ISLAM MENDIDIK: BANTERAS KEMISKINAN

charity

Banyak daripada hadis-hadis Rasulullah SAW yang memberi penerangan bahawa kemiskinan merupakan satu ‘penyakit’ berbahaya yang dikhuatiri akan meninggalkan kesan buruk kepada akidah, akhlak dan pemikiran seseorang Muslim. ‘Penyakit’ ini mudah menonjol terutamanya dalam kalangan orang yang menghadapi kemiskinan tegar dan hidup pula dalam komuniti orang kaya yang buruk budi pekerti serta terlalu kedekut. Kemiskinan boleh membawa seseorang itu menjadi kufur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kepapaan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”.
Hadis ini menjelaskan bahawa orang boleh menjadi kufur kerana tekanan-tekanan ekonomi dan kesulitan untuk memperoleh rezeki. Orang yang asalnya baik akan berubah menjadi tidak amanah yakni wanita yang memelihara kehormatan diri mungkin tidak sanggup lagi bertahan kerana tekanan ekonomi.

Oleh itu, Islam mewajibkan setiap umatnya agar bekerja keras dan berusaha mencari rezeki demi membela diri mereka daripada kemiskinan dan kekufuran. Islam menilai orang yang bekerja dan berusaha itu sebagai jihad.
Allah SWT menjadikan bumi ini dan isi kandungannya semata-mata untuk manusia tetapi manusia tidak akan dapat menikmati sepenuhnya melainkan dengan titik peluh usaha sendiri.

Meninggalkan pekerjaan dan usaha mencari rezeki atas alasan untuk beribadah kepada Allah sahaja adalah bertentangan dengan konsep Islam yang sebenar. Firman Allah dalam surah Al-Ra’d ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubahnya sendiri”.
(Surah Al-Ra’d: ayat 11)

Umat Islam harus cemerlang dalam hal duniawi tanpa mengabaikan akhirat. Kualiti hidup di dunia inilah yang membawa kepada kejayaan manusia berubah daripada kemungkaran kepada yang ma’ruf.

Manusia diperintah oleh Allah SWT untuk mencari rezeki bagi menampung keperluan hidupnya dan juga diperintah untuk mencari rezeki yang lebih untuk tujuan membantu orang lain yang tidak berkecukupan. Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang bermaksud:

“Kemudian setelah selesai sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya”.
(Surah Al-Jumu’ah: ayat 10)

Di sisi lain pula, al-Quran mengecam mereka yang mengharamkan hiasan duniawi yang diciptakan Allah bagi umat manusia. Firman Allah dalam al-Quran, maksudnya:

“Katakanlah (Wahai Muhammad) siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakannya”.
(Surah Al-Baqarah: ayat 32)

Sesungguhnya Islam tidak mentakdirkan kemiskinan sebagai satu cara untuk mencapai ketinggian rohani. Hadis-hadis yang memuji kehidupan zuhud di dunia bukanlah bererti memuji kemiskinan. Adalah satu kesilapan yang besar jika ada yang menganggap bahawa kemiskinan bukanlah satu keburukan yang perlu diubati, sebaliknya menganggap kemiskinan sebagai satu nikmat Allah yang dikurniakan kepada sesiapa di antara hambaNya agar hatinya sentiasa berhubung dengan akhirat dan benci kepada dunia.

Islam tidak datang hanya untuk mengajarkan zikir dan doa tetapi untuk membebaskan manusia daripada beban penderitaan kepada hidup yang bahagia. Hidup tanpa mahu berusaha dan hanya mengharap belas kasihan orang lain amat tidak dipersetujui oleh Islam.

“Tangan yang di atas (yang memberi) lebih mulia daripada tangan yang di bawah (yang meminta-minta)”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelas, Islam menolak sesetengah golongan yang menyanjung kemiskinan dan menganggap kekayaan sebagai dosa. Demikian juga mereka yang menganggap kemiskinan sebagai qadar yang tiada jalan untuk mengelaknya. Ini semua pandangan ekstrem yang terpesong daripada jalan sebenar sepertimana yang dituntut oleh ajaran Islam yang sebenar.

Dipetik dari buku Membuktikan Erti Kasih Sayang oleh: Aziz Jamaludin Mhd. Tahir

No Comments

    Leave a reply