“ILMUWAN JUGA PERLU ADA TANGGUNGJAWAB POLITIK” – HASSAN HANAFI

Tokoh ini dilahirkan pada 13 Februari 1935 di Kaherah; tepatnya di daerah Al-Azhar. Kota ini merupakan tempat bertemunya para mahasiswa Muslim dari seluruh dunia untuk belajar, terutama di Universiti Al-Azhar. Dari sudut sejarah dan budaya, kota Mesir itu memang telah dipengaruhi peradaban-peradaban besar sejak zaman Firaun, Romawi, Byzantium, Arab, Mamluk dan Turki, bahkan hingga Eropah moden. Hal ini menunjukkan bahawa Mesir, terutama kota Kaherah, mempunyai makna besar dan penting bagi perkembangan awal tradisi keilmuan Hassan Hanafi.

Pada zaman kanak-kanak dan remaja, Hassan Hanafi berhadapan dengan kenyataan hidup di bawah penjajahan dan dominasi pengaruh bangsa asing. Kenyataan itu membangkitkan sikap patriotik dan nasionalismenya, sehingga tidak hairanlah meskipun masih berusia 13 tahun, beliau telah mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan perang melawan Israel pada tahun 1948. Bagaimanapun permohonannya itu ditolak oleh Pemuda Muslimin kerana menganggap usianya masih terlalu muda. Di samping itu beliau juga dianggap bukan berasal dari kumpulan Pemuda Muslimin. Beliau kecewa, namun menyedari bahawa di Mesir ketika itu telah berlaku masalah perpecahan di kalangan beberpa pertubuhan Islam.

Ketika masih di bangku sekolah, pada tahun 1951, Hassan Hanafi menyaksikan sendiri bagaimana tentera Inggeris membunuh para syuhada di Terusan Suez. Bersama-sama dengan para mahasiswa, beliau mengabdikan diri untuk membantu gerakan revolusi yang telah dimulai pada akhir tahun 1940-an hingga revolusi itu meletus pada tahun 1952. Atas saranan anggota-anggota Pemuda Muslimin, pada tahun itu juga beliau tertarik untuk memasuki pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun, dalam pertubuhan Ikhwan pun berlaku pergolakan yang sama dengan apa yang terjadi dalam pertubuhan Pemuda Muslimin. Kemudian Hassan Hanafi kembali disarankan oleh para anggota Ikhwan untuk bergabung dalam pertubuhan Mesir Muda. Ternyata keadaan dalam Mesir Muda sama dengan kedua-dua organisasi sebelumnya. Hal ini mengakibatkan ketidakpuasan Hassan Hanafi akan cara berfikir golongan muda Islam yang berpecah-belah.

Kekecewaan ini menyebabkan beliau memutuskan untuk mengalihkan tumpuan bagi mendalami pemikiran-pemikiran keagamaan, revolusi, dan perubahan sosial. Ini juga yang menyebabkan beliau lebih tertarik pada pemikiran-pemikiran Sayyid Qutb, seperti tentang prinsip-prinsip Keadilan Sosial dalam Islam. Sejak tahun 1952 hingga 1956, Hassan Hanafi belajar di Universiti Kaherah untuk mendalami bidang filsafat. Pada fasa pertama pengajiannya ini, beliau merasakan situasi yang paling buruk telah terjadi di Mesir. Pada tahun 1954 misalnya, terjadi pergolakan yang hebat antara Ikhwan dengan gerakan revolusi. Hassan Hanafi berada di pihak Muhammad Najib yang berhadapan dengan Gamal Abdul Nasser, kerana baginya Najib memiliki komitmen dan visi keislaman yang jelas.

Peristiwa-peristiwa yang beliau alami pada masa itu, terutama yang beliau hadapi di kampus, membuatnya bangkit menjadi seorang pemikir, pembaharu, dan reformis. Keprihatinan yang muncul ketika itu adalah mengapa umat Islam sering dapat dikalahkan dan konflik dalaman terus-menerus terjadi. Tahun-tahun berikutnya, Hassan Hanafi berkesempatan belajar di Universiti Sorborne, Perancis, pada tahun 1956 hingga 1966. Di sini beliau memperoleh lingkungan suasana yang ´tenteram´ untuk mencari jawapan akan persoalan-persoalan mendasar yang sedang dihadapi oleh negaranya, sekali gus merumuskan jawapan-jawapannya. Di Perancis inilah beliau dilatih untuk berfikir secara metodologis melalui kuliah-kuliah mahupun bacaan daripada karya-karya para orientalis. Beliau sempat belajar daripada seorang reformis Katholik, Jean Gitton, tentang metodologi berfikir, pembaharuan, dan sejarah filsafat. Beliau belajar fenomenologi daripada Paul Ricouer, analisis kesedaran daripada Husserl, dan bimbingan penulisan tentang pembaharuan Usul Fikq daripada Profesor Masnion.

Semangat Hassan Hanafi untuk mengembangkan tulisan-tulisannya tentang pembaharuan pemikiran Islam semakin marak sejak beliau pulang dari Perancis pada tahun 1966. Bagaimanapun, kekalahan Mesir dalam perang menentang Israel pada tahun 1967 telah mengubah niatnya itu. Beliau kemudian ikut serta dengan rakyat berjuang dan membangun kembali semangat nasionalisme di Mesir. Dari sisi lain, untuk menunjang perjuangannya itu, Hassan Hanafi juga mulai memanfaatkan pengetahuan-pengetahuan akademik yang telah diperolehnya dengan menggunakan media massa sebagai wadah perjuangannya. Beliau menulis banyak artikel untuk menangggapi masalah-masalah sebenar dan mencari punca faktor kelemahan umat Islam.

Hassan Hanafi mengajar di Universiti Kaherah dan beberapa universiti di luar negara. Beliau sempat menjadi profesor tamu di Perancis (1969) dan Belgium (1970). Kemudian, antara tahun 1971 hingga 1975, beliau mengajar di Universiti Temple, Amerika Syarikat. Pemergiannya ke Amerika, sesungguhnya berpunca daripada ´salah faham´ pemerintah terhadap aktivitinya di Mesir, sehingga beliau diberikan dua pilihan – apakah beliau akan tetap meneruskan aktivitinya itu atau pergi ke Amerika Syarikat. Kenyataannya, aktivitinya yang baru di Amerika memberinya kesempatan untuk banyak menulis tentang dialog antara agama dengan revolusi. Sesudah kembali dari Amerika, beliau mula menulis tentang pembaruan pemikiran Islam. Beliau kemudian memulakan penulisan buku Al-Turats wa Al-Tajdid. Karya ini, ketika itu, belum sempat beliau selesaikan kerana beliau dihadapkan pada gerakan anti-pemerintah Anwar Sadat yang pro-Barat dan bersekongkol dengan Israel. Beliau terpaksa terlibat untuk membantu menjernihkan suasana melalui tulisan-tulisannya yang ´mengalir´ antara tahun 1976 hingga 1981. Tulisan-tulisannya itulah yang kemudian disusun kembali menjadi buku Al-Din wa Al-Tsaurah.

Sementara itu, dari tahun 1980 hingga 1983, beliau menjadi profesor tamu di Universiti Tokyo, dan pada tahun 1985 di Emeriyah Arab Bersatu. Hassan Hanafi sering berkunjung ke Belanda, Sweden, Portugal, Sepanyol, Perancis, Jepun, India, Indonesia, Sudan, Arab Saudi dan beberapa buah negara lain antara tahun 1980 hingga 1987. Pengalaman pertemuannya dengan para pemikir besar di negara-negara tersebut telah menambah wawasannya untuk semakin memahami persoalan-persoalan yang dihadapi oleh dunia Islam. Maka, daripada pengalaman hidup yang beliau peroleh sejak masih remaja membuat beliau memiliki world view yang begitu besar terhadap persoalan umat Islam.

Oleh hal yang demikian itu, meskipun tidak secara sepenuhnya mengabdikan diri dalam sesebuah pertubuhan atau pergerakan tertentu, beliau banyak terlibat secara langsung dalam kegiatan-kegiatan pertubuhan-pertubuhan yang ada di Mesir. Sedangkan pengalamannya dalam bidang akademik dan intelektual, baik secara formal mahupun tidak, dan pertemuannya dengan para pemikir besar dunia semakin mempertajam analisis dan pemikirannya sehingga mendorong hasratnya untuk terus menulis dan mengembangkan pemikiran-pemikiran baru demi membantu menyelesaikan persoalan-persoalan besar umat Islam.

