INDIA NEGARA NASIONALIS HINDU

Akhbar New York Times pada 17 Ogos 2019 menyiarkan sebuah rencana mengenai perancangan rapi kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dan parti BJP untuk membina negara itu sebagai sebuah negara nasionalis Hindu. Tajuk rencana tersebut ialah Indian Plans Big Detention Camps for Migrants, Muslim are Afraid menyingkap beberapa tindakan di luar batas kemanusiaan untuk menyingkirkan penduduk  Islam dari wilayahnya.

Dasar-dasar nasionalis yang telah dan sedang dilaksanakan itu ialah membatalkan kewarganegaraan bagi penduduk Islam di Wilayah Assam yang bersempadan dengan Bangladesh, dan terbaharu ialah membatalkan kuasa autonomi untuk Kashmir, yang bersempadan dengan Pakistan.

Narendra Modi yang memenangi Pilihan Raya pada tahun 2014, di akhir penggal pertama pemerintahannya telah memperkenalkan dasar kewargenaraan yang lebih ketat di mana penduduk wilayah Assam dikehendaki membuktikan bahawa mereka adalah penduduk asal di situ dengan mengemukakan dokumen asal sebagai bukti. Pada penilaian politik, sebahagian penduduk Assam dikatakan bukan penduduk asal di situ, di mana mungkin mereka adalah sebahagian daripada penganut Islam yang berhijrah dari Bangladesh ataupun bangsa Rohingya dari Rakhine, yang berhadapan dengan ‘pembersihan etnik’ oleh junta tentera Myanmar.

document citizenship by Assam

Sebelum berpecahnya negara India Bangladesh dan Pakistan adalah sebahagian daripada wilayah India.  Bangladesh pada asalnya dikenali sebagai Pakistan Timur.  Hampir kesemua penduduk Pakistan dan Bangladesh adalah beragama Islam. Pakistan merupakan negara kedua teramai penduduk Islam selepas Indonesia. Pakistan turut dinobatkan sebagai negara keenam paling ramai penduduk di dunia dan menurut anggaran pada tahun 2019, jumlah penduduk Pakistan ialah seramai 202.7 juta jiwa.

Bangladesh atau dikenali sebagai Negara Bangla berpisah dengan India pada tahun 1947, yang awalnya dikenali sebagai Pakistan Timur. Bangladesh diberikan kemerdekaan pada 1971 dan kini mempunyai jumlah penduduk seramai 156.6 juta jiwa (2013), merupakan negara kelapan yang terpadat di dunia. Agama Hindu dianuti oleh 9.2 peratus penduduk Bangladesh manakala Islam adalah agama terbesar (90 peratus). Bangladesh merupakan negara muslim keempat teramai selepas Indonesia, Pakistan dan India.

Pakistan diisytiharkan sebagai sebuah negara merdeka pada 14 Ogos 1947, yang terdiri daripada empat wilayah, iaitu Sind, Punjab, Baluchistan dan Wilayah Sempadan Barat Laut. Pakistan turut mentadbir Wilayah Kashmir, yang hingga sekarang masih dituntut oleh India sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Nama Pakistan adalah singkatan daripada Punjab, Afghan, Kashmir, Sind dan Balochistan. Istilah ini mula diperkenalkan oleh Choudry Rahmat Ali pada tahun 1937. Awalnya dikenali sebagai Dominion of Pakistan dan pada tahun 1956 ditukar kepada Republik Islam Pakistan (1956).

india-kashmir-protest-jone

Wilayah Assam yang mempunyai jumlah penduduk seramai 31 juta (2012) dengan keluasan 78,438 kilometer persegi dan berjarak sekitar 270 kilometer dengan Bangladesh. Ketika meletusnya peperangan Bangladesh-India pada tahun 1970, sebahagian penduduk Pakistan Timur berhijrah ke Wilayah Assam. Kerajaan India pimpinan Narendra Modi pada tahun 2017 telah mengemukakan cadangan untuk menapis kerakyatan penduduk Assam dengan menerusi dasar National Register of Citizens (NRC) dan sehingga akhir Julai 2017, seramai 4 juta orang telah dibatalkan kerakyatannya kerana gagal mengemukakan bukti yang sah sebagai penduduk asal sebelum tahun 1971.  Assam turut dikenali sebagai wilayah yang dihuni oleh kaum imigran. Kegagalan itu melibatkan hampir kesemua mereka yang beragama Islam dari keturunan Benggali.

Dengan pelucutan taraf kewarganegaraan di bawah NRC itu, Narendra Modi dan parti BJP dianggap sedang memperkenalkan dasar nasionalis Hindu sebagai kaedah mendefinisikan semula apa yang ditakrifkan sebagai ‘Orang India’. Ini akan mengakibatkan penduduk Islam di Wilayah Assam akan dianggap sebagai ‘pendatang’ dan bagi memenuhi tujuan tersebut, Narendra Modi dikatakan sedang giat membina kem-kem tahanan yang besar untuk menempatkan ‘pendatang’.

Walaupun Assam merupakan sebuah kawasan miskin, sebelum memperkenalkan NRC, penduduk diberikan kebenaran dan hak untuk mengundi. Dengan dasar nasionalis Hindu di bawah NRC itu mereka bukan sahaja dianggap sebagai pendatang, bahkan turut ditahan dan ditangkap kerana tidak dapat membuktikan asal-usul secara sah. Keadaan ini menimbulkan krisis kemanusiaan baharu di India.

indian flags on sale

Selepas taraf kerakyatan penduduk Assam dinafikan, Narendra Modi yang kembali memenangi Pilihan Raya India pada bulan April lalu, telah membuat keputusan mengejutkan apabila membatalkan kuasa autonomi kepada wilayah Kashmir yang menjadi rebutan dengan Pakistan. Parti Bharatiya Janata yang dipimpin oleh Narendra Modi yang bergabung dalam Perikatan Demokrasi Nasional telah memenangi 303 kerusi daripada 353 kerusi manakala Parti Konggeres Kebangsaan India  mendapat 52 kerusi. Lok Sabha atau kerusi parlimen di India keseluruhannya berjumlah 543. Akibat kemenangan besar itu memberikan kekuatan kepada BJP yang terkenal sebagai parti nasionalis Hindu.

Sebaik sahaja memenangi penggal kedua Pilihan Raya India, Narendra Modi pada akhir minggu pertama bulan Ogos lalu membuat ketetapan untuk menarik balik kuasa autonomi ke atas dua wilayahnya, iaitu Jamnu dan Kashmir. Ini bermakna, dua wilayah tersebut berada di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan, dan tidak lagi mempunyai kuasa autonomi.

Kashmir sudah menjadi wilayah yang berkonflik sejak bermulanya proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947. Kedua-dua negara mengalami kesan yang mendalam sehingga hubungan antaranya seringkali bermasalah, dan kemuncaknya ialah peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 1947, yang dikenali sebagai Hari Tragedi Hitam (Black Day Tragedy).

wanita-muslim-india-ditahan-polis

Pada tarikh tersebut, tentera India menjajah wilayah Kashmir, yang masih belum diputuskan sama ada ia sebahagian daripada wilayah India atau Pakistan. Sejak itu, kedua-dua negara terjebak dengan tiga peperangan iaitu pada tahun 1947, 1965 dan 1971. Pada tahun 2002, kedua-dua mengisytiharkan perang tetapi dihentikan atas desakan masyarakat antarabangsa.

Pada 5 Ogos lalu, kerajaan pimpinan Narendra Modi menghapuskan Perkara 370 dalam Perlembagaan India,  menyekat kebebasan media dan memutuskan perkhidmatan telefon dan internet. Beliau turut memecahkan Jammu dan Kashmir menjadi dua wilayah secara unilateral. Tindakan itu melanggar Perlembagaan India sendiri. Sekiranya akta tersebut diluluskan pemansuhannya pada akhir tahun ini, Jammu dan Kashmir akan ditadbir terus dari New Delhi manakala 370,000 lagi tentera tambahan dijangka akan ditempatkan di kedua-dua wilayah berkenaan. Hingga kini, sejumlah 700,000 anggota tentera sudah pun ditempatkan di sana.

BJP dijangka akan berhadapan dengan masalah besar kerana ia menguasai majoriti kuasa bila memenangi 22 daripada 29 negeri dalam pilihanraya April lalu. Wilayah Jammu dan Kashmir akan menjadi wilayah militari yang terbesar di dunia, akan mengawal dan memerhati sekitar 300,000 orang Islam. Ini bererti secara purata, lebih tiga orang tentera akan mengawal dan memerhati setiap orang Islam, sesuatu yang dilihat sebagai ‘malapetaka’.

Menariknya bagi wilayah Kashmir ini ialah kawasan rebutan tiga buah negara, iaitu Pakistan, India dan China. India mentadbir Jammu dan Kashmir (Lembah Kashmir, Jammu dann Ladhar), Pakistan mentadbir Gilgit-Bathistan dan wilayah Azad Kashmir manakala China menguasai Aksai-Chin dan Trans-Karakoram. Dalam pertikaian sempadan antara ketiga-tiga buah negara, China tidak pernah bersedia untuk melakukan perundingan walaupun diselia oleh PErtubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.  China menguasai kawasan seluas 37,555 kilometer persegi, Pakistan mengawasi kawasan seluas 85,846 kilometer manakala India seluas 101,338 kilometer persegi.

Pada tahun 2003, umat Islam merupakan 95 peratus dan penganut Hindu seramai 5 peratus adalah penduduk di Lembah Kashmir.  Di Jammu, penganut Hindu adalah 66 peratus  dan penganut Islam 30 peratus. Pada tahun 1901,dalam yang dilaksanakan oleh Empayar British India, penduduk Kashmir dan Jammu berjumlah dianggarkan berjumlah 2,905,578 orang, iaitu 2,154,695 menganut Islam (74,16 peratus), Hindu seramai 689,073 (23,72 peratus), 25,828 orang beragama Sikh dan 35,047 orang penganut Buddha.

Dalam cadangan terbaharu memansuhkan kuasa autonomi ke atas Kashmir dan Jammu, keturunan India yang bukan menetap di wilayah berkenaan akan boleh menjadi penduduk tetap, membeli hartanah, memasuki perkhidmatan kerajaan tempatan dan memohon biasiswa pendidikan. Hak-hak istimewa penduduk Kashmir akan dimansuhkan, dan paling menyesakkan nafas penduduk di Jammu dan Kashmir ialah cadangan agar keturunan India berkahwin dengan penduduk setempat bagi membolehkan proses asimilasi bangsa dan agama dapat dilaksanakan. Asimilasi tersebut dilihat sebagai perancangan halus BJP untuk menghapuskan penganut Islam di Kashmir dan Jammu. Melalui perkahwinan campur, lama kelamaan identiti asal etnik Kashmir dan Jammu akan terhapus, sebaliknya etnik India bakal dianggap sebagai pemilik kuasa hegemoni.

Dengan cadangan menambahkan jumlah tentera sebanyak 370,000 orang, dua wilayah berkenaan akan menjadi suatu tindakan pencerobohan hak asasi manusia apabila hampir 1.7 juta tentera mengawal keseluruhan penduduk yang berjumlah 13 juta orang (Banci 2011, dua wilayah tersebut mempunyai 12.55 juta orang). Ini akan menimbulkan lebih banyak ketegangan dan setakat ini, lebih 1,200 pemimpin politik yang menyokong Jammu dan Kashmir telah ditahan dan disekat daripada akses perkhidmatan undang-undang serta keluarga. Ia mungkin akan menyebabkan Jammu dan Kashmir pada masa hadapan akan dilihat normal apabila berlakunya peperangan, sebagaimana berlaku ke atas Palestin.

Tentunya akan muncul beberapa gerakan gerila ataupun perjuangan menuntut pembebasan Kashmir dan Jammu dari cengkeman tentera India. Tentunya, perbalahan tersebut akan dilihat sebagai peperangan antara penganut agama, disebabkan amalan fasisme yang menyelubungi BJP sehinga ada yang menggelarkan tindakan menghantar lebih ramai anggota tentera sebagai Nazi Indian BJP Movement –Pergerakan Nazi BJP India oleh Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan. Setakat ini ia belum muncul dengan meluas, tetapi sekiranya bendera BJP dikibarkan di setiap pelosok Jammu dan Kashmir, ia akan membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

Pakistan telah menyuarakan tentangan terhadap penghapusan Artikel 370 manakala ahli-ahli parlimen Britain turut mendesak agar Perdana Menteri, Boris Johnson memujuk Perdana Menteri India, Narendra Modi untuk tidak melakukan tindakan berkenaan yang jelas bermaksud menyemarakkan nasionalis Hindu.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply