Sebaliknya, perlembagaan parti berkenaan yang merupakan doktrin begitu penting kepada ahli-ahli parti itu lebih menyerlahkan semangat sekularisme iaitu ke arah kesaksamaan yang menjunjung hak asasi manusia.

‘Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia.’

Berkenaan hal agama, matlamat keempat dalam perlembagaan parti itu hanya menyatakan:

‘Mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan pelbagai agama daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.’

DAP hendak berdabik dada dengan komposisinya yang pelbagai kaum namun dalam negara yang majoritinya merupakan penduduk beragama Islam, parti itu tidak dapat memberi penyelesaian politik kepada kunci keamanan dan kestabilan di negara ini.

Menerusi perlembagaannya, parti itu hanya dapat menyatakan ia mempertahankan dan menjunjung kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tetapi ia tidak mampu menyatakan secara bertulis dalam hal yang sama mengenai kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Maka, tidak hairanlah daripada mana datangnya punca perdebatan yang sering ditimbulkan pemimpin-pemimpin DAP mengenai kedudukan Islam di negara ini sehingga tidak pernah tenggelam polemik perkara berkenaan.

Berbanding DAP, kemahuan politik Barisan Nasional (BN) secara jelas dinyatakan dalam perlembagaannya iaitu: ‘Berusaha untuk mencapai pembangunan jasmani dan rohani dan mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan dan untuk menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.’

Keamanan dan keharmonian di negara ini tidak terjadinya dengan sendiri melainkan ia juga telah dibina dengan teliti oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Usahkan biarkan formula DAP yang terkandung dalam gabungan pembangkang PKR meranapkan rakyat dan negara tercinta ini. – UTUSAN ONLINE