Untuk memudahkan huraian pada bahagian ini, kita dapat mengklasifikasikan karya-karya Hassan Hanafi dalam tiga fasa sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa penulis yang telah lebih dahulu mengkaji pemikiran tokoh ini. Fasa pertama berlangsung pada tahun-tahun 1960-an; fasa kedua pada tahun-tahun 1970-an, dan fasa ketiga dari tahun-tahun 1980-an hingga 1990-an.

Pada awal dekad 1960-an, pemikiran Hassan Hanafi dipengaruhi oleh fahaman-fahaman dominan yang berkembang di Mesir, iaitu nasionalistik-sosialistik kependudukan yang juga dirumuskan sebagai ideologi Pan-Arabisme, dan disebabkan oleh ´suasana kebangsaan´ yang kurang memberangsangkan sesudah kekalahan Mesir dalam perang melawan Israel pada tahun 1967. Pada awal dekad ini pula (1956-1966), sebagaimana telah dikemukakan di atas, Hassan Hanafi menjalani pengajian di Perancis. Di Perancis inilah, Hassan Hanafi lebih banyak menekuni bidang-bidang filsafat dan ilmu sosial dalam kaitannya dengan hasrat dan usahanya untuk melakukan rekonstruksi pemikiran Islam.

Untuk tujuan rekonstruksi itu, sepanjang berada di Perancis beliau melakukan penelitian dan penyelidikan terutama tentang metode interpretasi sebagai upaya pembaharuan bidang ushul fikh (teori hukum Islam, “Islamic legal theory”) dan tentang fenomenologi sebagai metode untuk memahami agama dalam konteks realiti kontemporari. Penelitian itu sekali gus merupakan usahanya untuk meraih gelaran doktor daripada Universiti Sorbonne (Perancis), dan beliau berhasil menyelesaikan disertasi yang berjudul Essai sur la Methode d Exegese (Esei tentang Metode Penafsiran). Karya setebal 900 halaman itu menerima penghargaan sebagai karya ilmiah terbaik di Mesir pada tahun 1961. Dalam karyanya itu, jelas Hassan Hanafi berjaya menghadapkan ilmu ushul fikh pada mazhab filsafat fenomenologi Edmund Husserl.

Pada awal pemikirannya itu, tulisan-tulisan Hassan Hanafi masih bersifat ilmiah ´murni´ atau belum teruji keampuhannya. Bagaimanapun, pada akhir dekad itu beliau mulai berbicara tentang keharusan Islam untuk mengembangkan wawasan kehidupan yang progresif dan berdimensi pembebasan (taharrur, liberation). Beliau mensyaratkan fungsi pembebasan – jika memang itu yang diinginkan Islam – agar dapat membawa masyarakat kepada kebebasan dan keadilan, khususnya keadilan sosial, sebagai ukuran utamanya. Struktur yang populistik adalah manifestasi kehidupannya dan kebulatan kerangka pemikiran sebagai resepi utamanya. Hassan Hanafi berpendapat bahawa Islam sebaik-baiknya berfungsi secara orientatif bagi ideologi populistik yang ada.

Pada akhir fasa ini, dan berlanjutan hingga awal dekad 1970-an, Hassan Hanafi juga memberikan perhatian utamanya untuk mencari penyebab terhadap kekalahan umat Islam dalam perang menentang Israel pada tahun 1967. Pada awal dekadl 1970-an, beliau banyak menulis artikel dalam pelbagai media massa, seperti Al-Katib, Al-Adab, Al-Fikr Al-Muashir, dan Mimbar Al-Islam. Pada tahun 1976, tulisan-tulisan itu diterbitkan sebagai sebuah buku dengan judul Qadhaya Mu ashirat fi Fikrina Al-Muashir. Buku tersebut memberikan deskripsi tentang realiti dunia Arab ketika itu, analisis tentang tugas para pemikir dalam menanggapi persoalan umat, dan tentang peri pentingnya pembaharuan pemikiran Islam untuk menghidupkan kembali khazanah tradisional Islam. Kemudian, pada tahun 1977, beliau menerbitkan Qadhaya Mu ´ashirat fi al Fikr Al-Gharib. Buku kedua ini membincangkan pemikiran para sarjana Barat dalam melihat bagaimana mereka memahami persoalan masyarakatnya dan kemudian melaksanakan pembaharuan. Beberapa pemikir Barat yang beliau sentuh itu antara lain termasuklah Spinoza, Voltaire, Kant, Hegel, Unamuno, Karl Jaspers, Karl Marx, Marx Weber, Edmund Husserl, dan Herbert Marcuse.

Kedua-dua buku tersebut secara keseluruhan merangkumi dua dasar pendekatan analisis yang berkaitan dengan sebab-sebab kekalahan umat Islam; memahami kedudukan umat lslam sendiri yang lemah itu, dan memahami kedudukan Barat yang superior. Dalam buku yang pertama, penekanan diberikan kepada usaha meningkatkan ´keberdayaan´ umat, terutama dari segi pola pemikiran mereka, dan dalam buku yang kedua beliau berusaha untuk menunjukkan bagaimana umat Islam perlu menekan superioriti Barat dalam segala aspek kehidupan. Kedua-dua pendekatan inilah yang kemudiannya melahirkan dua dasar pemikiran baru yang tercatat dalam dua buah bukunya, iaitu Al-Turats wa Al-Tajdid (Tradisi dan Pembaharuan), dan Al-Istighrab (Oksideantalisme). Pada fasa ini, iaitu antara tahun-tahun 1971-1975, Hassan Hanafi juga menganalisis sebab-sebab ketegangan antara berbagai-bagai kelompok berkepentingan di Mesir, terutama antara kumpulan radikal Islam dengan pemerintah. Pada masa yang sama suasana politik Mesir mengalami ketidakstabilan yang ditandai dengan beberapa peristiwa penting yang berkaitan dengan sikap Anwar Sadat yang pro-Barat dan memberikan kelonggaran pada Israel, hingga beliau terbunuh pada Oktober 1981. Keadaan itu membawa Hassan Hanafi pada pemikiran bahawa seseorang ilmuwan juga harus mempunyai tanggungjawab politik terhadap nasib bangsanya.

Untuk itulah beliau kemudiannya menulis Al-Din wa Al-Tsaurah fi Mishr, 1952-1981. Karya ini terdiri daripada lapan (8) jilid yang merupakan himpunan pelbagai artikel yang ditulisnya antara tahun 1976 hingga 1981 dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1987. Karya itu memuatkan pembicaraan dan analisis tentang kebudayaan nasional dan hubungannya dengan agama, hubungan antara agama dengan perkembangan nasionalisme, tentang gagasan mengenai gerakan Kiri Keagamaan yang membahas gerakan-gerakan keagamaan kontemporari fundamentalisme Islam, serta gerakan Kiri Islam dan Integriti Kebangsaan. Menerusi analisisnya, Hassan Hanafi menemukan bahawa salah satu penyebab utama konflik berpanjangan di Mesir adalah tarik-menarik antara ideologi Islam dengan ideologi Barat dan sosialisme. Beliau juga memberikan bukti-bukti penyebab munculnya berbagai-bagai tragedi politik, dan menganalisis penyebab munculnya radikalisme Islam.

Karya-karya lain yang beliau hasilkan pada fasa ini ini ialah Religious Dialogue and Revolution dan Dirasat Al-Islamiyyah. Buku pertama memuatkan pemikiran yang ditulisnya antara tahun 1972 hingga 1976 ketika beliau berada di Amerika Syarikat, dan diterbitkan pertama kali pada tahun 1977. Pada bahagian pertama buku ini, beliau menyarakan metode hermeneutik sebagai metode dialog antara Islam, Kristian, dan Yahudi. Bahagian kedua pula secara khusus membicarakan hubungan antara agama dengan revolusi, dan beliau menyarankan fenomenologi sebagai metode untuk menyingkap dan mentafsir realiti umat Islam. Sementara itu Dirasat Islamiyyah, yang ditulis sejak tahun 1978 dan terbit pada tahun 1981, memuatkan deskripsi dan analisis pembaruan terhadap ilmu-ilinu keislaman klasik, seperti usul fikh, ilmu-ilmu usuluddin, dan filsafat. Dimulai dengan pendekatan sejarah untuk melihat perkembangannya, Hassan Hanafi berbicara tentang usaha rekonstruksi terhadap ilmu-ilmu tersebut untuk disesuaikan dengan realiti kontemporari.

Fasa selanjutnya, iaitu dekad 1980-an hingga awal 1990-an, beliau dilatarbelakangi oleh keadaan politik yang lebih stabil berbanding masa-masa sebelumnya. Dalam fasa ini, Hassan Hanafi mula menulis Al-Turats wa Al-Tajdid yang kemudiannya terbit pertama kali pada tahun 1980. Buku ini merupakan landasan teoretis yang memuatkan dasar-dasar idea pembaharuan dan langkah-langkahnya. Kemudian, beliau menulis Al-Yasar Al-lslamiy (Kiri Islam), tulisan yang lebih merupakan sebuah manifesto politik yang berbau ideologi.

Beberapa tulisannya yang lain dikumpulkannya dalam buku yang berjudul Religion, Ideology and Development yang terbit pada tahun 1993. Beberapa artikel yang lain pula disusun dalam buku berjudul Islam in the Modern World (dua jilid). Selain mengandungi kajian-kajian agama dan filsafat, dalam karya-karyanya yang terakhir pada fasa ini turut mengandungi kajian-kajian ilmu sosial, seperti ekonomi dan teknologi. Fokus pemikiran Hassan Hanafi pada karya karya-karya terakhir ini lebih tertumpu pada usaha untuk meletakkan kedudukan agama serta fungsinya dalam pembangunan di negara-negara dunia ketiga. Pada perkembangan selanjutnya, Hassan Hanafi tidak lagi berbicara tentang ideologi tertentu, tetapi mengenai paradigma baru yang sesuai dengan ajaran Islam sendiri mahupun keperluan hakiki kaum Muslimin.

Aliran pemikiran dalam diri Hassan Hanafi ini antara lain didorong oleh maraknya wacana nasionalisme-pragmatik Anwar Sadat yang menolak fahaman sosialisme Gamal Abdul Nasser di Mesir pada dekad 1970-an. Paradigma baru ini telah beliau kembangkan sejak fasa kedua dekad 1980-an hingga sekarang. Pandangan universalistik ini dari satu sisi didukung oleh usaha pengintegrasian wawasan keislaman daripada kehidupan kaum Muslimin ke arah usaha penegakan martabat manusia melalui pencapaian autonomi individual bagi warga masyarakat; penegakan kedaulatan undang-undang dan keampuhan (empowerment) bagi kekuatan massa rakyat jelata.

Pada sisi lain, paradigma universalistik yang diimpikan Hassan Hanafi mesti dimulai daripada pengembangan epistemologi ilmu pengetahuan baru. Orang Islam, menurut Hassan Hanafi, semestinya tidak hanya menerima dan mengambil alih paradigma ilmu pengetahuan moden Barat yang tertumpu pada materialisme, tetapi harus mengikis sikap pesimis mereka terhadap peradaban ilmu pengetahuan Arab. Pemilihan dan dialog konstruktif dengan peradaban Barat itu diperlukan untuk mengenal dunia Barat dengan setepat-tepatnya. Dan usaha pengenalan itu sebagai unit kajian ilmiah, berbentuk ´pelawaan´ kepada ilmu-ilmu kebaratan (Al-Istighrab, Oksideantalisme) sebagai imbangan bagi ilmu-ilmu ketimuran (Al-Istisyraq, Orientalisme). Oksideantalisme dimaksudkan untuk mengetahui peradaban Barat secara seadanya sehingga dari pendekatan ini akan muncul kemampuan mengembangkan ´kebijaksanaan´ yang diperlukan oleh kaum Muslimin bagi jangka panjang. Dengan pandangan ini, Hassan Hanafi memberikan harapan bahawa Islam untuk menjadi ´mentor´ bagi peradaban-peradaban lain dalam penciptaan peradaban dunia baru dan universal.

Catatan: Ibnu Farabi

No Comments

    Leave a reply