IS DI MALAYSIA

Gerakan militan di Malaysia boleh dijejaki sejak tahun 1960-an lagi dengan munculnya kumpulan yang menyeleweng seperti Kumpulan Tentera Sabillullah (1967), Golongan Rohaniah (1971), Kumpulan Nasir Ismail(1980), Kumpulan Jundullah(1987), Kumpulan Militan Malaysia(1988), Darul Islam (1885), Jemaah Islamiah (1993) dan Al Maunah(2000) Darul Islam SP Ismail . Semua kumpulan ini berpendirian bahawa Malaysia bukan negara Islam, taghut dan perlu digulingkan melalui “Jihad Qital” atau perang jihad.

Sebenarnya bagi IS  semua negara-negara lain sama ada negara Islam atau bukan Islam adalah sasaran serangan mereka. Mereka menganggap hanya mereka sahaja yang merupakan negara Islam tulen. Mereka kononnya mahu mengembalikan  sistem khilafah Islam yang memperjuangankan konsep negara tanpa sempadan. Tiada lagi negara Iraq, Syria dan sebagainya. Semuanya berada dalam negara Islam. Itu matlamatnya. Semua orang Islam di dunia termasuk di Malaysia, terpengaruh dengan konsep ini. Ini jugalah yang mendorong segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan dakyah IS untuk berhijrah dari negara “kufar” seperti Malaysia ke negara Islam di bawah pemerintahan IS. Dari segi ideologi, IS mempunyai kesamaan dengan ideologi kumpulan (pengganas) sebelumnya yang diperjuangkan oleh kumpulan seperti Al-Qaeda, Jemaah Islamiah,Darul Islam, Abu Sayyaf Group dan Boko Haram yang kononnya memperjuangkan salafi jihadi. Mereka menolak demokrasi, sistem pilihan raya, mahkamah dan hakim dianggap ‘berhala’ dan satu-satu kaedah yang ada dalam perjuangan menubuhkan negara Islam adalah melalui perang. Dalam konteks inilah ia dikaitkan dengan Malaysia kerana Malaysia pada pandangan mereka adalah sebuah negara sekular, beracuankan Barat selain tidak mengamalkan hukum hudud.

Pada pandangan mereka, (ciri-ciri tersebut membuktikan) negara kita bukan negara Islam walaupun dari segi konsep dan ciri-cirinya, negara kita adalah negara Islam seperti pemimpin kita adalah orang Islam selain mengamalkan ajaran Islam.Tapi mereka (menuduh) kita sebagai negara kufur. Itu menjadi ancaman yang nyata bukan hanya kepada kerajaan, tapi juga kepada pihak polis yang di anggap bersekongkol dengan Barat. Dalam konteks ancaman IS di Malaysia pula, kini ianya telah memasuki fasa kedua iaitu melibatkan rancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia seperti yang berlaku di negara-negara Barat. Fasa pertama sebelum ini hanya melibatkan pengrekrutan, penggumpulan dana, penghantaran anggota ke Syria dan penyebaran ideologi. Tangkapan pada 5 April 15 baru-baru ini yang melibatkan 17 saspek membuktikan mereka sedang merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia. Ini sebagai tindak balas terdapat operasi-operasi tangkapan yang dilancarkan oleh PDRM sejak 13 Februari lalu dan dakwaan yang Malaysia bersengkongkol dengan Barat.

Saya tak nafikan pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan  itu telah mencetuskan gerakan jihad. Pada tempoh dari 1979 hingga 1989, jihad di Afghanistan adalah jihad yang sebenar-benarnya bagi membebaskan bumi Afghanistan dari Soviet. Tapi selepas Soviet berundur pada penghujung 1989 dan membawa perang saudara antara kumpulan-kumpulan Mujahidin yang terlibat dalam perang Jihad, pada masa itulah munculnya kumpulan al-Qaeda.

