ISLAMOFOBIA DAN UMAT ISLAM

Pada 15 Mac lalu, kita dikejutkan dengan tragedi berdarah yang menimpa saudara seagama di Christchurch, New Zealand. Hakikatnya, umat Islam sentiasa menjadi mangsa jenayah kebencian di negara-negara mereka minoriti. Kes di Christchurch bukanlah pertama kali menimpa umat Islam. Sejak 2001, jenayah kebencian melibatkan umat Islam meningkat secara mendadak di beberapa negara Barat.

Di Amerika Syarikat (AS), statistik jenayah kebencian yang dilaporkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menunjukkan sebanyak 546 kes berlaku pada 2001 dan purata sebanyak 159 kes bagi tahun-tahun berikutnya. Begitu juga di Eropah, jenayah kebencian melibatkan umat Islam sentiasa berlaku di beberapa negara seperti United Kingdom, Norway, Poland, Sweden, Perancis dan Denmark.

islamofobia

Sebanyak 546 kes jenayah kebencian melibatkan orang Islam sebagai mangsa dilaporkan di Sepanyol dan 664 kes berlaku di Poland pada 2017. Di Perancis pula, sebanyak 419 kes diskriminasi, 39 kes keganasan dan 25 kes vandalism melibatkan umat Islam dilaporkan pada 2015. Malah, ada antaranya melibatkan pembunuhan dan kematian.

Negara Asia tidak terkecuali. Di India, daripada 3,3035 kes jenayah kebencian yang dilaporkan dalam web, Documentation Of The Oppressed (DOTO database), sebanyak 1,892 kes melibatkan mangsa orang Islam. Di Myanmar, warga Muslim Rohingya terus menjadi mangsa kezaliman dan penindasan etnik Rakhine, yang majoritinya Buddha.

Ironinya, di sebalik semua data yang dilaporkan di atas, orang Islam sentiasa digambarkan sebagai pengganas dan Islam dituduh sebagai agama yang menganjurkan keganasan. Pihak Barat menggambarkan negara-negara yang mengamalkan undang-undang Islam seperti Arab Saudi dan Iran sebagai zalim dan melanggar hak asasi manusia. Media Barat saban hari menyiarkan keganasan yang dilakukan oleh golongan pelampau, sambal menyifatkan ia dilakukan oleh teroris Muslim. Ahli-ahli politik Barat yang berhaluan ekstrem kanan seperti Geert Wilders dan Fraser Anning sentiasa menyemarakkan kebencian terhadap Muslim dan imigran melalui ucapan politik mereka. Tindakan ini menyemarak perasaan Islamofobia kepada masyarakat bukan Islam yang tidak memahami agama Islam yang sebenar. Ini sehingga mengudundang ketakutan dan kebencian terhadap Islam, khususnya golongan imigran.

Sekalipun Islam terus digambarkan sebagai pengganas, hakikatnya kita jarang mendengar kes diskriminasi, jenayah kebencian ataupun pembunuhan melibatkan orang bukan Islam di negara majoriti Muslam. Islam sentiasa mengajar umatnya untuk melakukan kebaikan, hormati jiran dan orang lain tanpa mengira agama, mengajar sikap ramah dan sopan santun dan menyayangi sesama manusia. Namun, naratif kebencian dan prasangka buruk yang dihidangkan Barat melalui ahli politik dan media massa mereka menyemarakkan lagi Islamofobia dan kebencian terhadap Islam dan umatnya. Kesannya, umat Islam terus menjadi mangsa keganasan oleh mereka yang tidak memahami Islam sebenar.

Sikap Islamofobia ini harus ditentang dan dijauhi segenap lapisan masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab kita menolak fahaman menjurus Islamofobia yang jauh menyimpang dari fakta. Islamofobia ini jika ia tidak dibendung, akan menyebabkan ramai lagi pengganas yang bakal lahir dan lebih banyak umat Islam yang akan menjadi mangsa jenayah kebencian.

Dipetik dari: Utusan Online 26 Mac 2019

Tags:

No Comments

    Leave a reply