IMPAK ‘GANAS’ , E-SUKAN DAN TRAGEDI CHRISTCHURCH

PUBG. Player Unknown’s Battleground. Sejenis permainan yang dikategorikan sebagai e-sukan. Hingga kini, permainan tersebut dianggarkan telah dimuatnaik lebih 100 juta orang. Ia menjadi lebih popular daripada permainan dalam talian sebelumnya yang menggunakan teknologi augmented reality (AR) dan disertakan dengan global positioning system (GPS), Pokemon.

Pokeman membuatkan ramai orang terleka, tetapi PUBG membuat ramai orang tidak lagi takut berperang dengan menggunakan senjata. Malah merasa bangga kerana aksi perang itu dipaparkan semula sebagai ‘hero’ setelah ramai ‘musuh’ berjaya ditembak menerusi facebook.

Tragedi yang mengakibatkan 50 orang umat Islam meninggal kerana dibelasah dengan senapang semi 1automatik oleh seorang warganegara Australia berusia 28 tahun, Brenton Tarrant cukup mengingatkan kita kepada kebimbangan masyarakat terhadap adegan ganas yang disiarkan menerusi media. Kita mungkin kembali mengisahkan bagaimana ‘ketakutan’ ahli masyarakat tentang ‘keganasan media’ yang melingkari kehidupan sejak permulaan radio dan televisyen.

Tarikh 15 Mac 2019 akan dikenang sebagai satu malapetaka bagi New Zealand kerana ia telah menenggelamkan rekod sebagai sebuah negara paling aman dalam kamus keganasan brutal, dan kerana itu, Perdana Menteri, Jacinda Arden turut berduka di atas serangan ganas di dua buah masjid, An-Noor dan Linwood Islamic Center1 ketika umat Islam sedang bersiap sedia untuk mengerjakan Sembahyang Jumaat. Jumaat Berdarah bagi New Zealand, Jumaat yang membunuh warganegara pelbagai negara, termasuk rakyat Malaysia, Indonesia dan pelarian dari Syria.

Kita mungkin teringat ketika kanak-kanak membesar dengan siaran televisyen, akhirnya cuba meniru adegan yang mereka tontoni, termasuklah merasa begitu gagah dan kuat apabila boleh mengajuk aksi ultraman. Bahkan, lebih malang ada kanak-kanak meniru gaya superman terbang sehingga mencederakan tubuh dan ada pula yang meninggal dunia. Kesemuanya membawa kita untuk memahami teori norma budaya yang cukup terkenal dalam kajian psikologi, sebagai proses peniruan daripada apa yang ditonton, didengar dan disaksikan.

Melvin deFleur dan Sandra Ball-Rokeach (Theories of Mass Communications, 1982) menjelaskan oleh kerana media massa merupakan sumber maklumat mengenai kejadian di seluruh dunia dan Iiputan media adalah sejenis status atau kesahihan terhadap apa yang disampaikan, maka komunikasi massa mempunyai kuasa untuk membentuk tanggapan kita dalam banyak keadaan dan penerimaan kita mengenai nilai tingkah laku situasi tersebut. Atas kesan itu, media boleh memberikan sesuatu definisi mengenai sesuatu keadaan sehinggakan seseorang itu percaya bahawa itu adalah benar.

Berdasarkan teori nilai budaya itu, kita mungkin bersetuju dengan pandangan Prof. Mohamad Fauzan Noordin, Ketua Kluster Penyelidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universtiti Islam Antrabangsa Malaysia agar permainan ganas dalam talian yang popular tidak boleh terus diperkenalkan di Malaysia.

Menurut Prof Mohamad Fauzan, “teknologi maklumat sepatutnya membantu manusia menjadi lebih efektif dan efisien dalam kerja harian dan juga pergaulan dalam masyarakat. Ia juga boleh digunakan untuk menyebar kasih sayang dan saling kenal mengenali antara satu sama lain. Malangnya Brenton Tarrant seorang yang berfahaman supremasi kulit putih dengan bangganya memakai kamera GoPro dan telah menguar-uarkan dalam forum 8chan yang dia akan buat lintas langsung acara besar dalam Facebook.”

Sebaik sahaja berita pembunuhan tersebut disahkan, media barat mula mencari jalan untuk tidak  mengaitkan Brenton Tarrant sebagai pengganas. Sikap wartawan barat yang cuba melunakkan aksi ganas itu telah mengecewakan Perdana Menteri New Zealand dan bagi beliau, aksi ganas Brenton tidak boleh dimaafkan. Brenton digambarkan sebagai manusia yang tidak mempunyai masalah ketika beliau membesar dan amat menyayangi kanak-kanak ekoran pekerjaan sebelumnya, iaitu jurulatih kecergasan.

Pada tahun 2016, Brenton mula melakukan lawatan ke luar negara sebelum menetap di New Zealand. Beliau pernah mengunjungi Turki (dua kali pada tahun 2017) dan Pakistan 2018. Berdasarkan maklumat dalam akaun facebooknya, Brenton begitu terpengaruh dengan serangan ganas yang berlaku di Sweeden pada tahun 2017.

Dalam tragedi itu,  seorang kanak-kanak perempuan, Ebba Akerlund (11 tahun) maut dilanggar sebuah truck pengganas. Nama kanak-kanak itu turut ditulis pada senjata yang digunakan oleh Brenton untuk membunuh dalam dua serangannya yang mengambil masa selama 40 minit.

Brenton tiba di Masjid An-Noor pada jam 1.40 tengah hari dan kembali ke kenderaannya enam minit kemudian. Brenton tiba di Linwood Islamic Center jam 2.02 petang. Jarak antara An-Noor dan Linwood ialah sekitar 5 kilometer. Beliau turut bercadang untuk melakukan serangan ketiga di Ashburton, tetapi tidak berjaya kerana pihak polis telah menangkapnya terlebih dahulu.

Menurut dakwaan, Brenton merancang untuk melakukan pembunuhan kejam selama dua tahun. Untuk serangan di Christchurch, beliau menetap di bandar itu selama dua bulan. Menurut perancangan awal, Brenton bercadang melakukan serangan di Dunedin, yang jaraknya sekitar 200 batu dari Christchurch. Christchurch dipilih kerana di situ terdapat dua buah masjid dan bandar tersebut dipenuhi oleh bangunan tinggi bercermin yang dimiliki oleh orang asing.

Sepuluh minit sebelum melakukan serangan, Brenton telah mengeposkan dokumen setebal 74 halaman mengenai ideologi setan yang bertajuk The Great Replacement. Ideologi ini dikatakan sebagai manifesto dan dikrimkan menerusi e-mail kepada 70 penerima, termasuk agensi kerajaan dan swasta. Antaranya, pejabat Perdana Menteri; pejabat ketua Parti Nasional, Simon Bridges; dan ketua Parlimen, Treford Mallard.

Selain obses dengan kejadian di Sweeden, Brenton terpengaruh dengan pendirian seorang komentator berkulit hitam Amerika Syarikat, Candace Owen, salah satu bloger dan aktivis politik yang cukup dikenali di Turning Point USA.

Menurut Wikipedia, Brenton amat menyukai sebuah pertubuhan sayap kanan yang diasaskan oleh Charlie Kirk yang memperjuangkan anti-Islam dan anti penegakan hak-hak wanita di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, Candace Owen menolak teori yang cuba mengaitkan Brenton memperoleh banyak motivasi untuk melakukan aksi brutal daripada ulasan-ulasannya.

Ketika melakukan serangan tersebut, Brenton dikatakan sentiasa memasang lagu-lagu yang memuji perjuangan Radovan Karadzik, idolanya. Brenton turut menulis hasratnya untuk menimbulkan kekacauan sehingga boleh menyebabkan perang saudara kembali berlaku di Amerika Syarikat.

Berasaskan kepada tulisan itu, ramai berspekulasi bahawa Brenton amat menyenangi Donald Trump yang anti imigran dan berusaha keras untuk menyekat kemasukan lebih ramai pendatang. Hal ini turut menyebabkan kota Christchurh dipilih kerana Brenton amat bencikan kaum imigran dan berusaha untuk menegakkan supremasi kulit putih. Christchurch merupakan sebuah bandar yang mesra imigran.

Dalam dokumen yang dikirimkan melalui e-mail, Brenton turut menjelaskan bahawa tindakan brutal itu sebagai reaksi balas keganasan yang dilakukan oleh kelompok Islam radikal ke atas masyarakat kulit putih di seluruh dunia.  Tindakan brutal yang dilakukan, bukan dilaksanakan secara bersendirian dan ia dirancang dengan rapi. Walaupun aksi brutal dilaksanakan kelihatannya saperti  bersendirian, beliau mendapat sokongan dan pembelaan di dalam media.

Atas sebab itulah tindakan Brenton cuba dilunakkan oleh saluran media elektronik dan sosial termasuklah tulisan-tulisan yang mempertahankannya. Tujuannya ialah untuk mempengaruhi proses pengadilan di New Zealand agar berlaku adil dan memberikan kewajaran undang-undang untuk menakut-nakutkan masyarakat Islam, Islamofobia.

Lebih menarik ialah permulaan aksi brutal Brenton dengan mengaplikasikan gerakan saperti permainan dalam talian popular, PUBG. Berikutan tragedi tersebut, sebuah akhbar tempatan telah mengadakan satu tinjauan pendapat dan dalam tempoh 24 jam, menarik minat penyertaan seramai 206,000 responden dalam talian. Tinjauan tersebut merumuskan 58 peratus responden mahukan PUBG diharamkan di Malaysia. (Harian Metro, 20.3.2019). Ia patut diharamkan kerana dalam permainan tersebut terdapat latihan menembak menggunakan pelbagai jenis senjata api, dan ia boleh mempengaruhi kebanyakan pengganas menirunya.

Berdasarkan kesan dan pengamatan psikologi, seorang pakar psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Hussain Habil Mohamad pernah menegur bahawa filem atau drama ganas yang disiarkan di televisyen turut  menyumbang berlaku kes jenayah. Kesannya, eksperimen dijalankan adalah dengan membalas terhadap rakan sekelas.”

Seorang lagi pakar psikologi, Prof. Dr. Malik Badri menjelaskan, masyarakat semakin hilang sensitiviti terhadap perkara keji ini dan merasakan ‘jika orang lain boleh buat, apa salahnya aku buat, bukan aku seorang sahaja’.

Realitinya ternyata benar apabila media massa sering memaparkan cerita-cerita kejadian membuang bayi di negara kita juga semakin menjadi-jadi sehingga kita sendiri sudah mula menganggapnya sebagai lumrah. Umat semakin hilang rasa sensitif dan kepekaan. Cohen, B.,(1960) seorang tokoh komunikasi berpendapat bahawa meskipun media tidak memberi tahu apa yang harus kita fikirkan, tetapi memengaruhi apa yang kita fikirkan.

Pada tahun 2016, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia setelah terlalu obses bermain ‘game’ dalam talian di Carolina Selatan. Da’Vorius Christopher ‘Chi-Chi’ Gray ditemui maut di rumahnya selepas bermain permainan video dikenali “hangman” dan “pass out challenge.” Ibunya, Latrice Hurst, menyalahkan pengaruh dalam talian atas kematian itu dan menggesa penyeliaan lebih tegas ke atas kanak-kanak di laman web. (Berita Harian, 23.3.2016).

Kajian Gentile & Anderson pada 2003 menyebut permainan video boleh meningkatkan sikap agresif dan tindakan ganas yang berterusan. Dua belas tahun kemudian (2015), Andrew Przybylski, seorang pakar psikologi dari Institut Internet Universiti Oxford melakukan  kajian ke atas 217 remaja (110 remaja lelaki dan 107 remaja perempuan) mendapati permainan video bukanlah faktor utama mempengaruhi personaliti seseorang. Soal genre permainan video tidak menjadi isu.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang, CAP menggesa agar permainan komputer ganas perlu dikawal kerana “permainan online ganas dengan sikap keagresifan dalam kalangan kanak-kanak.” Menurut SM Mohamed Idris, ‘Permainan Komputer yang ganas perlu dikawal”, Malaysiakini, 27 April 2011, “adalah sesuatu yang logik dan munasabah iaitu siapa sahaja terutama sekali kanak-kanak pada usia yang mudah terpengaruh dengan melihat atau melakukannya atau apa sahaja perkara yang negatif yang memenuhi masa mereka mempunyai kesan yang akan memberikan kesan merosakkan ke atas jiwa mereka.”

Tulisnya lagi, “dalam masyarakat hari ini, termasuk Malaysia, kita mempunyai terlalu banyak “tindak balas” keganasan malah kepada insiden kecil seperti dalam kes pembuli jalan raya. Di Thailand, beberapa tahun yang lalu, seorang penjenayah telah meniru permainan komputer menyebabkan pengedar tunggal yang sah permainan itu telah menghentikan penjualan permainan itu dan memutuskan untuk tidak mengimport versi yang seterusnya, yang keempat daripada siri itu.

“Di Korea, peratusan besar lebih daripada 700,000 kanak-kanak dengan telefon pintar menggunakannya untuk bermain permainan online, oleh itu telah membawa kepada kira-kira 50 persatuan ibu bapa di sana menggesa supaya larangan bermain permainan komputer online pada waktu malam bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun dikenakan juga kepada telefon bimbit, “ jelasnya.

Dalam kajian lain, saintis dari Indiana University School of Medicine di Indianapolis, Amerika Syarikat mengambil sekumpulan 22 lelaki yang berumur 18-29 tahun dan melakukan imbasan MRI ke atas mereka. Responden dibahagikan kepada dua kumpulan, dan satu kumpulan telah diminta untuk bermain permainan video ganas untuk sekurang-kurangnya 10 jam seminggu, manakala kumpulan kedua tidak bermain.

Menurut laporan Sunday Times, penyelidik-penyelidik itu mendapati bahawa kesan ke atas otak ditemui dalam lobus frontal kiri yang lebih rendah dan ‘anterior cingulate cortex’. Telah berlaku perubahan ke atas otak dan ‘subjek menunjukkan pengaktifan yang agak kurang di kawasan-kawasan prefontal yang berkaitan dengan fungsi eksekutif selepas seminggu bermain permainan video ganas.” (Rujuk: http://unikversiti.blogspot.com/2011/11/permainan-video-ganas-membuat-orang.html )

Mengenai tragedi di Christchurch, akhbar The Sydney Morning Herald melaporkan,  Brenton Tarrant menyatakan bahawa dia akan menyerang masyarakat imigran di New Zealand dan menyiarkannya secara langsung menerusi laman Facebook sama seperti visual dalam permainan PUBG. Berasaskan kenyataan tersebut, ternyata PUBG telah menjadi motivasi penting tindakan aksi ganas Brenton.

Brenton dilaporkan amat taksub dengan ideologi Neo-Nazi (Nazi Baharu) iaitu fahaman yang berkait rapat dengan Nazisme, ideologi rasmi negara Jerman ketika zaman Hitler (1933-1945) yang melakukan pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi.

Kelompok neo-Nazi hanya mengganas ke atas kemasukan imigran Muslim, yang dianggap sebagai ancaman terhadap kelangsungan hidup kaum kulit putih di Eropah.

Brenton yang taksub dengan supremasi kulit putih membuat lintas langsung melalui akaun facebook sepanjang 17 minit dengan memulakan kata-kata Let’s get this party started sebelum melakukan tembakan rambang. Di setiap senjata api yang digunakan , tertulis nama-nama yang membenci kerajaan Uthmaniah. Brenton kembali merancang untuk menyemarakkan semangat Islamofobia dan menyeru masyarakat melanggan saluran YouTube: PewDiePie.

Brenton turut menjelaskan bahawa dia belajar menjadi pembunuh daripada floss on the corpes of my enemies daripada permainan Fortnite dalam talian. Ini membuktikan bahawa manusia mudah dipengaruhi dan tidak segan mencuba aksi ganas yang dipelajari menerusi permainan video. Ia telah membenarkan teori budaya nilai yang dikaji secara serius oleh Melvin deFleur dan Sandra Ball-Rokeach lebih tiga puluh tahun lalu.

Aksi Brenton boleh menyebabkan banyak negara dan aktivis masyarakat kembali menilai semula pandangan sebelumnya mengenai kesan t permainan ganas dalam talian. Ia juga  menarik minat ahli patologi sosial dan pakar komunikasi untuk melakukan pemerhatian semula secara menyeluruh  kesan negatif platform media sosial.

Menurut Lorraine Marer, pakar dalam kajian ketagihan permainan video,  This game is like heroin. Once you are hooked, it’s hard to get unhooked. Permainan Fornite adalah ibarat dadah, setelah ketagih adalah sukar untuk menolaknya.

Begitu juga dengan permainan PUBG, semakin ramai terpengaruh dengan aksi ganas dan sudah pun diberikan perhatian serius oleh beberapa negara untuk dikawal atau diharamkan.

Dengan kejadian yang menimpa Christchurch, Malaysia perlu berhati-hati untuk menjadikan negara ini sebagai hub e-sukan, kerana ia bukan sahaja melekakan bahkan seseorang cenderung bertindak ganas di luar gelanggang permainan apabila psikologinya terganggu,  akibat ketagihan dan kecelaruan berfikir.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply