INTERNET JADIKAN SEMUA ORANG CENDERUNG BOHONG

Memang banyak cerita yang kita dengar mengenai pelaku dan pengguna internet. Semakin lama kita melayarinya, maka semakin banyak perkara yang boleh menyakitkan hati dan perasaan. Kadangkala kita saperti ditipu oleh pelbagai mesej yang berlegar dalam internet, kerana berbohong itu adalah perkara yang dilakukan oleh semua orang.

Susah untuk mencari mereka yang jujur bila berada dalam lebuh raya maya. Ramai orang berfikir mereka boleh melakukan apa saja kehendak hatinya di internet, dari menjual produk, menyelidik sentiment pasaran, menyebarluaskan propaganda dan juga berbohong.  Tanpa mereka sedar, perilaku di lebuh raya maya turut meninggalkan jejak yang bukan sahaja boleh dipantau oleh orang ramai, bahkan boleh dipelajari jika kita rajin menganalisis kelompok data yang terkumpul, yang semakin sehari semakin dianggap penting.

Big data menjadi suatu perkara yang sedang hangat dibincangkan, bahkan telah muncul sebagai satu bidang akademik yang menjanjikan penganalisisnya meraih kewangan yang lumayan. Ketika membaca buku karangan Seth Stephens-Davidowitz, Everyboday Lies: Big Data, New Data and What The Internet Can Tell Us About Who We Are Really (2017) banyak perlakuan pengguna internet yang kita temui, yang membolehkan kita memahami sifat dan kecenderungan peribadi mereka. Mungkin pada kebiasaannya, orang yang kita kenal secara fizikal tampak saperti pendiam, menerusi apa yang dilontarkan menerusi internet, kenalan kita itu sebenarnya mempunyai karakter yang berbeza.

Seth berjaya membaca fikiran dan perilaku manusia menerusi analisis big data atau data raya yang berjaya dikumpulkan berdasarkan data yang dipaparkan dalam Google. Sebagai seorang yang cukup mahir dengan data raya, Seth memang berjaya menarik kesimpulan bahawa apa yang selama ini kita fahami tentang karakter ternyata menyimpang besar.

Semua orang berbohong. Mereka berbohong kepada sesiapa sahaja, termasuk diri sendiri, ahli keluarga, kenalan dan rakan-rakan maya, juga tidak kurang berbohong mengenai agama dan kepada Tuhan. Berbohong kepada Tuhan? Ya, hanya singgah di rumah-rumah ibadat. Belum tentu orang yang mempamerkan foto berlatarbelakangkan rumah ibadat itu masuk ke dalam untuk bersama-sama menjalani ritual agama.

Bagi Seth, perilaku itu membuktikan bahawa kita tidak lagi dapat menjelaskan sebuah jawapan yang real dari seseorang kerana pungutan pendapat menerusi internet tidak lagi menjamin kesahihan keputusannya. Banyak orang memberikan jawapan tidak jujur dengan apa yang diamalkan, mudah memberikan pandangan berdasarkan penilaian peribadi sehingga ada kalanya tersasar jauh daripada apa yang dipraktikkan. Banyak yang tidak tepat, dan kerana itu kadangkala kita tidak lagi boleh bergantung kepada jawapan yang tepat.

Menurut Seth, ‘kita boleh menggunakan data raya. Data dari internet yang memaparkan cebisan maklumat yang ditinggalkan oleh jutaan orang di Google, media sosial, laman web pemadanan jodoh dan juga laman web lucah. Semua data ini berjaya membongkar kebenaran”.

Seth melihat maklumat yang ditinggalkan dalam internet seumpama ‘lubuk emas’ yang boleh dianalisis untuk memahami perilaku manusia  yang berbeza daripada amalan sebenar.  Dengan menelusuri apa yang dilakukan oleh pengguna internet, kita boleh memahami apa yang mereka fikirkan, inginkan, dan lakukan. Dengan menjejaki perilaku seseorang menerusi kemas kini profil dan ungkapan-ungkapan yang ingin dikongsikan, kita dapat mengetahui bilakah masa seseorang itu merasa lapar, jalan yang sering dilaluinya untuk pulang, bagaimana seseorang itu membelanjakan masa sendiri pada hujung minggu, dan membuat penjenisan apakah kategori orang berkenaan.

Bila kita menemui orang yang suka memasukkan gambar makanan, sering berbelanja di restoran tertentu, maka mudah juga kita merumuskan citarasa orang itu terhadap makanan. Begitu juga apabila berbangga dengan gambar sendiri ketika berada di tempat-tempat tertentu, melancong ke sana ke mari berdua, tetapi, kita belum boleh memberikan andaian bahawa pasangan tersebut selalu bahagia.

Gambar foto mesra, kadangkala terasa saperti tidak ikhlas, ada ketika ternampak saperti terpaksa dan dalam keadaan dibuat-buat.Kata Seth, “kadangakala penemuan-penemuan itu akan membuatkan anda terkejut, bahkan boleh menggugat. Bagaimanapun, data-data tersebut akan membuatkan anda benar-benar berfikir.”

Penulisan buku yang pernah berada dalam tahap buku terlaris untuk beberapa minggu di New York Times, berjaya melakukan kombinasi gaya analisis Nate Silver (The Signal and the Noise: Why So Many Predictions Fail-but Some Don’t, 2012) dan langgam bahasa Malcolm Gladwell (Outliers: The Story of Success, 2009) dengan sedikit humor yang cerdas dari Steven Levitt dan Stephen Dubner (Freakonomics: A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything, 2005).

Saperti yang diharapkan oleh Seth, setelah selesai membaca buku ini, pembaca akan berubah cara memandang dunia. Tidak ada batasan untuk mempelajari karakter dan sifat manusia menerusi maklumat-maklumat yang dapat diselidiki menerusi big data. Ia berjaya mengungkapkan banyak hal yang sebelum ini sukar diperoleh, dan tersembunyi. Di sebalik data yang tersedia dalam enjin pencarian Google, ia seumpama membenarkan apa yang diungkapkan oleh Frederick Nietzsche, manusia sentiasa menyembunyikan dirinya di sebalik topeng. Penyembunyian itu ternampak jelas dan lebih mudah dalam kaedah berbahasa, cara berpakaian, susunan bahasa lisan, cara menghias diri dan sebagainya. Topeng itu adalah kaedah manusia menyembunyikan dirinya yang sebenar.

Saya pernah mencuba menjadi sebagai kumpulan facebook “Janda dan Duda”. Banyak yang dapat pelajari, kerana tidak semua yang mengakui dirinya ‘Janda’ atau ‘Duda’ itu adalah benar-benar berpisah dengan pasangan masing-masing. Ada banyak penyamaran berlaku, dan yang jelas, ramai juga yang mengambil kesempatan untuk ‘menggatal’.

Bila sesuatu foto seksi dikongsikan, komen yang terpapar kadangkala menyebabkan kita terasa bodoh, dangkal dan bersifat ‘hubaya’. Yang perempuan menebarkan sejelas-jelasnya aset tertentu, sedangkan di bahagian kepala jelas sopan, yang lainnya ternyata tidak. Apakah itu petunjuk terlampau gedik atau percubaan untuk menggatal? Ia setiap orang ada kebebasan, tetapi kebebasan itu semakin melangkaui sempadan moral, maka sepintas lalu boleh kita menepuk dahi, ramai di antaranya sedang mengalami kegalauan moral.

Inilah yang sedang berlaku dalam kes big data. Bukan semua data menyokong adalah datangnya daripada mereka yang benar-benar menyokong. Ada pihak yang boleh membantu untuk menaikkan jumlah ‘likes’ atau ‘followers’ sekiranya mereka dibayar. Telah muncul syarikat yang menggajikan tukang ‘likes’ dan ‘followers’ bahkan membuat perakuan produk tanpa pernah mencubanya. Hanya berdasarkan maklumat yang diberikan. Lumayan kerja saperti itu. Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai jumlah pengikut atau fan yang ramai. Sekali berselfie, Siti Nurhaliza mungkin dibayar RM 20,000 dan kita membayangkan Siti Nurhaliza benar-benar kecanduan ‘selfie’ dalam iklan telefon pintar jenama tertentu.

Sebab itulah Nietzsche pernah menyarankan, jika kita ingin melihat manusia jujur dalam semua perkara, berikanlah kepadanya topeng. Topeng itulah yang bakal membuktikan dirinya yang sebenar. Secara psikologinya, dalam realiti kehidupan kita cenderung mengambil nilai-nilai ideal sebagai penggerak dalam melibatkan diri dalam kehidupan sosial, walaupun ada ketikanya ia bertentangan dengan keinginan peribadi. Internet menyediakan cukup banyak peluang untuk setiap orang menyalurkan bentuk pemikiran dan melontarkan hasratnya, walaupun ada ketikanya ia dianggap tidak munasabah dan mencabar kebiasaan moral.

******

Bahagian awal buku ini, Stephen menjelaskan tiga tahun sebelum Donald Trump berjaya menempatkan dirinya sebagai calon presiden, tidak ada rumusan yang mengatakan bahawa tokoh hartanah itu mampu bersaing dan menang pilihan raya presiden. Trump dianggap sebagai calon presiden terburuk pernah lahir dalam budaya politik Amerika, akhirnya, Trump berjaya menyaingi beberapa orang tokoh daripada Parti Republikan walaupun tidak pernah dipilih sebagi gabenor ataupun berada di peringkat Kongress mahupun Senat. Seth mempunyai pandangan yang berbeza, Donald Trump mampu menyaingi kesemua calon yang menawarkan diri dan menewaskan Hillary Clinton yang lebih berpengalaman dan disukai oleh kelompok peniaga yang kaya.

BAhkan daripada aspek pungutan dana kempen, Trump tidak banyak memperoleh sumbangan berbanding Hillary Clinton. Tetapi, Trump tidak mengaku kalah, bahkan sanggup menggunakan perbelanjaan sendiri. Dalam menganalisis data raya, Seth menemukan banyak indikasi yang boleh membuatkan Trump boleh menang. Trump berjaya mempengaruhi pengundi menggunakan isu-isu perkauman, diskriminasi yang sebahagiannya dianggap tidak relevan dalam senario politik Amerika.

Seth melihat potensi tersebut amat bertentangan dengan kenyataan. Hasil pencarian dan pengumpulan data dengan menaip ungkapan tertentu (saperti nigga, nigger, negro joke, bad black dan sebagainya), Seth melihat ada suatu hal yang menyamai apa yang berlaku ketika kempen Obama. Diusahakan untuk menyebarluaskan penemuan-penemuan itu dengan memasukkan beberapa indikasi daripada bidang-bidang yang lain saperti kesihatan, politik dan ekonomi, Seth cuba mendiagnosiskan gejala penyakit. Microsoft pernah melakukan kaedah yang sama dengan menggunakan enjin carian Bing, dan akhirnya diramalkan bahawa ia memungkinkan apa yang diperlekehkan itu akan menjadi kenyataan yang mengejutkan. Hillary Clinton terpaksa menerima kekalahannya, walaupun ada gerakan untuk mengubah kemenangan Trump, termasuk percubaan mensabotaj upacara mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat.

Menurut Seth, data raya sebenarnya belum digunakan secara meluas dalam sektor kerajaan sedangkan ia adalah fenomena penting dalam memahami kehendak dan aspirasi rakyat. Ia bukan sahaja penting sebagai input bagi memformulasikan dasar, bahkan dapat memahami sentiment sebahagian besar rakyat yang terbabit bagi penentuan kuasa politik.

Hal ini turut berlaku di Malaysia apabila pihak berkuasa enggan ‘mendengar’ dan mengkaji sentiment rakyat. Bahkan pendirian pihak berkuasa yang tetap dengan nilai tertentu, enggan berkompromi akhirnya menjerat keputusan untuk tidak berpihak kepada establishment. BN kalah kerana sentiment sebahagian pengundi sebelum PRU ke-14 mahukan Perdana Menteri berundur dan sebahagian pemimpin digantikan dengan tokoh-tokoh yang dilihat bersih dan belum ada kaitannya dengan salah guna kuasa serta rasuah.

Dalam penelitian Seth, perkara yang paling mengejutkan ialah ketika melakukan pencarian terhadap laman-laman lucah, di mana di wilayah yang dikategorikan sebagai konservatif paling banyak laman-laman tersebut diakses. Begitu juga dengan laman-laman yang berkaitan dengan aktiviti gay, lesbian, sumbang mahram dan seks bebas termasuk antara ahli keluarga. Bagi Seth, betapa tidak konsistennya masyarakat di wilayah-wilayah yang mengamalkan diskriminasi seks dan kecenderungan sebenar masyarakat berkenaan saperti membenarkan teori psikoanalisis Freud. Sumbang mahram selama ini dianggap sebagai khayalan Freud, praktisnya memang manusia setiap masa terjebak dengan naluri seks secara tersembunyi.

Itulah antara perkara yang ditemui oleh Seth dalam analisis big data, dan tentunya buku ini menjadi suatu manifestasi sebenar kehidupan manusia yang berbeza di permukaan. Apa yang berjaya dibuktikan oleh Seth menerusi buku ini ialah memang setiap orang melakukan pembohongan, biarpun dari segi perwatakan zahirnya dilihat pendiam, warak dan tinggi toleransinya, secara diam-diam tetap diskriminatif dan rasis.

Persoalan dasr buku ini ialah bagaimana memanfaatkan data dalam bentuk big data dan new data untuk membuka tabir perilaku manusia. Memahami perilaku manusia menerusi  psikologi dan neuroscience bukanlah suatu perkara yang mudah. Bahkan tinjauan  University of Maryland menemukan bahawa 2% responden yang mengakui memperoleh CGPA mereka kurang dari 2.5. Realitinya, sekitar 11% memiliki CGPA kurang dari 2.5.

Nyatalah, banyak orang sanggup berbohong dan semakin banyak pula manusia yang mengalami social desirability bias. Hal ini boleh menyebabkan rumusan tinjauan menjadi tidak reliable , tidak mampu memberikan gambaran sebenar tentang perilaku, pikiran, ataupun keinginan. Manusia tetap menutupi wajahnya dengan topeng dan berselindung di sebalik preferensi tertentu.

Buku ini mengungkapkan banyak perkara yang berkaitan dengan nilai-nilai Amerika, tetapi tidak bermakna kita tidak perlu memahaminya apa yang Seth ingin kembangkan daripada kelebihan big data dan new data. Dalam persekitaran digital, setiap daripada kita sebagai pengguna internet sebenarnya telah meninggalkan ‘telapak kaki digital’ yang pada suatu ketika boleh digunakan oleh orang lain untuk memahami apa yang pernah kita selindungkan di sebalik kata-kata, tulisan, gambar foto dan rakam audio yang dikongsikan melaluinya. Google terus menyimpan dan membenarkan sesiapa sahaja untuk mengaksesnya.

Saya menjadi sedikit gelabah, apabila Seth mengatakan ‘ sekitar sepertiga masa, manusia berbohong dalam kehidupan sebenar’ mereka. Salah satu pembohongan ialah apabila ada wanita berkata dirinya lebih bahagia bila keluar bersama kawan-kawan dan dalam masa yang sama meluahkan perasaan dalam telefon apa yang mereka akan lakukan apabila rasa tertekan. Dikongsikan dengan ramai orang, walhal sepatutnya dihadkan kepada ahli keluarga terdekat, kerana bukan semua mereka yang berkongsi itu dapat membantu. Ramai juga yang sedia memasang lukah, dan kerana itulah ramai dalam kalangan wanita terjerat dengan pelbagai lukah maya, dari penipuan pembelian barangan dalam talian hingga kalah terjerat dengan ‘ayat-ayat cinta’ dan skim pelaburan yang menjual ‘burung yang masih terbang’ atau ‘buih-buih sabun’ yang hanya dicampurkan sedikit wangian kononnya meningkatkan sensual dan keyakinan diri.

Saya petik satu ungkapan menarik dari buku ini,  “Sometimes , the power of Big Data is so impressive it’s scary.” Tentunya, kalau kita tidak mahu dibohongi, janganlah kita berbohong walaupun sekadar jenaka atau komen nakal, kerana jejak yang ditinggalkan itu merefleksikan peribadi kita sendiri tanpa kita sedar.

KAMARUN KH

No Comments

    Leave a reply