Sebenarnya, konsep IS ialah sesiapa sahaja (dari kalangan umat Islam) kalau tak menyertai kumpulan mereka, (maka) halal darahnya. Lihatlah sahaja pada saat ini, ada tak IS menyerang kepentingan Amerika atau Yahudi? Mereka musnahkan orang Islam dan yang terbaharu mereka tawan dan musnahkan kem pelarian Palestin di Damaskus. Apa gunanya mereka buat itu? Saya tak nampak apa yang IS perjuangkan berlandaskan Islam. Malahan, mereka musnahkan negara Islam yang ada dalam skala yang besar. Mereka bunuh ratusan, ribu orang malahan jutaan orang menjadi pelarian. Dalam konteks inilah ideologi; “kalau you tak ikut kami, you kafir; bila melakukan bidaah lalu murtad, darah you halal.” Saya pernah melancarkan operasi tangkapan ke atas anasir kumpulan Jemaah Islamiah yang mencecah dua ratus orang sejak tahun 2001dan bertanya, mengapa terpengaruh dengan ideologi yang begini? Mereka jawab, bermula dengan mengikuti kelas agama anjuran gerakan fahaman yang suka melabelkan amalan-amalan masyarakat Islam Malaysia sebagai bidaah, kemudiannya mendakwa kita terkeluar dari Islam dan akhirnya menghalalkan darah kita. Sebab itulah mereka tanpa ragu menyembelih orang yang dianggap berbuat bidaah dan murtad.

Kumpulan militan IS tidak merekrut (anggota baharu) dengan cara fizikal. Misalnya dalam perekrutan pada zaman Jamaah Islamiah (JI), calon perlu hadir dalam usrah, tamrin dan pembentukan saksiah diri. Selepas dua belas kali sesi tamrin tanpa gagal yang diadakan penghujung setiap bulan, barulah mereka dibaiah dan menjadi ahli kumpulan JI secara rasmi. Setelah itu di hantar ke Selatan Filipina dan Afghanistan untuk menjalani latihan ketenteraaan. Sekarang ini (IS), boleh baiah dalam setengah jam sahaja. Cukup melalui online atau lain-lain aplikasi dalam media sosial. Dulu calon ahli dibaiah dengan mengucapkan kalimah; “saya taat kepada Amir, perintah Allah dan Rasul-Nya.”

Individu yang terpengaruh untuk menyertai IS terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan, pekerjaan, keluarga dan sosial. Tiada  “profiling” khusus untuk anggota-anggota IS. Tiada juga ciri-ciri tertentu yang boleh digunakan sebagai panduan mengenalpasti individu yang menganggotai IS. Bahkan, (terdapat) rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria terdiri daripada pegawai agama daripada dua buah negeri di Semenanjung. Cuba bayangkan, sepatutnya pegawai agamalah (golongan sepatutnya) yang memperbetulkan penyelewengan fahaman ini, bukan menyertainya.

Berbanding dengan Tabligh atau ar-Arqam yang mempunyai ciri khas seperti memakai jubah dan kopiah, kumpulan IS tidak mempunyai ciri-ciri tertentu. Kita tidak boleh mengetahui (IS) hanya berdasarkan label dan karakter tertentu. Ada seorang pegawai kanan di salah satu kementerian bergelar Datuk; macam mana kita boleh jangka beliau terbabit dalam IS dan berperanan sebagai pemberi dana? Pelbagai peringkat profesion yang terlibat seperti doktor, peguam, jurutera dan sebagainya. Singkatnya, kita tidak boleh membuat profiling hanya berdasarkan karakter tertentu.

Kumpulan Islamic State (IS) membabitkan pelbagai lapisan masyarakat. Ada orang agama, profesional, peniaga, malah pegawai kerajaan termasuk anggota pasukan beruniform turut terlibat dalam kumpulan militan IS. Tidak ada satu jabatan kerajaan pun yang bebas (daripada dipengaruhi) oleh IS. Penglibatan anggota tentera ke dalam IS bukan isu baharu. Dulu dalam Jemaah Islamiah (JI), juga terdapat penglibatan anggota-anggota pasukan keselamatan yang direkrut dan menyertai kumpulan JI.

Salah satu faktor penarik IS di Syria ialah pertama, isu Sunni melawan Syiah – Sunni telah ditindas Syiah. Kedua, konsep hijrah. (Dakwaan mereka), Malaysia adalah negara kuffar.  Itulah sebabnya mereka perlu berhijrah ke sana (Syria) membawa serta keluarga sekali. (Hingga kini), Dah ada sepuluh keluarga rakyat Malaysia berhijrah ke sana. Ketiga, dipengaruhi hadis akhir zaman dari kitab Al-Fitan dan kemunculan ahli fitnah, Dajjal dan Imam Mahadi yang (pada mereka) merupakan petanda peperangan akhir zaman. Mereka fikir, ini adalah tanda-tanda akhir zaman dan perlu pergi ke Syria.

Ramai anak muda terbabit (dengan IS) disebabkan (kerana) hilang punca dan tiada panduan hidup. Ramai di kalangan suspek yang kita tangkap mengalami masalah sosial seperti terlanjur dengan teman wanita. Ada juga kes di Johor misalnya, adalah isteri orang yang terbabit kerana suami ada hubungan dengan orang lain, dan gaji suami tak mencukupi untuk menyara hidup keluarga. Tiba-tiba ada komunikasi melalui Facebook mengajak mereka untuk pergi ‘berjihad’. Mereka cakap dengan ‘berjihad’ ke Syria, (maka) akan selesai masalah.

Sepertimana (hasil maklumat) tangkapan yang diterima terhadap saspek yang baru balik dari Syria baru-baru ini, mereka mengatakan mendapat gaji sebanyak USD200 sebulan, diberi kemudahan apartment dan sebagainya.

Orang yang terbabit dalam IS pada awalnya disebabkan rasa ingin tahu terhadap perkembangan konflik di Syria, (dan kemudian mencari maklumat tersebut) di media sosial terutamanya Facebook. Itulah titik awal penglibatan mereka. Diakui memang ada laman web yang sokong IS. Tapi kebanyakannya bermula daripada Facebook.

Saya bersetuju media sosial merupakan punca penyebaran IS untuk merekrut, mengasuh, mengatur dan berbaiah secara online. Itu juga yang berlaku terhadap kumpulan Abu Sayyaf dan Boko Haram. Berbaiah melalui aplikasi Whatsapp, Facebook dan sebagainya. Facebook (adalah media sosial yang banyak digunakan). Dengan (sekali) tekan, (iaitu) add dan like; menjadi penghubung maklumat mengenai IS di Syria dan lain-lain tempat. Selepas itu, akan ada private messages (PM) untuk bincang secara terperinci dan langkah seterusnya.

Kita akan siasat dahulu. Bukan kita terus tangkap. Polis tidak boleh memantau semuanya. Sebab itu kita memerlukan kerjasama dari orang ramai. Misalnya ada rakan kerja kita, saudara mara dan kenalan bercakap mengenai jihad dan mengajak menyertai IS, (hal itu) kena maklumkan pada polis. Ramai juga tangkapan polis hasil daripada maklumat orang ramai.

Baru-baru ini kita tangkap seorang kerana (terlibat) menyalurkan dana untuk membiayai tambang penerbangan ke Syria. Sokongan dana tidak melibatkan bantuan untuk IS.

Di Malaysia, mereka bergerak secara sel berasingan dan kadang-kadang ada berhubung. Setakat ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada ada rakyat Malaysia yang telah berbaiah dengan  Abu Bakar al-Baghdadi secara online mahupun secara fizikal. Seperti yang kita tangkap pada April tahun lepas dan baru-baru ini, semuanya bergerak secara sendiri. Ada juga yang kenal. Bagaimanapun, IS tidak sama dengan JI yang mana terancang secara organisasi seperti ada Amir, Fiah, Wakalah di peringkat daerah dan negeri. IS tidak ada struktur organisasi semacam ini. Kalau kita tangkap seorang IS, belum tentu kita dapat yang lain.

Secara umumnya, (ancaman IS) boleh dikawal kerana kita dilindungi oleh undang-undang seperti SOSMA dan yang terbaru POTA. Namun, apa yang menjadi masalah ialah pengaruh media sosial kerana tidak semuanya dapat dipantau polis. Kita hanya berharap kerjasama orang awam sekiranya ada orang berkecenderungan (terlibat dengan IS), maklumkan kepada pihak polis. Baru kita dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya. Kalau kita tak tahu sasaran kita, macam mana kita nak pantau. Sesetengah orang tak nak beri kerjasama. Inilah yang susah.

Saya tak nafikan ada golongan tertentu yang sekarang ini sudah bergerak dan mula mempertikaikan fakta yang diutarakan oleh pihak PDRM berhubung ancaman IS. Mereka bercakap, jangan kaitkan (IS) dengan fahaman salafi jihadi , jangan memetik secara sembarangan dan tidak semua anggota IS adalah pengganas. Ada yang benar-benar Mujahidin. Saya pernah dijemput memberi syarahan dalam forum menolak esktremisme di sebuah jabatan kerajaan. Dalam forum itu, saya memberitahu buku-buku hasil rampasan anggota IS sama dengan buku yang dirampas semasa kes JI dulu. Buku-buku ini banyak memetik pandangan ekstreme Ibn Taimiyahberhubung asas untuk mengguling kerajaan Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud sepenuhnya secara kekerasan dan perang. Saya tak kata pendapat Ibn Taimiyah seratus peratus menyeleweng, tapi pandangannya ekstrem. Kenapa kita mengambil pendapat yang ekstrem? (dalam masalah agama termasuk jihad). Malangnya, ahli panel yang kedua, banyak memetik pendapat Ibn Taimiyah dalam konsep jihad. Kalau macam ini, hadirin tentu akan keliru mana satu yang betul. Sejarah telah membuktikan bahawa pendekatan yang dibawa oleh Ibnu Taimiyah turut ditolak oleh ulama-ulama Ahli SunnahWal Jamaah dan pemerintah Islam di zamannya.

Saya tak terkejut mereka akan membuat serangan besar-besaran sebab di Malaysia semua (bahan) ada. Merancang dan membuat detonator  (alat pemicu) dan kepakaran yang mungkin diperolehi dari anasir-anasir pengganas dari negara jiran. Ada kes seorang pelajar di institut kemahiran di Terengganu, belajar membuat paip bom kecil melalui internet. Bom itu meletup dan pelajar terbabit terpelanting tiga meter akibat letupan paip bom yang dihasilkannya. Walaupun ianya tidak melibatkan pengganas , namun ianya membuktikan betapa mudahnya untuk belajar membuat bom, membeli bahan-bahannya dan meletupkannya. Bayangkan seandainya orang membuat bom skala besar dan disambungkan dengan detonator. Apa yang akan berlaku melainkan kerosakan harta dan jiwa. Jangan terkejut juga bahawa telah ada rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan JI dan Darul Islam (DI) sebelum ini terlibat dalam penyembelihan orang tebusan dan “musuh-musuh” mereka di Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Anggota kumpulan JI dan DI ini mempunyai ideologi sama dengan IS , iaitu yang mendakwa sebagai “salafi jihadi”.

Di Indonesia lebih serius sebab mereka tidak ada undang-undang yang secara khusus untuk membanteras keganasan. Ramai rakyat mereka yang pergi ke Syria, berbaiah dengan pemimpin tertinggi IS dan baru-baru ini tersebar video kanak-kanak berlatih ketenteraan dengan menggunakan bahasa Indonesia.

Kita amat bimbang ancaman IS di Malaysia. Ianya tidak menunjukan sebarang tanda-tanda akan berkurangan, malahan semakin serius. Sama ada dalam konteks penglibatan rakyat Malaysia di Syria yang hampir mencecah 80 orang ataupun dari segi ancaman di Malaysia.

Masyarakat perlu faham akan ancaman ini dan tidak menanggap operasi polis dan tangkapan yang dibuat adalah sandiwara untuk mengalih perhatian umum daripada isu-isu politik dan kelemahan Kerajaan. Kalau kita tengok kes tangkapan terbaharu yang membabitkan 17 orang suspek, mereka sudah berada pada tahap akhir (last stage) untuk membuat serangan. Salah seorang yang ditangkap ialah seorang pengawal yang mempunyai akses kepada senjata, anggota tentera dan bekas ahli Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang pernah melancarkan seranga dan cubaan untuk merompak senjata api di Balai Polis Guar Chempedak pada tahun 2001. Itulah yang kita bimbang. Penglibatan anggota pasukan keselamatan dalam IS adalah serius kerana mereka mungkin akan gunakan akses untuk mendapatkan senjata api, dan bahan letupan. maknanya bila-bila masa mereka akan buat serangan.

(Walau bagaimanapun), setakat ini, alhamdulillah. Keadaan di negara kita masih boleh dikawal dan dihalang dari segala perancangan mereka. Tapi saya tak memberi jaminan seratus peratus negara bebas dari ancaman IS. Tidak ada negara (di dunia) yang boleh menjamin dan bebas dari ancaman IS. Malah, Amerika, Australia dan United Kingdom termasuk negara-negara yang tidak pernah kita dengar ada orang Islam seperti Austria (rakyatnya disahkan) seramai 150 orang telah pergi ke Syria (untuk menyertai IS).

Oleh: Datuk Ayob Khan Bin Mydin Pitchay.

Ketua Penolong Pengarah,

Anti Keganasan Cawangan Khas,

Polis Diraja Malaysia

Petikan: Majalah Dakwah Mei/Jun 2016

No Comments

    Leave a reply