Israel tiada hak kenakan larangan perjalanan terhadap Sheikh Dr Ekrima – Duta

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Israel tiada hak untuk mengenakan sekatan perjalanan terhadap Imam Besar Masjid al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’eed Sabri, kata duta besar Palestin di Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha.

Beliau berkata tindakan mengenakan larangan terhadap imam besar itu tidak boleh diterima kerana ia melanggar hak asasi manusia.

“Ini tidak boleh diterima sama sekali. Sheikh (Dr Ekrima) seorang personaliti terkenal, tokoh agama yang dihormati,” katanya kepada Bernama berhubung penangkapan Ekrima dan tindakan regim Tel Aviv mengenakan larangan perjalanan selama sebulan terhadapnya.

Menurut laporan sebuah portal berita, badan perisikan Israeli dalam kenyataannya berkata penahanan Ekrima adalah berasas kerana beliau membuat perjalanan ke luar negara bagi menyertai persidangan yang boleh membahayakan keselamatan negara Israel.

Sambil menyeru masyarakat antarabangsa supaya campur tangan dalam hal itu, Anwar berkata Israel perlu menghormati hak asasi manusia, bukan sahaja melibatkan Ekrima, tetapi juga rakyat Palestin lain.

Ekrima pernah beberapa kali berkunjung ke Malaysia dan terbaru bagi menghadiri majlis sambutan Israk Mikraj 1439H peringkat kebangsaan pada 14 April, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

— BERNAMA

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply