Mutakhir ini, diperhatikan terdapat beberapa negara yang mengorak langkah untuk memanfaatkan tradisi ilmu hikmah dan ahli-ahlinya sebagai sumber inspirasi kepada kesedaran kebudayaan dan hala tuju bangsa mereka demi mengisi kehampaan dalaman yang semakin parah.

Ia adalah suatu daya pertimbangan yang saksama dan kefahaman tentang kedudukan setiap sesuatu di alam semesta ini. Oleh itu sebilangan besar sarjana Muslim silam tidak menafikan akan beberapa kebenaran yang muncul oleh individu seperti Aristotle dari zaman Yunani purba kala atau Kung-Fu Tze (Confucius) dari zaman China purba kala, walaupun ajaran hikmah mereka tidak lengkap kerana tidak berpandukan wahyu.

Para hukama dalam tradisi ilmu Islam termasuk para awliya’ dan ahli tasawwuf seperti Al-Junayd al-Baghdadi (m. 910), Al-Ghazali (m. 1111), Jalaluddin al-Rumi (m. 1273), dan Mulla Sadra (m. 1640). Mereka menjadi sandaran para ulama kaum Muslimin berkurun lamanya dalam menjawab persoalan hakikat kewujudan (ontology), hakikat alam semesta (cosmology), dan hakikat insan (psychology), yang mendasari persoalan tadbir urus diri (ethics), tadbir urus rumah tangga (economics), dan tadbir urus wilayah (politics).

Di China ketika ini, di bawah kepimpinan Presiden Xi Jin Ping, ahli hikmah terulung dalam sejarah China, Kung-Fu Tze diangkat kembali sebagai sumber inspirasi bangsa Cina melalui penubuhan 300 institut Kung-Fu Tze di merata China dalam menyemarakkan ajaran hikmah beliau. Ini termasuklah mendapatkan khidmat pakar Kung-Fu Tze, seperti Profesor Dr. Tu Weiming, untuk kembali dari Universiti Harvard, mengajar di Universiti Peking, Beijing.

Di Iran, ahli ilmu hikmah seperti Mulla Sadra diberikan penghormatan tertinggi sewaktu zaman kepimpinan Presiden Muhammad Khatami. Mulla Sadra dan tokoh ilmu hikmah lain terus diberi tempat istimewa oleh masyarakat Iran sebagai warisan kebudayaan mereka, dan dijadikan sandaran untuk institusi pendidikan mereka.

Bagaimana pula dengan nasib tradisi ilmu hikmah di Malaysia? Pada pengamatan penulis, Malaysia, pada satu ketika dahulu sudah hampir mempersiapkan pentas seorang tokoh silam sebagai sumber inspirasi kepada kesedaran kebudayaan orang Islam di alam Melayu apabila Kementerian Kebudayaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu menerbitkan sebuah karya bertajuk A Commentary on the Hujjatul al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pada 1986.

Melalui karya ini, Profesor al-Attas memartabatkan kembali kedudukan Shaykh Nur al-Din al-Raniri (m. 1658) sebagai ahli hikmah, mutakallim, sejarawan dan ahli adabiyat terulung di alam Melayu. Al-Raniri, yang pernah mendiami Pahang, menyumbang besar kepada keluhuran aqali dan rohani orang Melayu melalui karya-karyanya yang ditulis di dalam skrip jawi serta menjadi contoh serta rujukan alim ulama selepas beliau di alam Melayu.

Contohnya, hikmah Melayu yang diunggapkan al-Raniri boleh menyumbang kepada keluhuran akal budi bangsa serta mencetuskan perkembangan sains pada taraf yang lebih tinggi melalui penggunaan bahasa yang bersifat mantiqi (language of reason) dalam karya-karya beliau, sesuai dengan hasrat sistem pendidikan negara untuk melahirkan anak bangsa yang berdaya saing.

Oleh itu, kepentingan untuk memberi tumpuan kepada ilmu hikmah dan ahlinya sebagai sumber inspirasi kepada hala tuju kebudayaan masyarakat Muslim semasa boleh disimpulkan kepada tiga sudut utama iaitu untuk mendapat manfaat daripada keberkatan para hukama itu, untuk memberi suntikan supaya akal fikiran umat tidak terbelenggu semangat tragedi (shaqawah) serta cara berfikir asing yang bercanggah dengan pandangan Islam; dan memperkukuhkan perwatakan serta cara berfikir anak bangsa dengan sifat lebih mantiqi.

Oleh Muhammad Syafiq Borhannuddin

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,

Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).