Islam tuntut jaga kesihatan jasmani, rohani

Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya. Namun, setiap kurniaan itu tidak mungkin dapat dihitung sesiapa pun.

Antara nikmat tiada ternilai harga ialah kesihatan yang membolehkan manusia menjalani kehidupan harian, melakukan kerja dan aktiviti dengan lancar. Lebih penting, ia dapat digunakan untuk beribadat kepada Allah SWT dengan sempurna.

Namun, manusia sering alpa kerana kesihatan yang memberikan nilai dalam hidupnya hingga tidak menghargai mahal nikmat itu, sekali gus tidak sedar ia sebahagian detik kehidupannya.

Rasulullah SWT memberi peringatan mengenai kesihatan dengan bersabda: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (HR Bukhari)

Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa nilai kesihatan apabila mengalami kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan ini, barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting.

Perlu diingat maksud kesihatan ini menurut perspektif Islam bukan terhad kepada kesihatan lahiriah atau jasmani sahaja, malahan turut mencakupi kesihatan batin atau rohani.

Hakikat ini menepis sama sekali persepsi umat Islam yang hanya menekankan kesihatan jasmani semata-mata hingga mengabaikan aspek kerohanian sedangkan ia amat penting dalam menentukan kesudahan nasib setiap manusia.

Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitikberatkan kesihatan rohani tanpa menghiraukan kesihatan jasmani. Islam ialah ad-din yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi.

Kita boleh melihat betapa Islam awal-awal lagi memberi perhatian serius dalam isu kesihatan. Jika diperhatikan secara halus, Islam menyediakan garis panduan lengkap kepada umatnya mengenai kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.

Apabila membelek-belek kitab fiqh umpamanya, kita akan menemui bab pertama berkaitan Taharah, iaitu kesucian. Dalam bab ini, Islam mensyariatkan wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu dan sebahagian ibadat lain. Begitu juga disyariatkan mandi dan bersugi untuk kebersihan diri.

Ini bermakna kebersihan dan kesucian diri ialah asas penting ke arah kesihatan jasmani. Malah, ia antara sifat utama orang bertakwa dan layak mendapat mahabbah, iaitu kasih sayang Ilahi.

Seterusnya, Islam menunjukkan keprihatinannya dalam hal kesihatan dengan memberikan panduan ke arah penjagaan kesihatan berterusan. Antaranya sabda Rasulullah SAW: Lima amalan ini daripada fitrah, iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. (HR Bukhari)

Begitu juga apabila menghadap hidangan makanan, Islam menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dahulu.

Islam juga menggalakkan kita melakukan aktiviti kecergasan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti ini boleh disesuaikan dengan peredaran dan keadaan masa kini berdasarkan kemampuan setiap individu seperti bersenam, berjoging, bermain bola sepak dan mendaki bukit. Apa yang penting, kita mengembalikan kecergasan tubuh badan, di samping mengekalkan kesihatan pada setiap masa.

Selain itu, Islam mengharamkan beberapa jenis makanan dan minuman seperti arak, dadah serta bangkai. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa makanan berkenaan membawa lebih banyak kemudaratan kepada manusia berbanding manfaat yang sedikit.

Oleh itu, Allah SWT mengharamkan makanan terbabit bagi kebaikan dan kesihatan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (Al-Baqarah: 219)

Segala perkara terkandung dalam tegahan itu ialah perkara yang menjadi punca bagi penyebaran penyakit khususnya dalam masyarakat yang mengabaikannya dalam kehidupan harian.

Oleh itu, Islam menggariskan kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat, iaitu apabila berlaku wabak atau penularan penyakit berjangkit di satu-satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk supaya ia tidak merebak ke kawasan yang lebih besar.

Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar darinya. (HR Bukhari)

Di samping itu, Islam menggalakkan umatnya di tempat yang terkena wabak itu agar terus tinggal di tempat itu kerana menjadi kebiasaan kebanyakan orang untuk menyelamatkan dan melarikan diri dari tempat terbabit. Akibat tindakan itu biarpun untuk kepentingan diri sendiri, ia membawa bala bencana kepada seluruh negara dan umat lain.

Mungkin ada orang berpandangan tidak memasuki negeri ditimpa wabak kerana takutkan penyakit ialah tanda kelemahan iman atau lari daripada takdir yang kononnya salah menurut perspektif Islam.

Tanggapan itu dijawab dalam kisah Sayidina Umar al-Khattab RA yang menolak pemergiannya ke Syam yang mengalami wabak taun. Lalu, ada orang bertanya kepadanya: “Adakah tuan hendak lari dari takdir Tuhan?” Namun, Umar menjawab: “Kita lari dari takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.”

Jelas kisah itu menunjukkan ikhtiar, tawakal dan berusaha dengan menggunakan sebab-musabab ialah perkara dituntut Islam. Apa yang dinyatakan dan dilakukan Umar termasuk dalam pengertian takdir.

Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri daripada tempat menularnya penyakit berjangkit. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat.” (HR Bukhari)

Garis panduan Islam serba lengkap mengenai kesihatan dari sudut penjagaan, pengekalan dan pengawalannya, menunjukkan kepentingannya dalam hubungan seseorang Islam terhadap Allah SWT dan hubungan manusia semasa mereka.

Oleh Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber : bharian.com.my

No Comments

    Leave a reply