ISLAM TIDAK PERNAH MENZALIMI ATAU MENGANIAYA MANA-MANA PIHAK – MANTAN YDP MAJLIS AGAMA PULAU PINANG

Serdang, Selangor: Mantan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Dato’ Ustaz Hj Elias Bin Haji Zakaria menggesa umat Islam Malaysia agar sama-sama bangkit menunjukkan penegasan bagi mendaulatkan Islam di negara ini melalui Deklarasi 7 Tuntutan Umat Islam. Beliau membuat seruan sedemikian dalam ucapannya di program Deklarasi Ijtima’ Penegasan Islam (DIPKI) 2018 edisi Selangor yang berlangsung di Dewan Bankuet, Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

“Kerana kita ingin melihat negara masa depan, negara Malaysia masa depan adalah negara yang selamat, negara yang hebat, negara yang kuat. Dan kekuatan kita, kehebatan kita kerana kita ditiup oleh rahmat Allah, kerana kita mendaulatkan Islam di persada negara ini.”

Menurut tokoh agamawan itu, jati diri Islam dengan sifatnya yang adil dan menyelamatkan  telah diterapkan di negara ini sejak turun temurun dan berterusan sehingga selepas pasca merdeka. Sehubungan dengan itu, adalah penting bagi umat Islam untuk menyokong Deklarasi 7 Tuntutan Umat Islam bagi mendaulatkan agama Islam dalam negara ini untuk menjamin masa depan Malaysia yang hebat, kuat atas dasar rahmat Allah. “Kita lihat, kita baca, kita faham sejarah bahawa Islam telah menukar watak jati diri Tanah Melayu yang kemudiannya merdeka menjadi Malaysia. Kanun Melaka,

Batu Bersurat di Terengganu, bangunan-bangunan lama menzahirkan seni bina tauhid.” “Lalu selepas pasca merdeka kita lihat pengisian merdeka di Malaysia kuat dan hebat dipengaruhi Islam. Kerana Islam itu sifatnya menyelamatkan – tidak pernah menganiaya atau menzalimi mana-mana pihak.

“Oleh sebab itulah, bila kita bangun hari ini dan hari-hari esoknya untuk menyatakan kita memohon 7 perkara untuk mendaulatkan Islam di negara kita.”

No Comments

    Leave a reply