Islam meraikan evolusi teknologi

Sejarawan dunia dan ulama tafsir, Imam al-Tabari yang menjelaskan peristiwa penuh bersejarah turunnya Nabi Adam AS dari syurga di bahagian awal karyanya, Ta’rikh al-Rusul wal-Muluk (Sejarah Rasul-rasul dan Raja-raja) meriwayatkan “andas, penyepit, batu asah dan tukul diturunkan bersama-sama Adam.”

Apakah manusia berevolusi untuk menggunakan teknologi atau teknologi dievolusikan untuk kegunaan manusia? Peristiwa yang dibabadkan Imam al-Tabari menimbulkan keasalan teknologi; sebagaimana manusia datang dari Tuhan, begitu juga teknologi sentiasa menemani manusia sepanjang sejarahnya. Apatah lagi, ia menekankan peranan Nabi Adam AS bukan hanya sekadar leluhur seluruh umat manusia, bahkan pembina tamadun pertama.

Teknologi berasal daripada perkataan Yunani, tekhnologia. Menurut kamus Greek-English Lexicon, ia kajian (logia) berkenaan tekhne, suatu istilah yang merujuk kerja tangan manusia yang dikenali sebagai seni, kemahiran atau ketukangan.

Hakikat tekhne dibahaskan secara meluas dalam tradisi falsafah Yunani. Ahli falsafah Yunani mencirikan tekhne sebagai api ketuhanan seperti tukang yang bertindak sebagai suatu prinsip menguasai, serentak giat dan berdaya cipta. Zeno mengutarakan idea tekhne sebagai suatu sistem pemahaman.

 Socrates membahagikan tekhne kepada dua jenis: pertama, mengguna pakai hanya sebahagian kecil kuasa berfikir namun menumpukan terutamanya kepada kerja berat dan kedua, mengguna pakai lebih banyak akal fikiran dalam helah bagi menyelesaikan masalah misalnya dalam matematik seperti kira-kira, logistik dan astronomi.

Dalam Nichomachean Ethics, Aristotle menyebutkan selain bertafakur dan berfikir dengan mendalam, iaitu jalan paling tinggi serta mulia untuk mencapai kebahagiaan, seseorang juga memperoleh kebahagiaan melalui kehidupan yang menekuni penat-lelah kehidupan bertukang.

Konsep yang dapat dibandingkan dengan ‘membuat benda’ dan ‘kemahiran industri’ terkait dalam tradisi keilmuan Islam ialah sina‘ah seperti yang dirujuk dalam kamus Arab, Mufradat fi Gharib al-Quran oleh al-Raghib al-Isfahani dan Lisan al-Arab (Ibn Manzur).

Ibn Khaldun, sejarawan dan ahli falsafah Islam abad ke-15 yang mengkaji jatuh bangun peradaban Afrika Utara dan Andalusia, menyimpulkan dalam adikaryanya, Muqaddimah bahawa sina‘ah sebagai seni pembuatan atau dikenali sebagai industri adalah hasil kebolehan akliah manusia untuk memahami, menyusun dan menguasai pelbagai cabang ilmu dan sains.

Seperti sebahagian besar ahli metafizik Islam, Ibn Khaldun melihat alam tabi‘i sebagai ciptaan (kawn) oleh Tuhan yang dijadikan sebagai sumber bekalan untuk manusia yang juga sebahagian daripadanya untuk menjalani tempoh masa kehidupan yang ditentukan di dunia.

Agar manusia dapat menyempurnakan tugasnya sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan mengurus dan mentadbir bumi, Allah SWT menjadikan dalam diri manusia beberapa kekuatan (quwwat) yakni alat pertamanya dalam mendepani dunia luar yang dapat memastikan kelangsungan dan kemandirian hidup.

Kerangka tasawur atau pandangan Ibn Khaldun meletakkan sina‘ah atau teknologi sebagai wajah penting peradaban. Oleh itu, kehilangannya mengisyaratkan tanda kejatuhan sesuatu tamadun. Kemajuan teknologi ialah kemajuan perbandaran, justeru suatu penanda aras yang boleh dipercayai dalam mengukur ‘kesihatan’ sesuatu peradaban.

Oleh itu, sina‘ah dalam erti kata epistemologi ialah pengamalan kefahaman manusia dalam perlakuan mentadbir alam bersama-sama dengan kesedaran bahawa amal manusia sendiri adalah sebahagian daripada terzahirnya perlakuan berdaya cipta Tuhan yang berfirman: “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!” (Al-Saffat :96)

Suatu tinjauan lebih dekat terhadap risalah alat gerak helah yang ditulis jurutera Muslim seperti Banu Musa dan al-Jazari mendedahkan penggunaan meluas pernyataan insya- Allah (dengan izin Allah).

Pernyataan sedemikian adalah pengiktirafan bahawa sejauh mana andaian dalam pembuktian sains dan matematik, keajaiban dan perkara tidak terjangka tetap berlaku di luar kawalan manusia yang kekal menakjubkan dan mempesonakan; setiap benda atau peristiwa berlaku menurut tabiat ditetapkan al-Khaliq Maha Berkuasa dan Maha Berkehendak.

Oleh itu, usaha pemikir dan jurutera Islam pada masa lalu memberikan gambaran yang bukan hanya suatu ideal, bahkan hakikat sejarah yang kegunaan amali kejuruteraan dan estetika wujud dalam kesatuan yang bersepadu.

Berdasarkan unsur kesenian dijumpai dalam artifak dan lakaran manuskrip, reka cipta mekanikal serta pernyataan estetika ialah wajah tidak terpisah dalam sina‘ah – seni kemahiran adalah hasil budaya yang meraikan kerja dan pekerjaan.

Hakikat sejarah Islam memberi maklum bahawa selain menggesa kepada berbuat amal dan memuliakan kerja sebagai budi diganjarkan dengan pahala kebaikan, teknologi bukanlah suatu bentuk eskapisme atau jalan menganjurkan kemalasan.

Sebaliknya, ia jalan bagi manusia memperbaiki diri melalui penciptaan kemahiran dan dengan itu manusia memperoleh tujuan dan makna dalam kehidupan. Justeru, teknologi ialah pernyataan dan sewajarnya kekal sebagai keraian berdaya cipta kehidupan yang penuh bermakna.

Oleh Muhammad Husni Mohd Amin

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply