Interaksi generasi muda penentu hala tuju negara

Sekitar 1992, saya yang masih di bangku sekolah rendah mengingati dengan jelas tatkala menyertai pertandingan mewarna dianjurkan sebuah majalah kanak-kanak, Kuntum.

Tema lukisannya, Wawasan 2020 – memaparkan ilustrasi bangunan tinggi pencakar langit, pengangkutan rel, komputer moden dan canggih serta tidak tertinggal beberapa ilustrasi ‘kereta terbang’ yang melintasi. Itu imaginasi kami hampir 30 tahun lalu dan kini, tidak beberapa hari lagi kita akan melangkah ke 2020.

Wawasan 2020 dianjurkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini kita sudah menjadi negara maju, tetapi masih banyak kekurangan belum dapat atasi. Cabaran juga bertambah, apabila masih terbit rasa tidak puas hati dan tersisih dalam arus pembangunan pesat yang dikecapi. Jurang melebar dan pembahagian adil belum dicapai.

Sedekad mendatang, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada tugas amat berat. Bukan sahaja mengatasi kelemahan atau sasaran yang tidak dicapai Wawasan 2020, tetapi tampil dengan kebijakan baharu yang akan memandu negara bangsa ini ke hadapan. Inilah yang dipanggil Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB).

“Kerajaan yakin matlamat WKB akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi.

Sudah tentu, gagasan aspirasi baharu kerajaan memerlukan dokongan utuh seluruh rakyat Malaysia. Namun, sebagai satu kumpulan yang akan mencorakkan pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan, pembabitan anak muda amat dituntut.

Orang muda adalah asas sebenar atau tulang belakang keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Oleh itu, usaha hendaklah terus ditumpukan kepada peningkatan keupayaan dan kecekapan mereka.

Ini perlu memandangkan cabaran masa hadapan yang akan ditempuh orang muda lebih hebat dan canggih, memerlukan persiapan atau persediaan diri yang hebat.

Negara sudah pasti terdedah pelbagai pengaruh dan tekanan dari dalam dan luar yang boleh menentukan maju mundurnya proses pembangunan dan kemajuan.

Kesungguhan dan iltizam kerajaan menaruh kepercayaan terhadap belia digariskan dalam Teras Strategik Ketiga Dokumen WKB 2030 yang menumpukan kepada pembangunan modal insan melalui usaha kerajaan melahirkan lebih ramai tenaga kerja muda berkemahiran pada masa hadapan.

Sebagai generasi millennial yang terkesan dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), pembentukan orang muda berkemahiran tinggi amat wajar dalam memastikan negara tidak ketinggalan jauh ke belakang dalam arus modenisasi dengan kecanggihan teknologi yang kompleks kini.

Menurut Abhijit Naskar, karakter negara bangsa bukanlah datang daripada pemimpinnya, tetapi wujud daripada rakyatnya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, purata umur rakyat Malaysia pada 2018 adalah 28.6 tahun. Ini jelas menunjukkan orang muda kumpulan terbesar dan dominan dalam mencorak pembentukan negara pada masa hadapan.

Jelas sekali orang muda kini yang akan menentukan hala tuju pembangunan dan corak kepemimpinan negara pada masa akan datang.

Di samping ilmu pengetahuan, sikap dan kemahiran diperlukan, orang muda harus juga mempunyai sikap dan nilai positif seperti inklusif, toleransi, rela berkorban, taat setia dan cinta kepada negara. Nilai ini boleh disemai dan diterapkan menerusi pendidikan di sekolah dan aktiviti kemasyarakatan.

Jati diri orang muda harus dibentuk agar rasa cinta pada negara bukan hanya secara kosmetik, tetapi lebih penting dalam apa sahaja pekerjaan atau bidang yang mereka ceburi kelak, segala usaha ditumpukan untuk menyumbang kepada pembentukan sebuah negara bangsa Malaysia yang hebat dan gah.

Inilah masanya orang muda menzahirkan peranan mereka dengan menerapkan dan mengamalkan nilai negara bagi mewujudkan identiti bangsa yang kuat dan utuh dalam menghadapi cabaran globalisasi yang kian rencam dan pelbagai seiring dengan hasrat kerajaan melalui WKB 2030.

Interaksi antara orang muda berbilang kaum sangat penting dalam usaha kita melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ke arah pencapaian matlamat ini lebih baik jika dapat dikurangkan persatuan belia yang berasaskan atau beridentitikan kaum.

Budaya kaum, termasuk bahasa tidak akan hilang hanya kerana kita merapatkan hubungan antara kaum. Jika ketika muda belia diasingkan kerana kaum, sudah tentu perpaduan kaum bagi orang dewasa tidak akan tercapai yang mana akan menggagalkan usaha kerajaan mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kekayaan tanpa mengira kaum, agama, perbezaan ideologi, darjat dan latar belakang sejajar dengan WKB.

Seperti mana ucapan Dr Mahathir, “Wawasan Kemakmuran Bersama adalah amanah pada kita hari ini dan hadiah dan milik anak cucu kita di masa hadapan.”

Kini, orang muda perlu merebut peluang yang terbuka luas untuk mencorakkan pembentukan negara bangsa yang mereka mahukan di negara ini.

Oleh Dr Afif Bahardin

Penulis adalah EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang

Sumber  : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply