Isu-Isu Kontroversi di Sebalik Pemikiran Ibn Taymiyyah

Pemikiran Ibn Taymiyyah (661-728/1263-1328) walaupun ada aslinya, banyak menimbulkan isu-isu kontroversi dalam masyarakat dan dunia Islam sejak dahulu sehingga sekarang. Dari segi asas perjuangan, beliau ingin mengembalikan masyarakat dan dunia Islam kepada tafsiran asal yang bersumber teks al-Quran dan al-Sunnah dan amalan generasi awal Islam (salaf). Dengan kata lain, perjuangan untuk mengembalikan umat Islam kepada amalan golongan salaf dan menolak  pendekatan lain termasuk pendekatan bermazhab yang nampak berpecah, pendekatan falsafah yang melebihkan akal, pendekatan sufi yang membawa penyelewengan dan pendekatan Syiah yang melampau. Pendekatan Ibn Taymiyyah membawa kepada penggunaan nama-nama seperti aliran Salafiyyah, gerakan Salafi, Salafisme dan sebagainya.

Pendekatan Ibn Taymiyyah mendapat dokongan gerakan Islam yang baru seperti di Najd, Saudi dengan kelahiran tokoh reformis aliran Wahabi, iaitu Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1115-1206/1703-1792) dan mempengaruhi gerakan modenisasi di Mesir bermula dengan Muhammad Abduh (1849-1905) dan muridnya Muhammad Rashid Rida (1865-1935) dan seterusnya.  Apa yang membezakan antara aliran-aliran ini ialah pendekatan keagamaan ini ada yang digabungkan dengan pendekatan politik seperti aliran Wahabi dan ada yang bersifat hanya teoris dan akademik tanpa politik seperti aliran Abduh di Mesir. Aliran Abduh juga melahirkan aliran pendekatan sekularis di samping aliran agama sebagaimana yang dipelopori Rida.

Pada umumnya slogan dan metod pendekatan kepada ‘kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah’ mendapat dokongan ramai. Ini berdasarkan beberapa faktor antaranya keperluan untuk kembalinya kepada ajaran Islam yang asli, kemunduran yang berlaku kepada umat dan dunia Islam semasa, berlaku konflik dan perbalahan sesama sendiri, adanya keperluan kepada elemen penyatu dalam masyarakat dan kesatuan pimpinan dan fikrah. Bagaimanapun, pendekatan tersebut membawa kepada kontroversi apabila timbul isu-isu sampingan yang menyebabkan ketegangan dalam masyarakat seperti tuduhan bidah kepada amalan semasa masyarakat, umpamanya bacaan qunut dalam solat Subuh, tahlil, talqin, tawassul, tarikat, ziarah kubur dan sebagainya. Ia tidak berhenti setakat itu apabila berlaku fitnah dan tuduhan kafir-mengkafirkan (takfir) sesama Muslim dalam isu-isu ini kerana ada sikap keras dalam pendekatan tersebut.

Akibatnya masyarakat dan dunia Islam banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk berbahas sesama sendiri dalam isu-isu sampingan. Sebenarnya kalau ia dikaji ia hanya melibatkan isu furu’ (kecil-kecilan) dan bukan usul (asas-asas agama). Pendekatan berbentuk kepercayaan (ideologi) seperti ini dilihat boleh menyebabkan perbahasan menjadi lebih tegang sehingga membawa pertelingkahan yang lebih besar apabila asas kepercayaan digunakan dalam menilai sesuatu perkara sehingga membawa kepada pembunuhan, peperangan dan sebagainya sesama sendiri. Boleh dikatakan sekarang ini tiada lagi titik temu antara dua kumpulan yang berbalah dalam isu ini. Lebih-lebih apabila ada kepimpinan semasa menyokong aliran minority sama ada secara langsung atau tidak. Kekuatan politik tersebut digunakan untuk memaksa aliran tersebut dalam masyarakat.

Sebagai contohnya, di Malaysia pernah berlaku konflik antara Kaum Muda dan Kaum Tua (yang mewakili penganut mazhab Shafie). Pada permulaannya ia berlaku di sekitar tahun 1920 dan 1930-an. Ia bermula apabila Kaum Muda mengemukakan idea-idea baru berbeza dengan pegangan sedia ada dalam masyarakat Melayu. Umumnya konflik menjadi reda seketika dan muncul kembali dalam tahun 1940 dan 1960-an apabila masalah khilafiyyah didebatkan seperti isu “usalli” dalam solat, talqin kematian, tahlil arwah, bacaan Yasin dan sebagainya. Berkat kerjasama dan semangat perpaduan akhirnya masyarakat Islam bersepakat untuk dalam memilih khilafiyyah sebagai amalan yang diterima negara ini. Bagaimanapun, berbanding dengan negeri-negeri lain Perlis nampaknya cenderung untuk menerima aliran Kaum Muda. Ini dapat dilihat dengan adanya Undang-Undang Pentadbiran Agama Negeri Perlis pada tahun 1959.

Seterusnya konflik antara Kaum Muda dan Kaum Tua muncul kembali  bermula 1970-an apabila  ramai pelajar pulang selepas menamat pengajian di Saudi dan juga Indonesia. Semenjak kepulangan mereka ke tanah air, mereka mula  berjuang untuk membebaskan masyarakat dari pengaruh mazhab semasa, iaitu dalam konteks di Malaysia pegangan mazhab Shafie. Mereka juga melihat banyak amalan bidah dalam masyarakat yang tidak menurut ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Menurut mereka lagi masyarakat Islam tidak sepatutnya terikat dengan satu mazhab sahaja. Ini menyebabkan berlaku pergolakan dalaman masyarakat Islam.

Sehingga kini konflik dalaman umat Islam masih berterusan sama ada di kalangan Kaum Muda dan Kaum Tua di Malaysia. Ini  ditambah dengan pengikut-pengikut yang taksub kepada pemimpin masing-masing. Ini boleh dilihat dengan adanya cabar mencabar antara NGO ASWAJA dan Mufti Perlis dan pengikut masing-masing sejak kebelakangan ini. Keadaan semasa juga bertambah getir dengan berlakunya konflik antara golongan Sunni dan Syiah yang juga berlaku bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara Islam yang lain di Timur Tengah. Di Syria, Iraq dan Yaman jelas menampakkan konflik sektarian yang mendalam antara golongan yang dikatakan mewakili pihak Sunni dan Syiah.

Seruan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah supaya “umat Islam memperkukuhkan permuafakatan dan memantapkan ukhuwah Islamiah bagi menghindari daripada perpecahan disebabkan perbezaan yang berlaku” perlu diambil perhatian sewajarnya. Islam kata Baginda “melarang perbezaan pendapat dalam perkara pokok iaitu usul dan segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan sesama umat Islam.”

Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri, IIUM

(http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mantapkan-ukhuwah-hindari-perpecahan-1.390056#sthash.sVeFu8sZ.dpuf).

No Comments

    Leave a reply