ISLAM-NO-PHOBIA; WHITE-NO-SUPREMACY

TRAGEDI Christchurch memerihalkan banyak pengajaran. Pengajaran pertama ialah simpati masyarakat bukan Islam yang bersatu hati mengutuk serangan tanpa belas kasihan Brenton Tarrant sehingga mengorbankan 50 nyawa umat Islam yang bersiap sedia untuk mengerjakan sembahyang Jumaat dari peringkat kepimpinan tertinggi New Zealand hingga kepada rakyat biasa. Gabungan belas kasihan itu menjadikan New Zealand sebagai sebuah negara yang tegas dalam membenteras sebarang bentuk kekejaman tanpa mengira sama ada alasan itu atas asas agama mahupun meraih sokongan politik.

Kedua, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebaik sahaja mengetahui serangan ganas itu tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menguruskan isu yang telah merobek imej negaranya yang mesra kaum imigran dan negara paling aman di dunia. Kejadian tersebut adalah yang pertama berlaku dalam sejarah New Zealand, dan kerana itu setiap jentera kerajaan digerakkan untuk memberikan bantuan, termasuklah mengawal dan mententeramkan suasana.

Sesuatu yang boleh kita pelajari ialah mengenai komitmen kerajaan New Zealand di bawah kepimpinan Jacinda Ardern menguruskan tragedi dengan berkesan bagi mencetuskan suasana konflik yang lebih besar berlaku. Ia berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. Kerosakan yang ditimbulkan oleh kenyataan Menteri dan ahli politik belum dapat dipadamkan daripada peristiwa berkenaan kerana sikap dan pendirian mereka terus ‘menegakkan benang yang basah’ kecuali salah seorang penjaga kuil yang tampil memohon maaf apabila ada maklumat kematian Adib akibat dibelasah oleh perusuh dan bukannya kemalangan.

Contohnya, ketika rusuhan di Kuil Maha Sri Mariaman di Subang Jaya pada bulan November lalu, sekumpulan keturunan India dengan cepat bersuara dan melihat ia adalah suatu bentuk pergaduhan yang cenderung kepada konflik perkauman. Menteri-menteri dan ahli politik Kerajaan PH keturunan India terus membuat andaian yang boleh melukakan perasaan orang Melayu dan mengejek pihak berkuasa kerana lambat bertindak.

Lebih mendukacitakan ialah pendirian pengurusan kuil yang cuba melindungi para perusuh keturunan India dengan mengaitkan kematian seorang penjawat awam yang ditugaskan untuk memadam kebakaran sebagai akibat kemalangan dan bukannya dibelasah oleh kumpulan perusuh. Dalam mencari keadilan untuk Allahyarham Mohamad Adib, kini dilakukan proses inkuiri masih berjalan dan rumusannya masih belum dibuat walaupun tragedi itu sudah berlaku lebih empat bulan.

Ketiga, ibu kepada Brenton Tarrant dengan relanya mengharapkan anaknya dibalas di atas kesilapan yang dilakukan. Beliau tidak kesal jika pihak berkuasa New Zealand menjatuhkan hukuman berat ke atas anaknya kerana ia adalah ‘setimpal’ dengan kesalahan jenayah yang dilakukan. Si ibu mengharapkan agar undang-undang dapat menjatuhkan Brenton Tarrant dengan hukuman mati. Suatu pengakuan dan sikap yang tidak menegak dan mempertahankan ‘benang yang basah’.

Keempat, sikap dan pendirian media luar New Zealand terutama di Eropah saperti berusaha untuk tidak menggunakan istilah ‘pengganas’ kepada Brenton Tarrant. Ia saperti lumrah media Barat, yang menulis dan membuat laporan berdasarkan niatnya yang jelas, label pengganas hanyalah sesuai untuk digunakan kepada masyarakat Islam. Beberapa buah akhbar di Britain menyiarkan kisah silam Brenton Tarrant sebagai seorang anak remaja yang tidak bermasalah, seperti ingin membuat penilaian bahawa lelaki dari Australia itu mempunyai niat suci untuk mengembangkan konsep ‘white supremacy’. Ia sesuatu yang tidak salah, malah wajar dibanggakan oleh mereka yang mengagumi etnik kulit putih.

Menghidupkan semula fahaman Nazi dalam bentuk yang berbeza. Ketika Hitler memotivasikan keturunan Jerman sebagai ‘bangsa pilihan’ untuk menakluki Eropah dalam Perang Dunia II, fahaman tersebut telah mencetuskan holocaust. Holocaust hingga kini menjadi tragedi terburuk kemanusiaan dan menaikkan semangat penyatuan Yahudi untuk mengembangkan zionisme dan seterusnya menguasai bumi Palestin dengan mendakwa, kawasan tersebut adalah ‘tanah yang dijanjikan’.

Dengan bantuan Amerika Syarikat, negara Israel berjaya dibentuk (1947) dan hari ini, Donald Trump memainkan peranan besarnya, mengiktiraf negara Israel dengan cadangan memindahkan pejabat kedutaannya ke Baitul Maqdis. Wilayah yang dijarah oleh Israel (sejak tahun 1967) menjadi semakin besar, manakala Baitul Maqdis akan menjadi milik mutlak Israel. Mungkin sejarah yang dikaitkan dengan tiga agama samawi (Ibrahimic Faith)—Kristian, Nasrani dan Islam secara beransur-ansur akan terhapus manakala kaitannya hanyalah sekadar fakta sejarah.

Kelima, Tragedi Christchurch telah membangkitkan semula isu Islamofobia dan white supremacy. Masyarakat mula mencari akar masalah, apakah Brenton Tarrant begitu terpengaruh dengan propaganda ‘ketakutan terhadap Islam’ yang diciptakan oleh Barat sejak Amerika Syarikat mula bermasalah dengan Iran selepas Ayatullah Khomeini berjaya menggulingkan pemerintahan boneka Dinasti Shah Pahlavi pada tahun 1979. Apakah Islamofobia itu merupakan wacana strategik yang lahir daripada pewajahan semula hasil intelektual kaum orientalis terhadap Islam?

Keenam, apakah sebenarnya matlamat permainan dalam talian yang begitu cepat berkembang menggunakan strategi ganas dan memuntahkan kemarahan melalui aksi tembak menembak tanpa belas kasihan? Walaupun ia hanyalah dalam bentuk permainan yang dikaitkan dengan sikap berlawanan yang dibenarkan sebagai aktiviti sukan, sedikit sebanyak kesannya kepada psikologi penggemarnya tetap ada, sama ada secara langsung ataupun subliminial.

Kes Brenton Tarrant sedikit sebanyak menggambarkan bagaimana psikologi ‘anak remaja’ yang tidak bermasalah itu akhirnya telah diselubungi oleh ‘rasa kecewa’ dan semangat white supremacy sehingga sanggup bertekad untuk melenyapkan kaum imigran beragama Islam di New Zealand. Ia kembali mengingatkan masyarakat dunia bagaimana Donald Trump memulakan kempennya pada tahun 2016 untuk merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat dan seterusnya melarang kemasukan ‘kaum imigran’ ke negara tersebut.

Kempen Donald Trump turut menyebabkan ramai warga Arab-Amerika merasa saperti terhina dan kini, rancangan untuk membina tembok bagi menghalang kemasukan imigran melalui sempadan dengan Mexico hampir menjadi kenyataan. Peruntukan sebanyak 1 bilion dolar untuk tujuan tersebut sudah diluluskan manakala sektor industri dan perkhidmatan di Amerika Syarikat yang menyuarakan kebimbangan tersebut seperti mula tercabar dengan dasar America for American. Perang perdagangan dengan China dilancarkan dan kini masyarakat antarabangsa terkesan dengan tindakan Donald Trump.

Ketujuh, perdebatan mengenai ‘kesan ganas’ permainan Play Unknown Battleground (PUBG) telah mencetuskan polemik nilai. Seseorang yang menjadikan permainan sedemikian sebagai profesyen mula mencabar apa yang diucapkan oleh tokoh agama. Mereka dicabar untuk berdebat, tetapi tokoh agama yang berpendirian, permainan ganas dalam talian memberikan kesan negatif tidak bersedia untuk berdebat kerana ‘debat’ seringkali berakibat buruk. Orang yang mencabar berdebat telah menetapkan tujuan sebenar, iaitu saperti para pemain PUBG itu sendiri, sentiasa ‘mahu menang’ dan bukannya berusaha merungkaikan permasalahan melalui ‘kebenaran’.

Kelapan, ketika masyarakat Islam masih ‘berduka’ di atas Tragedi Christchurch, Israel mengambil kesempatan untuk menyerang penduduk Palestin di Gaza bagi mempertahankan ‘kedaulatan palsu negara’ dan menjamin proses pemindahan pejabat kedutaan beberapa negara sekutunya ke Baitul Maqdis berjalan lancar. Israel memang begitu bijak menggunakan peluang dan kesempatan, kerana ketika tragedi menimpa umat Islam, Tel Aviv terus meningkatkan proses penjarahannya.

Kesembilan, Tragedi Christchurch dijangka semakin meningkatkan kefahaman rakyat New Zealand terhadap Islam sehingga Perdana Menteri, Jacinda Ardern bersedia menggunakan ‘tudung menutup kepala’ bagi menghormati masyarakat Islam. Bukan Islam dalam keadaan sedar mula cenderung untuk melihat sendiri apa sebenarnya ‘ibadat dalam Islam’ dengan mengunjungi masjid-masjid ketika umat Islam sedang melakukannya. Lebih menarik ialah bagaimana sebuah negara yang umat Islamya adalah terlalu kecil jumlah boleh memberikan laluan secara langsung dalam media untuk menyiarkan sembahyang Jumaat pertama selepas tragedi.

Bahkan di Malaysia, yang majoriti penduduknya adalah umat Islam, segelintir ahli politik bukan Islam seringkali mempersoalkan apa sahaja yang dilakukan oleh umat Islam, termasuk kandungan Khutbah Jumaat. Kalau di New Zealand penduduk majoriti menghormati kebebasan beragama umat Islam, di Malaysia seringkali Islam dipersoalkan sebagai ‘anti kemajuan’ dan ‘jumud’ hanya kerana umat Islam tegas dengan prinsip-prinsip Islam. Sejak Kerajaan PH mengambil alih pentadbiran, pelecehan terhadap Islam semakin meningkat bahkan ada tafsiran politik yang berusaha untuk tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Kesepuluh, mengamati kandungan khutbah Jumaat pertama selepas tragedi (22 Mac 2019), terasa begitu indahnya sikap umat Islam di New Zealand yang tidak berdendam dengan apa yang dialaminya. Sedih dan kecewa memang tidah tertanggung, tetapi  Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda memulakan khutbahnya dengan berkata “kebencian dan kemarahan pengganas yang membunuh dan menyebabkan 50 jemaah syahid, mencederakan 42 lain, sekali gus meruntun perasaan jutaan yang lain di seluruh dunia.”

Pengganas yang melakukan pembunuhan itu ‘mahu memusnah negara kita dengan ideologi jahat yang memebelahkan dunia dan jelas Imam Gamal, tetapi dia gagal kerana New Zealand tidak dapat dipecahbelahkan manakala seluruh dunia melihat kepada ‘kita satu contoh kasih sayang dan perpaduan. Kepada keluarga mangsa, Imam Gamal berkhutbah, ‘orang tersayang tidak mati dengan sia-sia. Menerusi mereka, dunia akan melihat keindahan Islam dan keindahan perpaduan dalam Islam.’

Sebagai seorang muslim, kita selalu mengharapkan pengakhiran hidup kita dalam keadaan khusnul khatimah, misalnya meninggal pada hari Jumaat (penghulu segala hari), di tempat yang terbaik (masjid), dalam keadaan bersih dan suci (berwudhuk), dan masa yang terbaik (menunggu atau sedang solat). Daripada ribuan orang yang bersiap sedia mengerjakan solat Jumaat pada 15 Mac lalu, hanya 50 orang yang menerima takdir dalam khusnul khatimah. Dan, tidak semua orang yakin akhir hayatnya mendapat khusnul khatimah, tetapi semua muslim mendambakannya.

Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Imam Gamal turut membuatkan para Jemaah dan orang bukan Islam yang hadir  menitiskan air mata apabila beliau berkhutbah: “Kepada rakyat New Zealand, terima kasih. Terima kasih atas air mata anda. Terima kasih hak anda. Terima kasih atas kasih sayang dan belas ihsan.”

Dan, Imam Gamal tidak lupa berterima kasih kepada Perdana Menteri, “Terima kasih untuk kepimpinan anda, ia menjadi suatu pengajaran kepada pemimpin dunia. Terima kasih kerana kemesraan kepada keluarga kami dan kerana menghormati kami dengan tudung kepala anda. Terima kasih kerana kata-kata anda dan tangisan kasih sayang. Terima kasih kerana bersama kami.”

Akhirnya, Imam Gamal menyatakan kebenaran bahawa Islamofobia telah membunuh. Tetapi, apa yang kita fahami ialah Islam bukanlah cara hidup yang menakutkan, kerana Islam adalah agama yang penuh keberkatan dan kesejahteraan. Ketakutan kepada Islam itulah yang menyebabkan bukan Islam sanggup membunuh orang Islam, kerana Islamofobia itu adalah propaganda bukan Islam untuk menghancurkan Islam.

Sebelum intelektual barat menggunakan Islam untuk menyemai benih-benih kebencian tanpa memahami roh dan asas iman yang ‘terdalam dalam perspektif Islam’. Mereka awalnya mengkaji ‘konsep jihad’ yang kemudiannya diterjemahkan secara literal sebagai ‘gemar berperang’ atau ‘bersikap sebagai penakluk’. Konsep itu dipropagandakan secara meluas, dan akhirnya ‘Islam dilihat sebagai hantu yang menggerunkan’.

Bila Revolusi Islam Iran berjaya membangkitkan ‘semula kepada Islam’, Islam dituduh sebagai cara hidup yang melampau, ganas dan otordok, dengan menyamakan kisah perbalahan antara sekte dalam agama agama Kristian –Katolik dan Protestan—mengadudombakan Sunni dan Syiah untuk terus berkonflik. Hingga kini, umat Islam saling bermusuhan kerana mazhab dan menurut Dr Ahmad Syafii Maarif, arabisme menjadi faktor yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam (Krisis Arab dan MAsa Depan Dunia Islam, 2018).

Sebenarnya, mungkin berlaku reaksi ganas oleh segelintir pelampau Islam, tetapi reaksi itu ada ketikanya berpunca kerana ‘campur tangan white supremacy’ yang tujuannya untuk menguasai dan mengawal dunia menjadi satu sistem hidup yang nyah peranan agama, semuanya berlangsung dalam cengkaman kapitalisme dan materialisme. Itulah sebenarnya yang berlaku, maka untuk membolehkan tujuan tersebut tercapai, Islam dikambinghitamkan dan menakut-nakutkan bukan Islam.

Selain menterjemahkan konsep jihad sebagai ‘berperang’ turut digambarkan bahawa syariat itu adalah sesuatu yang melanggar batas kemanusiaan dan kebebasan sejagat. Itulah hakikatnya kenapa Islam ditakut-takutkan sebagai ‘hantu hijau’ sebagaimana mereka menakut-nakutkan ideologi komunis sebagai ‘hantu merah’ sedangkan budaya Barat lebih banyak mendatangkan keburukan kerana tidak semuanya kebebasan dan kemanusiaan itu terpakai secara meluas, hanya untuk kepentingan kapitalisme dan white supremacy. Ia tidak benar-benar menterjemahkan ‘anak semua bangsa’; tanpa diskriminasi dan hegemonik.

Jika ianya benar untuk kebebasan dan kemanusiaan, kenapa selalu menuding jari kepada Islam dan tidak bersungguh-sungguh menyekat penjarahan kejam Israel ke atas Palestin. Sampai bila rakyat Palestin akan dikeronyokkan dan sampai bila arabisme menyebabkan umat Islam berpecahbelah?

Semoga Tragedi Christchurch benar-benar menjadi teladan dan ikhtibar oleh umat Islam. Semoga Tragedi Christchurch berjaya membangkitkan semangat penyatuan Islam dalam masyarakat antarabangsa. Juga, Tragedi Christchurch boleh menyedarkan setiap warganegara Malaysia, apa makna rahmatal lilAlamin yang sedang dislogankan oleh Kerajaan PH. Seharusnya slogan itu tidak hanya ditujukan kepada umat Islam semata-mata, dipergiatkan usaha kepada bukan Islam agar memahami bahawa Islam bukanlah cara hidup yang ‘ganas’, ‘melampau’ dan sekterianisme.

No ketakutan terhadap Islam: Islam-o-phobia. White-No supremacy, kita semua adalah warga dunia yang sama. Anak semua bangsa, bukan anak-anak tanpa kasih sayang dan belas kasihan.

Mahanor Saleha

 

No Comments

    Leave a reply