ISLAM DAN JUSTIFIKASI PERANG

Jauh sebelum Konvensyen Geneva membuat keputusan mengenai Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Islam sudah ada pernyataan hukum yang lengkap bersabit dengan justifikasi untuk berperang.

Konvenseyen Geneva (KG) berlangsung pada tahun 1949 dan kemudiannya ada dua lagi Protokol Tambahan mengenai peraturan perang dimuktamadkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1977. Tugas untuk menjaga Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA) dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

ICRC memberi bantuan kepada tentera yang cedera, sakit atau karam semasa konflik, melawat tawanan perang, menolong orang awam dan memastikan mereka dilindungi berdasarkan UUKA. ICRC juga akan mempastikan orang awam diberikan layanan yang sewajarnya. (Rujuk: https://sediaberkorban.wordpress.com/2013/05/02/undang-undang-kemanusiaan-antarabangsa/)

Sebagai seorang penasihat kepada ICRC dalam bidang perundangan, bekas Penolong Profesor Kajian Islam Universiti Al-Azhar, Dr Ahmed al-Dawoody berusaha untuk memperbetulkan tanggapan masyarakat antarabangsa mengenai sikap sebenar Islam terhadap peperangan dalam bukunya yang dianggap paling lengkap dan komprehensif oleh Khaled Abou El Fadl, Profesor Undang-Undang Universiti California Los Angeles (UCLA).

Menurut Khaled, al-Dawoody mampu memadukan khazanah pengetahuan dari sumber Islam klasik dan metodologi analisis kontemporari. Kelebihan buku Hukum Perang Islam (terjemahan dari versi Inggeris, The Islamic Law of War, 2011) yang diterbitkan awal tahun ini dalam versi Indonesia, merupakan yang  terlengkap tentang aturan dan etika perang menurut perundangan Islam.

Al-Dawoody menggunakan sumber pengetahuan Islam klasik dan komtemporari untuk menjawab persepsi sarjana Barat yang sejak awal lagi telah menyatakan Islam adalah sebuah agama yang cenderung kepada keganasan dan tindakan brutal. Islam juga dianggap telah menggunakan perang sebagai tindakan untuk memperluaskan wilayah kekuasaan dan memaksa penganut-penganut agama lain untuk memeluk Islam walaupun secara tegasnya, al-Qur’an memberikan kebebasan kepada setiap manusia untuk apa sahaja yang diyakininya, berdasarkan ‘tiada paksaan dalam beragama’.

Menurut al-Dawoody, penulisan buku tersebut adalah sebagai percubaan untuk mempelajari ‘hakikat hukum Islam tentang perang/jihad yang diperdebatkan, disalahfami dan tidak dieksplorasi secara memadai.” Ia juga berusaha mencari hukum yang berkaitan dengan jihad sebagai perang yang sahih, iaitu peperangan yang “dilakukan dalam upaya membela diri sesuai dengan pembatasan PBB tentang penggunaan kekuatan.”

Buku ini cuba menguji empat justifikasi penggunaan kekuatan pelaku bukan negara berdasarkan hukum Islam, iaitu: (1) jihad adalah penyebab aksi terorisme kontemporari yang dilakukan oleh beberapa muslim; (2) tingkat toleransi yang ditunjukkan oleh hukum Islam terhadap lawan internal pemerintah; (3) regulasi hukum Islam mengenai penggunaan kekuatan dalam konflik bersenjata domestik dan antarabangsa; dan (4) mengungkap potensi sumbangan yang dapat diberikan dalam sistem perundangan daripada salah satu agama terbesar dalam penciptaan keamanan dan kestabilan sejagat.

Al-Dawoody berjaya membahaskan mengenai dua istilah undang-undang, jus ad bellum (justifikasi untuk melakukan peperangan) dan jus in bello (peraturan dan etika semasa berperang). Jus ed bellum sering disalahsertikan oleh sarjana Barat bahawa peperangan dalam Islam adalah untuk mengislamkan wilayah yang ditakluki (just war) dan bagi al-Dawoody, ia perlu dibandingkan dengan dua perspektif, iaitu pandangan ‘orang luar’ dan ‘orang dalam’.

Terdapat dua jenis peperangan yang cuba diteliti oleh al-Dawoody, iaitu peperangan yang melibatkan Nabi Muhammad SAW dipanggil ghazawat dan peperangan yang tidak melibatkan baginda, saraya pada di awal kemunculan Islam. Hanya sembilan dari 27 peperangan adalah ghazawah (Badar, Uhud, Khandaq, Quraizah, al-Musta’liq, Khaibar, Pembebasan Mekah, Hunain dan Tha’if). Perang, adalah sesuatu yang berat (kurhum lakum) tetapi terpaksa dilakukan sebagai jalan terakhir (last resort) bagi mempertahankan diri daripada ancaman musuh-musuh Islam pada zaman Rasullullah SAW.

Bagi al-Dawoody, pelaku utama perang dalam Islam adalah perang defensif (jihad al-daf’i) dan kerana itu tidak ada istilah perang ofensif (jihad al-thalab) sebagaimana dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia sebagaimana yang disifatkan oleh sarjana Barat dalam konteks peluasan wilayah. Ia dengan otomatisnya cuba menolak rumusan Barat bahawa Rasullullah SAW merupakan ‘sosok yang haus darah’ dan menjadikan peperangan sebagai kerjaya bagi memperoleh kesenangan.

Itulah sebabnya hanya berlaku sembilan peperangan daripada 27 konflik yang berpotensi perang kerana Rasullullah SAW lebih banyak melakukan ‘misi diplomatik’ bagi menghindari potensi peperangan. Ia bersesuaian dengan surah al-Anfal, ayat 61.

Perspektif juga menjadi sesuatu yang amat nyata bahawa Islam telah lama mendahului apa yang diputuskan oleh KG mengenai UUKA. Lebih menarik lagi ialah semua fiqh Islam klasik memang mengandungi ‘harta intelektual’ yang sangat kaya dan perlu digali untuk manatijahkan serangan Barat terhadap peraturan Islam mengenai peperangan. Al-Dawoody berjaya melakukannya dengan penuh cermat dan tuntas, terutama berkaitan hukum dan etika perang.

Mengenai masalah yang dihadapi oleh Islam masakini ialah permusuhan internal dalam bentuk (1) perang melawan pemberontak, bughat; (2) perang melawan pengkhianat dan penjenayah, al-muharibun; (3) perang melawan mereka yang murtad, ahli al-riddah; dan (4) perang melawan kaum khawarij (fanatik dan ektremisme yang cenderung anarkis dan radikal) turut diberikan sorotan yang baik daripada perspektif ulama-ulama Islam klasik, yang begitu imaginatif dan cukup baik dalam usaha memformulasikan peraturan-peraturan yang berwibawa.

Terorisme yang berupa tindakan untuk melakukan kerosakan, kekacauan dan menghancurkan stabiliti ditinjau secara meluas oleh al-Dawoody dari perspektif moden hinggalah teks-teks klasik feqah dalam buku ini dan kesimpulannya, terorisme atas apa pun alasannya, ia adalah tindakan yang tidak boleh dibenarkan berlaku kerana ia boleh mengakibatkan kemusnahan yang besar kepada Islam. Ini bersesuaian dengan hakikat perang dalam Islam ialah untuk melindungi diri, menegakkan kebenaran, menghapuskan kezaliman dan mempertahankan kestabilan serta keamanan.

Secara keseluruhannya, buku setebal lebih 450 halaman ini amat baik untuk diteliti oleh setiap umat Islam dan bukan Islam sekiranya mereka berusaha untuk memahami dengan jelas perihal hukum peperangan dalam Islam. Suatu percubaan yang baik walaupun al-Dawoody tidak banyak mengambil pandangan dan pendapat para ulama kontemporari yang menjadi rujukan para jihadis masa kini.

Asas yang digali dari sumber Islam klasik ini sudah cukup untuk kita memahami dengan jelas, bahawa konflik yang timbul perlulah diseslaikan secara diplomasi dan rundingan, kerana peperangan mengakibatkan kerosakan yang lebih besa dan amat fatal sekali.

Proses membangun kembali di atas kerosakan yang ditinggalkan oleh peperangan begitu menyiksakan, dan memakan masa terlalu lama. Inilah yang membawa pertimbangan bahawa peperangan adalah jalan terakhir setelah semua rundingan dan diplomasi tidak lagi memadai bagi mempertahanak kedaulatan, harga diri dan kemaslahatan umat. KAMARUN KH

 

Nama Buku : Hukum Perang Islam

Nama Penulis : Ahmed al-Dawoody

Terbitan : KPG-ICRC, Jakarta, 2019.

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply