IKTIKAF BULAN RAMADHAN SEMAKIN DILUPAKAN

Sedar atau tidak dalam konteks komuniti Islam di Malaysia sejak awal, ibadah penting yang satu ini iaitu iktikaf di masjid pada bulan Ramadan tidak begitu popular dan seolah-olah ditinggalkan.

Sedangkan, al-Quran menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk diwajibkan seperti dalam perintah puasa, qishash dan wasiat atau fi’il amr (perintah seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan satu bab khusus tentang iktikaf ini.

Rasulullah SAW memberi teladan dalam syariat iktikaf kerana sesungguhnya dalam hati manusia itu ada kekusutan jiwa dan masalah-masalah yang tidak dapat diatasi kecuali dengan menghadapkan diri kepada Allah SWT.

Tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh kerana itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah.

Pernahkah kita terfikir mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini sangat ganjil. Tetapi ganjil bukan bererti salah.

Sebelum ini kita hanya mengambil cuti berehat untuk bersama keluarga. Demikian juga untuk balik kampung menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Tetapi kalau difikir-fikir secara mendalam apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang sangat penting dan hanya datang sekali dalam setahun itu?

Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi iktikaf 10 hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu lain. Dalam hal ibadah ini kita harus mencontohi Nabi.

Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indah ibadah ini (iktikaf) nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu.

Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi pertama kali Baginda menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri beliau dan masyarakat, saat jiwa Baginda mencapai kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing beliau sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup Baginda bahkan perjalanan hidup umat manusia.

Kerana itu pula Baginda mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran lailatulqadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf. Mengapa nabi memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, bukan pada 10 hari terawal? Alasannya mungkin berkaitan kedudukan puasa nabi yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan lailatulqadar.

Sebenarnya untuk mendapatkan lailatulqadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu saja. Ibadah harus dirintis dari awal sehingga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk mene­rima kedatangannya.

Ketika Nabi Ibrahim berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya membangun Baitullah – (Kaabah) bersama anaknya Ismail – Tuhan lalu memerintahkan kepada keduanya agar tetap menyucikan rumah Allah itu bagi melaksanakan tiga kegiatan ibadah.

“Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian makam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud.’’ (al-Baqarah ayat 125).

Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk iktikaf. Masjid ditutup dan dikuncinya. Iktikaf mereka bolehkan tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak.

Padahal Nabi jelas mencontohkan iktikaf selama 10 hari terakhir di bulan Ramadan. Surah al-Baqarah yang menerangkan secara terperinci pelaksanaan puasa berserta hal-hal berkait dengannya juga jelas bersambung dengan iktikaf ini.

Perhatikanlah maksud ayat berikut ini:

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benang hitam, di waktu fajar.

“Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertakwa.” (al-Baqarah ayat 187).

Riwayat lain menyebutkan: Sesungguhnya Nabi melakukan iktikaf di 10 hari kedua dari bulan Ramadan dan 10 terakhir bulan tersebut. Baginda terus melakukan amalan ini sampai akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isterinya. Di sini bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi. Pertama, beliau beriktikaf selama 20 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kedua, Nabi kadang-kadang melakukannya pada 10 hari kedua dan kadang-kadang 10 hari terakhir.)

Nabi menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam merenung dan menyucikan jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di situ. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar dari hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh pengetahuan dan pengayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyak doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa.

Memang iktikaf boleh dilakukan di mana saja. (Sebelum diangkat jadi rasul, Nabi Muhammad melakukannya di Gua Hira). Tetapi berdasarkan sunah yang ditunjukkan Nabi sepanjang hidupnya di Madinah, Baginda terus melakukannya di masjid.

Ingatlah iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirehat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam memperbanyak ibadah.

Catatan: Ibnu Baitar

No Comments

    Leave a reply