara ringkas dapat disimpulkan bahawa terdapat dua hal mendasar yang digunakan para ulama sebagai dasar kebolehan melakukan ijbar kepada wanita, iaitu bahawa wanita yang masih perawan tidak memiliki kebebasan untuk mengatur dirinya sendiri dalam hal perkahwinan sebagaimana janda, dan sikap diam wanita dianggap sebagai bentuk persetujuan daripadanya. Kedua-dua hal inilah yang menjadi dasar praktik ijbar dan dianggap sebagai ‘illah hukum bagi konsep ijbar kepada perempuan perawan.

Dalam pelaksanaan ijbar, sebahagian ulama memberikan beberapa syarat yang membolehkan praktik ijbar dilakukan. Muhammad al-Syarbini (1415 H) mengutip pendapat Ibn al-Imad yang menyebutkan bahawa terdapat tujuh syarat dalam pelaksanaan ijbar, iaitu tidak ada permusuhan antara wali dengan anak, sekufu (setaraf dalam hal agama), mahar mithli, mahar adalah mata wang negeri/negara setempat, mudah membuat pembayaran, tidak dinikahkan dengan lelaki yang memungkinkan timbulnya kesengsaraan dalam kehidupan berrumah tangga, dan tidak dalam menunaikan ibadah haji. Kemudian al-Wali al-‘Iraqy menambah syarat tidak adanya permusuhan antara calon pengantin lelaki dengan calon pengantin wanita. Sedangkan Mansur ibn Yunus al-Bahuti (1402 H) menyebutkan bahawa ijbar hanya boleh dilakukan apabila memenuhi empat syarat iaitu: sekufu, mahar mithli, suami tidak miskin, tidak ada permusuhan dan mahar berupa mata wang tempatan.

Syarat-syarat dibolehkannya melakukan ijbar sangat jelas bukan sesuatu yang mudah. Terdapat banyak syarat yang mesti dipenuhi sehingga konsep ijbar boleh dilakukan. Namun sayangnya, tidak semua orang mengetahui syarat-syarat tersebut dan menganggap bahawa  ijbar dapat dengan mudahnya dilakukan oleh wali terhadap anak perempuannya. Padahal daripada sekian banyak syarat tersebut, masih terdapatpelbagai persoalan yang mesti dikaji dengan lebih mendalam. Misalnya, mengenai sekufu, mahar, ataupun tidak adanya permusuhan antara wali dengan anak perempuannya mahupun antara calon pengantin lelaki dengan calon pengantin perempuan.

Seseorang wanita yang mengalami proses ijbar dalam perkahwinannya mengalami dua keadaan yang tidak menggembirakan, iaitu keterpaksaannya dalam memilih calon suami dan juga keterpaksaanya dalam menentukan masa untuk melangsungkan perkahwinannya. Terdapat banyak alasan mengapa perkara itu berlaku, namun salah satu penyebabnya adalah kerana wanita tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan. Wanita tidak dilibatkan dalam mengambil keputusan, maka ini menunjukkan bahawa kedudukan wanita yang masih inferior dan dianggap tidak penting.

Situasi wanita seperti ini amat berbeza dengan situasi yang digambarkan pada masa Rasulullah s.a.w. Wanita yang dipinang sentiasa diajak bermusyawarah sehingga seseorang wanita itu dapat menyampaikan keputusannya sama ada untuk bersetuju mahupun menolak pinangan tersebut. Hal ini bermakna bahawa wanita dilibatkan dalam proses membuat keputusan. Bahkan cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w menunjukkan wanita memiliki peluang untuk menentukan keputusannya sendiri. Rasulullah s.a.w dengan cara yang baginda lakukan telah menunjukkan bahawa wanita adalah makhluk yang berdikari, yang memiliki hak di atas pengambilan keputusan untuk perkahwinannya. Dengan kata lain, keputusan muktamad sesungguhnya berada di tangan si wanita itu sendiri, bukan di tangan wali atau orang lain.

Namun sayangnya, keadaan seperti itu kadangkala tidak terjadi pada sesetengah wanita hatta pada zaman moden ini. Proses membuat keputusan berada di bawah kuasa wali yang dianggap sebagai perwakilan daripada pihak wanita. Dalam kes seperti inilah, telah terjadi salah tafsir tentang kedudukan wali terhadap anak perempuannya. Perana wali seharusnya hanya setakat perantara komunikasi telah menjadi kuasa penentu yang mengakibatkan hilangnya hak seseorang wanita dalam proses membuat keputusan.

Reaksi seseorang wanita yang mengalami proses ijbar dalam perkahwinan dapat dibahagikan kepada dua keadaan, iaitu keadaan menerima secara pasrah dengan alasan kepatuhan kepada ibu bapa (birrul walidain), keinginan untuk membahagiakan ibu bapa sehingga mengorbankan kebahagiaan dirinya sendiri ataupun kerana tidak adanya kemampuan untuk menolak disebabkan kuasa wali dalam keluarga yang menimbulkan rasa takut bagi pihak wanita. Atau keadaan menolak dan mempertahankan hak atas dirinya, baik dengan cara diam sebagai tanda penolakannya ataupun dengan cara mengajak pihak wali untuk kembali berbincang, meskipun tidak menjamin adanya perbincangan bahawa pihak wali dapat merubah keputusan. Sikap seorang wali yang mengabaikan pendapat wanita seakan-akan menjadikan wanita sebagai the others atau “yang lain”, yang rendah dan tidak penting. Keadaan seperti ini, di mana keputusan muktamad yang diambil tidak berpihak kepada hak wanita, maka sesungguhnya perkahwinan yang terjadi pada wanita itu adalah perkahwinan paksa.

Daripada penjelasan konsep ijbar di atas, dapat diambil kesimpulan bahawa konsep ijbar dalam pernikahan yang ada dalam ajaran Islam adalah bukanlah “pernikahan / perkahwinan paksa” yang boleh terjadi dengan tanpa alasan yang kukuh. Islam tetap mengajarkan adanya perbincangan antara wali dengan anak perempuan, dan konsep ijbar baru boleh dilakukan apabila syarat-syarat ijbar yang ada telah benar-benar dapat dipenuhi. Itulah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w yang amat menghormati kaum wanita. Jika Rasulullah s.a.w tetap menghormati hak-hak kaum wanita, patutkah kita sebagai umatnya tidak melakukan perkara yang sama? Wallahu a’lam…

Oleh Ibanah Suhrowardiyah Shiam Mubarokah

No Comments

    Leave a reply